Wednesday, March 3, 2010

ORANG-ORANG ITU PERGI MEMBAWA KAMBING DAN UNTA….TETAPI KAMU ?



Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w dan keluarga baginda


Dek kerana Allah menyerahkan Makkah kepada Muhammad dan setelah kaum Quraisy yang memusuhi baginda bertukar menjadi orang yang menyebelahi Baginda, maka marahlah Para Pembesar Huwazin dan Thaqif.


Perang Hunain adalah perang yang mempunyai sorotan angkatan pejuang yang gah. Pertempuran hebat dengan bantuan Allah SWT yang telah mencampakkan rasa takut ke dalam hati musyrikin sehingga berjaya dibunuh dan ditawan golongan kafir ini.

Setiap peperangan pasti punya pengajaran dan ujian.

Hunain adalah hitungan pelajaran Aqidah.

Hunain menyelesaikan Badar.


Malik ibn ‘Auf merupakan ketua qabilah Huwazin. Dialah yang mengetuai pasukan besar Quraisy yang setiap pasukan raksaksa diarah membawa harta benda dan isteri dengan tujuan supaya tidak ada yang cuba lari meninggalkan medan perang.


Dia tidak mati. Akhir peperangan, Malik hilang seluruh harta dan keluarganya. Sehingga Rasulullah bersabda “ Beritahu kepadanya, sekiranya dia datang kepadaku sebagi Muslim, aku akan kembalikan kepadanya keluarga dan hartanya, dan akan aku berikan kepadanya seratus ekor unta,”. Islamlah Malik ibn ‘Auf dan kuat pula Islamnya.


ANSAR YANG KEHILANGAN..


Mengetahui bahawa Rasulullah memberi lebih banyak harta rampasan kepada golongan mu’allaf penduduk Makkah untuk melembutkan hati mereka kepada Islam berkatalah mereka,:


“Semoga Allah mengampunkan RasulNya, dia masih memberi kepada orang Quraisy, meninggalkan kita yang masih lagi menitis darah mereka dari pedang-pedang kita!”

Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama


KESEDIHAN RASULULLAH DITUDUH OLEH ORANG YANG DIKASIHI


Syaitan telah cuba merasuk dan menabur fitnah terhadap siasah Rasulullah saw sehingga berjaya menggambarkan bahawa Nabi telah terpengaruh dan kasih kepada kaum dan anak negerinya, hingga baginda lupa kepada orang-orang Ansar.

Rasulullah menggoncang perasaan orang-orang Ansar

Lantas menangislah mereka hingga basah janggut-janggut mereka

Indahnya akhak dan budi untuk menyatakan perasaan kasihnya yang begitu mendalam.

Tidak ada lagi sebarang kenyataan yang lebih nyata untuk menyatakan setia, mesra dan kasih murni selain itu.


Dengan penuh hikmah, apabila sampai perkataan itu ke pengetahuan Rasulullah saw. Baginda memanggil mereka berkumpul sehingga tiada seorang pun yang tidak hadir. Baginda memuji Allah dan kemudian berkata :


“………..Apakah sudah ada dalam dirimu wahai orang Ansar sifat cinta dunia ? Hingga kamu merasa iri hati sebab aku berlembut dengan orang-orang itu untuk mereka menganut Islam, sedangkan kamu sudah kukuh dengan Islam mu !....”

“Apakah kamu tidak rela wahai orang-orang Ansar? Orang-orang itu pergi membawa kambing dan unta, tetapi kamu pulang bersama Rasulullah ? demi Allah, pemergian kamu adalah lebih baik dari pemergian mereka…..”

“Demi Allah, sekiranya tidak ada hijrah aku adalah salah seorang dari kalangan Ansar, andai semua berjalan di satu jalan, dan orang-orang Ansar berasingan di satu jalan, sudah pasti aku mengikut jalan orang Ansar. “

“Aku akan temui kemuliaan turun temurun selepas peninggalanku, bersabarlah. Wahai Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, Rahmatilah anak-anak ansar, rahmatilah cucu cicit ansar.”

Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama


TIADA NILAI LAGI PADA MEREKA


Maka gugurlah rasa was-was dan ragu yang bergantung dalam hati mereka. Sudah tidak ada nilai lagi pada mereka kambing-kambing dan barang rampasan perang, kerana mereka sudahpun berada di samping orang yang paling dikasihi.


Berbekas dalam hati mereka bila Rasulullah saw rela meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk bersama mereka dan meneruskan baki hidup bersama mereka..


Ingatan buat mu duhai rasulullah..


Selawat yang tidak terhitung ke atasmu wahai junjungan kami, wahai Rasul dan ke atas para sahabatmu dari kalangan Ansar dan Muhajirin. Himpunkan lah kami dibawah panji-panjimu, jadikanlah kami bersama mereka yang akan menemuimu dalam Syurga kelak. Amen.


ANSAR BERJAYA, KITA ?


Kita harus takjub melihat kehebatan jiwa-jiwa ini dan mengambil pelajaran apabila melihat manusia berpencak, memutuskan silaturrahim, dek kerana terlalu cinta pada materi. Ya, mungkin bukan kambing-kambing dan unta-unta.


Kaca mata hari ini berbeza yang amat. Risaulah kerana Hunain telah bentangkan siratan tersurat dan syaitan tidak pernah berehat.

7 comments:

Al-Fateh said...

Satu lagi isu yang amat berkait rapat dengan perang Hunain ini adalah tentang golongan mukmin yang menyangka dengan ramainya tentera mereka, mereka seolah-olah bakal menang dengan mudah.

Akan tetapi, Allah segera menafikan apa yang mereka angan-angankan itu dengan menjadikan situasi hampir terbalik, dan tentera mukmin hampir2 mengalami kekalahan.

Subhanallah, Allah mentarbiyah golongan-golongan terdahulu melalui peperangan dan kesusahan.

Kemenangan bukan disebabkan kuantiti, tetapi sejauh mana kebergantungan kita kepada Allah. Ingat wahai mujahid mujahidah di luar sana.

Kemenangan itu adalah ujian yang lebih sukar untuk dihayati berbanding kekalahan.

qudwaH_Humaira' said...

al-fateh :

terima kasih atas tambahan ilmu.pengajaran perang hunain ni memang banyak.

isu yang nta kaitkan tadi ada dalam surah at-taubah : ayat 25-27

antaranya yang lain untuk perkongsian :
1. Perlunya ada pengintip masuk ke dalam golongan musuh untuk mendapatkan maklumat.
2. ketua boleh meminjam senjata orang musyrikin untuk memerangi musuh-musuh muslimin.( Rasulullah saw pinjam senjata dari safwan ibn 'umaiyah)
3.hukum wanita keluar berjihad di samping lelaki.
4. Pengharaman membunuh wanita, kanak-kanak, orang gaji dan hamba dalam perang.
5. hukum mengenai harta rampasan yang terdapat pada bada musuh yang terbunuh.
6.siasah islam terhadap orang yang baru memeluk islam.

ana rujuk buku fiqh al-sirah
karangan syeikh muhammad sa'id ramadan Al-Buti

Mu'izzuddin Mohd Zuhali said...

assalamualaikum.
Ingin berkongsi.

Peperangan Hunain ini rentetan drpd peristiwa perjanjian hudaibiah. Perjanjian tersebut memberi pengajaran dari segi:

Politik: Kerajaan islam pimpinan Rasul saw diiktiraf oleh kaum Quraisy dan kabilah-kabilah arab lain. Quraisy diketahui sebagai kaum yg paling hebat diantara kabilah2x lain. Perjanjian hudaibiah pada konteks sekarang ialah perjanjian damai antara 2 negara.

Hal ini boleh dibuktikan dgn penyertaan Bani Khuza`ah sebagai sekutu Nabi saw. Sudah pasti orang arab melihat, mengkaji dan memerhatikan peristiwa ini.

Tempoh Perjanjian Hudaibiah ini digunakan nabi saw utk berdakwah ke seluruh semenanjung Arab, menghantar surat kepada pemimpin2x dunia ketika itu. Dlm tempoh tersebut beberapa pemimpin Quraisy masuk islam seperti Khalid Bin Alwalid, `Amru Bin Al-`as dan Uthman bin Thalhah. Kemasukan mereka ke dlm Islam menguatkan lagi kerajaan Islam dan menjadikan Quraisy pada dulunya kaum yang kuat,dihormati lemah. Kepulangan rombongan muslimin dari Habsyah ke Madinah juga menguatkan lagi barisan muslimin.

Setelah Perjanjian Hudaibiyah dikhianati seterusnya Pembukaan Mekah..kabilah arab yang lain merasakan meraka akan diserang.Itulah yang dirasakan oleh mereka hingga meletusnya peperangan Hunain.

Bilangan tentera muslimin yg ramai membuatkan mereka merasa tidak akan kalah. Itulah fitrah manusia yg dijadikan Allah dr dahulu hingga sekarang. Tetapi Allah mengajar serta memberitahu kita betapa sedikit orang boleh mengalahkan sejumlah besar orang dengan syarat : izinNya. maksud ayat 249,Albaqarah.
Bukti?
- dalam peperangan badar, tentera muslimin berjumlah 314 orang menang terhadap tentera quraisy sebanyak 1000.

- Allah menolong pejuang islam dengan menghantar tentera yg tidak dapat dilihat(para malaikat).ayat 26, At-taubah.
Wallahu `alam.

merujuk sebahagian maklumat dr: Sirah Ibnu Hisyam,Sirah Nabi Pilihan, oleh Syeikh Sofiyurrahman Almubarikafuri dan orang lain.

Pengunjung bloq.

qudwaH_Humaira' said...

Mu'izzudin the Bro:

Bila muhammad sa'id ramadan Al-Buti dalam buku nya fiqh al-sirah menyatakan bahawa Hunain adalah pelengkap siri peperangan aqidah mukminin ana sungguh takjub pada hebatnya Allah.

kalau brother boleh bantu ana, ana berminat untuk tahu kisah golongan munafik dan bagaimana siasah Rasulullah terhadap mereka.

ana masih perlukan pembacaan pelabagai.

syukran atas perkongsian.

Mu'izzuddin Mohd Zuhali said...

insya allah.
berkenaan permintaan saudari, ini sebahagian drpd kisah mereka.

sebagaimana kita tahu,orang munafik ini ialah mereka yang menzahirkan keislamannya tetapi hati mereka( iktikad) masih kafir.

di madinah, kumpulan ini diketuai oleh abdullah bin ubai bin salul. dahulunya ingin menjadi raja sebelum kedatangan nabi saw, tetapi tak kesampaian kerana nabi saw memimpin madinah.meraka ini bukan sahaja mengucap kalimah syahadah, berperang malah solat di belakang rasulullah saw. dalam masa yang sama mereka melakukan pengkhianatan terhadap muslimin diantaranya:

1. perang uhud
ketika tentera islam seramai 1000 orang dalam perjalan ke bukit uhud, abdullah bin ubai beserta 300 orang munafik meninggalkan tentera islam. kejadian tersebut mengakibatkan kelam kabut serta lemah semangat dikalangan tentera islam, malah 2 kabilah yg menyertai perperangan, bani harisah dan bani salamah hampir berpatah balik.jumlah baki tentera seramai 700 org. kisah ini di dlm ayat 121-122, ali - imran.

siasah nabi terhadap mereka dlm kes ini x disebut.drpd buku lain menyebut bhw org muslimin sudah mengenali kumpulan munafikin tersebut dan tidak mengajak mereka berperang lagi.

2.fitnah zina terhadap aisyah,isteri nabi s.a.w. oleh ketua munafikin.blh rujuk di dlm ayat 11-20,surah an-nur. fitnah ini mengakibatkan masyarakat madinah menjadi kacau bilau,malah beberapa sahabat nabi terperangkap dengan hasutan fitnah tersebut,kemudian mereka kembali bertaubat.

3.penghinaan ketua munafikin terhadap nabi saw dgn mengatakan bahawa baginda hina dan dia(ketua munafikin)mulia. kes berlaku dlm peperangan bani mustaliq, apabila 2 lelaki dr muhajirin dan ansar bergaduh dan menyeru kpd asabiyah,lantas rasulullah saw menghentikan perbalahan tersebut dan muslimin kembali patuh kpd nabi.
apabila chief of munafiqeen dpt tahu,dia amat marah dan menghina nabi saw dgn berkata:"...demi sesungguhnya,org yang mulia( abdullah bin ubai) ini akan menghalau org yang hina(nabi saw)dari madinah!".penghinaan tersebut didengari oleh orang islam dan diketahui oleh nabi saw.
kejadian turut diceritakan oleh allah didalam surah almunafikin,yg mendedahkan segala rahsia mereka.

siasah nabi saw terhadap mereka:

A. nabi saw tidak membunuh mereka walaupun terdapat sahabat malah anak kepada abdullah bin ubai sendiri ingin membunuh mereka,disebabkan:

1. nabi saw tidak mahu dianggap baginda membunuh sahabat-sahabatnya oleh org kafir. mereka tidak membezakan antara org mukmin dgn munafik,justeru jika membunuh munafikin akan mendatangkan kemudaratan yg besar kpd perjuanagn nabi saw.

2. rahsia-rahsia dan segala perancangan mereka telah didedahkan allah melalui surah al-munafikin dan surah attaubah. org islam meninggalkan mereka setelah mengetahui apa yang dilakukan mereka terhadap masayarakat dan rmh tangga nabi saw.bahkan orang - orang munafik jg bertaubat dan meninggalkan abdullah bin ubai.

B.nabi saw berinteraksi bersama orang-orang munafik melalui zahir apa yang mereka lakukan dan katakan. segala pembohongan mereka diberitahu oleh allah.
wallahu alam.

#saudari juga blh merujuk tafsir ayat dan surah diatas(utk mendpt tmbhn ilmu)drpda:
1. tafseer almunir,dr wahbah zuhaily.
2. tafseer ibnu katheer.

buku sirah:
1. sirah ibnu katheer
2. sirah ibnu hisyam.
3. arrahiq almakhtum,oleh syeik
sofiyurrahman almubarikafuri.

jika tidak silap saya, ada terjemahan buku-buku di atas dalam bahasa melayu dan inggeris.

qudwaH_Humaira' said...

Mu'izzudin the Bro:

subhanallah..syukran atas perkongsian.

ana nak tau perbahasan tentang sirah munafiqin dan pengajarannya yang kita boleh kaitkan dengan zaman sekarang..

ada cadangan buku ?

Mu'izzuddin Mohd Zuhali said...

maaflah kerana saya tidak tahu,kalau ade saya bgtau..

adapun buku - buku yg sy cadangkan di post yg terdahulu, ade menceritakaan tentang sifat2x munafiq.

mungkin sifat - sifat mereka dan segala perancangan mereka blh dicatat, seterusnya boleh diperhatikan sifat2x ini pada org zaman sekarang..begitu juga dgn perancangan2x mereka.

hal ini kerana perilaku mereka sama shj daripada dahulu hingga sekarang.walaupun berbeza watak, kejadian dan tempat..wallahu `alam.