Tuesday, October 27, 2009

BERFIKIR TENTANG BISNES



Alhamdulillah…

Saya agak terganggu beberapa hari ini dengan sms-sms yang berbentuk memujuk mengajak saya menyertai perniagaan. Malah tawaran yang besar diberikan kepada saya untuk usaha dalam bidang perniagaan ini.

Puas nak dipujuk hati untuk meminati bidang ini, namun setakat ini usaha masih tidak berjaya. Saya tahu, dikalangan rakan-rakan saya juga sudah menjadi usahawan muda. Teman paling rapat juga baru-baru ini meminta bantuan saya mendapatkan sumber untuk usahanya menggiatkan lagi perniagaan internetnya. Wah, sungguh bergaya kalian ya.

Doa-doakanlah agar Allah buka hati saya. Ngee~ (^_^). Kepada yang senior, mohon tunjuk ajar.

Saya sedang membuat pertimbangan minat.

  1. Halal
  2. Berkat
  3. Syurga
  4. Jihad
  5. Pendidikan
  6. Web
  7. Bahan bacaan
  8. Mengajar
  9. Sains
  10. Wanita
  11. Rumah tangga
  12. Generasi muda
  13. Anak-anak
  14. Islam

Baiklah..sekadar coretan..sambung belajar yok.

Sunday, October 25, 2009

MENGAPA PERLU TIPU KAMI AYAHANDA TNC ?

MESYUARAT SEMAKAN DRAF PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA UM

Petang kelmarin, Jumaat MPMUM telah dipanggil untuk satu mesyuarat bersama pihak pendaftar unversiti. Saya dimaklumkan oleh Puan Thanavani K. Krishnan, penasihat undang-undang universiti bahawa pihak Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) ingin mendapatkan pandangan pimpinan mahasiswa sebelum peraturan pemilihan ini diluluskan oleh pihak lembaga.


Pihak MPMUM telah mengadakan mesyuarat malam sebelumnya untuk menyiapkan laporan bertulis berkenaan pendirian diperingkat kami. Antara perkara yang dibangkitkan ialah:


1. Definisi "pelajar berdaftar" ialah semua pelajar yang mendaftar universiti termasuk pelajar ijazah, diploma dan ijazah tinggi (master dan PHD). Pihak MPMUM memohon penjelasan definisi ini kerana ianya diguna pakai dalam setiap perkara (). Adakah mungkin PRK sesi depan membolehkan pelajar PHD dan Master menjadi wakil calon, pencadang, atau terlibat secara aktif? Pihak Puan Thana menerima "teguran" kami dan akan mengadakan penelitian semula definisi pelajar berdaftar.


2. Pihak kami memohon perkara :calon supaya boleh bertanding secara individu atau mewakili mana-mana kumpulan pelajar. Menarik bukan ? realiti hari ini pihak MPMUM mengajak pentadbiran tertinggi universiti menilai semula, hakikat sebenar pemikiran mahasiswa dan memberi peluang secara terbuka. Namun saya yakin dan percaya pihak LPU akan memikirkan pro kontra cadangan kami.


3. Banyak perkara-perkara teknikal yang masih gagal diberi perhatian serius, malah dalam draf ini masih tertulis pelaksanaan pengundian secara manual atau e-undi. Pihak MPMUM meminta penjelasan berkenaan bantahan pengiraan semula undian mengikut sistem e-undi kerana sistem ini tidak boleh melakukan kira semula.


Mengapa saya sangat kecewa ? Mungkin segelintir daripada anda memandang isu ini sebagai isu kecil. Namun ketahuilah, jika begini keadaannya, masakan kita akan berubah.


Saya amat terkejut apabila mendengar jawapan daripada Puan Thana. Saya bertanyakan berkenaan keterlibatan pelajar dalam Jawatankuasa Audit Pemilihan seperti yang telah ditekankan oleh pihak TNC HEP dan PTM dalam mesyuarat bersama mereka. Saya masih menyimpan rakamannya bahawa wakil pelajar akan dipilih menjadi Jawatankuasa Audit ini berfungsi penting sebagai auditor sistem ketika hari pemilihan, dan boleh berada di tempat main server.


Mainan apa yang cuba diberikan kepada kami ? Puan Thana memaklumkan, mesyuarat diperingkat KPT memang telah memutuskan untuk tidak melibatkan pelajar dalam Jawatankuasa Audit Pemilihan. Malah mesyuarat itu diputuskan lebih awal daripada beberapa siri mesyuarat kami bersama pihak HEP dan PTM. Jadi, mengapa perlu bercakap soal keterlibatan pelajar walaupun sebenarnya tiada ?????? PALSU .Allahuakbar ! Mesyuarat diperingkat LPU untuk meluluskan peraturan ini adalah pada Disember. Kami tidak bodoh.

Akhirnya fahamlah saya....

Tuesday, October 20, 2009

PERJUANGAN YANG BAGAIMANAKAH YANG MENJADI PILIHANMU ?



Dalam kesibukan hari ini, saya memilih untuk menghadiri Seminar Keusahawanan, yang dianjurkan oleh pihak Pusat Usahawan Siswazah Malaysia (PUSMAL). Peluang bertemu dengan YB Mukhriz, Tan Sri Ali Hashim (CEO Johor Corporation) yang menyampaikan ceramah berkenaan Jihad Bisnes seterusnya Dato’ Seri Shahidan Kassim yang merasmikan seminar ini dengan panjang ucapannya hampir dua jam.

Inilah masanya untuk kita membuka minda dan memandang kearah masa depan kemanakah arah kehidupan sebenar ? Insya Allah, laluan yang dibina dalam hidup berjemaah akan sentiasa memandu jalan.


PERSOALAN


Kebangkitan Islam yang bagaimanakah yang kita mahukan ? Layakkah kita digelar pejuang sedang ilmu masih lompong dan mudah terhiris ? Apakah yang perlu kita lakukan untuk menjadi pejuang itu ?


WOMEN’S RIGHT


Entah mengapa saya menjadi terlalu serius apabila menyentuh persoalan ini. Saya menjadi marah pada diri sendiri kerana tidak mampu menyumbang untuk mengajak muslimat meneliti kebenaran Islam pada wanita.

Takdir Allah, kebetulan tergerak hati saya mengambil subjek berasaskan gender dan bermula daripada titik itu saya memahami bagaimana gerakan feminisme bermula. Sungguh, saya sangat takut apabila gagal dan mati dalam perjuangan membawa keluar pemikiran hak wanita yang dipengaruhi nafsu.

Kemarahan pada diri ini adalah berpunca daripada ilmu yang ada dalam dada. Semoga Allah permudahkan. Allah, permudahkanlah Ya Allah.


PERSOALAN POKOK ARAH PERJUANGAN


Apabila slot ceramah terbuka Ustaz Husein Yee ( Pengerusi Pertubuahn Al-Khadeem) membentangkan 7 hak wanita dalam Islam ketika FEMINA yang lalu, saya kira semua yang hadir mula sedar betapa sebenarnya kita tidak tahu akan hak itu. Seriusnya kebodohan itulah yang menyebabkan umat Islam rosak dan bercerai berai.

Masalah, apabila misi perjuangan ini hanya disambut oleh segelintir mahasiswa kerana segolongan yang lain tidak mahu ambil tahu tentang hak asasi diri. Oleh yang demikian, janganlah diharap usaha yang segajah besarnya akan dibalas dengan baik, bawaklah masuk SUHAKAM yang merupakan antara pihak berautoriti untuk bercakap soal hak asasi manusia ianya hanya sia-sia dan janganlah merasa marah DAN kecewa dengan maki, hina mereka.

Inilah dakwah. Saya sehingga kini masih terfikir-fikir mekanisme untuk mendekati mad’u dengan cara paling baik. Bagaimana ? Jika saya sebagai mukmin, saya sudah tentu mahukan pelaksanaan yang dalam keberkatan Allah, namun hakikatnya protokol-protokol mengikut Islam ini tidak sampai kepada hati-hati.

Sebagai contoh ranting, lagu yang dipasang tidak kiralah lagu apa hendaklah mengajak kearah keTuhanan dan mentauhidkan Allah. Dalam Islam, ini syaratnya. Namun, sakit apabila ianya terus akan dilabel sebagai program bersifat jumud dan tertutup.


SHAHIDAN KASSIM BERCAKAP SOAL KETERBUKAAN


Saya agak mengantuk tadi mendengar ucapan Dato’ Seri ini yang banyak menekankan soal networking dalam perhubungan seharian. Tiba-tiba apabila ditanyakan soal pandangan terhadap golongan jumud, Dato’ Seri memberi respon lawan jumud adalah terbuka.

Teringat pula saya apabila saudara Aizat Salleh ketika Konvensyen Islam di UIA yang lalu bercakap soal liberalisme syar’iah.

Akhirnya..saya mencari ayat Allah sebagai jawapan, saya temui


‘Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan

sekali kaii kamu memberi pertolongan di atas perkara kejahatan dosa yang

membawa kepada perseteruan, dan takut olehmu akan Allah. Sesungguhnya

Allah akan mengenakan seksaan yang amat dasyat.’

(Surah Al-Maidah: 2)


Keterbukaan dalam membantu sesiapa sahaja merentasi pemikiran dan ideologi.


Sabda Rasulullah s.a.w.

‘Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan tidak kepada

tubuh badan kamu, dan sesungguhnya Allah tetap melihat kepada hati kamu dan

segala amalan kamu yang berlandaskan keikhlasan hati.’


Sentiasa berdoa kepada Allah, agar jalan ini dalam pertunjukNya, jangan mudah putus asa mengajak mahasiswa kearah makruf dan mencegah mungkar.

P/S : Kepada seluruh saf kepimpinan da’ie di semua platform, tidak kiralah jika anda hanya mampu berperanan dalam bilik-bilik darjah, marilah kita menjadi pendakwah kerana kita adalah khalifah dimuka bumi Allah.

Monday, October 19, 2009

BERSAMA ; FEMINA09

Alhamdulillah..setinggi –tinggi kesyukuran kepada Allah yang telah meninggikan langit dan melandaikan bumi. Hanya padaNya setiap daripada hamba berserah dan memohon pertolongan.

FEMINA

Petang semalam merupakan antara detik penting dalam pengalaman kepimpinan saya di kampus. Malah, ianya adalah salah satu manifesto besar saya. Bagi saya, Festival Mahasiswi bukan sekadar projek, namun ianya adalah salah satu medan dakwah untuk mengajak mahasiswa sedar betapa perlunya hidup dalam berjemaah, saling tolong menolong dan mengambil tahu apa yang berlaku isi dunia.

Keberhasilan sesebuah projek bukan sahaja terletak kepada output dihujungnya namun saya lebih suka melihat sejauhmana seseorang AJK mampu memahami bidang tugasnya, malah dapat menghayati dan mengaplikasi setiap ilmu dalam berorganisasi untuk kegunaan sepanjang kehidupan.

Keberkatan dalam melaksanakan projek ini pastinya terletak peri pentingnya pada niat dan matlamat sesebuah usaha. Jika buat projek 30 projek sekalipun namun tiada keberkatan daripada Allah, lebih baik tidak payah buat projek.

IMPIAN

Allah lebih tahu segalanya. Semoga ini bukanlah ujian sehingga menyebabkan para pejuangnya tersungkur jatuh akhirnya. Oleh itu, saya melihat keberjayaan ini sebagai satu ujian Allah terhadap kepimpinan muslimat.

Biarlah bercita-cita besar, kerana saya beriman cita-cita besar ini akan membawa diri kearah berfikiran lebih jauh. Sungguh dahulunya saya berasa keseorangan dalam membawa MASISNA, namun, alhamdulillah saya kini boleh berasa lega kerana lebih ramai figura-figura mahasiswi yang tampil mendokong agenda kebajikan ini.

Allah sentiasa dihadapan, hanya Allah yang layak menerima pujian, sungguh ini adalah pemberian Allah.

DICABAR

Inilah masanya semua pimpinan wanita bersatu. Saya masih ingat kata-kata puan Jasmin Baba ketika forum ” What Women Need in Life”. Ilmu sangat penting bagi seorang wanita, barulah tidak akan silap memilih jalan, dan barulah tidak salah meletakkan hak wanita sehingga membuang agama.

KESERONOKAN

Keseronokan paling tidak ternilai dalam melaksanakan projek ini adalah rasa kebergantungan kepada Allah, saya yakin seluruh kepimpinan FEMINA daripada Majlis Tertinggi, sehingga krew pasti memahami intipati FEMINA yang sebenar. Tidak kira siapapun anda, Majlis Tertinggi, Penolong Pengarah, AJK ataupun krew, anda semua merupakan pimpinan FEMINA.

ISU WANITA

Terpanggil apabila ada pihak menuding jari mengatakan isu Kartika hanya propaganda politik, saya hanya mampu berdoa agar perancangan saya pada masa akan datang dalam petunjukNya.

Namun saya beriman, tudingan jari itu adalah kerana mereka nampak dengan jelas perjuangan ini. Jika tidak, mereka tidak akan tahupun untuk mengangkat jari.

TERIMA KASIH

Kepada seluruh pimpinan FEMINA, terima kasih saya ucapkan. Ini adalah usaha kita bersama, setiap titik peluh dan penat lelah hanya Allah yang mampu membalasnya. Tanpa anda semua, siapalah FEMINA. ngee~

Sunday, October 4, 2009

ZIARAH KARTIKA : CERITA ISTIMEWA


Pondok Barakah Ustaz Kazem, banyak tambahan bangunan baru

setibanya di Lang Buana
Kak Kartika

Bersama anak sulongnya

anak bongsu; Kailina

Kami memberi sokongan padu kepada Kak Kartika


Saya terus menghubungi Timbalan Presiden PMIUM, Kak Fasihah selepas Maryam(Pengerusi HELWA MPMUM) memaklumkan ustaz Kazem bersetuju untuk membawa kami bertemu dengan Kartika. Sudah lama kami mencari peluang ini dan ALLAH lah selayaknya menerima pujian.Alhamdulillah.

Terima kasih kepada adik Syazwan yang sanggup memandu daripada UM ke Sungai Besar( mengambil Maryam yang berehat selepas menerima jahitan kemalangan) dan terus ke Ipoh Perak.

Setibanya di Madrasah Ustaz Kazem kami sempat menziarahi pondok warga emas dan pondok tahfiz yang masih baru. Kami melawat rumah warga emas, dan menziarahi bilik-bilik sewa yang disewa khas untuk mereka mendalami ilmu agama disini. Malah, alhamdulillah, Ustaz Kazem mempelawa kami untuk menjadi fasilitator disini ketika musim cuti.

Kami tiba di Lang Buana, rumahnya keluarga Kartika, cantik ! ditepian sungai. Masih ingat filem Lang Buana lakonan Senario? Disitulah tempatnya.

BERSAMA KAK KARTIKA

Persoalan Kak Kartika minum arak dan dosa yang ditanggungnya biarlah antara dia dan ALLAH, apabila melihat Kak Kartika yang berbaju kurung biru dan bertudung hitam manis, saya mendoakan agar taubatnya diterima ALLAH.

DUGAAN MENCABAR

Selepas mendengar sendiri apa yang diluahkan, saya memandang wajahnya dan berkata ” Akak, jika saya ditempat akak, saya tidak tahu samada saya akan jadi sekuat akak ataupun tidak,”

Siapa tidak malu, Kak Kartika sendiri memaklumkan hukuman sebat yang diputuskan ke atas dirinya sudah tidak menimbulkan apa-apa kesan, kerana apabila ditangkap sahaja seluruh keluarga tercalit malu atas perbuatannya, itu sudah cukup membuatkan dirinya sedar dan insaf.

Apabila satu negara dihebohkan tentang isu ini, pendedahan berkenaan bagaimana pelaksanaan hukum sebat syariah mula tersebar diakhbar juga blog. Kagum saya padanya apabila dia berkata,” Mengapa akak meminta supaya sebat secara terbuka dilakukan ? kerana biar semua yang melihat hukuman tersebut, akan mendapat pengajaran, orang takut untuk minum arak. Sekarang umum dah tahu pelaksanaan sebat syariah, tapi kalau buat kat penjara, siapa yang akan tengok dan ambil pengajaran ?” Allahuakbar..

Saya bersyukur, tika Kak Kartika berhadapan dengan masalah ini, beliau terus merujuk kepada alim ulama’ dan bukan golongan beridealisme liberal, sekular atau politikus.

Rasa sangat bertuah kerana kak Ika mencerita kisah disebalik segala yang berlaku. Saya tidak mahu menceritakannya disini kerana bimbang ianya akan membahayakan Kak Ika, cukuplah jika saya katakan negara kita dipenuhi dengan pakar-pakar yang sebati hidupnya dengan rasuah. Rasuah menjadi makanan paling lazat sehingga pelaksanaan hukum ALLAH boleh dijadikan barang mainan.

Tidak terkejut apabila ayah Kak Kartika, Pakcik Sukarno memaklumkan pernah seorang individu dari Amerika yang menawarkan projek bernilai jutaan ringgit semata-mata mahu Kartika membuat permohonan rayuan.

Kak Kartika berkongsi tentang pengalaman beliau ditemui oleh sebuah NGO terkenal Malaysia yang hebat memperjuangkan tentang hak wanita(anda pasti tahu), bukan sokongan yang diberikan, namun beria-ia memberi tekanan meminta Kak Kartika membuat rayuan. Kata mereka selepas menerima hukuman kad pengenalan Kak Kartika akan ditukar, hak kewarganegaraan boleh dilucutkan, persekolahan anak-anak yang tidak terjamin, masa depan gelap selepas disebat dan macam-macm lagi. Hebat mereka. Saya pun mencurigai apa agenda sebenar badan ini.

Air mata ibu kepada dua anak ini mula mengalir apabila isu yang menyatakan beliau adalah ibu tunggal keluar didada akhbar. Sungguh kesannya bukan sahaja kepada dirinya, namun juga suami dan mertuanya. Apabila anak sulong Kak Kartika berjalan dalam keadaan bogel menangis mencari mamanya, baru saya tahu betapa tidak boleh berenggangnya anak istimewa ini dengan ibunya. Ya, anak sulong Kak Kartika adalah kanak-kanak istimewa yang mendapat perkhidmatan pembelajaran spastik.

PENDIRIAN

Allahlah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Hikmah terbesar pada seorang wanita bernama Kartika apabila Hukum Islam mula tersebar dan diperkatakan. Barulah masyarakat tahu betapa arak bukan sahaja merosak diri, namun juga pembunuh masyarakat.

Pihak kami menyatakan sokongan kepada pendirian Kartika dan meyakini Ustaz Kazem akan sentiasa membantu Kak Ika. Ustaz Kazem memaklumkan Kak Ika akan diambil untuk berkhidmat dengan Pondok Al-Barakah sebagai pegawai di sana.

Pihak saya sendiri mempelawa Kak Kartika untuk memberi talk di Universiti Malaya. Semoga usaha ini membuahkan hasil demi dakwah Islam dan penjelasan sebenar hukum Allah.

Penubuhan “SAHABAT KARTIKA” untuk memberi sokongan penuh kepada Kak Kartika telah kami sampaikan kepadanya, dan beliau menyambut niat dengan penuh gembira.

Insya ALLAH.. Saya mengharapkan rakan-rakan siswa sedar betapa isu ini bukan sekadar isu arak dan sebat. Sungguh besar hikmahnya kepada kita, dan rugi besarlah bagi mereka yang tidak mengambil peluang ini untuk “mencegah mungkar dan mengajak kepada makruf.”

Allah..sungguh aku belajar Ya Allah, Kau uji hambaMU dengan meletakkan penilaian terbaik kepada kesabaran. Allah, bantulah kami supaya menjadi kader-kader dakwah dalam menyampaikan yang hak dan mencegah kebatilan. Berikanlah hidayah kepada hambaMU yang mencari jalan sebenar kehidupan. Ameen..