Thursday, October 13, 2011

KASIH NENEK


Hati saya penuh..
Sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk digambarkan perasaan ini..

Saya hanya dapat simpulkan dengan menyatakan hati saya penuh..Nikmat yang Allah kurniakan apabila bertahun lamanya tidak merasai sentuhan seorang nenek, kali ini rasanya berlainan.Hebat Allah..

Ini kali kedua saya bertemu dengannya . Susuk tubuhnya nampak masih bertenaga walaupun sudah lanjut usia. Lengkap menutup auratnya, subhanallah.

Kami bertemu di lapangan terbang  Senai, ini kali yang kedua. Menghantar rombongan haji anaknya ke rumah Allah, Mekah. Saya mengambil keputusan untuk cuti supaya dapat turut serta.  Kali pertama bertemu, nenek datang ke rumah saya bersama anak dan cucu-cucunya. 

Tika saya kucup tangannya, saya benar-benar teringat tangan arwah nenek dahulu, begini lah kedutnya..Pipi nenek sejuk, putih bersih..Melihat nenek terbit rasa kasih dalam hati. Tangan nenek yang membesarkan 10 orang anak. Allahuakbar.

Apabila saya menceritakan tentang arwah nenek saya yang meninggal di Mekah, usai menyempurnakan ibadah haji, nenek kata:

“Beruntung sangat nenek Ayuni dapat meninggal di sana. Ada orang hajat ke Mekah dalam keadaan sakit untuk meninggal di sana,tapi kalau Allah dah takdirkan mati kita bukan di tanah suci, pergi 3,4 kali pun tiada 
guna.” Tersenyum saya mendengar bait kata nenek.

Selesai menghantar makcik dan pakcik ke balai perlepasan, saya menemani nenek untuk pulang bersama kerumah saudara berhampiran.

Sambil berjalan melalui lorong laluan Jemaah haji. Kami melalui kelompok keluarga yang sedang berkumpul di tepi laluan. Agaknya nenek ternampak gelagat keluarga itu.

“Nak jaga anak kena banyak sabar. Sampai marah anak depan-depan orang ramai tu tak sabar. Kita kena sabar nak didik anak-anak.”Benar kata nenek. Hakikatnya kesabaran dalam mendidik itulah yang perlu ada dalam jiwa setiap ibu bapa. 

Tidak jemu rasanya mendengar cerita nenek yang sarat dengan pengalaman.

Entahlah ya. Sebenarnya, kata-kata nenek yang terakam dalam fikiran saya, boleh jadi biasa pada pandangan insan lain. Namun, saya simpan jua dalam qudwahhumaira supaya ianya menjadi ingatan kekal dan memori terindah buat saya.

Sungguh, tiada apa milik kita. Semuanya milik Allah jua. Allah berhak memberi dan mengambil setiap pemberianNya. Dan sesungguhnya, ianya amat mudah bagi Allah swt.

Saya bermuhasabah, jika saya merasai kasihnya seorang nenek yang sungguh sekian lama tidak saya nikmati. Saya perlu merasai kasihnya Allah terhadap hambaNya kerana dengan kasih sayang Allahlah, kita berkasih sayang.

Hakikatnya, baru bertemu nenek semalam, dan hari ini saya terasa rindu padanya. Sungguh, mencampakkan rasa kasih dan sayang dikalangan hambaNya itu amat mudah bagiNya.

Segala puja dan puji hanya bagi Allah. Terima kasih ya Allah.

Saya sangat gembira ! Kerana tidak lama lagi akan mendapat seorang nenek^_^.amin.

Sunday, October 9, 2011

ALLAH SURUH KITA BUAT!


Semua antara kita dilahirkan di dunia dengan fitrah menyukai kebaikan, sebab itu anak kecil akan diam apabila mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran.


Allah mencipta kita. Kita ini Allah yang cipta.


Apabila Allah mencipta kita, Allah sediakan manual untuk kita. Ini kerana Allah Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Manual ini amat penting buat kita.


Cuba lihat mesin fotostat, kereta, mesin-mesin yang ada pasti dibekalkan sekali dengan manual. Ada peraturan dan cara-cara pengendalian. Jika kita tidak merujuk pada manual yang disediakan, pasti sukar untuk kendalikan mesin ini, boleh jadi pakai tak sampai seminggu dah rosak. Akhirnya tersadai di stor bangunan.


Analogi ini sama jika nak dibandingkan dengan kita. Apabila Allah mencipta manusia, Allah sediakan sekali dengan manual(cara hidup), jika kita tetap pada manual ini insya Allah hidup kita tidak akan sia-sia.


Apakah manual kita sebagai manusia ?


Buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang.


Allah kata wajib solat, kita buat :


Firman Alah s.w.t yang bermaksud :

... maka dirikanlan solat. Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang mukmin. (an-Nisa ... 103)


Dan akhirnya bila dah jadi sebati dengan diri kita, kita akan dapati Allah mengkehendaki kebaikan buat diri kita kerana solat ini ibarat peta. Jika kita punya peta, perjalanan ke satu-satu destinasi lebih mudah. Kita nampak jalan mana yang terbaik untuk dilalui. Bayangkan nak berjalan ke suatu tempat tanpa peta, kita akan sesat entah kemana-mana.


“Tapi, cikgu, kenapa susah sangat nak buat apa yang Allah suruh?”


Jawapannya adalah kerana kita tidak percaya yang kita ni dicipta oleh Allah, kita tidak mahu tahu setiap nikmat pancaindera yang kita punya ini adalah ihsan dari Allah, kita tidak rasa kita punya Tuhan!


Sebab, logiknya, andai kita tahu kita dicipta oleh Allah, kita dikurniakan segala nikmat mata untuk melihat, pernafasan dan degupan jantung ini, kita rasai setiap bicara makhluk ciptaan daripada pokok yang tumbuh segar, air yang melalui kelikir batu, awan yang tergantung dilangit. Tak kan langsung tidak terlintas semua ini pasti ada Kuasa yang Hebat mencipta nya?


Bukankan manusia itu lahir dengan fitrah ?


Kita manusia, manusia akhir zaman. Kita hidup dalam keadaan begini. Terimalah. Redhalah akan massa yang perlu kita lalui. Bumi semakin tua. Ummat semakin lupa.


Hanya menyentuh soal solat, belum lagi kewajipan yang sangat mudah diminta oleh Allah.


Allah tak minta kita buat upacara ritual penyucian seperti cucuk pisau di mulut, cucuk gergaji di muka .Tidak bukan ?


“Ala, cikgu , saya tak sahur pagi tadi, saya ada gastrik, saya tak puasalah cikgu. Nanti saya ganti.”


Allahuakbar..Kadang bila bertemu dengan pelajar begini, jika ikut tak sabarnya hati, mahu je ditangan mulut yang sangat biadab. Mereka bercakap seperti tidak BERTUHAN! Tapi hati sangat kasihan melihat mereka. Alangkah indahnya hidup mereka jika mereka Tahu.


“Hai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah2an kamu bertakwa” (Al -Baqarah:183)


Mereka mula mempersoalkan kenapa perlu puasa, kalau puasa nanti sakit perut, puasa ni menyusahkan manusia.


Ini kerana mereka tidak dapat melihat dan faham bahawa ianya bukan soal kenapa, apa, dan bagaimana. Ianya hanya ada satu jalan iaitu BUAT ! kerana Allah suruh. Allah cipta kita. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.


Sebab itu, akhirnya saya dapati apa yang utama perlu diterapkan dalam jiwa anak-anak sedari mereka kecil ialah Tauhid kepada Allah.


Dan apabila ianya gagal diterapkan sedari kecil, diharap pula guru-guru untuk membetulkan anak-anak mereka yang rosak akibat tangan mereka sendiri. Na’uzubillah !

Thursday, October 6, 2011

TIDAK GAGAH UNTUK MELANGKAH


“Cikgu, ada sesuatu yang ingin saya ceritakan pada cikgu. Cikgu, bantulah saya”


“Cikgu, bagaimana nak bertaubat kalau dah lakukan dosa?”


“Saya takut mati dalam keadaan hina, Allah marah saya dan hukum saya”


“Cikgu, Allah Maha Pengampun dan Menerima Taubat kan. Kalau saya buat dosa, Allah akan ampuni dosa-dosa saya. Jika begitu, tak mengapalah saya buat dosa, Allah pasti akan ampunkan saya.”


“Mak saya suruh saya berkawan dengan lelaki tu. Mak saya suka, kalau sehari tak pegang handphone nanti mak saya tanya. Dia yang ambil dan hantar saya ke sekolah. Dia dah kerja, saya takut cikgu nak pergi sekolah kena lalu kawasan semak, saya dah bergantung dengan dia.”


“Cikgu, saya dah terlanjur dengan dia. Buat yang ringan-ringan tapi tak sampai berzina lagi cikgu. Mula-mula dia paksa saya, lama-lama setiap kali jumpa pasti kami akan buat benda tu. Saya pun jadi seronok.”


“Tapi saya menyesal cikgu. Jiwa saya tak tenang nak dekat peperiksaan ni, saya takut Allah tak berkat saya belajar.”


“Dulu saya solat, sekarang dah tak solat sebab rasa was-was, Allah pasti tak terima solat saya, jadi saya tak solat.”


“Cikgu, saya tengok kawan-kawan saya pun ada yang dan buat banyak kali dengan pakwe dia, tapi relaks je. Cikgu, ada je yang berzina, tapi lepas tu berumah tangga macam biasa.”


“Cikgu, saya tak boleh tinggalkan dia, nanti dia marah saya, saya dah bergantung dengan dia.”


Allah…..

Tidak dapat tidur lena

Saya berasa sangat lemah !

Saya tidak gagah !

Wednesday, October 5, 2011

JIKA TAK MAMPU BUAT SEMUA, JANGAN TINGGAL SEMUA



Saya di brainwash semalam, saya tahu saya perlu terima hakikat itu dan saya redha. Rasanya nikmat!


Adakah anda pernah rasa buntu ? Dalam anda nak merancang sesuatu tiba-tiba idea tidak mahu keluar, dipaksa-paksa juga tidak mahu, kertas kosong yang pada mulanya hendak anda rangka sesuatu dengan tiba-tiba tidak bersentuhan dengan pena. huh..berat ni..(~_~')


“ Bagaimana bisa, logiknya dimana?” keras masuk ke dalam telinga saya..saya cuba angguk-angguk, saya kira secara psikologinya ianya membantu untuk menampakkan saya faham..(^_^)


“Wanita ni kreatif, dan sangat teliti dalam merencana, tak logik sungguh..” Allahuakbar..ibarat menerima panahan petir di corong telinga..


“Lihat ya, kalau merancang hal-hal perkahwinan, orang perempuan ni boleh fikir sangat detail, nak tema warna apa, siapa yang uruskan bahagian memasak, siapa yang jadi tukang mekap, siapa yang uruskan majlis. Pendek kata TIP TOP. Number one!” adeh…astaghfirullahal’azim..astaghfirullahal’azim..cuba menggagahkan diri lagi..


“Ana tahu, ada dikalangan antunna semua dulu aktif di kampus, buat program itu, buat program ini untuk menyampaikan dakwah Islam.”


“Kalau ada yang cikgu, dia merancang pengajaran dengan bahan untuk disampaikan kepada pelajar, bukan main kreatif. Nyanyi sana, tengok video, buat eksperimen.”( =.=’) saya semakin tidak keruan..


“Macamna boleh kata dalam merencana program masyarakat untuk menyampaikan tentang Esanya Allah tiba-tiba jadi kayu ?” saya rebah sudah! Tak mampu mengangkat muka lagi.


“Ada yang menyatakan masalah suami tidak mengizinkan mereka keluar untuk bergerak kerja. Ana pulangkan kepada kebijaksanaan dan kekreatifan antunna sebagai muslimat. Kalau kita pandai pujuk rayu suami untuk materi yang kita mahu, tak kan yang satu ini tak boleh ?” berdesing telinga saya..pedih.


Benar katanya..sebenarnya saya tidak punya apa-apa alasan lagi. Saya mengaku kalah dan salah.


“Ana tahu semua ada komitmen, jika kita lihat pada masa yang sempit, terlalu banyak perkara asas yang tidak ada dan belum terlaksana, dengan keadaan masyarakat yang sakit, kita akhirnya akan sampai kepada kesimpulan, kita tidak dapat buat apa-apa. “


“Kita bekerja dalam lapangan masing-masing, cuma ada malam dan hujung minggu untuk berkumpul dan membincangkan masalah ummah” sambil melihat kearah kami dan jam yang sudah senja, lampu bilik mesyuarat kala itu, mula berkedip malap(seperti memahami kepenatan isi bilik)


"Tapi sahabat-sahabat, jika kita tidak mampu buat semua, kita jangan tinggal semua" ia seperti tenaga yang meresap masuk ke dalam raga..subhanallah..subhanallah


Biar sempit masa, biar banyak benda kita tidak ada, biar kurang tenaga yang kita ada, yang penting kita laksanakan amanah dan tanggungjawab ini semampunya dengan bersungguh-sungguh. Kita milik Allah, kita buat apa yang Allah suka. Kalau bukan kita buat kerja Islam siapa lagi ?


Malam yang kami tinggalkan dengan hati yang berbekas..


A journey of a thousand miles begins with a single step. (Ada pula bertampal di dinding bilik mesyuarat..hoho..yosh!)

Monday, October 3, 2011

100 KALI GANDA WARNA-WARNA DUNIA


“Kenapa langit biru pada siang hari?” cuba menduga mereka.. Mereka lama diam mencari jawapan atau sahaja sebenarnya takut bersuara kerana tidak yakin dengan jawapan.


“Sebab dia warna biru lah cikgu !” jawab seorang pelajar memecah kesunyian..terburai ketawa rakan-rakan yang lain.


“langit warna biru sebab dia pantulkan warna air laut kan cikgu? “ seorang lagi cuba meneka. Dan saya rasakan tekaan itu adalah apa yang telah dia terima sekian lama.


“Kenapa langit merah oren-oren gitu pada waktu senja?” Tanya saya lagi cuba menambahkan kekusutan mereka..


Adakah anda juga tahu mengapa kita dapat menghayati biru dan merahnya langit ?


Pernah saya memberhentikan kereta di tepi sebuah taman, usai pulang dari satu program..semata-mata untuk merenung langit. Berhenti dan menilai setiap persoalan disebalik soalan anak didik..


“Cikgu, kenapa cikgu cakap langit biru, tapi saya nampak ianya warna putih?”


“Cikgu, kenapa kita tak dapat lihat apa yang ada disebalik langit?”


“Cikgu, kenapa kalau hujan, langit gelap warna hitam ?”


“Cikgu, kenapa langit warna biru dan bukan warna lain ?”


Bagaimana untuk mengajak mereka kepada persoalan utama kehidupan..Kadang inilah yang cukup memberatkan saya. Dengan keterbatasan ilmu, saya juga perlu mencari jalan bagaimana untuk mengarahkan setiap persoalan mereka kepada jawapan yang sepatutnya..


Ia sama seperti persoalan kehidupan.. apabila insan lain melihat kehidupan daripada kaca mata mereka, sejelas mana mereka dengan apa yang mereka mahu dan tahu, sejelas itu jugalah mereka akan melalui detik dan usia mereka.


Adakah cukup dengan jawapan bahawa putih yang dilihat bukan langit tetapi awan, atau keterbatasan mata kita tidak dapat melihat objek jauh adalah asbab kita tidak dapat melihat disebalik langit, atau yang gelap itu adalah awan hitam yang dipenuhi air dan cas berat, atau cukup sekadar menerangkan prinsip penyelerakan cahaya (light scaterring) keatas kesan fenomena matahari terbit dan terbenam ? bagi saya ianya tidak mencukupi..


“Bayangkan jika kita hanya ada 1 warna sahaja. Sofa putih, muka putih, kasut putih, pokok putih, kereta putih.. apa perasaan kamu?” saya menduga..


“Ish, bosanlah cikgu..”


“Jadinya, ada 7 warna cahaya(pelangi) dalam warna cahaya putih ni membahagiakan lah ya ?”


“Mestilah cikgu, cantik!” yakin bebenar mereka menjawab.


“Andai cikgu cakap nanti di syurga ada warna-warna cahaya yang 100 kali ganda lebih cantik dan yang kamu tak pernah bayangkan ada di dunia bagaimana?”


“Errr….macamne tu cikgu?” salah seorang dari mereka yang amat tekun mendengar bertanya kepada saya.


Saya ulang buat kali kedua soalan yang saya lontarkan sebentar tadi, kali ini dengan lebih bersungguh-sungguh..


“Saya nak cikgu, nak tengok warna-warna tu..wah..pasti sangat best kan !”


“Best yang tak boleh nak dibayangkan dengan akal fikiran” tambah saya lagi..


“Tapi……………….” Saya tersenyum. Cuba memberi senyuman bermakna kali ini..


“Nak tengok warna-warna 100 kali ganda lebih cantik yang best tak boleh nak dibayang dengan akal fikiran ni kena masuk syurga dulu” senyuman saya lebih lebar kali ini..


“Saya cikgu, saya nak masuk syurga!”


Segala puji hanya bagi Allah. Yang mengilhamkan kebaikan kepada hambaNya..


::Maafkan saya atas blog yang telah lama tidak dikemaskini. Saya doakan semuanya sentiasa dalam redha Allah ::


Wednesday, March 16, 2011

MERANGSANG DENGAN PUJIAN


Belajar mengenali manusia adalah satu nikmat indah yang Allah berikan apabila berada dalam dunia pendidikan. Maaflah, saya tidak dapat berhenti lagi menikmati dunia mendidik ini sehingga turutan post saya masih berada dalam kisaran yang sama..


Alhamdulillah. Hebat Allah dalam mengatur hambaNya, sehingga saya merasakan betapa indahnya kasih sayang Allah !


Saya selalu berpesan pada diri saya harus mengubah diri dan tidak goyah dek kata yang tidak membina. Begini, saya memasang tekad dalam diri untuk mula merangsang pelajar-pelajar saya dalam momentum awal sebagai guru.


Telahan awal yang biasanya akan diperoleh “ biasalah, guru baru, berkobar-kobar, persediaan mengajar nya hebat. Nanti bila dah mula sibuk, tidak lagi begitu” kata-kata ini saya tolak tepi bulat-bulat tidak mahu menoleh.


Setuju dengan saya apabila saya katakan momentum awal inilah yang akan menentukan langkah seterusnya dalam mendidik anak muda itu.
Oleh itu, saya tidak mahu mereka atau saya yang menentukan nasib saya selain Allah!


Kemudian datang satu lagi telahan “ Budak-budak sekolah ni, tak boleh nak dididik lagi, kurang ajar nya melampau, akak ajar dan balik rumah, dia nak belajar atau tidak, akak malas campur.” Saya senyum lagi dalam hati.


Ianya sukar ya menjadi orang baru. Saya tidak mahu terburu-buru dalam karier indah ini, lalu saya mengambil keputusan untuk kurangkan bercakap dan banyakkan bertindak. Dengan langkah yang mungkin kecil namun berkat doa dan keyakinan pada Allah akan berikan kesan mendalam.


Saya usahakan ini. Pernah saya rungkai latar belakang majoriti anak muda ini, mereka adalah anak pendatang, jika anak tempatan kebanyakan mereka dari keluarga tidak mampu, pulang sahaja dari sekolah, mereka mula menyalin pakaian untuk bekerja demi menampung wang belanja rumah. Jika tidak pun, mereka mungkin adalah anak-anak muda yang kurang mendapat perhatian daripada ibu dan ayah, didikan agama sebaiknya.


Melihat keadaan ini, saya mengambil langkah untuk merangsang jiwa mereka dengan memberi pujian di akhir tandatangan setiap nota dan latihan yang mereka siapkan, kata-kata rangsangan setiapkali Allah kurniakan peluang bersama mereka(ditambah dengan beberapa sesi pencerahan dari guru-guru hebat sekolah tersebut)


“ Dear XXXX,

I love to see your writing. You know what, I belief that you are smart, and just need more passion. Then, you will be surprised how awesome you are! ^__^”

“ Dear YYYY,

Cikgu suka melihat garisan menggunakan pen yang berlainan warna dalam nota kamu. Sungguh lurus! Cikgu percaya kamu telah bersungguh-sungguh menyiapkannya walaupun kamu sibuk membantu ibu kamu bekerja. Kamu pasti boleh berjaya jika kekalkan sikap ini. Jangan putus asa!^__^”

“Dear UUU,

I’m sad because you didn’t focus in my class today, are you ok dear? I love to see you giving responses when I asked about hormone, do you still remember? Please keep that attitude. Aja aja ! ^__^”


Segala puji bagi Allah,

Walaupun mungkin tidak semua daripada 100 pelajar yang saya ajar merasai kesan kekuatan pujian ini, namun saya yakin pada Allah yang Menggenggam hati-hati ada antara mereka yang mula memahami isi pujian ini.


Sehingga minggu sebelum cuti sekolah bermula, usai Ujian Penilaian pertama sekolah, saya masuk mengawasi kelas saya sendiri untuk subjek Matematik Tambahan, saya terlihat seorang pelajar cina matanya merah ketika saya mengutip kertas ujian mereka.


“ Teacher, saya minta maaf, saya tidak dapat jawab soalan tadi. Saya janji saya akan belajar lagi selepas ini”

Allah. Dia menangis sebab tak dapat jawab ka?


Dan saya mula mendapat feedback yang baik pelajar dari kelas-kelas akhir (semua gagal subjek Sains untuk Penilaian 1) bahawa ada yang mula ingin belajar dengan bersungguh-sungguh.

Hebat Allah!

Ada yang mula mahu melangkah, dan ada yang masih lena.


Saya kongsikan langkah kecil ini dengan harapan ia menjadi kekuatan dalam diri sebagai pendidik walaupun mungkin saya sendiri kadang masih gagal memberi kekuatan itu dalam diri saya sendiri. Saya mahu mampu!


Dan ini satu daripada langkah kecil. Masih banyak lagi yang perlu saya teroka. Insya Allah. Yakin dengan Allah!

Wednesday, March 2, 2011

ALLAH SINARKAN HATI MEREKA DENGAN CAHAYAMU


Segala puja dan puji bagi Allah..saya sukakan perasaan ini, perasaan yang indah inilah yang membuatkan saya tidak merasa penat.


Apabila saya renung seorang demi seorang anak muda di hadapan saya, timbul rasa kasihan yang amat dalam.


Mereka kebanyakannya anak pendatang dari seberang, lahir di Malaysia. Tinggal dikawasan setinggan kampung Melayu gelap yang menjadi pusat segala gejala hitam daerah ini. Sehingga ada yang pernah meluah yang mereka hanya keluar rumah untuk membeli barang, barangkali takut untuk keluar mengenangkan terlalu mudahnya kehitaman dadah, rokok dan arak untuk mereka serap.


Convin Choong, adalah seorang pelajar Cina dalam kelas akhir saya, 3 kelas tingkatan 4 dan ini adalah kelas hujung yang mempunyai seribu satu masalah. Ibu dan ayahnya telah berpisah tinggal bersama neneknya, kaya, namun terlibat dengan pelbagai masalah disiplin, saya lebih dahulu mengenali dia daripada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Kali pertama saya masuk ke kelas mereka, dia tidur bersama rakan-rakan cina yang lain. Sekali lihat, seperti lelaki.


Dalam hati saya terdetik hanya satu. “ Aku harus bantu dia”. Mereka kurang kasih sayang dan perhatian. Saya juga pada mulanya risau sekiranya pendekatan yang digunakan tidak berkesan. Salah memberi pengaruh, kesannya mungkin berpanjangan. Sekali mereka lihat guru dan sikapnya boleh “dimakan” alamatnya sampai kesudah hanya menjadi bahan “makanan”.


Kelas kedua, dia hadir. Saya lega, kerana kata salah seorang guru, pelajar nakal andai kali pertama lihat guru “lembik” mereka tidak teragak-agak untuk ponteng. Saya mengajak mereka masuk ke bilik tayang. Usaha yang agak keras kerana makmal semuanya telah penuh, gara-gara sesetengah kelas menjadikan makmal kelas persendirian akibat kerusi meja yang tidak cukup! (Apakah ? sungguh tidak dapat diterima. Sabar. Sabar.)


Saya lihat mata dan hidungnya merah, saya mula memberi isyarat kepada rakannya, kemudian mengeluarkan gula-gula yang dan pergi kepadanya dan terus menghulurkan gula-gula tadi. Dia memandang kehairanan. Saya mula mengusap bahunya.


Untuk kelas yang hujung begini, saya tidak memberikan mereka banyak kerja sekolah, kerana mereka sendiri tidak membawa buku. *__*. Jadi saya berusaha lebih banyak untuk memberikan contoh disertakan tayangan video dengan harapan mereka sekurang-kurangnya terbuka hati untuk belajar sains.


Allahuakbar, akhir kelas saya edarkan tanah liat dan memberi arahan mereka membuat fasa-fasa mitosis dan tunjukkan pergerakan pembahagian sel. Nah, segala puji bagi Allah yang memudahkan, Convin choong menjawab soalan di slide power point dengan tepat. Saya tahu dia seorang anak yang pintar!


Saya berterus terang dengan mereka, saya sangat gembira hari itu kerana “dia” telah berjaya menjawab soalan dengan tepat. Betapa puasnya hati dan dinginnya rasa melihat sikap positif yang berkembang bagi seorang anak. Saya yakin, kelas berikutnya mereka akan lupa apa yang telah saya ajarkan. Namun saya juga yakin, mereka telah mula sukakan saya. Wink.wink.^__^.


Allahu Rabbi, bantulah aku ya Allah..

Agar sinar hidayahMu memancar dalam hati anak-anakku..

Kasihanilah mereka Ya Allah

Mereka bahkan tidak tahu betapa indahnya pergantungan padaMu…

Sekiranya mereka tahu, mereka pasti sentiasa rindu dan cinta padaMu..

Wednesday, February 23, 2011

APA YANG KITA CARI ?



Saya merenung ukhti Aiman Athirah Al-Jundi dalam satu program motivasi, hingga usai pembentangan beliau, saya bertemu dan mula memperkenalkan diri.


“ ukhti, ana ayuni..boleh ana peluk ukhti?” dia hanya tersenyum.


Entah mengapa itu yang ingin saya lakukan, saya kagum melihat jalan-jalan yang telah dipilih, beliau memilih jalan yang panjang dan sukar. Saya berniat awal pagi itu sebelum keluar dari rumah. Keteguhan fikrah atas dasar faham. Walaupun saya telah mengambil iktibar selama berada di medan kampus, untuk bergerak bukan atas semangat namun sedar dan faham, piala hati perlu sentiasa penuh dengan nasihat dan teguran Allah.


“ Kita bukan bekerja untuk sesiapa, kita bekerja untuk Allah. Rasulullah saw telah tiada. Dia telah meninggalkan kita semua. Baginda menunggu kita di mahsyar untuk memberi syafaat kepada umatnya. Kita perlu sambung tugas Rasulullah saw. Mahu diharapkan siapa lagi jika bukan kita?”


Perkataan Rasulullah saw sedang menunggu kita kuat mengesan dihati saya..Allahuakbar. Atas dasar faham inilah, setiap sisi bidang yang ada tidak pernah satupun sepatutnya tertinggal untuk tujuan yang sama. Kita yang memberi nilaiannya. Ya, kita yang memaknakannya.


Jika kita seorang doktor ataupun pencuci tandas awam, kita memaknakan nilai kerja itu samada untuk Allah atau tidak. Sepatutnya tiada yang bersisa untuk manusia.


Bagaimana kehidupan seorang pendakwah sepenuh masa. Mereka tidak punya wang tetap, mereka yakin dengan rezeki Allah. “Inilah kekuatan yang tidak dipunyai oleh seorang penjawat awam, kita masih terikat dengan manusia, tapi mereka benar-benar merasai pergantungan dengan Allah” kata seorang kakak yang saya kenali dalam mesyuarat Nisa’ baru-baru ini.


Saya mahu teguh meletakkan kejernihan dalam hati, kemuliaan menjadi seorang pendidik adalah kerana ilmu Allah yang disampaikan, kebenaran yang terselit dalam menyinari hati anak-anak. Sungguh kerja saya sangat dekat dengan Tuhan. Allah. Allah. Allah.


Saya bekerja adalah untuk Allah, saya berjalan dengan pergantungan dan pengharapan Allah.


Rasulullah saw bersabda:

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang itu, apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kepada (kerana) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim]


Saya termenung melihat muslimah yang mengabdikan sepenuh masa untuk dakwah, bergajikan rezeki Allah..

Saya juga mahu begitu..

Mempunyai kebebasan hati yang hakiki..

Ana daie ilallah..ana daie ilallah..

Tuesday, February 15, 2011

TUNAIKAN HAK ALLAH PULA


Akhir post saya adalah pada bulan lepas. Huh! Ini sungguh penyakit malas datang hinggap ke badan. Alhamdulillah..ketika menulis post kali ini, saya telah selamat melapor diri di SMK Taman Molek, Johor Bahru. Entah mengapa dalam banyak-banyak “tika” doa-doa mustajab, saya cenderung untuk menjadikan musafir sebagai laluan muhasabah dan doa yang panjang. Mungkin kerana, apabila kereta dipandu, atau duduk di dalam bas, mata banyak merenung hakikat ciptaan dan sayu hinggap lebih lama.


Psikologi seorang wanita, yang saya sendiri alami, antara yang ketara ialah, apabila emosi kurang enak menjelma, amatlah sukar untuk memberi tafsiran “punca sebenar” gelojak hadir. Apabila saya tahu hakikat ini, dan melihat potensi perkembangan emosi diri sendiri, saya akan mula mengambil masa untuk muhasabah dan “counter back” ke posisi asal dengan harapan saya akan jadi lebih baik. Dan semestinya insan yang rapat dengan saya akan jadi mangsa atau “pesalah” awal, sehingga saya akhirnya meminta maaf.


Ia sungguh berkembang!


Kerana, selepas melalui fasa tersebut, saya mula menyebarkan “tarbiyah” yang saya terima. Alhamdulillah! Ia membuatkan saya teguh dengan teguran Allah kepada saya. Insya Allah..ameen.


Saya mengemas seperti biasa, menyelesaikan semua urusan posting seperti yang lain. Namun kejanggalan yang saya alami, apabila saya tidak akan dapat lagi melalui hari-hari biasa di rumah. Saya sangka saya tabah.*__*


Nah, bagaimana menerima transisi sukar apabila sudah “selesa” dalam halaman seorang “ibu”. Saya mula membayangkan hidup saya tanpa anak-anak..kerana, selepas konvokesyen bulan Ogos tahun lepas, sehinggalah hari saya bergerak ke Johor, saya ditarbiyah untuk menjaga anak-anak kecil. Hari-hari saya diisi dengan keindahan bau-bauan bayi, pagi saya dimulakan dengan memeluk mereka, menukar pampers dan memandikan anak, memberi makan dan menyusukan mereka, menjaga kakak yang pantang, sehingga saya sanggup ke seorang ke KL dari kampung hanya kerana rindukan mereka!


Sehingga akhir saya berpisah dengan Haikal(3 tahun), hasif(5bulan) dan Saif Ariz(3bulan) saya masih tidak dapat menahan sebak. Tak sanggup!


Dengan ibu apatah lagi..


Saya mengambil masa..berfikir dan merenung kembali isi doa-doa saya..Astaghfirullahal’azim..Allah tidak pernah melupakan kita, malah jauh rahmatNya terhadap kita yang penuh dosa tidak pernah putus..


Saya berteleku lagi usai solat..jawapan demi jawapan akhirnya saya terima..


“Ampunkan dosa-dosaku Ya Allah..rupa-rupanya aku tidak redha..tidak redha dengan ujianMu” tersentap jiwa, jantung mula laju..


Padahal Allah tidak pernah menghampakan saya selama hidup..Allah sentiasa memakbulkan doa-doa hanya saya yang tidak redha dengan takdir Allah, padahal Allah telah mentakdirkan yang terbaik buat saya.


Saya lupa doa yang saya sering ungkapkan kepada Allah telah Allah buka hikmahnya dengan penuh kebaikan.


Seperti sabda Rasulullah s.a.w, hadis riwayat Bukhari maka sudah pastinya sahih iaitu: Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya.”


Dalam perjalanan hidup seorang hamba menujuNya, pasti ujian dariNya adalah suatu yang lumrah dan kadang – kadang dalam perjalanan kita bermujahadah untuk memahami makna CintaNYA, kita diuji dengan istilah cinta, yang mana kadang – kadang dibaluti nafsu dunia, yang juga terkadang sesetengahnya makin menjauhkan kita sedikit demi sedikit dari mujahadah asal untuk mencari erti cintaNYA..


Memang susah untuk mendidik hati, untuk suka apa sahaja yang Allah suka dan benci pada segalanya yang Dia benci kerana kadang - kadang nafsu dulu yang berbicara sebelum iman.


Andai kita yakin. Setiap apa yang berlaku, Qada dan Qadar ke atas diri kita adalah suatu bentuk interaksi Cinta Sang Pencipta kepada hamba, pasti kita menerima pemberianNya dengan ekspresi cinta juga yakni dengan penuh redha.


"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah: Ayat 186).


Hakikatnya, Segala ketetapan Dialah yang sempurna buat kita kerana ia datangnya dari Yang Maha Sempurna. Pasti pemberian Allah itu tiada cacat celanya. Relakan, Allah pilihkan apa saja untuk kita, walau pilihan Allah mungkin tak seperti keinginan di hati, Namun pasti disana ada Rahsia Illahi yang tersembunyi, yang kita tidak tahu dan pasti tersirat hikmah yang terlalu banyak . Bukankah kita ini memang manusia yang terlalu banyak jahil dan tidak tahu? Apa yang tersembunyi sedikit dari penglihatan mata kita saja kita sudah tidak dapat menebaknya.


Alhamdulillah..setelah banyaknya nikmat yang Allah kurniakan, saya berazam untuk menunaikan hak Allah dengan bersungguh-sungguh! Marilah kita teguhkan hati-hati kita di jalan Allah. Terima kasih ya Allah!


*penceritaan mudah faham oleh Cikgu Ayuni. Mudah faham kan? Harap-haraplah ya..


Monday, January 24, 2011

HANYA JASAD YANG JAUH IBU,,


Segala puji hanya bagi Allah yang telah mencipta langit dan bumi. Tinggal tidak sampai dua minggu lagi saya bakal mula melangkah sebagai pendidik di medan masyarakat sebenar. Apabila mendapat tahu keputusan penempatan negeri, saya mengucap syukur. Wajah ibu pertama singgah difikiran saya. Entah apakah perasaan ibu jika tahu penantiannya untuk melihat saya mendidik anak kampung sendiri tidak tercapai. Bagaimana saya bisa memujuk ibu.


Inilah yang harus diterima. Kadang kita merancang sesuatu, namun sebenarnya kita harus tahu Allah jua merancang untuk hambaNya. Dan Allahlah sebaik-baik perancang.


Saya berasa tenang..malah rasa tidak sabar untuk mendidik anak muda. Siapakah mereka yang akan saya ajarkan nanti. Namun ia bercampur baur..


Hati saya berat apabila memikirkan tentang ibu..ibu selalu bercakap tentang hari tuanya tanpa anak-anak, dan kami sering menafikan segala tanggapan ibu. Ibu sentiasa memujuk anak-anaknya untuk tinggal dekat dengannya, dan kami sentiasa menyatakan setuju yang tidak berbelah bahagi kepadanya.


Ibu pernah menghabiskan masanya menemani saya memberi ceramah ke satu-satu tempat, padahal ibu lagi sibuk dengan urusan kerjanya, lalu saya pujuk ibu dengan memberi gambaran betapa banyaknya pahala yang dapat dikumpulkan ibu dan arwah ayah setiap kali anak-anak mereka menyampaikan ilmu kepada anak murid dan memanfaatkan setiap yang mereka pelajari. Allahuakbar.


Saya kasihani ibu, punya empat beradik perempuan dan adik lelaki yang masih mencari hala kehidupan selepas tamat SPM. Saya kasihani ibu bagaimana untuk memberitahu ibu bahawa jika kami telah menikah, wajib untuk kami mentaati suami dan mengutamakan suami dalam setiap tindakan.


Padahal ibu semakin hari semakin tua.. Saya berdoa agar ditemukan dengan jodoh yang soleh. Yang bakal mencintai ibu seperti ibunya sendiri. Itulah nikmat yang tidak terhingga dipunyai oleh seorang anak perempuan dalam kehidupan baru.


Duhai ibu, tidak kan pernah aku mampu melunaskan hutangku padamu. Walau ku hiris jariku hingga habis darahku, ia masih tidak pernah cukup untuk setiap pengorbananmu..


Allah menjagamu..kuyakini Allah sentiasa menjagamu..

Sunday, January 23, 2011

MELANGKAH DENGAN SEDAR


Perang Khaibar(sebuah kota berbenteng besar dengan ladang-ladang) merupakan perang pertama dimulakan oleh tentera muslimin selepas perang-perang sebelumnya, dan perang ini merupakan antara petanda kekuatan tentera muslimin dan mula terbukanya dakwah islam kepada umat manusia.


Antara peristiwa yang boleh dijadikan iktibar adalah peristiwa usaha Zainab Al-Harith meracuni Nabi dengan daging kambing yang diletak racun. Sehingga menyebabkan kematian salah seorang sahabat baginda. Basyar Ibn Al-Barra’ Ibn Ma’rur.


Selepas pembebasan bumi Khaibar kepada Islam, Rasulullah saw mula mengirimkan sariyah-sariyah(angkatan yang tidak disertai oleh Rasulullah saw) yang terdiri daripada sahabat-sahabat Nabi kepada kabilah Arab yang berselerak di jazirah Arab. Dilakukan pada tahun ketujuh hijrah sebanyak sepuluh sariyah dikirimkan oleh Rasulullah saw.


Disamping itu juga Rasulullah mengirimkan beberapa orang utusan ke beberapa orang raja untuk menyeru mereka kepada islam. Setiap utusan boleh bertutur dengan bahasa orang-orang yang kepada mereka utuskan. Maka keluarlah enam orang utusan pada hari yang sama.


Antaranya Amru Ibn ‘Umaiyah Al-Dharimi kepada Najasyi, Raja Habshah, Dihyah Ibn Khalifah Al-Kalbi diutus kepada Hiraqla(Hercules) iaitu Raja Rom, ’Abdullah Ibn Huzafah As-Sahmi kepada Kisra(Raja Iran), Al-harith Ibn ‘Umair Al-Azdi kepada Sharhabil Ibn Amru Al-Ghassani, Raja busra dan beberapa lagi sahabat Rasulullah saw kepada beberapa jazirah Arab.


Marhalah yang tersemat dalam sirah hebat ini menunjukkan satu perhentian tentera muslimin selepas kejituan dan faham Islam telah mula menjadi tunjang kekuatan, maka dakwah keluar daripada kelompok muslimin dimulakan.


Apa yang cuba dikaitkan dengan peranan beberapa platform yang ada untuk tujuan dakwah Islam dikampus sebagai contoh Majlis Perwakilan Pelajar dan beberapa platform lain dijadikan wahan/wasilah, jika dirujuk dalam sirah di atas saya samakan dengan sariyah/kiriman dengan kebolehan tersendiri untuk menyampaikan seruan islam.


Kebolehan tersendiri dalam sisi semasa saya faham sebagai pendekatan/fungsi platform dalam masyarakat. Platform ini jika dikampus atau institusi manapun mempunyai hala tuju yang berbeza dengan peranan yang berbeza. Jika tidak ada kekuatan faham Islam sebagai tunjang, tiada mereka yang faham Islam untuk menyeru ahli masyarakat yang mereka punya kepada Yang Esa, manusia akan terus tenggelam dengan nafsu serakah. Jadi, kita bakal panas hati melihat program-program tidak syar’ie, hiburan melampau, semakin ramai masyarakat rosak kerana tidak dipandu dengan hukum Allah.


Peranan pimpinan dalam memahamkan seluruh kekuatan ahli gerakan dalam setiap platform perlu terang dan jelas. Mengapa perlunya mereka yang faham Islam ini menyertai pilihanraya kampus sebagai contoh. Mengapa perlunya kuasa dalam platform-platform kampus? Mengapa perlu suara ahli faham Islam dalam menjadi barometer terhadap setiap perancangan kerajaan negara? Dan apa hikmah harus digunakan untuk menarik orang-orang musyrik kepada Islam?


Dan ianya terjawab dengan apa nikmat dan takjubnya seseorang itu tunduk menyerah kepada peraturan dan falsafah sesuatu kerajaan? Padahal dia menikmati kebebasan yang sebenarnya. Bebas dari terikat dengan manusia kerana telah terikat dengan yang Khaliq, pencipta diri. Dia boleh menikmati keadilan dan persamaan hakiki bersama orang lain samada pemerintah atau rakyat biasa kepada kerajaan itu. Itu sifirnya.


Logikkah bagi sesebuah kerajaan yang dikendalikan oleh hamba-hamba yang dimiliki oleh Allah memaksa rakyatnya supaya tunduk kepada berbagai tatacara yang mereka cipta, tetapi tidak pula mengajak untuk tunduk kepada undang-undang Khaliq yang menciptakan mereka semua.


Apabila setiap daripada ahli yang membentuk saff kekuatan gerakan Islam dikampus melangkah dengan sedar dan dengan pergantungan penuh kepada Allah swt. Mereka faham setiap titik peluh yang keluar adalah untuk merobohkan sistem jahiliyah atau apa-apa bentuk acuan bukan syar’ie sehingga satu kepimpinan benar-benar jitu dan berpegang kepada konsep ‘ubudiyyah kepada Allah terbina dan kukuh.


Bukan mudah menjadi seorang da’ie…semoga Allah buka jalan untuk kita semua. Amen.

Monday, January 3, 2011

NAFKAH UNTUK DIRI SENDIRI


Bismillahirrahmanirrahim..


Antara nikmat membaca buku atau karya-karya indah ialah apabila setiap bait yang ditulis ibarat setiap kata yang ingin diterjemahkan oleh pembacanya. Begitu juga saya, seusai membaca bait-bait ayat terus saya tersenyum “ sungguh, inilah apa yang aku fikirkan, dan ia diterjemahkan dengan ungkapan yang sangat baik”


Usaha mengajak muslimah terpesong daripada syariat agama sebenar tidak pernah sirna. Pelbagai usaha sedari orientalis pandai menterjemah hukum Allah terhadap wanita sebagai simbol kejumudan dan kongkongan terhadap wanita. Seterusnya, tidak hairanlah jika muslimah hari ini ingat bahawa mereka sudah benar-benar berada di landas syariat, namun rupa-rupanya ia adalah antara syariat palsu yang dipesongkan oleh musuh-musuh Islam. Astaghfirullahal'azim.


Risalah untuk wanita mukminah tulisan Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buthy berkisar sesuatu yang kita maklum sebenarnya, tetapi tegas dan lebih mengesan jiwa. Insya Allah.


Sebenarnya Allah menetapkan wanita sebagai hawa kesenangan dunia seperti dalam firmanNya:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, Yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)”. (QS. Ali Imran: 14)


Kalau ia tidak benar-benar lebih penting dan berbahayanya dari yang lain, tentulah ia tidak ditempatkan di peringkat teratas. Nah, dengan demikian jelaslah bahwa wanita itu dalam kehidupan manusia merupakan ujian dunia yang paling berat dan paling berbahaya. Naudzubillah.


Rahsianya, karena semua dosa yang dilarang Allah swt, dilakukan oleh hambaNya, tidak satupun yang serasi dengan fitrah manusia. Kezaliman dengan segala macam bentuknya yang diharamkan.


Manusia banyak tertolong tidak melakukannya, karena manusia memandangnya sangat menjijikkan. Minuman keras diharamkan. Haramnya bagi sebagian besar tidak dianggap berat, karena fitrah manusia yang murni tidak menyukainya.


Begitu pula pencurian, penipuan, ghibah, namimah, dan lain-lain yang diharamkan, semuanya tidak ada orang yang senang melakukannya kecuali orang-orang yang menderita kelainan atau memiliki kecenderungan yang menyimpang dalam watak dan fitrahnya, karena sesuatu sebab yang kadang-kadang menimpa orang dalam kehidupannya.


Namun yang dikecualikan dari semua yang diharamkan itu hanya satu, iaitu naluri seksual pada tiap-tiap lelaki dan wanita. Meskipun sentiasa mendorong orang untuk melakukan yang diharamkan, malah ia dipandang puncak yang diharamkan syari’at, kecuali jika diawasi dan dikendalikan dengan ketat. Ia juga dapat dipandang sebagai kebutuhan fitrah insani dan tuntunan utama, dan tidak ada jalan bagi manusia untuk melepaskan diri daripadanya atau akan berpura-pura tidak suka padanya.


Oleh sebab itu, Dr. Ramadhan Al-Buthy terus menegaskan dua syariat Islam yang perlu terus dipegang faham oleh muslimah iaitu penjagaan aurat dan keperluan bekerja bagi wanita dalam Islam.


Ia boleh disimpulkan sebagai satu ketetapan bagaiman Islam melindungi wanita. Justeru kita memahami yang hadiah paling indah dan hawa kesenangan utama ini seiring dengan aturan tegas memelihara agar ia kekal pada tempatnya.


Perinciannya mungkin boleh dikongsikan kemudian. Insya Allah..


Satu perkara yang menarik ialah saranan agar wanita tetap dirumah sangat berkait rapat dengan pencegahan kearah rangsangan seksual sebagai antara dugaan paling berat. Padahal, hari ini, trend wanita membantu suami mencari nafkah buat menampung kehidupan materi dilihat perlu bagi sesiapa sahaja.


Beratnya masyarakat hari ini, sudah tidak timbul isu perlu atau tidak wanita bekerja kerana isu wanita yang menyara keluarga dan suami sebagai suri rumah lebih menonjol.


Saya mengajak mengajak faham suami, adik beradik lelaki bahawa merupakan amanah bagi mereka isteri, adik beradik perempuan untuk dijaga dan dipeliharan atas kelebihan sebagai pemimpin. Tidak dipaksa mereka bekerja dan salah meminta mereka mencari nafkah buat menafkahkan diri mereka sendiri padahal tiada kebutuhan mendesak.


Saya mengajak faham muslimah apabila Islam menyuruh wanita untuk tetap dirumah sebagai pencegahan, lalu apabila kita mengambil langkah untuk bekerja bermaksud risiko kearah penjagaan diri dan ketegasan bermuamalah perlu dengan mujahadah.


“Bekerja itu meskipun pada dasarnya mubah (diperbolehkan), bisa tidak mubah bagi wanita, kalau dikuatirkan bisa menimbulkan kepincangan pertanggungjawaban kemasyarakatan seperti yang diatur oleh hukum syari’ah.” Dr. Ramadhan Al-Buthy


Kembali kepada Islam. Yok!