Thursday, December 31, 2009

PILIHLAH AKU

Terasa singkat,

Pendek.


Kemarau hati

Marah setiap urat nadi

Marah kepada pemilik yang gagal

Memahami hakikat dunia

Penciptaan diri


Terbentang

Mata berkedip melihat

Isi bola dunia

siang dan malam

Allah gantikan hari ke hari


Tuhan kata dunia hanya sementara

Namun nurani kosong

Jiwa kontang kata dunia adalah segalanya


Tuhan punya dunia adalah Allah

Tuhan punya setiap isi adalah Allah

Tuhan punya jiwa adalah Allah

Tiada satu pun punyaan diri


Kerna nurani kosong

Jiwa kontang

Mulut angkuh berkata aku punya kuasa

Aku yang lakukan segala


Badar, Uhud, Khandaq, Khaibar

Iman, akidah, Sabar, Allah


Persinggahan mana ya Allah

Perang yang mana ya Allah?

Yang menjadi medan pengasingan jiwa ini?

Bagaimana Allah, rasanya mati namun hidup disisiMu?

Bagaimana Allah aku ingin rasa begitu ?

Seperti hamba yang Engkau pilih

Allah...

Pilihlah aku..

Pilihlah aku..


Ya Rasulullah,

Aku gagal menjadi rantai matamu

Hakikat sekelilingku masih gembira dunia

Sabarmu, hikmahmu, Santunmu..


Khadijah ibuku..

Kau tawarkan tulang temulangmu untuk redha Allah

Aishah cintaku

Pada dirimu menjadi hukum Tuhanku

Fatimah pemimpinku

Kau telah dijanjikan syurga oleh utusanNya


Aku mahu

RedhaMu Allah

Pandangan cintaMu Allah

Bantulah aku..

Layakkan aku menjadi hambaMu..

hamba yang Engkau Cinta padaku..


Sunday, November 29, 2009

HAPUSKAN STEREOTYPE



Sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis walimah kekanda, namun hati sentiasa berasa susah hati memikirkan kerja-kerja yang masih belum disiapkan di kampus. Cukup melihat wajah ibu dan ayah yang semakin lama meniti usia-usia tua, sedar tanggungjawab ini perlu bijak dibahagikan. Buat sahabat, tahulah bahawa ana bukan leka dikampung hidup gembira goyang kaki, ada hak yang perlu ditunaikan di sini.

Membuat penilaian semula, kampus uni Malaya kini suram semula, apabila ramai antara mahasiswa pulang ke kampung untuk bercuti selepas menghabiskan satu semester.

" Saya tidak sangka, wanita macam ayuni sertai politik." Kata tutor subjek Kimia Inorganik 3 kepada saya. Hari itu, saya agak kelam kabut kerana tidak membuat persediaan secukupnya untuk mesyuarat bersama TNC Pembangunan, masa rehat zohor yang ada untuk lab (10 pagi hingga 5 petang) saya gunakan sepenuhnya untuk menyediakan bahan mesyuarat petang itu.

Masuk sahaja ke dalam makmal, bahan saya telah mula pekat di atas hot plate, saya terlupa besinya panas dan "Allahuakbar!" tiga jari saya putih melecur, terus saya halakan ke singki dan air saya biarkan mengalir. "Jenny, help me". Segera, tutor berbangsa Cina itu mengambil peti kecemasan dan menyapukan krim ke tempat yang melecur. Jenny bertanya bagaimana hingga boleh terlupa besi hot plate yang panas. " Saya ada 2 mesyuarat petang ni, tapi bahan untuk pembentangan masih belum siap lagi." Dan mulalah dia bertanyakan soalan-soalan berikutnya.

PENERIMAAN MASYARAKAT SEKELILING

Ramai teman-teman , mahupun rakan-rakan tidak kira kampus malaya atau luar mempunyai tanggapan sendiri mengenai politik. Saya juga mempunyai pandangan tersendiri tentang hal ini namun saya ingin mengajak semua untuk membuat penilaian dasar.

PENAFIAN KEPERLUAN POLITIK SEBAGAI BUKAN SEBAHAGIAN DARIPADA TUNTUTAN

Berbicara bersama ayah:

Malam itu saya duduk bersama ayah, berbeza topik perbualan, dengan ayah saya selesa berbual tentang topik yang lebih luas. "Abah kalau boleh tak nak menantu yang ekstrim sangat, ke mana-mana dengan serban, berjubah". Terangkat kening saya mendengar luahan ayah. Namun saya faham kiasan yang tersirat.

Saya mencari-cari jawapan terbaik. "Kakde baca buku tentang perancangan zionis yang kakde cerita kat abah sebelum ni kan? Antara doktrin berjaya Mustafa Kamal Atartuk dalam menghapuskan kekuatan agama, dia tukar pakaian sunnah Rasulullah, serban dengan jubah ni kepada tarbus dan kot-kot macam barat. Katanya lebih moden. Maksudnya kalau orang zaman sekarang nampak pakaian sunnah ni jelek, baju-baju tajaan barat ni cantik dan terbaik, doktrin laknatullah ke atas umat kita dah berjayalah"

Ayah tersenyum, dan menyatakan persetujuan dengan kata-kata saya.

Saya tidak mahu bercakap soal siapa yang perlu disokong, pemimpin mana yang perlu dipilih, kerana ianya akan membuatkan kepala menjadi pening apabila melihat keadaan semasa politik negara juga kampus yang dipenuhi dengan fitnah dan pembohongan.

Pernah anda dengar "sesuatu yang palsu/tidak benar/pembohongan yang disebut berkali-kali akan menjadi benar dan diterima oleh masyarakat sebagai sesuatu yang betul, tambah pula yang bercakap adalah mereka yang berkuasa, mempunyai m├ędium dan licik" hingga kebenaran sebenar terlindung.

MENOLAK POLITIK KERANA KOTOR ?

Inilah rata-rata jawapan yang saya dengar, sehingga setiap kali mendengar jawapan ini, saya tersenyum. Saya setuju dengan pandangan politik kotor, namun salah tindakannya menolak keperluan ini atas maksud yang sama.

Adakah benar menyisihkan diri daripada proses pemilihan seorang pemimpin/amir kerana mempunyai pandangan bahawa politik itu kotor?

Dan adakah kita sebenarnya memahami tuntutan agama dalam berpolitik ?

Inilah kejayaan pembentukan pemikiran tipikal atau stereotype terhadap politik.

Contoh pemikiran stereotype yang saya ingin bawakan supaya mudah difahami, jika dia adalah seorang wanita, dia perlulah lemah lembut, sopan santun dan bercakap yang baik-baik sahaja. Dan jika dia adalah lelaki, perlulah tegas, tegap, bercakap bila perlu. Sehingga masyarakat menerima jika wanita ini kurang lemah lembutnya, dihukumnya bukan wanita sebenar. Hilang pandangan agama sebagai ukuran.

Begitu juga politik, ,medannya mestilah pemimpin, berkuasa, parti yang mempunyai fahaman tersendiri, kotor dan dipenuhi dengan pelbagai helah, dan pelbagai lagilah bentuk pandangan. Ini namanya persepsi stereotype yang diterima sebagai satu fakta.

Mengapa kita lebih cenderung menerima pandangan manusia ? Mengapa benarkan akal menerima pandangan tanpa kita menilai terlebih dahulu ? Sedang terlalu banyak pengertian yang telah Allah dan Rasul sediakan untuk kita.

JANGAN BERPAGI-PAGIAN TANPA MENGAMBIL TAHU HAL ORANG MUSLIMIN

Fathi Yakan menyebut dalam kitabnya bab 2 iaitu SAYA MESTI MEYAKINI BAHAWA BERAMAL UNTUK ISLAM ADALAH WAJIB. Beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar adalah untuk melahirkan individu yang mencerminkan 'aqidah dan akhlak Islam, melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada cara hidup dan pemikiran Islam, menegakkan sebuah daulah atau pemerintahan yang melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Ia wajib kita imani.

Dan seluruh amal dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini adalah satu tuntutan syari'at. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum Muslimin.

Fathi Yakan juga membahagikan kewajipan beramal untuk Islam kepada 4 iaitu :


  1. Wajib dari sudut prinsip

(al-asr : 1-3, al-ma'idah : 67, al-baqarah:159)

  1. Wajib dari segi hukum

(an-nisa': 65, al-syura:10,al-ma'idah: 44,45&47)

  1. Wajib dari segi Tuntutan

( Al-Anfal : 39)

  1. Wajib secara individu ataupun jemaah

(al-muddaththir:38, maryam:95, al-kahfi: 28)


Apabila menegakkan masyarakat Islam dan hukum-hukum Allah itu wajib, maka kerja-kerja ke arah membawa kepada matlamat ini adalah wajib berdasarkan kaedah syara' yang semua maklum mala yatimmu-wajibu Illa Bihi Fahuwa Wajibu " Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib."

Tidak kiralah sistem sedia ada yang telah kita jadikan air minum selama ini bercampur aduk dengan sistem sekular, sosialisme atau kaptalisme. Malah kita maklum sebahagian besar negara-negara(umat) Islam kalau pun ada seluruhnya diperintah oleh sistem ciptaan manusia. Disinilah kita sebagai umat Islam dituntut untuk menyusun gerak kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliyah dalam bentuk seperti ini dan KEWAJIPAN MENGEMBALIKAN KEHIDUPAN ISLAM ADALAH MENJADI FARDHU 'AIN KEATAS SETIAP MUSLIM SEHINGGA KEPIMPINAN DAN KEKUASAAN KEMBALI KEPADA PANGKUAN ISLAM.

Sehingga ini saya membuat kesimpulan awal bahawa memilih kepimpinan juga adalah salah satu tanggungjawab kita terhadap gerak kerja memartabatkan Islam. Jadi, adakah anda masih menolak pemilihan kepimpinan kerana pandangan politik kotor ?

FUTUWWAH

Semalam hati saya tergerak hati membuka kembali novel Kombat. Sungguh impian mewujudkan golongan pemuda-pemudi hebat itu sukar berlaku pada zaman ini. Saya juga bimbang dengan diri yang seperti lali dan tidak merasa berdosa melihat rancangan-rancangan hiburan tanah air. Inilah cabaran yang perlu ditempuhi dalam dunia percampuran antara benar dan batil.

APA TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL ?

Ramai teman-teman yang menghubungi bertanyakan kepada saya bagaimana untuk mengisi kekosongan rohani dalam dunia semasa yang membuatkan remaja hilang kepercayaan kepada golongan agama kerana berjayanya stereotype yang telah ditopengkan oleh pihak-pihak berhati busuk.


Andai stereotype pemikiran masih ada dalam benak dan fikiran anda. Langkah pertama yang perlu diambil ialah dengan menghapuskan stereotype ini terlebih dahulu.


adakah saya telah berjaya memahamkan anda ?

Saturday, November 21, 2009

CINTA PERTAMA: EPISOD 3


"Banna ! Bannaaaa !" Aisyah berpeluh, terjaga dari lena. Mujahid terkejut dan terus memeluk Aisyah. Aisyah menangis sayu, tersedu-sedu hingga terlena kembali. Mujahid menepuk-nepuk bahu Aishah sambil membaca selawat dan meminta isterinya beristighfar. " Siapa Banna ? detik hati Mujahid mula tertanya-tanya. Mengapa nama ini seperti amat dekat dihati Aisyah ?" Malam itu, berlalu dengan persoalan dibenak Mujahid.

Sudah hampir tiga bulan di Tokyo Jepun, pasangan ini mula dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di bumi atom ini. Pagi itu sungguh bersih, Mujahid keluar awal bekerja, sambil Aisyah telah berhajat untuk menemui rakan-rakan masjid Universiti Japan. Aisyah dijadualkan untuk membincangkan tentang isu gerakan feminisme dan percanggahan hukum dihadapan pelajar muslimat.


Kesempatan bersama para pelajar digunakan dengan sebaiknya oleh Aisyah untuk menyampaikan nasihat. Jauh disudut hati Aisyah, dia sangat menyayangi jiwa wanita muda yang musnah mudah. Aisyah menceritakan betapa fitrah dan naluri wanita dicipta oleh Allah sesuai dengan kebolehan. "Dunia kecil yang terisi dalam ruang rumah, anak-anak dan suami adalah dunia seorang wanita dan ianya adalah isi pahala syurga bagi seorang wanita. Betapa apabila wanita keluar mengabaikan dunianya ianya akan menjadi fitnah terbesar. Sehingga Prof. Dr. Yusof Qardhawi membahaskan dalam kitab fiqih wanita berkenaan wanita bekerjaya dan hukumnya. Ibu adalah madrasah, lembaga pendidikan. Jika kita mempersiapkannya dengan baik, maka kita telah mempersiapkan bangsa yang baik pokok pangkalnya" terang Aisyah. Rakan pelajar sempat menanyakan beberapa soalan semasa kepada Aisyah dan berbincang hati ke hati mengenai masalah. Nampaknya Aisyah benar-benar menjadi kesukaan pelajar-pelajar itu sehingga mereka terlalu ingin mengadakan liqa' lagi.


Mujahid tidak keruan sepanjang hari terlalu ingin mengetahui rahsia isterinya, yang sukar untuk diduga. Aisyah adalah seorang isteri yang taat, sungguh Mujahid sangat bertuah memperisterikan seorang wanita solehah. Namun, Mujahid merasakan kekurangan pada perhubungan ini atas tindakan Aisyah sukar untuk menceritakan tentang kehidupannya jauh berkongsi rahsia.


Peti emel Mujahid dibuka, melihat balasan emel daripada kakak Aisyah atas persoalannya berkenaan Banna. Hati Mujahid berdegup kencang, sungguh bimbang kalau-kalau sangkaannya benar.

" Banna adalah anak kecil yang dirawat oleh Aisyah ketika di Beirut. Aisyah sangat mengasihinya dan kanak-kanak itu juga amat cinta pada Aisyah. Itulah yang membimbangkan ummi dan abi apabila melihat Aisyah terlalu sibuk berulang-alik ke Palestin hingga lupa menjaga diri sendiri dan melihat masa depan berkeluarga. Mungkin Mujahid boleh korek lebih lanjut kisah-kisahnya."

" Oh ya, ana terlalu ingin khabarkan sesuatu pada nta tentang Aisyah. Sungguh dia hanya punya impian hidup bersama cinta pertamanya, yang mana dirinya jua adalah cinta pertama bagi suaminya. Ana lihat Aisyah banyak berdiam selepas bersetuju untuk nikah dengan nta. Aisyah orangnya sungguh rapuh hatinya Mujahid, ana rasa Aisyah bukanlah insan yang mudah terima pernikahan ini sekiranya ummi dan abi tidak memujuknya."


Lama Mujahid merenung skrin sambil melihat gambar-gambar Aisyah ketika dia aktif bersama Aman Malaysia ke Palestin. Semakin ditatap gambar-gambar itu, semakin terbit rasa kagum Mujahid pada isterinya. Cepat jari-jemari Mujahid mencari segala maklumat berkaitan nama isterinya hingga terjumpa satu blog.



Blog Aisyah ? Namun telah lama tidak diupdate. Hingga post yang terakhir adalah pada tahun lepas. "Ya Allah, izinkan aku untuk mencintai isteriku sepenuh hatiku Ya ALLAH, dan berikanlah aku kekuatan merasai nikmat dan ketenangan yang sebenar."


"Assalamualaikum, Aisyah abang dah balik ?" Mujahid pulang ke rumah terus mencari isteri, pelik kerana kepulangannya tidak disambut seperti selalu. " Aisyah? Astaghfirullahal'azim, Aisyah !" Mujahid terkejut melihat Aisyah terbaring lemah dalam telekung dengan wajah yang sungguh pucat. Bergegas, Mujahid angkat Aisyah dan terus memecut ke klinik berhampiran.


Mujahid hampir menangis memaklumkan perkara ini kepada ibu dan ayahnya. Namun, kegelisahan dirinya hanya seketika apabila doktor memaklumkan bahawa Aisyah rupanya berbadan dua sudah sebulan lamanya. Doktor menasihati Aisyah agar mengambil makanan yang berkhasiat tinggi untuk mengelakkan keletihan akibat tekanan darah yang rendah.


Subhanallah ! Maha Suci Allah. Mujahid terus sujud syukur tika itu jua. Sambil diperhatikan oleh Aisyah yang cuba untuk memberikan senyuman. Pasangan ini pulang dengan satu harapan baru.


Selesai solat isyak, Aisyah meminta izin suaminya untuk berehat lebih awal, Mujahid tidak menolak malah mengiringi Aisyah ke tempat beradu. Lama Mujahid menatap wajah Aisyah yang jelas tidur dalam keletihan, Mujahid menyeka air mata Aisyah yang mengalir tika lenanya.


"Ya Humaira', aku terlalu ingin memberitahumu bahawa sesungguhnya aku amat mencintaimu. Sungguh ya Humaira, aku telah merisik khabarmu sebelum ummi dan abi membuat keputusan untuk menyatukan aku dengan Solehah, dan aku tidak pernah kenal siapa dirinya. Nyata aku tidak pernah cinta padanya kerana aku mahu cinta pertamaku adalah isteriku seperti yang kau jua mahukan ya Humaira'. Nah Allah takdirkan pernikahan antara kita. Dan isteriku adalah cinta pertama dan terakhirku dan engkaulah isteriku sayang." Bisik Mujahid lembut ke telinga Aisyah lalu mencium dahi isterinya. Aishah dengar segalanya, hanya mengucap syukur dalam hati. Terasa angin menerpa lembut ke dalam hati bersama bisikan selawat dan tahmid. Seperi satu cahaya baru hadir dalam sanubari.


Petang itu sebenarnya darah dihidung Aisyah tidak berhenti mengalir pada mulanya, Aisyah beristighfar berulang kali memohon keampunan daripada Allah, darah berhenti mengalir sejurus Aisyah mengambil wudhu' dan membasahkan kepalanya. Pening dikepala bertambah-tambah hingga Aisyah tidak dapat bangun diakhir solatnya lalu pengsan.


Aisyah tahu masa untuk dirinya tidak lama, terasa kematian hampir dengan dirinya. "Apakah petanda mimpiku bersama Banna? Oh annakku..Aku sungguh rindu ingin memeluk jasadmu."

Bersambung…

Syarah Fiqih wanita; hak isteri :

" Dan diantara tanda-tanda kekuasaaNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isterimu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." ( ar rum:21)

Ayat ini menjadikan sasaran atau tujuan hidup bersuami isteri ialah ketenteraman hati, cinta dan kasih sayang antara keduanya, yang semua kehidupan suami isteri yang sunyi dari aspek-aspek maknawi ini,sehingga badan berdekatan tetapi ruh berjauhan.

Dalam hal ini banyak suami yang keliru-padahal diri mereka sebenarnya baik- ketika mereka mengira bahawa kewajipan mereka terhadap isteri ialah memberi nafkah, pakaian, dan tempat tingla, tidak ada yang lain lagi.

Dia lupa bahawa wanita(isteri) itu bukan hanya memerlukan makan, minum, pakaian dan lain-lain keperluan material, tetapi juga menginginkan perkataan yang baik, wajah yang ceria, senyum yang manis, sentuhan yang lembut, ciuman yang mesra, pergaulan yang penuh dengan kasih sayang, dan belaian yang lembut yang menyenangkan hati dan menghilangkan gundah.

Prof. Dr. Yusof Qardhawi

Sunday, November 8, 2009

UKHUWAH DI LUTUT ?


Sejak dari kecil hingga besar saya menilai apakah erti ukhuwah yang sebenarnya, hingga akhirnya menemui satu erti yang membawa satu perubahan yang besar.


Saya yakin, pasti dikalangan sahabat-sahabat berhadapan dengan masalah ukhwah dikalangan teman rapat, dan ianya menjadi satu masalah besar apabila makhluk ALLAH yang bernama manusia meminta ukhuwah daripada anda tapi sebenarnya salah meletakkan penilaian.


PENGAJARAN DARIPADA AISHAH


Saya punya seorang sahabat, yang sentiasa mengambil berat tentang diri, malah meletakkan hak pada setiap sahabatnya . Kadang, saya malu dengan Aishah kerana pernah ditegur tidak membalas mesej yang diberinya. Berilah pelbagai alasan, hakikatnya saya memandang rendah pada sebuah persahabatan.


UKHUWAH ISLAM ?


Saya melihat siri-siri kehidupan yang amat menguji diri. Jauh hina daripada ukhwah Zainab, anakanda tercinta Rasulullah s.a.w yang mengorbankan cinta seorang suami (ketika itu sedang berbadan dua) hanya kerana aqidah Islam.


Masih ingat kisah-kisah rentetan sejarah Rasululllah yang panjang, bermula bai’ah-bai’ah kaum muslimin untuk hidup dan mati mempertahankan agama? Subhanallah.


Atau kisah ukhuwah Zainab Al-Ghazali dalam ikhwanul muslimin yang diseksa zalim dalam usaha memberi maklumat gerakan ?


Saya simpulkan dengan mudah, bahawa ukhuwah islam itu bukan didasari nafsu, iaitu ukhwah kerana kepentingan namun sebenarnya ia adalah kerana aqidah mentauhidkan ALLAH. Membuatkan saya terlalu ingin membawa adik-adik dan sahabat memandang lebih besar apakah tuntutan ukhuwah sebagai Islam.


Ya, ini hanya pandangan, dan anda berhak membuat pelbagai interpretasi sendiri. Namun saya berdiri atas paksi kecewa apabila melihat manusia sanggup menggadai masa sia-sia hanya kerana mahu menyelesaikan masalah ukhuwah yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan fahaman sirah !


** jangan minta saya berhenti menulis**