Wednesday, December 17, 2008

TANYA SAMA ANGIN



Tanya sama angin
Mengapa hati sukar diduga
Nanti jawab angin
Hati ibarat awan

Tanya sama awan
Mengapa hati sukar diduga
Nanti jawab awan
Hujan turun sering tiba-tiba

Tanya sama hujan
Mengapa turunnya sering tiba-tiba
Hingga hati sukar diduga
Nanti jawab hujan
Mentari kadang terik kadang tidak

Tanya sama mentari
Mengapa kadang terik kadang tidak
Hingga hujan turunnya sering tiba-tiba
Hingga hati sukar diduga
Nanti jawab mentari
Itu aturan alam diciptaNya

Duhai angin,
Duhai awan,
Duhai hujan,
Duhai Mentari,
Bantulah hati ini tika ia diduga
Kelak akhirnya hati ini kembali kembali kepada PenciptaNya
Pencipta alam seisinya..

-Hati semendung awan-
monolog qudwahHumaira’

Monday, December 1, 2008

TERUJA YANG TER AMAT SANGAT


Alhamdulillah…

Allah masih memberi rezeki dan kesempatan yang pastinya amat HEBAT..Kasih sayang terasa menyerap urat nadi..

Entri kali ini, mengekspresikan kegembiraan hati ..

SAYA TERUJA YANG TERAMAT SANGAT : 1


Hari ini saya dan seorang sahabat baik saya akan menghadiri Bengkel Peningkatan Belia di Shah Village Hotel. Saya telah diajak oleh seorang kenalan ketika menghadiri satu seminar Melayu-Islam di Pusat Dialog Peradaban Uni Malaya tidak lama dahulu. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal,tanpa melepaskan peluang keemasan ini, saya dengan gembira menerima ajakan tersebut yang pastinya memberi pulangan ilmu yang akan memuaskan kesuma jiwa.

Tambahan makan minum dan penginapan adalah percuma.(^_^)

Moga ALLAH beri peluang untuk saya lebih dekat denganNya hasil daripada bengkel ini.

SAYA TERUJA YANG TERAMAT SANGAT : 2

Semalam, saya telah menghabiskan masa berjam-jam lamanya di Pustaka Mukmin (Favourite place) untuk mencari buku kegemaran. Malah beberapa hari sebelum semalam, saya bertanya pandangan dan cadangan buku yang menarik untuk dibaca kepada teman-teman saya. Terima kasih atas cadangan anda.

Saya juga ke MPH , namun niat saya hanya untuk mencuci mata. Buku di MPH dan POPULAR agak mahal, susah jika saya mahu minta diskaun, masa pula terhad. (^_^)

Ingin berkongsi…

Saya Teruja Yang Teramat Sangat dengan buku. Tambahan buku yang berbentuk FIKRAH=PEMIKIRAN

Saya sukakan buku yang boleh membuatkan saya berfikir dan merenung jauh, yang memberi lontaran soalan bertubi-tubi kepada benak, membuat saya kenal diri hasil muhasabah, malah mampu menggoncang roh mindset lama kepada satu bentuk “tajdid fikrah”, dan akhirnya membentuk satu peneguhan jati diri yang lebih baik. Saya sangat suka..sangat suka...subhanallah...

Pemilihan buku pada mulanya bergantung kepada penulis..Saya akan lihat siapa penulis dan kemudian barulah melihat tajuk buku. Namun saya sedar, saya masih baru dalam dunia buku ini.

Kali ini, saya memilih buku-buku ini :

1. How to Win Friends and Influence People – Dale Carnegie

2. Men Are From Mars, Women Are From Venus - John Gray

3. CINTA di Rumah Hasan Al-Banna –Mohammad Lili Nur Aulia (Best Seller)

4. Dilema Melayu-Islam ; Kurang Fikir atau Kurang Zikir- Pahrol Muhamad Juoi

Saya mengucapkan terima kasih daun keladi kepada kekanda-kekanda saya yang telah berjanji untuk menjadi penaja bayaran buku-buku di atas. (^_^)

SAYA TERUJA YANG TERAMAT SANGAT : 3

Saya sebenarnya telah lama benar ingin memiliki novel Faisal Tehrani (tajuknya dirahsiakan). Namun setelah memikirkan budget yang saya sediakan tidak mencukupi, saya batalkan niat saya, tambahan buku-buku yang telah saya beli lebih saya utamakan. Novel ini baik sebagai bahan bacaan tambahan.

Dan malam semalam, Allah beri sinar harapan baru, saya berbual dengan seorang adik, yang merupakan peminat novel Faisal Tehrani. Allahuakbar !

Saya sangat gembira kerana dia telah memilik hampir semua novel beliau malahan bersedia untuk memberi pinjam novelnya kepada saya. Allah mendengar bisikan angin lalu saya. Ini dinamakan rezeki yang tidak disangka-sangka. Terima kasih Ya ALLAH.

Saya sukakan novel-novel berbentuk “thriller Islami” yang mampu memberi impak maksima terhadap penghayatan malah memberi suntikan semangat rohani.

Insya ALLAH jika ada kesempatan, akan saya kongsikan hasil pembacaan saya nanti. Sampai di sini dahulu. Salam sayang.

Men are motivated and empowered

when they feel needed..

Women are motivated and empowered

when they feel cherished..

(John Gray)

Thursday, November 27, 2008

PERGINYA SEORANG SYAHID


TAUTAN JIHAD BANNA

Engkau goda jiwaku wahai syahid
Engkau ajarnya erti kekal
Engkau pujuknya
agar pergi
Engkau ajarnya erti tabah
Dan jiwa yang mulia itu mempunyai dua
tujuan ;
Menempuh kematian dan mencapai impian
Alangkah ruginya aku jika
aku tidak digeruni sebagai penjaga sempadan ALLAH..


SURAT UNTUK AS-SYAHID HASSAN AL-BANNA


Untukmu wahai imamku,
Wahai guru yang mulia
Wahai pembawa cahaya di zaman
kegelapan
Wahai Pembimbing dunia ke jalan Muhammad
Wahai hembusan daripada
generasi Darul Arqam

Aku hadiahkan untukmu diriku dalam qasidah
yang kurangkapkan
Yang memberi petunjuk dan juga merejam seperti
bintang-bintang

Mereka menyangka engkau mati, sedangkan engkau
hidup kekal
Tidak mati kecuali sipenzalim dan penjenayah

Mereka
menyangka engkau tiada, sedang engkau berada disisi kami menyaksikan
Kami
suluh dengan manhajmu setiap laluan yang gelap

Kau tegakkan untuk
Islam menara yang tidaklah batu batanya selain pemuda Islam
Kau tuliskan
dunia satu deklarasi kebangkitan
Dan engkau enggan menandatanganinya kecuali
dengan darahmu

Tidurlah disisi Tuhanmu yang memberi
petunjuk
Sesungguhnya apa yang kau bina wahai Banna’( Pembina) tidak runtuh

Kecintaan padamu akan terus terukir dihati
Kau dipuji akal
fikiranmu dan namamu meniti dibibir.


Oleh : Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi

"Mencari semangat dan motivasi. Kembalikan rohhul jadid"-monolog qudwahHumaira'

Saturday, November 22, 2008

KARI AYAM DAN KEYAKINAN



Kari ayam akan rasa enak dan cukup rasanya jika si pemasaknya benar-benar yakin untuk memasukkan ayamnya, rempahnya, airnya, garamnya, juga santannya. Oleh sebab itu, jika ibu yang tersayang masakkan gulai atau makanan harian, dengan hanya mencampakkan ramuannya, boleh jadi sedap hingga menjilat jari !

Setelah dewasa kini, saya mula menghayati erti sebenar ”air tangan” dan ”keenakkan” masakan ibu. Masakan selawat dan titisan air tangan doa adalah yang terbaik. Dan semestinya ibu akan memasakkan makanan yang terbaik buat anak-anaknya.


Dan makanlah makanan yang halal lagi baik
dari apa yang Allah Telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya.

(Al-Maidah :88)

Ini kerana dengan pengalaman yang ada melahirkan keyakinan dalam dirinya.

MENCARI KEYAKINAN DI DAPUR

Mungkin kerana cuti yang indah ini saya banyak luangkan masa di dapur, malah dapur menjadi tempat kesukaan untuk melempias rasa. Sebenarnya dapur memberi pengajaran berguna buat saya.

Pernah dengar kata-kata Vince Laombard :
” Once you learn to quit, it becomes a habit.” ?

Mendengarkan kata-kata ini, saya tidak rasa kecewa jika masakan hari ini terlebih garam atau tidak cukup rasa, kerana saya masih boleh mencuba (insya ALLAH) hingga yakin dan yakin ianya enak dan menggembirakan hati isi rumah.

Disitulah, saya belajar menguasai kelemahan, dan membina keyakinan.

MEMASAK DAN CINTA

Adakah anda tahu pengikat rasa cinta antara suami isteri adalah masakan isteri itu sendiri? Juga pengikat kasih sayang antara ibu dan anak ? Ya...Saya pasti anda pernah mendengarnya kan ?

Malah jika kita imbau kembali kisah dulu-dulu, jika ada si teruna ingin meminang si dara, lalu bertandang ke rumah membawa hajatnya, lalu pula jamuan dimasak oleh si dara, wah, terus jadi ”CINTA PANDANG KE PINGGAN”.hehe..

(^_^) Sekadar gurauan..

REALITI

Hari ini, ada isteri yang lebih suka mengajak suami makan di luar daripada memasak sendiri di rumah, yang mana kita juga tidak pasti sejauhmana tahap kebersihannya, apakah yang dimasukkan ke dalam masakan, tambahan pula entah ke mana selawat dan bacaan ayat suci ALLAH.

Bagi sahabat-sahabat muslimat juga buat diri ini juga, saya yakin jika kita berimpian untuk menjadi isteri mithali, marilah kita mula menjinak-jinakkan diri memasak dan menjadi ahli dapur. Kerana setinggi manapun pangkat kita, atau sebijak manapun kita, akhirnya pengabdian tertinggi itu mungkin Allah nilai diceruk dapur.


Terima kasih Ya ALLAH kerana mengajarku erti keyakinan..
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Agung..
Subhanallah...
Alhamdulillah...
Allahukbar...
Tidak akan pernah jemu menyebut namaNya...


Sunday, November 16, 2008

INGIN MENJADI LEBIH BAIK

Assalamualaikum W.B.T


Alhamdulillah, tamat sudah peperiksaan bagi semester pertama sesi ini. Peperiksaan kali ini agak sukar berbanding tahun-tahun sebelumnya, ialah, tahun pengajian pun semakin meningkat.


Semester ini bermula daripada bulan Jun lagi sehingga hari ini (November) terlalu banyak nikmat pengalaman yang Allah kurniakan. Saya juga tidak terlepas daripada diuji, namun saya ingin belajar daripada setiap ujian yang berlaku dan menghayati hikmah disebaliknya.


SOLEHAH


Tiada wanita di dunia yang tidak pernah mengimpikan untuk menjadi baik kerana wanita solehah ini sebaik-baik perhiasan dunia. Kadang tidak menyangka dalam usaha untuk memelihara diri, bermujahadah dalam dakwah, diri semakin hebat diuji.

Saya banyak merenung dalam majlis-majlis ilmu di tempat saya. Mengapa wanita sering dipersalahkan sekiranya ada dosa antara hati, dosa antara muslimin dan muslimat, dituduh sebagai fitnah dan punca segala permasalah masyarakat.

Mungkin mereka lupa bahawa ada muslimah yang sentiasa ingin memelihara diri, selalu ingin meletakkan hijab dan malu malah sentiasa cuba teguh dengan pendiriannya.


PENDIRIAN


Saya semakin yakin dengan pendirian diri.

Semester hadapan adalah semester getir bagi diri saya. Saya juga tidak mahu membayangkannya.. Tempoh cuti yang ada kali ini, saya berniat untuk ber’uzlah, berazam untuk menghayati masa bersama keluarga. Mencari semangat baru sebelum turun ke medan.


Semangat !

Ingin menjadi lebih baik walaupun hati sarat dengan kesedihan dan kelemahan.


WANITA SEMPURNA ?

” Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka
(adalah) menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang baik dan mencegah daripada yang mungkar...”

(Taubah : 71)

Renungan bersama...

Wanita muslimah memiliki jati diri yang utuh, tidak seperti yang digambarkan oleh sebahagian orang. Ada yang menggambarkan bahawa wanita adalah manusia yang bodoh, lemah akalnya, dan mudah ditipu dengan kata-kata manis.


Ada lagi yang menggambarkan bahawa wanita adalah makhluk yang jahat, sumber mala petaka, dan tidak memiliki kemahiran selain tipu daya.


Wanita itu adalah parajurit....
Perajurit yang tidak dikenali....


Nilailah pengabdian mereka pada rumah tangga, sehingga ramai antara mereka yang mendapat kesempurnaan yang tinggi... Kemuliaan perajurit yang tida dikenali itu dicapai melalui bekerja sepenuh pengorbanan dalam senyap-senyap, tanpa menunggu penghargaan..Jika anda benar-benar tahu..

Namun masih ramai yang memandang buruk kepada wanita muslimah....Mengapa tidak membantu mereka untuk menjadi sempurna ?


Saya berazam...untuk menjadi lebih baik..
Kerana saya meyakini hikmah dan dunia ini hanya untuk mencari keredhaan Allah...

Ya Allah...
Aku hanya ada Engkau Ya Allah...
Cukuplah Engkau bagiku...

” Biarlah diri diuji, kerana tempoh ujian itu walaupun kadang sakit, kecewa dan memenatkan, aku belajar menjadi lebih baik, dan mengambil pengajaran”

- monolog qudwahHumaira’

JOM RESPON ! KAJIAN PENGANGGUR !

Alhamdulillah…


Semalam saya dan rakan-rakan diberi peluang untuk menghadiri satu talkshow yang dipancarkan terus melalui RTM 2. Rancangan Generasi Y yang di hostkan oleh pelakon kacak Awal mengupas isu Pasca Graduan.


KAJIAN PENGESAHAN GRADUAN ( 1.Bergambar bersama Prof. Dr (tengah), dan Encik Rahmat (kiri sekali)
( 2. menanti sebelum masuk ke dewasa, muka-muka baru habis exam)

Ahli panel kali ini ialah Profesor Dr. Mohd Yusof, merupakan Pengerusi Kajian Pengesahan Graduan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Encik Rahmat Ismail, Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja, di Kementerian Sumber Manusia,

Talkshow yang memakan masa kira-kira satu jam ini bagi saya amat memuaskan. Prof. Dr. Menyentuh berkaitan usaha yang cuba digarapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dalam meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kualiti modal insan yang tinggi.

Encik Rahmat pula menekankan peluang yang boleh diambil oleh para graduan dalam mengetahui potensi pekerjaan mengikut bidang dan kebolehan serta kepentingan data maklumat status para graduan selepas tamat menuntut di sesebuah institusi pengajian tinggi.

MENGAPA PERLUNYA KAJIAN ?

Pihak KPT memandang serius masalah pengangguran yang berlaku dikalangan para graduan Malaysia, malah Prof. Dr. berkata, masalah ini sebenarnya berpunca daripada sikap para graduan sendiri yang terlalu memilih pekerjaan dan tidak membuat penelitian prospek pekerjaan yang diingini terlebih dahulu.

Pihak KPT juga melihat ibu bapa telah meletakkan pelaburan yang tinggi untuk anak-anak mereka dalam memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik, justeru perlulah satu polisi dan pembaikan sistem penyampaian info supaya para graduan ini dapat memberi semula pulangan pelaburan tersebut.

Penekanan terhadap perlu adanya simpanan data oleh pihak kerajaan berkaitan sama ada mereka melanjutkan pelajaran, atau mendapat pekerjaan atau menganggur supaya apabila adanya kekosongan daripada mana-mana sektor, ia dapat diisi dengan tenaga kerja anak tempatan dan bukan tenaga kerja asing.


Konklusinya, kajian ini PENTING dan BAGUS !


INFO SEGERA

Terdapat beberapa informasi terkini yang ingin saya kongsi bersama :

  1. Kategori graduan yang layak menyertai kaji selidik ini ialah :
  • Graduan yang menganggur/ bekerja dan masih mencari pekerjaan sesuai
  • Atau graduan yang baru tamat pengajian (1 hingga 3 tahun)
  • Berumur lingkungan 18 hingga 64 tahun.
  1. Borang diisi secara online.
  2. 22 dan 23hb November ini akan diadakan Konvensyen Kerjaya di PWTC, anjuran pihak KPT dengan kerjasama agensi kerajaan, syarikat-syarikat multinasional juga swasta, malah hampir 18,000 peluang pekerjaan menanti anda. Jangan lepaskan peluang !
  3. Untuk maklumat lanjut bolehlah layari http://www.mohe.gov.my/kspgv


HADIAH

Soal selidik ini boleh dibuat dalam masa hanya beberapa minit sahaja, dan insentif menarik bakal menanti. ( Saya dah agak dah, ni pasti nak rasuah supaya ramai isi borang..hehe)

Nak tahu hadiah apa ?

Carilah sendiri !


Wednesday, November 12, 2008

TERLEBIH RASA ?


Hidup bersama manusia pasti akan ketemu dengan pelbagai wajah dan sikap. Ada yang SERASI dengan diri kita, juga ada yang KURANG SERASI, malah ada yang TIDAK SERASI LANGSUNG.

Bagi saya secara peribadi, ia berkait rapat dengan bagaimana kita mengenal diri kita, dan berusaha untuk menerima insan lain dalam hidup kita.

Secara teorinya mudah, tapi kalau berhadapan sendiri dengan manusia terlebih rasa”, haru dibuatnya..Kali ini saya mungkin membuat penilaian dari satu aspek/pihak.

Soalan pertama..Mengapa saya gunakan istilah ”terlebih rasa” ? Sebab rasa ia sesuai, mungkin.

Baiklah..Bagi menjelaskan lagi apa yang saya ingin maksudkan, mari saya bawa anda melihat beberapa contoh kes:

KES 1:

Lelaki A ada seorang member ( lelaki B ). Lelaki B anggap lelaki A ni sahabat baik. Kalau demam si A ni, dia akan menjaga sehingga mengelap badan si A (agak pelik bagi lelaki), kalau si A sakit, dia nak tengok sakitnya tang mana, mudah sangat kecil hati jika si A berkawan baik dengan member lain (cemburu), kalau jumpa si A ni memang layanan 1st class..

Sehingga menyebabkan si A ni rasa tidak selesa, dan terkongkong hidupnya.Ialah, nak buat apa-apa kena jaga hati B. Kesian pun ada..

KES 2 :

Seorang kakak X ada adik Y (junior), adik ni baik dengan kakak ni, dia akan lakukan apa sahaja untuk mendapat perhatian akak X ni, andai tak kena sikit adik Y ni akan tarik muka masam, merajuk. Adik Y ni akan belikan apa sahaja untuk kakak X ni ( macam peminat setia la), kalau nak tidur, pasti nak tidur dengan akak X ni sehingga mengabaikan teman sebilik sendiri (hostel).

Sehingga akak X ni, rasa tidak selesa dan penat nak melayan kerenah adik Y.

Adakah anda mempunyai karakter yang sama seperti lelaki B dan adik Y ?

Allah Maha Pengasih dan Penyayang mencipta manusia dengan pelbagai karakter. Namun niat saya untuk artikel kali ini ialah, jika kita antara yang terlebih rasa, kita merenung beberapa perkara :

1. Jika kita benar-benar sayang kan sahabat kita, sebagai mukmin, mendoakan adalah tanda CINTA yang TERBESAR dan yang TERBAIK tentunya.

2. UKHWAH sebenar antara dua sahabat adalah pada AKIDAHnya. Jika kita teliti sirah Rasulullah S.A.W, kita akan dapati, pengorbanan dan bai’ah yang dilakukan oleh kaum Ansar adalah kerana keyakinan mereka pada yang ESA. Barulah mereka sanggup berkorban harta dan nyawa.

- Dan daripada akidah itulah akan munculnya kasih sayang, yang bertunjangkan Maha Esa-

3. Letakkan pertimbangkan antara MENYAYANGI dan MENYUSAHKAN atau MENGONGKONG sahabat.

4. MEMAHAMI dan MENERIMA sahabat seadanya dia. Kadangkala kita bersahabat dalam sedar atau tidak kita terlalu banyak meminta, dia perlu jadi begini, perlu begitu.

*** Mengapa si B ni buat tak faham dengan perasaan saya ?

*** Mengapa akak X ni tak bagi perhatian pada saya ?

Mungkin kerana ”saya” terlebih rasa. Sehingga sebenarnya mencarik sayang daripada jiwa sahabat.(Nauzubillahiminzalik)

Alhamdulillah, Allah mendengar doa-doa saya. Saya bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang sangat mulia hatinya. Sentiasa mendengar, menegur, memahami.


Pentingnya untuk mencari sahabat yang baik. Kerana sahabat walaupun mereka jauh, atau tidak pandai mempamerkan kasih sayang, sekurang-kurangnya, ikatan hati utuhnya adalah pada DOA.


Bagi saya, sahabat yang soleh/solehah, tidak perlu selalu berjumpa atau berkepit ke sana sini, cukuplah. Sahabat yang membawa kita sentiasa di JALANNYA !!


Sahabat-sahabat, andai saya pernah ”terlebih rasa”, sedang tika itu, sahabat-sahabat tidak menyukainya, maafkan saya ya.(^_^)

Dont say, Oh GOD, look how BIG my PROBLEM are,

But say, PROBLEMS, Look how BIG my GOD is

– monolog qudwahHumaira’

Tuesday, November 11, 2008

TASBIH RABI'ATUL ADAWWIYAH

Looking back on my life
Life that's gladly been given to me
Open my eyes and embrace the smile
Given to you & I
Looking back on my life
No regret only the sweet journey
Lessons from the simple steps
Taking by you & I



If I worship U in fear of hell,

burn me in it
And if I worship U in hope of paradise,

exclude me from it
But if I worship U for Your own being
Don't withhold from me Your everlasting beauty

Friday, November 7, 2008

MENGINTAI DOSA


Dalam kesibukan mengulangkaji pelajaran, beberapa peristiwa yang menyentuh hati berlaku. >>Killer paper akan menjelma tidak lama lagi ni<<

Saya juga tidak pasti apakah puncanya dan mengapa ia boleh berlaku. Namun saya yakini ujian itu sentiasa Allah hamparkan untuk check IMAN” hambaNYA.

Saya tidak berniat bercerita dan buat anda berteka-teki siapakah yang saya maksudkan. Lepas tu, mula timbul PERSEPSI diminda masing-masing. Cuma saya terasa terpanggil untuk mengajak anda merenung sejenak.

Setiap daripada kita, ada atau tidak, pasti mempunyai zaman jahiliah masing-masing. Yang kita sendiri kalau boleh tidak mahu kenang lagi peristiwa lama. Dan kita tidak tahu dengan takdir yang Maha Esa, diuji lagi untuk berada dalam kejahilan.

Saya cuba mencari dalil dari kitab suci dan merujuk kitab-kitab untuk membuat penilaian secara personal.

MENJAUHI SANGKA BURUK

Saya buka semula kitab Madha Ya’ni Intima’i Lil-Islam ( Apa Ertinya saya menganut Islam) oleh AL-Ustadh Fathi Yakan Bahagian Pertama, Apa ertinya saya menganut Islam dari sudut akhlaqnya mengupas berkaitan pentingnya menjauhi sangka buruk dan mengumpat :

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), Karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."
(Al_Hujurat:12)

Dan Rasulullah S.A.W bersabda :

” Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-ngintai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-ngintai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.”
( Hadith riwayat Abu Daud)

Saya tidak akan menyentuh tentang mengumpat, kerana saya memegang azam untuk menjauhi perkara ini dan ianya jelas terang tanpa bersuluh azabnya pedih.

Kita dituntut untuk sentiasa bersangka baik dengan Tuhan, Pencipta kita. Kadang jika Allah turunkan musibah, kita terlalu mudah bersangka yang bukan-bukan kepada Allah.

Saya teringat dialog drama televisyen Islami yang cukup saya dan keluarga minati, ”Mutiara Hati ” :

” Ya ALLAH, apalah dosaku..sehingga aku dihukum begini”

Inilah antara ayat bersangka buruk pada Allah tau..

Bagaimana pula dengan ayat yang saya highlightkan berkaitan:

”jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan)..”
”janganlah mencari-cari keburukan orang ...”
”janganlah kamu mengintai-ngintai keburukan...”

Teman-teman ..

Perasan atau tidak ? Kadang kala kita seperti dapat menghidu perbuatan yang kita rasakan tidak elok, yang mungkin dilakukan oleh orang disekeliling kita.

**( Sebagai contoh: merokok, menonton video lucah sehingga ketagih, atau bercinta bagai nak rak sehingga memberi imej tidak baik terhadap Islam) .

Dan orang disekeliling kita itu mungkin teman sekuliah, teman semeja makan, teman sebilik atau sahabat baik kita sendiri.

Tetapi INGAT !!

Allah mendidik hambaNYa yang beriman untuk sentiasa bersangka baik, kerana prasangka buruk ini akan membawa kepada perasaan benci. Malah jika mereka yang bersahabat dengan kita tahu bahawa kita sedang mencari kesalahannya (walaupun memang salah).

Kita ibaratnya mengHUKUM mereka atas kejahilan mereka
( sedangkan kita tiada HAK untuk menghukum manusia).

APA YANG HARUS SAYA LAKUKAN ???

Melihat kepada masalah yang berlaku, saya mencari-cari jalan penyelesaian. Seandainya kita telah pun TERINTAI atau TERCARI kesalahan orang lain, secara SENGAJA atau pun TIDAK SENGAJA.

1. Mohon taubat agar Allah ampuni dosa-dosa kita, dan mohon keampunan pada teman kita, moga Allah bukakan hatinya untuk menerima HIDAYAH.

2. Ambil peluang untuk berbincang dari hati-ke hati. ” Sharing Moment”. Memberi nasihat dengan berhikmah dan sentiasa mengajak teman ke arah kebaikan.

3. Jangan pulaukan temanmu.. Sekiranya anda telah pun Terintai perangai teman anda, dan anda membenci perbuatannya, jangan menolak dia dari hidupmu, kerana kita juga tidak tahu bila kita akan diuji ( mungkin satu hari nanti kita juga, Allah uji seperti teman tadi, nauzubillah)

Itu sahaja antara jalan penyelesaian yang dapat saya fikirkan buat masa ini. Jika anda ada cadangan, bolehlah sama-sama kongsi.

Nasihat saya.. Indahnya dakwah Rasulullah itu pada akhlaq nya..Dan kita diseru untuk berdakwah secara berHIKMAH..

”Jika kita adalah DAIE... Kita perlu belajar untuk BERHIKMAH..”

- monolog qudwahHumaira’


Saturday, November 1, 2008

PROSPEK’0809 vs DAKWAH !

Hari ini merupakan hari yang amat menggembirakan hati saya. Alhamdulillah, dengan kudrat dan komitmen semua yang terlibat maka penjelajahan pertama Projek Seminar Pendidikan Kebangsaan anjuran Kolej Kediaman Keempat, Universiti Malaya yang dimulakan di Putrajaya sebagai destinasi pertama berlangsungnya projek ilmiah ini.

Saya telah diberi kepercayaan sekali lagi untuk menjadi ”speaker” dan meluangkan masa dakwah (diharapkan yang dapat mengetuk hati-hati) bersama dengan adik-adik tingkatan 4, 5 dan 6 Precint 8, 9 dan 16, Putrajaya.

Ini kesimpulan ’prospek’ dakwah yang dapat saya simpulkan sebagai renungan bersama.

Saya teringat kata-kata ustazah Rahmah dalam kesempatan berbual dan menghadiri majlis ilmu beliau, bahawa Allah telah sediakan dalam kehidupan setiap antara kita peluang dakwah. Sebenarnya, setiap langkah dan degup kita penuh dengan hikmah berdakwah.

Mengajak manusia ke arah yang makruf dan mencegah yang mungkar.


Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

( Ali Imran :110)


Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah orang-orang yang beruntung.

[217] Ma'ruf: segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya.

( Ali Imran : 104)

Dua dalil di atas adalah dalil yang saya kira saya pasti telah dihafal oleh kebanyakan antara kita yang hidupnya telah dipasakkan dengan pejuangan dakwah. Cukuplah sebagai penguat dan rasa puas beramal bersama ayat ALLAH.

Dakwah ! Dakwah !

Thursday, October 30, 2008

BADAI >>>>>

SEKALI WANITA TERGODA
GUGURLAH SEKUNTUM WARDAH DI SYURGA
SEKALI WANITA TERNODA
BERDEKAH-DEKAHLAH SYAITAN DI NERAKA

Tidak mahu kuakui tewas
Biar menggunung


BADAI


Menghempas,
Tidak mahu ku terus menangis
Lantaran pujukanMu cukup manis

” Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman.”

(Ali-Imran: 139)

-Monolog qudwahhumaira’-

Tuesday, October 28, 2008

Monday, October 27, 2008

MAWI ! KELUAR SEKARANG !



“Keluar sekarang ! sekarang !” tengking Ekin, marahnya membuak-buak. ”Buat apa kat tandas perempuan ni?” Mawi lari seperti lipas kudung, menyedari dirinya ditengking dengan kuat.

...............

Hari itu, kecoh satu sekolah apabila berita seorang pelajar lelaki curi-curi masuk ke dalam tandas perempuan tersebar. Mawi dipanggil oleh guru disiplin atas tindakannya yang amat memalukan malah mencurigakan.

Sepanjang perjalanan Mawi pulang ke rumah, dia diejek oleh pelajar yang turut berjalan kaki pulang, ada yang membalingnya dengan batu kelikir jalan, dan ada yang meludahnya sambil menaiki basikal.

Mawi jalan tertunduk-tunduk, sambil menggalas beg yang penuh dengan buku. Mawi mengeluh. Tiba sahaja di rumah, ”Mawi, ambilkan lampin adik, lepas tu buang sampah. Aku nak engkau pergi rumah Mak Nab mintak duit untuk beli susu adik,” Ibu Mawi memberi arahan, belum sempat Mawi meletakkan beg, menghilangkan penat. Namun diturutkan kata ibunya.

Keesokan harinya, guru kelasnya memulangkan buku latihan. Didapati Mawi tidak membuat kerja sekolahnya, malah pembetulan yang sepatutnya dilakukan langsung tidak disentuh Mawi.

Jika anda merupakan guru kelas Mawi, apakah tindakan anda ?

Wednesday, October 22, 2008

Seandainya aku diuji.. dengan ZURIAT

“Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Al-Furqaan: 74)

Antara impian yang kusemai dalam sanubariku… Aku impikan zuriat yang terbaik..

Namun, baru-baru ini, apabila berpeluang untuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, bersama-sama dengan AJK pelaksana Care For All, aku lebih menghayati erti TERBAIK. Erti terbaik yang sebenarnya..


Perasmian dilakukan di kaunter wad pediatrik iaitu pix 6 yang mana ketika itu mengendalikan kanak-kanak menghidapi penyakit kanser, juga lukemia. Ku bertemu dengan ibu kepada Josephine, baby kecil ini berumur 2 tahun, dan dari kecil sudah menerima rawatan kimoterapi. Josephine menghidap lukemia.


Istimewanya Josephine pada pandanganku, dia sentiasa ceria. Bilaku mengajaknya menyanyi, dia turut membuat aksinya. Subhanallah.. Ibunya berkongsi pengalaman, bagaimana pada awal pengambilan air sum-sum tulang, rawatan kimoterapi, sehingga dia mula belajar untuk menjaga makan minum anaknya, berulang alik dari kediaman ke PPUM setiap minggu, satu perkataan yang berbekas dalam hatiku, ialah MENERIMA..


Dia belajar untuk menerima takdir anaknya tidak seperti kanak-kanak lain...
Dia menerima lemahnya anak dan belajar menjadi penguat...
Betapa kuatnya hati seorang ibu..


Zuriat yang terbaik bukanlah sekadar zuriat yang mendapat didikan yang terbaik. Zuriat yang terbaik ialah zuriat yang mendidik hati seorang ibu untuk menjadi yang terbaik.


Aku juga tidak tahu...
Malah takut membayangkan
Seandainya aku diuji dengan zuriat yang menerima nasib yang sama seperti Josephine, Shifa, Humaira’, Ainul Fadh dan kanak-kanak lain.
Melihat anak dalam keadaan sakit namun tidak mampu berbuat apa-apa.
Melihat anak membesar lesu namun tidak merasai derita mereka..

Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.”

(Al-Anfaal: 28)

Ya Tuhan..
Jika dahulu, aku hanya berdoa untuk memperoleh zuriat yang soleh-solehah..
Hari ini Kau kurniakan aku kesedaran bahawa yang soleh dan solehah itu tidak semestinya yang sempurna, sihat dan kuat.


Maha Besar Tuhanku...
Jika dahulu aku hanya berdoa untuk memberi didikan terbaik untuk zuriatku
Hari ini Kau berikan aku petunjuk bahawa zuriat juga boleh mendidik hati seorang ibu..


Duhai anakku..
Terima kasih atas pengajaran yang tidak terhingga
Terima kasih kerana mengajar ibumu untuk menghayati ujian Ilahi..
Kuatkan semangatmu...
Kerana ketahuilah bahawa kasih sayang ALLAH melebihi segalanya


Ya ALLAH
Jauh disudut hatiku, aku merintih dikurniakan
Zuriat penghuni syurga...
Yang didunia berbakti untuk agama
Yang didunia menjadi penyambung dakwah Islam

Yang tika aku bertemuMu,
aku punyai bekalan anak yang soleh sebagai penyambung doa

..................................................................................................

Sunday, October 19, 2008

Oh Tuhan..Dengarlah RAYUKU...

Indahnya berbicara bersama Tuhan..
Berbicara dengan rasa yang sepenuhnya
Tiada cukup isi dunia menilai erti manisnya
Berbicara bersama Tuhan..


Ya Allah,
Aku memahami segala isi dunia yang Kau bentangkan
Lalu Kau berikan aku pilihan
Setelah Engkau perlihatkan kebenaran.


Ya Allah,
Mereka menuntut kasih sayangku terhadap mereka
Yang aku sendiri tidak tahu kemampuanku
Adakah aku salah Ya Allah
Adakah aku berdosa


Aku rindu untuk bertemuMu..
Ajarkan aku Ya Allah segala kejahilanku
Hati nuraniku kadang gagal memujuk diri yang penat


Ya Allah,
KuasaMu ku yakini
Selemah manapun, sekerdil manapun diri ini

Aku telah Kau kurniakan pilihan
Untuk membuat keputusan


Ya Allah,
Andai aku perlu korbankan diri ini
Untuk kasih sayang manusia aku redha
Kerana kasih sayangMu padaku sudah amat cukup


Kurniakan aku kemanisan Ya Allah
Sehingga akhirnya aku tidak lagi meminta


Kurniakan aku kesabaran..
Sehingga akhirnya aku tidak lagi rasa sakitnya


Kurniakan aku keyakinan..
Sehingga akhirnya aku tidak lagi menyesal


Kurniakan aku kecintaan Ya Allah..
Sehingga akhirnya aku tidak lagi berdosa..

Thursday, October 16, 2008

PIDATO atau PENGUCAPAN AWAM ?



Salam harapan dan perubahan…

Semoga kita semua diberi rahmat dan keberkatan ilmu dalam amalan seharian sebagai hamba..

Baru-baru ini saya berpeluang menghadiri bengkel pidato yang disampaikan oleh seorang guru yang hebat. Bengkel ini merupakan bengkel anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM).

Bercerita tentang Cikgu Hafezi, kagumnya saya pada beliau adalah kerana kepetahan beliau dalam pidato, dan rasa bertuah kerana beliau merupakan anak murid kepada Dato’ Syed Ahmad Syed Shamsuddin al-Saggof, penerima Sandang Citra Ageng Pidato Nusantara Dunia) yang mana Dato’ Syed Ahmad ini merupakan anak murid kepada guru yang juga dahulunya pernah mendidik Dato’ Seri Anwar Ibrahim(DSAI) berpidato.

Baiklah..

Hari ini cukup saya berkongsi tentang perbezaan pidato dan Pengucapan Awam(PA) atau bahasa Inggerisnya PUBLIC SPEAKING terlebih dahulu. Memudahkan bicara :

- Pidato adalah warisan bangsa dan budaya nusantara (warisan nenek moyang kita) manakala PA pula berasal dari barat (warisan nenek moyang omputih)

- Pidato merupakan sejenis seni meluahkan kebijaksanaa (ilmu dan seni berfikir) yang menggunakan seni bahasa indah, untuk menambat , memukau, menarik dan mempengaruhi audiens.

- Manakala PA adalah lebih menjurus kepada teknik dan cara penyampaian.

Secara kesimpulan PA ini adalah merupakan SUB kepada pidato itu sendiri.

Kita lihat contoh mudah, ketepikan isu politikus nasional atau isu parti. Saya ingin membawa anda melihat kehebatan DSAI yang bijak berkata-kata sehinggakan setiap ceramah beliau pasti dihadiri hampir puluh ribuan audiens. Hebat bukan ? Antara sebabnya adalah kerana beliau hebat berpidato.

Rasulullah S.A.W adalah pakar pemidato terhebat dunia. Hebatnya pidato baginda sehingga mampu menyentuh setiap roh pejuang Badar, hebatnya pidato baginda sehingga Islam dahulunya menguasai dan tersebar hampir kepelosok dunia, dan sehingga hari ini ajaran Baginda tentang Wahyu keTuhanan segar dihati-hati hambaNYa. Allahuakbar !!

Semoga daripada 2 contoh di atas kita dapat memahami sedikit sebanyak aplikasi pidato dalam kehidupan.

Kalimah yang baik adalah seperti pokok yang baik, akarnya yang teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit.” ( Ibrahim:24)

” Dan demi sesungguhnya Kami sampaikan kata-kata Kami kepada mereka supaya mereka beroleh peringatan lalu beriman.” ( Al-Qasas:51)

Dan 2 lagi dalil di atas kita jadikan sebagai semangat untuk mula belajar berpidato. Jika mahu berdakwah, atau berucap atas pentas, ataupun sekecil-kecil membuat pembentangan dalam kelas, dan diselami dengan seni kemahiran ikhlas ini, pasti setiap dari butiran kata-kata kita akan memberi kesan yang mendalam pada hati-hati yang mendengar.


Perkataan kalimah yang baik, dan sampaikan kata-kata bagi dua surah di atas memberi penekanan terhadap pentingnya cara komunikasi yang berhikmah dan berkesan untuk setiap khalifah di muka bumi ALLAH ini.

Pidato juga penting untuk PENDIDIK seperti saya !