Sunday, February 22, 2009

KU TAHU ENGKAU BERSAMAKU

Allah

Aku merintih lagi dalam sejuk dan sendu
Hina dan lemahnya diri ini dihadapanMU
Tidak tertahan, tidak tertanggung

Allah
Ampuni dosaku yang semakin banyak
Kusedari ujianMu Maha hebat
Kusedari aku gagal sabar dalam ujian

Allah
Aku hidup bertemu manusia
Yang kadang aku hidup terpedaya
Aku mohon petunjuk jalanMU
Moga makin sakit dan berat beban ini
Semakin aku ingat dan rasa dekat denganMU

Allah
Aku mohon kelembutan hati
Pada insan yang ingin aku cintai sepenuh hati
Aku bersedih atas kerasnya hati
Sungguh mereka tidak memahami

Allah
Kau janjikan jalan dakwahMU tidak pernah kan senang
Jihad itu bukan pada senjata dan pada kuasa semata
Jihad itu jelas bagiku apa-apa sahaja yang membawa aku pada jalanMU

Allah
Berilah aku kefahaman
Dan dalam kesempitan masa Kau panjangkan
Dalam kesusahan Kau tenangkan
Dalam kelemahan Kau tiupkan rohul jadid

Allah
Aku punya impian
Punyai zuriat pejuang agama
Aku punya hasrat
Membawa muslimah menjadi pendidik terhebat
Aku punya jiwa
Cintakan kasih sayang

Allah
Perkenankanlah doa-doaku
Aku rindu ingin bertemuMU

MPMUM yang MENDIAMKAN DIRI




Saya mengambil masa untuk berkongsi gerak kerja yang telah dilaksanakan diperingkat MPMUM sekarang. Saya tahu dan faham ramai yang meluahkan MPMUM masih belum nampak PERUBAHANnya. Mana perubahan yang dijanji dulu ?

Sesi MPMUM sebelumnya memegang amanah bermula OKTOBER dan masih mempunyai masa untuk menjalankan perkampungan pada cuti semester (DISEMBER), membincangkan perancangan, urusan pentadbiran dan pengurusan, gerak kerja setiap biro dalam tempoh tersebut, seterusnya muncul dengan penuh yakin apabila sesi kuliah bermula pada tahun berikutnya.

Berlainan pula dengan MPMUM kali ini yang hanya menerima Watikah Perlantikan pada 5 Februari baru-baru ini perlu merancang gerak kerja dalam tempoh dua minggu tersebut, urusan pentadbiran yang penuh dengan prosedur dan gerak kerja program yang padat. Perancangan dalam jangkaan hingga OKTOBER.

SIAPA PEDULI

Ini yang saya doktrinkan dalam fikiran saya, mahasiswa lainnya tidak akan peduli tentang bagaimana teruknya kerja yang perlu dilakukan, mereka mahukan PERUBAHAN !! Ya, saya bersetuju. Saya memahami dan saya bertanggungjawab sepenuhnya. Kini, masa itu bagaikan EMAS PERMATA ZULIAN..(^_^)

ROADSHOW

Saya maklumkan terlebih dahulu bahawa MPMUM akan mengadakan ROADSHOW ke kolej-kolej kediaman bermula 22 februari hingga 2 Mac ini.

Roadshow kali ini akan digunakan sepenuhnya untuk mengumpul, mendengar aduan dan luahan daripada pihak rakan-rakan mahasiswa, sebelum kami mengadakan BENGKEL INDUKSI bersama pihak pentadbiran UM pada 6 hingga 8 Mac nanti.


TUNJUK AJAR

Alhamdulillah, saya diketemukan dengan akak-akak HEP yang sangat baik dan sentiasa membantu. Mr. Murthy and Puan Aziah yang sangat mengambil berat dan sedia mendengar.

Sekarang, saya perlu belajar menguasai selok belok pengurusan dan pentadbiran. Dan jangan lakukan kesilapan yang boleh menghancurkan MPMUM kali ini.

Bersungguh-sungguh !
Bersungguh-sungguh !

Belajar bersungguh-sungguh ! Cari kenikmatan beribadah dengan pertemuan manusia. Kelak Kau akan tahu bahawa tiada lain hanya Allah.

NOTED :

PEMILIHAN AJK MPMUM
BORANG PENILAIAN PERKHIDMATAN BAS SHUTTLE
BORANG APA YANG ANDA MAHUKAN DARIPADA MPMUM

Wednesday, February 18, 2009

ISU SPOT CHECK KOLEJ ; MAHASISWI TRAUMA

Dalam kesibukan dan rasa lemah, aku memohon ketenangan dan kekuatan hati.. Allah.Aku hanya ada ENGKAU..

Isu ini menjadi tumpuan saya baru-baru ini, malah saya percaya semua rakan mahasiswi kolej juga sangat sensitif dengan apa yang berlaku. Saya telah suarakan isu ini dalam mesyuarat JIK kolej dan mengharapkan satu kata sepakat yang akhirnya memberi kebaikan kepada wanita, namun jangkaan saya tepat, tiada jalan penyelesaian malah kata-kata yang cukup menggugat kesabaran telah saya terima.


PENDIRIAN

Pendirian saya terhadap isu ini jelas :

  1. Saya tidak menolak usaha spotcheck yang dilakukan oleh pihak pentadbiran, PERSOALANNYA, PERLUkah penyelia lelaki turut sama memasuki bilik pelajar perempuan ?

  1. Saya memberi pandangan bahawa selepas ini hanya penyelia wanita sahaja yang masuk ke dalam bilik. Cukuplah penyelia lelaki berada diluar jika memang begitu pengamalannya di kolej-kolej kediaman. Namun DITOLAK BULAT-BULAT tanpa memberi penjelasan yang bersifat PROFESIONAL. Semuanya berdasarkan EMOSI semata-mata. Bukan ini yang mahasiswi mahukan.

  1. Saya menolak jika isu ini DISAMAKAN dengan kes histeria, kes staf atau kontaktor yang naik ke aras untuk membaiki kerosakan bilik. Kaitan yang cuba di tunjukkan, ialah kedua-dua kes ini melibatkan penyelia lelaki. Namun, saya tegaskan beza keadaanya : Mereka masuk ke dalam bilik dengan pengetahuan pelajar wanita atau pengumuman dibuat terlebih dahulu ( that is the prosedure).

  1. Saya KECEWA pada sikap yang TIDAK SENSITIF terhadap isu melibatkan PRIVACY wanita, TERTIB, dan AIB wanita itu sendiri. Ini bukan SOAL AGAMA semata-mata yang menuntut pemeliharaan maruah, semua wanita tidak kira agama, kaum atau latar belakang akan rasa malu bila keadaan ini berlaku.

  1. Tuduhan diletakkan bahawa setiap bilik yang dimasuki, akan dipastikan semua ahli bilik yang sedang tidur bangun. Saya lontarkan persoalan, MEMANG BERLAKU ketika spotcheck ada bilik yang mahasiswinya sedang tidur ketika penyelia masuk ke dalam bilik. Saya diYAKINKAN bahawa mahasiswi tersebut dipastikan tertutup daripada terdedah auratnya. INILAH TITIK PERSOALANNYA, bagaimana sekiranya siswi tersebut TERJAGA ? Terkebil-kebil, bangun dan mendapati dalam keadaan separuh sedar dihadapan mereka ada penyelia lelaki ???? ? Sempatkah untuk ditutup auratnya ? Nauzubillah. Jalan apa yang mahu dipilih ? Sebab itu saya suarakan, MENGAPA PERLUNYA lelaki di dalam bilik perempuan ? Alangkah baik jika tidak masuk, tunggu diluar bilik. Malah saya yakin pimpinan JTK wanita juga ada untuk membantu.

  1. Saya tegaskan jika PERATURAN itu digariskan untuk kebaikan namun hakikatnya TIDAK membawa kebaikan dan tidak selari dengan sensitiviti manusia, sewajarnya ianya dikaji semula, kerana peraturan ini dibuat oleh manusia untuk manusia.

  1. Saya turut terkesan, apabila ada antara mahasiswi yang mula FOBIA dan rasa bimbang untuk MELELAPKAN MATA pada jam 2 hingga 3 pagi selepas peristiwa tersebut berlaku. Malah, bilik saya juga tidak terlepas di spotcheck, didenda atas kesalahan yang dilakukan ( tidak check in). Dalam keadaan mamai, bangun dan sempat mengenakan tudung, tidak lama kemudian melihat penyelia lelaki duduk atas katil menulis borang denda, cukup terkejut ! Sekadar menceritakan.


PROFESIONAL


Sehingga ke tahap hari ini saya belajar suatu nilai yang sangat penting dalam kepimpinan iaitu PROFESIONAL. Saya dikatakan tidak amanah dan sanggup mencanang jawatan kepada pihak lain, saya dikatakan sanggup memusnahkan diri sendiri semata-mata bercakap bagi pihak orang lain, saya diburukkan tidak menghormati orang yang lebih tua, dan macam-macam lagi kata hina.

Namun, saya sangat bersyukur, sekurang-kurangnya saya telah berusaha untuk membawa isu ini supaya ianya dilihat, pihak yang mentadbir tahu apa respon mahasiswa, membuat timbang tara dalam setiap keputusan, mengambil berat pandangan mahasiswa untuk kebaikan bersama dan yang paling penting, mesyuarat dirakam dan diminitkan (valid prove).

Its my responsibility, saya cuba menjaga kata-kata saya dan tidak terlalu keras dalam menyatakan pendirian, cuba berdiplomasi, namun ianya tidak kan pernah berakhir dengan kata putus penyelesaian kerana pandangan dilihat sebagai kritikan dan bukan pembuka kepada peluang mencari penyelesaian. EMOSI !!

BILA MAHU BERUBAH ?


Saya menyeru kepada semua mahasiswi supaya sensitif terhadap isu wanita. Hari ini pelbagai isu berlaku, isu bayi ditinggalkan dalam laci meja, isu ADUN yang disiarkan bogel, isu gadis cuba dilacurkan di negara jiran, isu keluarga yang dibunuh dan pelbagai lagi isu amat MENAKUTKAN kita.

Seandainya isu ini dibiarkan, saya yakin HIKMAHNYA selepas ini kita hanya akan diam apabila TERTIB dalam BERPERATURAN hilang !!


Saya membawa suara wanita. Kerana ia dekat dihati saya. Nampaknya, mesyuarat yang sepenting itu gagal membawa kata putus..Tidak boleh berdiam diri.

Saturday, February 14, 2009

ISU TERKINI..RM125? PELAJAR TERBEBAN !

Sebilangan pelajar bertemu saya dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap bayaran Malam Anugerah Bestari yang akan diadakan Mac ini. Peningkatan sebanyak RM 25 daripada harga sebelumnya RM100 bagi pelajar ianya membebankan. Jika dahulu, laungan ”student power” memang cukup membuatkan pihak berkuasa berjaga-jaga dan teliti untuk sebarang peningkatan harga walaupun 10 sen. Namun, hari ini, semuanya tunduk dan akur. Masa untuk berubah !

Saya tidak mahu dan tidak akan ambil pusing dengan isu kenaikan harga yang berlaku di kolej kediaman lain. Mungkin , pelajar di sana hanya akur ataupun terasa terbeban namun tidak berdaya untuk bersuara, ataupun memang tidak terasa terbeban ”langsung”!

LETAK JAWATAN


Saya mengambil keputusan meletakkan jawatan untuk projek ini sebagai Timbalan Pengarah selepas majlis watikah perlantikan sebagai setiausaha MPMUM sesi ini. Sebenarnya saya telah menyuarakan isu peningkatan harga ini kepada pihak pengurusan dan bertemu sendiri dengan pihak hotel iaitu Encik Fouzi yang merupakan Assistant Director of Catering Sales di Hotel Legend sebelum musim PRK lagi. Ketika itu, saya bersama Pengarah, dan dua orang Penyelia Penasihat.

PENERAPAN NILAI


Budaya yang cukup tidak saya sukai adalah apabila pandangan ditolak oleh sesetengah pihak yang terlalu bersikap defensif mempertahankan pendirian sendiri. Sekurang-kurangnya, ambil masa untuk mendengar, janganlah ditolak bulat-bulat. Rasa hormat bukan perlu diminta, ianya akan hadir dengan sendiri.


Saya tidak memahami mengapa batang tubuh yang disepakati fungsinya sebagai badan perantara penghuni kolej kediaman dengan pihak pentadbiran mengambil tindakan untuk diam dalam mesyuarat dan memberi alasan yang cukup tidak boleh diterima bahawa berfungsi kerana ”dilantik” dan bukan ”menawarkan diri”.


TIDAK BOLEH TERIMA

Saya memahami mengapa harga bayaran dinner kali ini meningkat. Dan antara penjelasan yang saya peroleh (ketika itu saya masih Timbalan Pengarah) :

  1. Harga sebenar bayaran dinner adalah RM 115 (menu yang lebih kurang sama seperti menu sesi lepas dengan nilai harga barang naik) + RM 10 (e-majalah, doorgift, lain-lain)-bermaksud tajaan yang dicari adalah kurang.
  2. Students mampu beli top up sehingga RM 30 sehari tak kan tambah RM 25 untuk dinner tak mampu.
  3. Dinner kolej adalah maruah kolej, inilah satu-satunya majlis penganugerahan berprestij kolej kediaman, kita mahukan yang terbaik dan menjadi kolej yang terbaik dalam sambutannya.


Saya menegaskan bahawa pasti akan ada pelajar yang marah. Duit sudah pasti akan dipotong, bagi sesetengah yang benar-benar tidak sukakan majlis yang terlalu berbentuk hiburan, dengan mudah akan mengambil keputusan untuk tidak hadir.


Ini bukan soal mampu atau tidak seorang pelajar itu membuat pembayaran, ini soal, mahasiswa tidak tahu menahu tentang percaturannya. Mereka mempunyai hak untuk mendapat penjelasan kerana yang dipotong bukan duit pihak pentadbiran, namun duit pelajar.


RESPON ?

Insya ALLAH..Moga ALLAH beri kekuatan..

Friday, February 13, 2009

MENCARI TITIK PERSIMPANGAN

Setelah membaca blog yang saya masuki secara rambang (bermaksud tidak mengenali empunya diri), timbul persoalan dibenak hati dan ditangkai minda, apa yang menyebabkan mereka berfikir seperti itu ?

Hakikatnya, saya telah lama menyukai fitrah perbezaan pemikiran dan melihatnya sebagai suatu yang bersifat optimis dan opurtunis. Mengapa ? Ia bertunjangkan didikan alami seseorang.

Mengapa saya berpendapat ia bertunjangkan didikan alami ? Ini kerana, pemikiran antara kita dibentuk dan dididik dengan cara hidup dan pengaruh persekitaran. Samada yang baik dan buruk itu dijadikan timbangtara sebelum membuat keputusan, atau ditelan bulat-bulat.

KE MANA HUJUNG JALAN PERSIMPANGAN ITU?


Huh..berat soalan ini. Saya pernah bertanyakan kepada seorang rakan pelajar kaum Cina yang mengakui dia menganut Atheis, teruja dengan perkongsian beliau yang tidak percayakan Tuhan, saya bertanya dalam kelas Kepimpinan Diri dan Organisasi ketika itu, apa sebenarnya tujuan dia hidup didunia jika dia sendiri tidak tahu apa penghujung kehidupan .

PERSIMPANGAN YANG DICARI


Ayat ini cukup menerangkan mengapa berlakunya perbezaan dalam berfikir. Kadang, apabila saya bertemu dengan individu yang mempunyai pemikiran yang sangat berbeza walaupun pada akidah dan kepercayaan yang sama, saya rasa penat namun redha.

Alhasil, tidak perlu saya memerah otak untuk memberi penjelasan mengapa jawapannya adalah begini dan bukan seperti yang dia fikirkan. Kerana akhirnya, tidak akan ketemu penghujung yang dia mahukan.

SAYA MESTILAH DAPAT MENGUASAI DIRI


Dalam kehidupan ini, insan bertarung dengan diri sendiri. Adakalanya menang, dan adakalanya kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang berterusan.

Hakikatnya, doa dan sujud memohon perlindungan dan kebaikan dunia akhirat perlu dijadikan amalan, kerana kebenaran itu hanya milik ALLAH. Sememangnya pertarungan ini berterusan sehinggalah ajal maut menjemputnya:

” Dan jiwa serta penyempurnaanya (penciptaannya) maka Allah akan mengilhamkan pada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya itu dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya”.

(surah al-syams :7-10)

Allahuakbar...
Kadang kita sangat yakin dan berbangga diri
Kita merasakan kita lah yang benar dan sebenar-benarnya
Lantas kita menolak pandangan yang selainnya
Astaghfirullahal ’azim
Ampunkan dosa-dosaku Ya ALLAH

Saya bimbangkan pada hati yang kotor dan dibelit dosa, malah rasanya tiada hari tanpa dosa. Dalam kesibukan, saya mencari-cari peluang untuk mengisi hati, walaupun hanya dengan bacaan.


Ampuni dosa-dosaku Ya ALLAH..
Kadang terlalu mudah menghukum manusia
Tanpa sedar hanya Engkau yang layak MENGHUKUM dan MENILAI

Ingin rasa dekat denganMU Tuhan.


Ingin berkongsi, insaf apabila membaca ayat ini :

“Dan di antara menusia itu ada orang-orang yang berkata;
“ Kami beriman kepada Allah: tetapi apabila ia disakiti ( kerana beriman) kepada Allah ia menganggap fitnah itu sebagai azab Allah dan jika pertolongan dari Tuhanmu mereka pasti akan berkata : ” Sesungguhnya kami adalah besertamu”. Bukan kah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia ? dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang munafiq”.

(surah al-‘ankabut : 10-11)

“ Dan sesungguhnya Kami akan benar-benar menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad da bersabar di antara kamu dan agar Kami menyatakan ( buruk baik) hal ehwalmu”.

(surah Muhammad: 31)

Sunday, February 8, 2009

KEADILAN NYATA BUKAN DIDUNIA

2 hari saya termenung dan cukup kesal atas apa yang berlaku terhadap seorang pimpinan pelajar yang saya cukup kagumi berikutan keberanian beliau menyatakan pendirian bagi pihak mahasiswa kebanyakan di Perak baru-baru ini.


Bagi yang masih belum mengetahui kisahnya, saya rumuskan kisah ”Rampasan Kuasa di Perak” :

Adun yang isytihar menjadi BEBAS namun akhirnya menyertai BN:

  1. Jamaluddin Radzi ( PKR – Behrang)= Exco Kerajaan Negeri = Menghadapi tuduhan jenayah rasuah
  2. Mohd Osman Jailu ( PKR- Changkat Jering)= Exco Kerajaan Negeri= Menghadapi tuduhan jenayah rasuah
  3. Hee Yit Foong ( DAP- Jelapang)= Timbalan Speaker Dun

Adun UMNO yang menyertai PKR dan Lompat semula kepangkuan BN :

  1. Dato’ Nasarudin Hashim

Kerusi :

PARTI

SEBELUM

SELEPAS

PKR

32

28

BN

27

28


Sepatutnya kerusi mereka kosong kerana telah melanggar aku janji yang dibuat ketika bersama PKR, dan hasil perletakan jawatan sepatutnya menjadikan mereka rakyat biasa, dan pilihanraya semula perlu dilakukan bagi memilih Adun baru.

Namun apa yang berlaku, pengisytaharan kemenangan BN dan angkat sumpah dilakukan mengetepikan Undang-undang Perlembagaan.Kasihan rakyat kebanyakan….

BEBERAPA PERKARA YANG MAHASISWA HARUS TAHU


Melalui beberapa pembacaan dan pemerhatian, suka ingin saya berkongsi dengan anda:

  1. Nabi Muhammad S.A.W apabila ditawarkan kepadanya sebuah negara, jawatan, kedudukan dan harta benda secara percuma, baginda menolak dengan tegas kerana apa yang ditawarkan itu tidak dibina atas landasan akidah yang betul
  1. Mahasiswa universiti telah didedahkan tentang perlembagaan Persekutuan dan memahami bahawa ianya merupakan dokumen yang mengandungi undang-undang tertinggi untuk wujudkan sistem kerajaan teratur.
  1. Dunia hari ini membuktikan kebenaran itu berada dalam tangan si kaya yang berkuasa, betapa pemimpin hanya mementingkan perut dan kepentingan sendiri malah lupa mereka diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir.
  1. Sejarah ”politik culik” menjadi agenda pihak tidak bertanggungjawab samada menggunakan wang ringgit, jawatan, ISA dan jika tidak berjaya juga BUNUH sebagai kegilaan. ( Ini telah terbukti : sejarah politik culik 60-an, 70-an hingga hari ini)
  1. Menunjukkan betapa AKUR dan TIDAK BERDAYA nya rakyat melawan PENCABUL perlembagaan !
  1. Mahasiswa yang juga rakyat adalah murid sekolah yang sepatutnya duduk dan belajar tanpa perlu mengambil tahu hal anak bangsa sedangkan mahasiswa inilah yang lebih terdedah dan mengkaji !


PEMIMPIN ISLAM

Baru-baru ini saya berkesempatan mendengar tazkirah berkaitan pemimpin Islam yang dan aplikasinya. Berdasarkan dalil ini jelas menunjukkan apakah peranan sebenar seorang pemimpin :

Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat darin jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan. ( shaad:26)

Dan sebagai hamba Allah, saya menolak pemimpin :

  1. Tidak meletakkan Islam sebagai akidah perjuangan ( kebenaran)
  2. Sanggup merendahkan maruah dan nilai sebagai manusia dengan harta =rasuah
  3. Mengetepikan keadilan terhadap ummat malah pentingkan diri sendiri = mengetapikan hak rakyat sedangkan dipilih oleh rakyat
  4. Tidak mempunyai dasar pendirian yang jelas = main lompat-lompat parti

MAHASISWA DAN KETAKUTAN

Hari ini, masih ramai mahsiswa yang mungkin mengambil jalan untuk keluar daripada sikap ambil tahu tentang apa yang berlaku dalam masyarakat luar. Sedangkan mahasiswa inilah yang akan menjadi generasi pemimpin negara.

Mahasiswa segolongannya menolak untuk terlibat dengan politik dan mendakwa kampus ini hanyalah tempat untuk menuntut ilmu, sedang lupa betapa perlu untuk bersedia sebelum terjun ke dalam masyarakat. Tidak memahami beza menjadi ahli politik dan memahami politik. Fobia dengan perkataan politik.

Hakikat, mahasiswa sepatutnya menjadi agen dikalangan cerdik pandai yang terdedah dengan pelbagai maklumat. Ketakutan yang dibina menyebabkan mahasiswa mengambil langkah berada dalam dunia sendiri dan lupa bahawa tanggungjawab menyampaikan kebenaran itu sangat dituntut dalam agama :

Sabda Rasulullah S.A.W :
” Barangsiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihat orang Islam maka is bukanlah dari golongan mereka”

Keadilan kini sudah tidak boleh dilihat lagi kerana disaluti lemak-lemak topeng manusia yang berTuhankan hawa nafsu. Itulah tanda kita sudah berada dipenghujung dunia.