Thursday, December 30, 2010

KONGSI DIARI



Sekadar perkongsian, apabila saya melihat kebanyakan kanvas muslimat berkisarkan pengalaman dan corat coret diri sendiri. Kadang saya terfikir saya terlalu serius dalam berpena..ada isu yang saya ingin lakarkan pendapat sendiri namun akhirnya batal begitu sahaja kerana khuatir nampak kedangkalan berfikir kerana ceteknya maklumat dan hadaman isi lalu yang dihamburkan hanya kata kosong.


Hari ini saya berniat untuk kongsikan kenangan 2010. Ia sekadar ingatan bahawa kita hanya merancang, dan Allah lah sebaik-baik perancang. Ia buat kita mengerti masa meninggalkan kita begitu sahaja jika tidak dimanfaatkan. Ia buat kita faham dalam kehidupan kita sentiasa harus membuat pilihan. Dan mengajar kita erti belajar daripada pengalaman.


Kita bisa faham mengapa Allah mentakdirkan kita lahir bukan pada era zaman kebangkitan Islam tapi ya, kita berada pada binasanya ummat akhir zaman.

Kita bisa ngerti mengapa Allah tidak mentakdirkan kita menjadi ahli sufi taqarrub tinggi padaNya tapi menjadi manusia biasa yang kita tahu akan merasa neraka.

Kita bisa tahu bahawa bentangan umur yang ada kita gagal usaha untuk menghargai nikmat Islam yang subur menyinar dalam tubuh sedari kecil.

Kita bisa jelas dengan mata betapa melata maksiat dan kezaliman berlaku diluar upaya kita untuk menahannya.


2010 hanyalah setahun yang pendek, saya berada di tahap terakhir pengajian Universiti, melepaskan amanah sebagai setiausaha perwakilan mahasiswa. Jujur masa yang diberikan untuk menyempurnakan amanah itu tidak pernah cukup. Saya tidak pernah merasa begitu sesak selain masa ini. Pengalaman bermakna saya rakamkan untuk bekalan mendatang. Lalu saya simpulkan, tidur tidak akan pernah lena tika bahu memikul amanah dan tanggungjawab. Ia diluar kawalan dan upaya, hanya Allah tahu samada amanah itu disinsing tepi atau ditatang penuh.


Awal tahun 2010 diari saya catatkan penuh dengan kesedihan. Lalu saya sedar bahawa saya tidak cukup ikhlas beribadah pada Allah kerana saya sukar redha dengan pemergian ayah. Allah hanya tarik satu nikmat dalam jutaan nikmat yang saya rasai, sedangkan setiap nikmat itu hanyalah pinjaman. Saya adalah anak yang mula-mula mengesyakki penyakit ayah, namun saya diamkan kerana saya juga sebenarnya tidak mahu menerima hakikat itu jika ia adalah benar. Kini hampir 8 bulan ayah dijemput Allah. Sedarlah saya bahawa tiada satu pun didunia ini adalah milik mutlak manusia. Tapi manusia sering berlagak seperti mereka memiliki segalanya. Astaghfirullahal’azim. InsyaAllah mungkin esok lusa kakde akan menyusul pula bertemu Allah.


Hebat Allah dalam mentadbir hidup manusia, saya menghabiskan hujung masa saya di Kuala Lumpur dengan ditarbiyah Allah bersama anak muda Sekolah Sains Alam Shah. Saya belajar bagaimana melihat potensi dan mempengaruhi minda dengan ilmu sains dan dakwah. Dan kemudian menghadiri majlis konvokesyen di UM. Oh, sudah 4 tahun rupanya saya di sini. Tahun 2010 saya telah bergelar graduan dan hujung tahun saya menjadi penanti kerja.


Selesai Ogos sehingga hujung tahun 2010, Allah mentarbiyah saya dengan anak-anak, saya menjaga anak-anak daripada 2 orang kakak yang bersalin hanya selang 2 bulan. Subhanallah, inilah yang paling menenangkan hati dalam takjub melihat bayi sedari lahir sehingga mencapai umur bulanan membesar saban hari didepan mata. Hebat Allah mencipta manusia, bulu mata dan rambut yang panjang dari hari ke hari, badan yang semakin berisi hari ke hari, esakkan mahu susu atau pelukan, bagaimana beribadah dalam keadaan uzur berpantang, amalan-amalan soleh perlu diterap buat anak sedari kecil. Menakjubkan sungguh! Hebat Allah!


Kasih sayang Allah dirasakan tidak pernah sirna, dalam usaha setiap minggu menziarahi pusara ayah, 2 bulan saya mengambil peluang menyumbang untuk masyarakat sekitar, menyertai Rukun Tetangga dan mengadakan tuisyen dirumah buat anak-anak jiran. Allah sentiasa membantu dan menjaga hambaNya, lalu saya merasa cukup gembira mengisi masa tidak bekerja dengan mendidik mereka.


Mengapa agaknya saya berkongsi hal peribadi di kertas blog? Hanya satu, kerana apabila kita belajar melihat kembali perjalanan hidup, laluan yang kita ambil sebagai nilaian kehidupan sekurang-kurangnya kita sedar betapa mewahnya hidup ini dengan Kasih Sayang Allah..Segala puji bagi Tuhanku yang menjadikan aku muslim.


Bisa ini adalah tahun terakhir berada di dunia, jadi mungkin menjadi diari terbuka berkongsi kasih sesama manusia. Moga hari ini lebih baik dari semalam.

Sunday, December 5, 2010

KETUANAN MELAYU, DI MANA TUANNYA?


Bila berbicara soal Melayu, saya percaya ia melangkaui aras kepartian, kerana calitnya pada keturunan. Ia datang dari nenek moyang. Saya juga percaya beberapa kemungkinan dalam mencapai dakwah penyebaran agama Islam ialah melalui bangsa. Ya, jika kita lihat medium paling mudah untuk sampaikan Islam adalah melalui bangsa kita. Kerana orang Melayu di Malaysia kita kenal sebagai “Islam”. Tapi dihujungnya saya tidak bersetuju. Mungkin saya boleh kongsikan kemudian.


Bangsa Melayu adalah bangsa yang menetap dalam Tanah Melayu sejak sekian lama (beserta golongan pribumi yang lain) bahkan suatu bangsa yang mempertahankan Islam sejak sekian lama di Tanah Melayu ini. Jika sejarah berkembangnya Islam dahulunya adalah kerana bangsa ini. "Tanah Melayu" sendiri sudah menunjukkan kedudukan bangsa Melayu sebagai penduduk asal yang membangunkan tamadun di Malaysia.


Atas dasar kepercayaan Orang Melayu adalah penduduk asal tanah Melayu ia dikaitkan dengan “ketuanan”. Namun begitu, isu Ketuanan Melayu saya lihat selalu dicanangkan dengan kasar oleh sesetengah pemimpin Melayu. Mereka bercakap besar dan melampau. Jika ada Melayu yang beriktikad bahawa mereka adalah lebih mulia daripada bangsa lain maka ia adalah sangat ditolak oleh agama. Tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ia berdiri di atas nas jelas bersumberkan Al-Quran, contoh (al-hujurat:13).


Perlembagaan negara artikel 153 bercakap soal hak keistimewaan orang melayu yang menekankan soal melindungi kepentingan dengan sebagai contoh mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia berkaitan dengan kontrak sosial yang telah lama dimenterai dahulu dan ia tidak sedikit pun mengurangkan hak orang bukan melayu dalam mendapatkan manfaat sebagai warganegara.


Namun, satu persoalan yang kini tampak jelas. Adakah hak keistimewaan ini benar-benar dilindungi oleh kerajaan yang memimpin ? Apabila saya membaca akhbar tentang satu bait kata Dr. Wan Azizah bahawa Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri ada benarnya jika dilihat natijah kekayaan segolongan Melayu ini. Kerana setelah sekian lama kerajaan sedia ada memimpin masyarakat negara saya melihat semakin kaya sesetengah dari mereka, namun ada Melayu yang lain langsung dinafikan hak mereka.


Lambakan isu rakyat yang semakin parah, masalah sosial yang semakin membimbangkan, wang rakyat ditaruhkan dengan perancangan-perancangan yang tidak mendatangkan pulangan kebaikan kepada rakyat. Bahkan ia melibatkan sebahagian Melayu yang dikatakan istimewa tadi. Justeru adakah masih relevan jika kita lantang bersuara soal ketuanan atau hak keistimewaan ini ? adakah rakyat masih mahu menerima dengan senang “ya aku memang istimewa” ?


Bagi saya, saya malu untuk menjadi melayu kerana Melayu kini tidak sama seperti dahulu. Nikmat Islam Melayu ini kita gunakan untuk merasa bangga dan menolak hak manusia lain dengan nilai ketuanan melampau. Saya rasa jijik mendengar apabila ada pemimpin Melayu bangkit dan berkata yang boleh menjadi perdana menteri hanyalah orang Melayu sedangkan Islam mengangkat siapa sahaja untuk dipilih menjadi pemimpin selagi dia adalah Muslim. Ya, saya gagal melihat bagaimana sejarah membentuk negara, mungkin saya adalah anak muda yang tidak tahu menghargai jasa pejuang-pejuang Melayu dahulu. Namun malunya saya, kerana kita pemimpin-pemimpin ini berbangga dengan Melayu tetapi tidak ISLAM.


Mengapa sesetengah pemimpin Melayu tidak bercakap soal indahnya Islam ? Mengapa tidak menjadikan medan sebagai pemimpin untuk mengajak bangsa lain kepada Islam ? mengapa tidak gunakan media yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan parti melayu itu untuk benar-benar mengajak rakyat kepada Islam sebenar dan bukan sekular, liberal atau apa sahaja fahaman yang bukan cerminan Islam sebenar.


Saya mungkin hanya anak Melayu yang pandai mengkritik segala yang dirasakan tidak kena, belum pernah merasai amanah mengurus tadbir rakyat. Sesiapapun yang dipilih oleh Allah untuk bersama amanah itu, sungguh berat bagi mereka untuk benar-benar adil. Namun pilihan itu disuburkan melalui demokrasi. Kita bisa mengubah paradigma terlalu bahagia dengan slogan tanpa makna kerana natijahnya hanya indah khabar dari rupa.


Tiada tuan dibumi Tuhan.


Saya tidak menulis untuk anda bersetuju dengan saya.

Monday, November 29, 2010

TAJAMNYA MATEMATIK ITU


“Baiklah, ini adalah soalan yang palliiingggg senang sekali sangat” saya tersenyum lebar, dia mula memandang saya dan berkata “ Susah la tu maksudnya.” Anak itu membuatkan saya tersenyum sekali lagi.


Tahun ini dia sudah tamat tahun dua, namun, dia masih tidak boleh menambah dan menolak dengan baik padahal silibus pengajiannya sudah patut bagi anak ini pandai sehingga mengira wang. Kali ini sukar bagi saya, kerana saya mengajar seorang anak yang sangat culas belajar.


“Haritu Syafiq dapat markah tinggi untuk subjek sains, ingat tak? “ Dia tersenyum.


“Hebat sangat cikgu rasa. Syafiq pandai sains, dapat kedua tertinggi,dapat hadiah lagi” saya cuba lagi memancingnya.


“Ala cikgu…….” berdalih lagi anak ini.


“Ok, mana yang susah, bagitau cikgu” saya mula mengambil kertas soalan dan letakkannya dihadapannya.


“Syafiq ambil biskut ni, kira ikannya” Saya meminta dia mula mengira biskut ikan di hadapannya. Jika tambah operasinya, saya minta dia kumpulkan satu kelompok dan kelompok ikan yang lain.


Nampaknya dia semakin seronok bermain dengan ikan, sehingga lama kelamaan disuapnya baki biskut ikan itu ke dalam mulutnya.


Dan nah! Semua jawapannya betul !


“Yay ! Syafiq betul semua lah! Subhanallah, pandailah anak murid cikgu ni.” Dia mula tersenyum menampakkan gigi depan dua batangnya yang putih.


“Syafiq tahu tak” saya minta dia pandang mata saya. “Syafiq ni pandai, tapi…” saya sengaja memanjangkan tapi..


“Malas ya cikgu” dia mula menduga.”Mana Syafiq tau ni? Orangkan, kalau dah pandaikan, lepas tu tambah lagi rajin buat latihan matematik lebih hebat tau. Nanti boleh kira macam-macam, kalau main game kan nanti lebih laju..” saya menduga dirinya.


“Aik, apa kaitan matematik dan game cikgu?” Kepala saya ligat mencari jawapan yang terbaik untuk anak ini.


“Ehem..orang kalau main game kan tangan dia kena cepat macam otak. Kena lajulah maksud cikgu. Kalau main kereta, kalau nampak selekoh kena cepat-cepat tekan kiri atau kanan pada joystick kan. Kalau Syafiq rajin buat latihan matematik, nanti minda Syafiq jadi lebih tajam. Fuhh..memang hebat tau!” Matanya mula bersinar-sinar.


“Oh, patutlah abangngah dia selalu kalahkan Syafiq” dia tergelak.


“Lepas ni kena rajin buat latihan matematik tau, baru boleh jadi hebat.”


Di akhir kelas, saya mula berfikir, betulkah cara saya menyuntik semangat anak itu. Saya tahu, ia perlu konsisten. Sedikit demi sedikit memahamkan anak itu supaya belajar kerana MAHU bukan kerana SURUH.

Wednesday, November 17, 2010

ABANG STRES KALAU SAYANG STRES


Salam Eidul Adha. J Alhamdulillah di kesempatan ini mari kita bertakbir dan melafazkan kesyukuran atas setiap nikmat yang dikurniakan.


Apabila merenung kembali kisah Siti Hajar dan Ismail yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim tulisan YB Ustazah Nuridah dalam satu web ia membuatkan saya tergerak untuk menulis sesuatu. Yang pertama saya perhatikan jika muslimat berbicara, mereka sentiasa mahu dilihat berfungsi tidak kira dari sudut kepimpinan atau gerak kerja organisasi. Ia seperti satu sikap mahukan kepastian kepada pimpinan muslimin bercakap “ Ya, memang berfungsi” . Mengapa ya ?


Dan ia berlaku di semua corong parti, saya kira.


Allah mengurniakan Nabi Ibrahim seorang isteri yang sangat taat, luar biasa sabar dan ikhlas mencintai Allah s.w.t. Bayangkan sekiranya Siti Hajar tidak sabar, mungkin sahaja Ismail mati kelaparan, atau sukar Nabi Ibrahim meninggalkan mereka berdua ditengah padang pasir yang panas. Bagaimana mahu dibandingkan dengan seorang isteri yang suka meminta-minta, membentak-bentak, suka bercakap kasar dengan suaminya, jauh taat kepada arahan yang dilihat zalim(ditinggalkan di padang pasir). Subhanallah !


Jika perbandingan positif pengaruh isteri mahu dilakukan kita lihat peranan Siti Hajar dengan luar biasa sabarnya berlari anak mencari air antara Safa dan Marwah. Bukan sekali dua, tapi tujuh ! Allahuakbar. Saya sendiri tidak dapat membayangkan betapa sukarnya pengorbanan Siti Hajar dalam keadaan terik panas, dan betapa sukarnya melihat anak kecil menangis kehausan. Hebat Allah !


Namun, sabar itu bukan perkara yang mudah sebenarnya. Kerana bukan mudahnya sabar dalam mencari keredhaan Allah sehingga Allah s.w.t rakamkan betapa syurga tersedia buat hambaNya yang sabar :


“Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhan mereka, dan mendirikan sembahyang, serta menafkahkan dari apa yang Kami berikan mereka, secara bersembunyi atau terang-terang; dan mereka menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itulah disediakan bagi mereka balasan yang baik iaitu Syurga Adn, yang mereka akan memasukinya bersama orang yang soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka, sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu berkata :Selamat sejahteralah kamu disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amalmu.”'
Ar-Ra’d: 22-24


Benarlah, manusia bisa menjadi luar biasa apabila punya tahap keimanan yang cukup jitu. Sabar perlu seiring dengan mujahadah. Saya nak jadi muslimah yang sabar !

Sunday, November 14, 2010

PEMUDA KAMPUNG


Saya memandang mereka yang sedang duduk menunggu di bangsal sambil sedap menghembus asap rokok menunggu getah ditimbang. Ketika itu saya berada di dalam kereta. Ibu mengalihkan kereta dihadapan kedai, saya melihat satu lagi pemandangan yang lebih kurang sama namun lebih teruk, 5 hingga 7 orang lelaki kelihatan bermain daun terup sambil menghisap rokok.


“Entah, mungkin ini rutin mereka” benak mula menginjak soalan. Negatif, cukup negatif.


Bapa saudara pernah menceritakan berkenaan kes-kes di kampung tersebut seperti kes rogol anak dan amalan ilmu sihir dikalangan penduduk.


Sama.


Saya membaca SOLUSI ruangan Prof. Dr. Sidek Baba tentang jurnal kehidupannya . Sungguh menapak dan membumi. Beliau bercakap tentang aspek pendidikan berdasarkan sosioekonomi dan bagaimana penilaian kecemerlangan pelajar mengikut merit semata-mata mewujudkan ketidakseimbangan.


Adakah masyarakat kampung merasai peluang kemudahan, akses pendidikan, dan persekitaran yang memungkinkan perkembangan potensi berlaku secara konsisten seperti di bandar? Tidak. Hasilnya pelajar cemerlang kampung adalah setanding dengan pelajar lemah dibandar, padahal potensi pelajar adalah sama.


Apabila melihat pemandangan budaya di kampung yang tidak membina, datang sepakej dengan penerapan adat lama yang amat mengurung syariat sehingga anak muda kampung rosak menyerap segala budaya baru sebagai simbolik kemodenan terkini hati saya terdetik betapa pentingnya ada generasi yang lebih berpendidikan yang lahir dari kebijakan sebenar menyumbang membetulkannya.


Kerana hanya dengan itu ia mampu mengubah budaya pemikiran di kalangan penduduk kampung yang salah. Setiap anak muda mempunyai bakat, tetapi mungkin sahaja tidak mempunyai peluang.

Sunday, November 7, 2010

ENTAH BILA ?


Selesai menyemak akhbar saya mula terasa bosan, sama sahaja kisarannya.

Entah bila kita hendak terbuka dalam soal kepimpinan.

Entah bila rakyat dapat memilih dengan penilaian terbaik.Sukarnya apabila kita tidak diberi ruang untuk mengetahui yang benarnya.

Entah bila media akan menjadi ejen penilai yang membantu rakyat memilih kebenaran bukan menyogok rakyat untuk faham salah.

Dan satu perkara yang saya terlalu ingin lihat, entah bila rakyat dapat melihat debat antara pemimpin. Yang akhirnya menyumbang kepada sedar fakta dan realiti pemikiran kepimpinan.

Entah bila..(perlu masuk ke dalam medannya)

Friday, October 29, 2010

BERADAB DENGAN PENGALAMAN



Assalamualaikum WBT, moga berada dalam keadaan sihat hendaknya. 23 tahun mengenali dirinya. Umurnya sudah mahu menjangkau senja iaitu 40 tahun, namun akalnya masih keanak-anakkan. Ketika sedang mengajar anak jiran berumur 5 tahun mengaji, dia mula menghampiri dan cuba berinteraksi dengan saya mengikut bacaan yang diluahkan oleh sikecil.


“ Makcu jangan ganggu adik, de ajar kemudian,” saya menegurnya. Dia mula diam dan duduk lebih jauh.


Saya mula mengajarnya mengaji jika berkelapangan setiap kali pulang ke rumah. Sehingga hari ini dia masih bertatih Alif ba ta..saya gunakan bahan-bahan mengajar bewarna tetapi masih begitu. Dia mula menghafal tanpa mengenali bunyi sebenar huruf yang ditunjuk. Jika saya ubah sedikit dia tidak dapat membacanya terus.


Mula melihat perubahan pada dirinya sejak kehadiran pembantu rumah yang baru seminggu dua berada dirumah. Jika selama ini dia yang selalu bertanya “ Nak makcu tolong apa ?” kali ini bibik mula mengambil rutinnya. Sehingga satu petang dia memberontak. Biasanya kami akan duduk bersama dengan bertemankan seteko air panas dan biskut atau kuih untuk dimakan. Saya minta bantuan bibik untuk membuat air kopi kerana kopi yang dibikin bibik sungguh enak. Cuba mengintai kedapur. Rupanya dia mula marah kerana bibik yang menyediakan air sedangkan dia juga mahu berbuat demikian.


Rupanya dia cemburukan bibik. “De dah tak sayang makcu?” katanya ketika baru sahaja kami mahu melangkah keluar untuk senaman pagi. Geli hati saya mendengarnya. “ Aik, kenapa cakap macam tu?” soal saya. “ Rasa dekat hati.” Mak aih..pandai pula dia berkata begitu.


Dia perlukan perhatian. Walaupun dia akan mula bercerita atau bertanya tentang perkara yang sama setiap masa. Jika tidak sabar akan mengundang kemarahan.


Ia membuatkan saya belajar. Dia istimewa. Solat dan haji tidak wajib baginya. Pada umurnya dia sudah boleh mempunyai keluarga dan anak, namun berfikir masih seperti kanak-kanak 5 tahun. Ibu selalu berpesan kepada saya, supaya menjaga dia walaupun ibu sudah tiada. Malah selalu berpesan padanya untuk pandai membantu sekurang-kurangnya hidupnya boleh membantu meringankan dan bukan beban.


Dia antara insan kurang upaya yang sudah 37 bersama penyakit down syndrome. Syukur ya Allah. Kau berikan aku “lubuk pahala” yang istimewa.

Tuesday, August 31, 2010

BAGAIMANA MENGGAPAI SYURGA DUNIA?


Bagaimana bisa aku memaknakan institusi keluarga sebagai syurga yang menghadirkan bahagia dunia? Berbahagialah seorang wanita yang akhir hayatnya diredhai suaminya. Subhanallah..


Entah mengapa saya sering melihat kesukaran dalam bait ini bukan kemudahan yang nyata. Saya tidak merasa mudahnya menjadi wanita, namun seribu rasa gusar bersarang dihati. Ya, mungkin sahaja kerana lemahnya iman ini, lantas tarbiyah yang kurang ini saya terjemahkan melalui pemikiran saya.


Namun, keyakinan dalam rentak keimanan terhadap bait ini perlu jitu. Cuma persoalan bagaimana “mahu” akan menghulur satu lagi kayu “harus kearah itu” lantas kaki penuh yakin dengan jiwa penuh nafsu memungkinkan “syurga” bahagia dunia ini. Subhanallah..


Mungkin terlalu banyak berfikir, saya tidak meroyan(kata yang sering digunakan oleh mak apabila diminta saya sering jangan biarkan kakak yang baru lepas bersalin berasa sedih). Ia adalah perasaan yang perlu diberi penghargaan. Moga jawapan akhirnya juga “membahagiakan”


Ya..saya sering melihat kesukaran dalam bait itu. Namun mengapa? Jawapan utama yang memungkinkan kesukaran ini adalah kerana saya tidak bersangka baik dengan Allah. Astaghfirullahal’azim.


Setiap kali bertambahnya anak kecil disekeliling saya, jauh dilubuk hati terdetik bagaimanakah dia akan membesar, berjayakah dia menempuh dugaan dunia akhir zaman yang cukup sukar. Lalu ia membawa kepada kebimbangan bagaimana pula akan ku corakkan anakku nanti, adakah akan kutemui seorang nakhoda yang akan mendidikku dan anak-anak kejalanNya atau sebaliknya? Nauzubillah..saya tidak bersangka baik dengan Allah..


Apabila mengikuti massa yang penuh dengan fitnah dan pembohongan, rasuah sehingga masyarakat sukar menjaga diri dari halal haram, hasad dengki sesama muslim, ketidakadilan dalam menjatuhkan hukuman, pembunuhan yang semakin bertambah, hiburan kian diagung-agungkan. Bagaimana mahu saya halakan anak-anak nanti? Masya Allah..saya masih tidak bersangka baik dengan Allah..


Bagaimana dengan persediaan diri, saya sendiri bimbang untuk mendirikan rumah tangga apabila bermuhasabah diri yang terlalu banyak kelemahan dan terasa berat amanah sebagai seorang isteri untuk menjaga suami, takut jika saya nanti pernah marah dan meninggikan suara kepadanya, gusar sekiranya saat emosi tidak menentu hingga saya terabaikan tanggungjawab memenuhi kehendaknya.Allahuakbar..


Diakhir pencarian saya temui satu harapan yang sebelumnya gagal saya lihat..


Kasih sayang Allah..


Ya, ia menghapuskan segala kesukaran itu.


Ya, saya punya Allah untuk mengharap. Tuhan yang menciptakan diri ini.


Masih punya harapan, saya yakin setiap daripada wanita muslim punya harapan ini. Cukup bersimpati apabila mendengar ada anak gadis yang masa silamnya penuh duri, mungkin pernah dimakan ayah kandung sendiri, dirogol, atau dicabul. Juga punya harapan yang sama.


Ingatlah, kita wajib beriman dengan penuh keyakinan bahawa Rahmat Allah swt akan menghapuskan segala kelam kehidupan masa lalu. Sehingga hari ini kita masih hidup dengan rahmatNya. Subhanallah..


Kasih sayang Allah lah yang memungkinkan segalanya..


Nescaya, kita bisa memaknakan kehidupan berkeluarga sebagai “syurga”..ya, dengan Kasih SayangNya..


Maka jalannya dengan “menghargai” Kasih Sayang Allah swt sehingga penuh tidak pernah sirna, nah insya ALLAH sinarnya menyinar dalam dunia kecil rumah tangga.. Kita bisa mencipta syurga bahagia dunia dengan menghargai Kasih SayangNya..Allahuakbar.

Saturday, August 21, 2010

IBU YANG BERLATIH


Ianya tidak semudah yang saya sangkakan..kerana hasilnya adalah pada acuan yang akan dibentukkan. Acuan itu tidak terbentuk dengan latihan keibuan selama tempoh sebulan dua, ia memerlukan tarbiyah rohaniah yang semulajadinya kepunyaan diri.


Anak yang soleh tidak lahir dari seorang ibu yang berlatih menerapkan unsur-unsur kebaikan agama dalam tempoh sebulan dua sebelum anak dilahirkan. Kerana mungkin sahaja, sukar bagi nya kekal dalam didikannya, mungkin tidak berterusan, sekejap-sekejap, berhenti ditengah jalan. Namun, adakah dengan tarbiyah sedari kecil bagi seorang ibu memungkinkan anak diacu dengan baik? Juga mungkin tidak begitu.


Saya merenung anak kecil itu, sedang asyik menolak-menarik kereta mainan kecilnya. Sekali-sekala, dilalukan kereta kecilnya diatas kaki saya. Cuba mengimbas kembali bagaimana pelajaran saya bersamanya hari ini. Ya, masih ada lompongnya.


Bagaimana Ya Allah.


BINA MASJID DIRUMAH


Niat sudah baik, ikhtiarnya sudah ada namun mungkin kelompongannya di sana-sini. Bagaimana untuk kita punya kefahaman istiqamah mendidik dalam sedar atau tidak. Saya faham begini. Akhlak seorang ibu adalah ekspresi iman atau ruhaniahnya. Bermakna, faham mudahnya apabila kita punya akhlak yang buruk, ia adalah tanda signifikan ikatan dengan Tuhan yang rapuh.


Ketepikan keterikatan bersama suami, antara perkara yang mahu atau tidak seorang ibu haruslah menghidupkan masjid dirumahnya. Masjid dalam ruang kepunyaannya..berzikir ketika berpantang (kerana tidak boleh solat), membacakan doa-doa lazim untuk anak bermula hari pertama kelahirannya(dengan melazimi doa-doa harian dalam hidupnya), menghidupkan alunan ayat suci dan adab.


Ia semakin sukar apabila anak semakin meningkat umurnya. Maka, pengisian isi masjid juga perlu berubah mengikut peningkatan umurnya. Pendedahan hiburan yang lebih mendidik diberikan kepada si anak, pengenalan tentang sifat-sifat Allah dan kisah-kisah sirah sebelum lelapnya.


Tentu sekali masjid ini akan menjadi rumah bagi anak. Insya Allah.


Saya hanya berfikir begitu, dan bercadang untuk mendapatkan pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman. Kerana madrasah yang saya huni kini lebih sukar dari yang saya jangkakan jika dilihat pada matlamat didikan agama solehnya.


Lebih baik bersedia sebelum separuh hidup berdosa.

Sunday, July 25, 2010

PTPTN ? SAYA SARANKAN YANG INI


Walaupun telah meninggalkan dunia kampus hampir 3 bulan, saya bersyukur kerana masih dihubungi oleh mahasiswa kampus bertanyakan berkenaan soal pinjaman PTPTN. Saya juga pemegang tegar PTPTN, kini bertanggungjawab perlu melunaskan hutang yang diterima.


Dikampus dahulu, saya bertanggungjawab membantu adik-adik mahasiswa untuk menguruskan urusan permohonan dengan tugas yang amat leceh. Anda pasti setuju dengan saya.


Pengalaman sebagai Setiausaha Majlis Perwakilan Mahasiswa saya gunakan sebaiknya apabila berpeluang berdialog sendiri dengan pihak pentadbiran tertinggi PTPTN dan dalam satu mesyuarat bersama Majlis Tertinggi MPP IPTA/IPTS. Dalam dialog tersebut saya suarakan berkenaan isu terkini 1% cas perkhidmatan yang dikenakan kepada mahasiswa, nyata pihak pegawai gagal memberi jawapan yang memuaskan.


“ Pertama sekali, saya ucapkan tahniah kepada pihak PTPTN kerana saya melihat satu perubahan laman web PTPTN yang telah dapat di akses dengan beberapa versi bahasa. Pada saya, satu usaha yang perlu diberi pujian. Namun begitu, beberapa perkara yang ingin saya bawakan, antaranya, apakah status sebenar cas perkhidmatan 1% yang katanya dikurangkan daripada 3% diberikan oleh pihak PTPTN. Maafkan saya, pada hemat saya, apabila isu riba’ diutarakan oleh pihak kepimpinan mahasiswa, pengurangan cas perkhidmatan tidak menyelesaikan isu sebenar. “


Apa yang saya ingin bawakan pada post kali ini adalah satu jalan keluar daripada satu jalan yang ada. Kerana kita selalu menghukum haram tanpa mencadangkan alternatif lebih baik. Ia tidak menyelesaikan masalah, namun hanya membawa masyarakat "hari ini" kepada jalan buntu.


Inilah jawapan yang boleh dibanggakan, rakan Prospek Kolej Kediaman Keempat pernah berusaha untuk membukukan maklumat biasiswa. Namun, yang ini, saya boleh katakan cukup bersungguh-sungguh. Saya sukakan kesungguhan.


Kitbiasiswa. Hanya google “kitbiasiswa” , pencariannya diatas sekali. Kitbiasiswa mendedahkan anda dengan tawaran biasiswa yang anda mungkin tidak pernah tahu daripada pihak Bank, Awam, Negeri dan Swasta. Malah ada bonus pula tu. Masya ALLAH.


Seperti sukar dipercayai, tapi ia realiti.


Saya mula bertanya-tanya siapakah gerangan pemuda/i yang sanggup berhabis masa untuk maklumat penting seperti ini, dan nyata beliau bukan calang-calang orangnya. Bidang yang diambil juga bukan calang-calang susahnya. Nah, saya tidak teragak-agak untuk mengajak anda keluar dari jalan yang sukar itu.


www.kitbiasiswa.com pasti mengubah hidup anda. Insya ALLAH.

Monday, July 5, 2010

JANGAN KELUAR DARI MUSYAWARAH


Blog saya telah lama dibiarkan bersarang seperti adanya..


Tiba-tiba tersentak apabila para pelajar saya memaklumkan mereka turut membaca blog ini. Nampaknya mereka sedar saya tidak konsisten.


Minggu lalu terlibat dengan Minggu Sains dan Teknologi, saya dimaklumkan bahawa saya telah dilantik untuk menguruskan satu pertandingan baru di antara sekolah Berasrama Penuh berjiranan dengan Sains Alam Shah. Interschool Mighty Minds Challenge.


Saya pulang lewat hari ini, usai perbincangan bersama AJK pelajar, menunggu Isnin untuk perlaksanaan. Ianya tidak selancar yang saya jangkakan apabila seorang pelajar yang pada awalnya dilantik sebagai pengacara hari itu menyerahkan amanahnya kepada seorang lagi pelajar Tingkatan Lima. Apakah?


Rakan AJK yang lain mula rasa tidak berpuas hati. Teringat saya kisah yang cukup mengesan jiwa. Saya minta mereka supaya mengingatkan saya untuk bercerita kisah ini.


“Ingatkan saya ketika post mortem nanti ya.” Sungguh-sungguh.


Petang itu, saya mengajak mereka ke kantin, sambil memesan kueh tiau kung fu secara berjemaah, saya memulakan bicara.” Kita buka dengan Al-Fatihah”


“Masih ingat perang uhud?” saya menduga. Saya juga ingat-ingat lupa bila sebenanya mereka belajar tentang perang diperingkat sekolah menengah.


“ Ingat cikgu” kata salah seorang dari mereka


“ Cikgu, ceritalah. Apa kaitannya dengan kisah di dewan tadi.” Kata rakan mereka yang lain.


“ Ketika perang Uhud, Rasulullah s.a.w mengajak para sahabat bermusyawarah. Ketika itu, Rasulullah s.a.w mencadangkan untuk bertahan di Madinah sahaja, namun akhirnya bersetuju untuk perang keluar dari Madinah iaitu di bukit Uhud seperti yang dicadangkan oleh sahabat-sahabat Ansar. Maka bersiap siagalah Rasulullah s.a.w memakai pakaian perang. Menyedari keadaan itu, para sahabat mula merasa bersalah kerana tidak mengikut pendapat Rasulullah s.a.w dan akhirnya ingin kembali bersetuju dengan pandangan baginda.” Cerita saya ringkas.


“Kamu tahu apa jawapan Rasulullah s.aw?” mereka mula berkerut.


Rasulullah s.a.w. bersabda : ‘Sesungguhnya jika seorang Nabi sudah mengenakan peralatan perangnya, maka dia tidak akan menanggalkannya hingga terjadi peperangan’.


“ Perbincangan kita kelmarin, kita sepakat siapa yang akan mengacarakan majlis?” saya bertanya kepada mereka.


“Hanif cikgu,” saya tersenyum.


“Bijak. Tapi apa yang berlaku?” dengan harapan mereka memahami perkaitan sirah tadi.


“Bila dalam perbincangan sebelum ni semua setuju bahawa Hanif akan menjadi pengacara majlis, tiba-tiba keputusan yang dilakukan secara sepakat tu diubah ketika majlid berlangsung tanpa mengambil kira pandanga sebulat suara, tu yang jadi tunggang langgang tu kan cikgu?” saya berasa lega.


Kamu nak tahu tak, itu sebenarnya adalah adab dalam musyawarah. Contoh, haikal rasa pandangan dia lebih bernas dari keputusan yang kita dapat secara perbincangan tadi, maka dalam Islam,haikal perlu yakin bahawa keputusan musyawarah adalah lebih baik dan diberkati oleh Allah.


Saya pulang dengan harapan sekurang-kurangnya tidak dapat banyak, mereka mendapat sedikit pengajaran dari kepenatan yang panjang. Bahawa akhlak Islam bukan sekadar mengaji Al-Quran, atau mendirikan solat, namun memahami setiap tingkah adalah menggambarkan iman.


Akhir pertandingan, kami terpaksa membuat keputusan membatalkan finale kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Saya mendapat 12 model jantung diakhir majlis dan saiz nya adalah pelbagai ! seperti paip air pun ada^^.


Ya. Mari belajar dari perang Uhud, kerana Rasulullah s.a.w memberi akhlak terbaik dengan menghormati musyawarah.


(Musyawarah: mesyuarat)

Tuesday, June 1, 2010

PEJUANG TIDAK AKAN PERNAH GENTAR




Kelas bersama 4Jaya hari ini. Saya telah menyediakan powerpoint dan sempat menyelitkan doa qunut nazilah dengan niat untuk dibawakan kepada pelajar.


Kelainan perlu dilakukan. Saya tidak mulakan kelas dengan topik baru.saya ajarkan mereka doa qunut ini dan sempat bercerita ringkas tentang sirahnya.


“Kelas, apa berita paling terkini dunia?”


Facebook!” seorang pelajar berseloroh. Yang lain ketawa dan saya kehairanan. “Kenapa dengan Facebook?” pelajar tadi mati kutu”errr, entah..”


“ Siapa tahu isu yang memang sedang heboh diperkatakan, ramai rakyat pelbagai negara keluar ke jalanan untuk meluahkan bantahan” saya mula memancing fikiran anak muda ini.


“Palestin teacher!” cepat seorang dari mereka menjawab. “ Bagus, sangat dekat dah tu,” cuba memberi satu jawapan tepat. “ Haa, tau dah teacher, yang kapal kena serang oleh Israel tu..” seorang lagi memberi jawapan.


“ Tepat sekali. Nak tahu apa perkembangan terkini?” cuba melihat kesungguhan mereka. Anak muda dalam tidak sampai 30 orang ini menunjukkan wajah ingin tahu. “Nak teacher!”


“Baiklah,” saya memulakan bicara dengan menunjukkan video berita terkini dari al-jazeera yang sempat saya download sebelum kelas.


Akhir penceritaan ringkas, saya tekankan kepada setiap jiwa-jiwa. Allah mentakdirkan kemenangan bagi Islam dibumi Palestin dan ia adalah satu tanda bahawa penghujung dunia itu sangat hampir. Kita semua disini adalah penghuni akhir zaman.


Saya mengajak semua anak muda untuk berfikir lebih jauh, bahawa tujuan berada di sini bukan hanya menuntut ilmu, berjaya dalam peperiksaan dan mengisi jawatan tertinggi, berkereta besar. Hari ini, apabila dunia sedar, PBB tidak berfungsi, kuasa besar dunia menyokong Israel, ia bermaksud hanya kita muslim yang sedar dan punya semangat juang dan jihad yang tinggi akan mengembalikan kegemilangan Islam.


Kelas hari ini sungguh berbeza. Apabila saya meminta sukarela untuk kehadapan menyelesaikan masalah kimia dan kaitkan bahawa seorang pejuang, sentiasa sedia untuk bertindak, bukan tunggu disuruh, cepat sungguh setiap dari mereka kedepan untuk menulis jawapan malah sampai berebut-rebut.


“Saya tak reti teacher” kata Syamim..”Cubalah dulu.” saya cuba yakinkan anak muda ini. “ tak tahu teacher” syamim mula hilang keyakinan” Kelas, awak bayangkan jika ada seorang palestin meminta tolong, dia nak dibunuh oleh tentera Yahudi. Ketika itu dia minta tolong pada Syamim. Syamim kata saya tak tahu, saya tak reti, sedangkan dia belum ambil satu langkah membantu. Adakah ini jiwa seorang pejuang?”


“Tidak!!!!” jawab anak muda yang lain. Kemudian mereka mula memberi semangat kepada Syamim dan akhirnya, Syamim ke hadapan, menulis sesuatu dengan bimbingan akhirnya berjaya! Jawapannya betul .


Alhamdulillah..


Terasa puas. Inilah usroh saya bersama anak muda setiap hari.


Mengajak mereka melihat sesuatu dengan pandangan yang lebih besar dari biasa.


Terima kasih ya Allah.

Sunday, May 30, 2010

TUHAN PENCIPTA LANGIT



Wahai Tuhan Pencipta langit

Jika bersaksikan kekerdilanku jika dibandingkan dengan isi dunia

Terasa tidak layak untuk disayangi Ya Allah

Aku tetap melakukan dosa dan tidak pernah penat berdosa


Ampunkan dosa-dosaku ya Allah

Dosa yang menggunung langit

Kau kurniakan kebahagiaan tanpa melihat banyaknya dosa

Kau kurniakan kenikmatan dunia tanpa hilang kasihMu


Apalah aku ini ya Ilahi

Tidak dapat melihat cahaya yang sungguh terang

Dan sering memilih kegelapan


Bantulah aku ya Allah

Agar aku menjadi berguna

Dikalangan buihan manusia yang ada

Berikan petunjuk dalam istiqamah sujud kepadaMu

Agar aku merasai ketenangan dalam rendah diri

Agar aku puas pada setiap langkahku menujuMu

Agar matiku aku mendapat redha

Saturday, May 29, 2010

DEATH OF NATION


Tertarik membaca post Dr. Asri di Malaysia kini berkenaan “Ulama UMNO bakar Kapal” memberi satu signifikan penting. Ada dikalangan rakan saya menolak PAS kerana pimpinan dan ahlinya yang ekstrem dan terlalu konservatif. Ya saya setuju kebenarannya. Malah mereka marah untuk menerima bahawa PAS hanya bermain-main sekitar nama Islam untuk tujuan politik.


Tapi apabila bercakap tentang parti lain, mereka tidak keras seperti itu. Malah amat lunak. Saya berfikir, adakah hanya kerana tidak bersetuju dengan akhlak beberapa pimpinan dalam PAS, dan sikap konservatif mereka, kita menolak dan menerima parti lain yang langsung tidak meletakkan asas Islam dan perlembagaan malah menolak usaha pelaksanaan hukum Allah? Pelik sungguh. Baiklah, kembali kepada apa yang ingin saya bawakan.


Saya pernah berbual dengan seorang rakan, apabila saya mengulas tentang tindakan Perdana Menteri menggunkan khidmat APCO sebagai perunding imej kerajaan, rakan saya cuba meletakkan rasional bahawa Perdana Menteri sudah pasti akan berfikir dan membuat keputusan setelah membuat pertimbangan yang sewajarnya.


Apabila kerajaan meluluskan lesen judi untuk Pertandingan Bola Sepak dunia dengan alasan mahu mengawal aktiviti judi yang semakin berleluasa dikalangan rakyat, rakan saya kata bukan PM yang meluluskan tetapi orang bawahannya, dikaitkan lagi PM ditekan oleh Jutawan Malaysia yang memegang saham terbesar perjudian? Saya hanya menjawab ringkas, “ok, kalau orang bawah buat keputusan tanpa melalui PM,so what ? Kalau ditekan untuk judi, so what? ”


Saya faham, tanggungjawab sebagai seorang pemimpin negara bukan mudah. Namun, sikap berdiam diri, dengan beranggapan mulut-mulut rakyat yang semakin berang akan senyap selepas seketika waktu adalah tindakan seorang bacul.


Rakyat berhak mengetahui setiap perancangan yang dilakukan ke atas negara kerana kita ‘beriman’ kepada kuasa rakyat. Apa gunanya setiap wakil yang dipilih oleh rakyat bersidang di parlimen untuk membawa suara-suara mereka sekiranya keputusan-keputusan besar seperti penyerahan tanah KTMB, isu jet hilang, isu APCO, isu subsidi, dan pelbagai lagi isu tidak dibahaskan dengan baik.


Saya amat pasti, ada yang berkata “Awak hanya seorang mahasiswa, apa yang awak tahu tentang isu negara? Perdana Menteri tahu apa yang terbaik untuk negara.” Malangnya, Islam tidak meletakkan kepandaian ilmu tanpa sikap pergantungan pada Tuhan sebagai ukuran. Adakah kerana ilmu dan pengalaman mereka terlalu tinggi, suara nelayan, peruncit, pelajar sekolah perlu diletak tepi?


Ada rakan meminta saya mencari jawapan yang sebenar disebalik tindakan-tindakan pimpinan negara dengan bertanyakan sumber yang sahih atau bertemu sendiri dengan pemimpin ini. Saya berkata kepada rakan “Masalah tidak akan selesai, pemimpin negara ada medium yang cukup besar untuk menjelaskan kepada rakyat, walaupun rakyat tahu media rasmi negara korup. Masalahnya, Perdana Menteri MENDIAMKAN diri.”


Sikap begini akan mendatangkan barah dalam rakyat. Jiwa akan sakit dengan kehidupan yang makin tertekan. Semakin ramai yang merasa kesempitan. Anda berhak untuk tidak bersetuju, kerana saya tidak bersuara untuk buat anda duduk satu pemikiran dengan saya.


p/s : Mari kita sama-sama solat hajat untuk keselamatan dan kejayaan sukarelawan kemanusiaan ke GAZA.

Thursday, May 20, 2010

TIDAK PERLU FATWA



Perkara yang jelas lagi terang kadangkala tidak memerlukan lagi lampu dari suluhan lain untuk meneranginya. Sebenarnya, tidak perlu meminta mufti bermusyawarah memutuskan apakah hukum nya kerana ianya jelas haram. Lesen pertaruhan bagi kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 diluluskan dan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Datuk Seri Mohd Najib. Apakah maslahatnya kepada rakyat?


Ascot Sport telah diberi lesen sebagai pihak yang layak menjalankan operasi betting sukan, kononnya sebagai usaha untuk mengurangkan aktiviti pertaruhan haram yang berleluasa di negara ini. Sumber itu juga mendedahkan, pasaran pertaruhan sukan haram di Malaysia dikatakan berjumlah sehingga RM20 bilion setahun, sekali gus mengurangkan cukai pendapatan yang dikutip oleh kerajaan.


Astaghfirullahal’azim. Jangan biarkan kami hidup di bawah kezaliman ini ya Allah.


Masih ramai yang belum sedar, kerajaan (tidak kiralah mana-mana parti politik yang menerajui kepimpinannya) adalah pemegang amanah kepada hasil sumber tanah negara dan rakyat. Kerajaan menguruskan segala masalah rakyat. Memang cukup besar peranannya. Kuasa ini yang menentukan kebijakan dalam mengurus negara dan satu kelompok ummat yang Allah biarkan hidup.


Apabila pemegang amanah meluluskan sesuatu yang haram untuk rakyat, ummat akan hidup di dalam laknat Allah. Dunia ini semakin tua, janganlah mati dalam keadaan kufur. Keluarlah dari pemikiran sempit duhai anak muda.



يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَـٰمُ رِجۡسٌ۬ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ

Maksudnya:

”Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (al-Quran al-Maidah 5:90).