Friday, March 5, 2010

E-VOTING BERGAYA SEBAGAI ‘WAITING PROJECT’



Melihat isu e-voting sebagai peluru yang sedang dibina perantinya, saya ingin cuba memberi satu sudut pandang sisi.


Horizon politik kampus kini rata-rata dikatakan mula melalui fasa kebangkitan. Saya setuju namun tidak menolak tentang tahap mahasiswa sedar yang masih nafsi-nafsi.


Tiada yang mustahil dalam politik.


E-voting pada nama memang nampak gah, mudah, senang, cepat, hebat, menyengat. Pendek kata bergayalah ! Jika mahu dibandingkan dengan pensel dan kertas yang dilorek, kena lipat, perlu masuk dalam kotak lagi, lambat, renyah. Pendek kata tidak bergaya !


Atas nama bergaya inilah MUNGKIN pihak berkuasa melihat ianya mampu membawa masyarakat kepada TAMADUN moden. Kita tidak akan malu kepada negara-negara besar yang telah menggunakan teknologi sebagai teknikal penyelesaian masalah rumit.


KOSMETIK


Ianya tidak terlihat. Teringat pula pada siri pembacaan strategi orientalis yang menggunakan medium halus menghapuskan keaslian ilmu.


Kosmetiknya adalah pada prinsip asas mengapa perlu wujudnya e-voting. Bagaimana kita mahu menerima sesuatu yang pada prinsipnya tidak masuk akal dan menyeleweng ? Malahan pukul rata penangan sang penguasa menolak penghujahan prinsip dan main tarik tali bercakap soal teknikal.


‘WAITING PROJECT’ SELEPAS RESULT EXAM DIKAMPUS CEMERLANG


Persoalan prinsip 1 :

Mengapa pihak universiti sampahkan PRINSIP dan PENDIRIAN MAHASISWA berkenaan E-VOTING yang merupakan penentu kepada penerimaan mahasiswa terhadap medium pilihanraya kampus yang merupakan hak mahasiswa, kerja mahasiswa, pemilihan oleh mahasiswa.


Persoalan prinsip 2:

Mengapa pihak universiti BERIA-IA mahu melaksanakan e-voting ? Habiskan masa berbincang syok sendiri organisasi pelaksanaan e-voting, mesyuarat sana-sini. Sedang lambakan isu kebajikan mahasiswa yang lebih kritikal, sangat memerlukan perhatian BERIA-IA diletak tepi meja, tidak terusik. ( maaflah kepada akak-akak dan abang-abang PTM, persoalan prinsip ini tiada kaitan dengan kesungguhan kerja akak dan abang)


Persoalan prinsip 3:

Mengapa berani bercakap SOAL DEMOKRASI dalam universiti a.k.a gedung ilmu a.k.a puncak menara gading sedangkan PIHAK PEMERINTAH sebenarnya telahpun berniat mencalitkan warna pada tengkuk mahasiswa ?


Persoalan prinsip 4 :

Mengapa bercakap soal ketelusan sistem dan pelaksanaan ? Membodohkan mahasiswa dengan teknikal teknologi yang gagal mahasiswa fahami, mencabar mahasiswa buktikan sistem telus dengan membuka komponen perisian komputer, terma-terma pelik memerlukan kamus khas. Membuat aduan dengan prosedur surat dan borang tentang salah laku pegawai yang berkerja untuk melaksanakan tugas menjayakan agenda sendiri.


JAWAPANNYA


Saya optimis melihat dari sudut politikknya tidak mustahil ini adalah antara agenda menjadikan pelaksanaan e-voting sebagai satu medium pemilihan untuk pilihanraya umum negara.


Sahih atau tidak kata-kata saudara Hishamuddin Rais tentang DS Najib telah dua kali ke Bangalore bertemu dengan expert IT membincangkan tentang proposal projek e-voting sebagai peluru menguasai pentadbiran negara ianya masih masuk akal jika dilihat dari kerakusan siri tindakan kurang bijak diperingkat pelaksana test di kampus-kampus.


JANGAN PELIK


Jika mahasiswa kini sudah punya momentum menggegarkan kampus-kampus tanda bangkit menentang usaha mematikan demokrasi. Ambillah iktibar tindakan berani masyarakat pengundi muda di kampus-kampus utama UM, UPM , UKM.


Jangan lupa catit siri gelombang kebangkitan untuk analisis post mortem sebelum bertindak lebih jauh melaksanakan ‘waiting project’ kepada masyarakat luar yang misteri momentumnya nanti.

Wednesday, March 3, 2010

ORANG-ORANG ITU PERGI MEMBAWA KAMBING DAN UNTA….TETAPI KAMU ?



Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w dan keluarga baginda


Dek kerana Allah menyerahkan Makkah kepada Muhammad dan setelah kaum Quraisy yang memusuhi baginda bertukar menjadi orang yang menyebelahi Baginda, maka marahlah Para Pembesar Huwazin dan Thaqif.


Perang Hunain adalah perang yang mempunyai sorotan angkatan pejuang yang gah. Pertempuran hebat dengan bantuan Allah SWT yang telah mencampakkan rasa takut ke dalam hati musyrikin sehingga berjaya dibunuh dan ditawan golongan kafir ini.

Setiap peperangan pasti punya pengajaran dan ujian.

Hunain adalah hitungan pelajaran Aqidah.

Hunain menyelesaikan Badar.


Malik ibn ‘Auf merupakan ketua qabilah Huwazin. Dialah yang mengetuai pasukan besar Quraisy yang setiap pasukan raksaksa diarah membawa harta benda dan isteri dengan tujuan supaya tidak ada yang cuba lari meninggalkan medan perang.


Dia tidak mati. Akhir peperangan, Malik hilang seluruh harta dan keluarganya. Sehingga Rasulullah bersabda “ Beritahu kepadanya, sekiranya dia datang kepadaku sebagi Muslim, aku akan kembalikan kepadanya keluarga dan hartanya, dan akan aku berikan kepadanya seratus ekor unta,”. Islamlah Malik ibn ‘Auf dan kuat pula Islamnya.


ANSAR YANG KEHILANGAN..


Mengetahui bahawa Rasulullah memberi lebih banyak harta rampasan kepada golongan mu’allaf penduduk Makkah untuk melembutkan hati mereka kepada Islam berkatalah mereka,:


“Semoga Allah mengampunkan RasulNya, dia masih memberi kepada orang Quraisy, meninggalkan kita yang masih lagi menitis darah mereka dari pedang-pedang kita!”

Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama


KESEDIHAN RASULULLAH DITUDUH OLEH ORANG YANG DIKASIHI


Syaitan telah cuba merasuk dan menabur fitnah terhadap siasah Rasulullah saw sehingga berjaya menggambarkan bahawa Nabi telah terpengaruh dan kasih kepada kaum dan anak negerinya, hingga baginda lupa kepada orang-orang Ansar.

Rasulullah menggoncang perasaan orang-orang Ansar

Lantas menangislah mereka hingga basah janggut-janggut mereka

Indahnya akhak dan budi untuk menyatakan perasaan kasihnya yang begitu mendalam.

Tidak ada lagi sebarang kenyataan yang lebih nyata untuk menyatakan setia, mesra dan kasih murni selain itu.


Dengan penuh hikmah, apabila sampai perkataan itu ke pengetahuan Rasulullah saw. Baginda memanggil mereka berkumpul sehingga tiada seorang pun yang tidak hadir. Baginda memuji Allah dan kemudian berkata :


“………..Apakah sudah ada dalam dirimu wahai orang Ansar sifat cinta dunia ? Hingga kamu merasa iri hati sebab aku berlembut dengan orang-orang itu untuk mereka menganut Islam, sedangkan kamu sudah kukuh dengan Islam mu !....”

“Apakah kamu tidak rela wahai orang-orang Ansar? Orang-orang itu pergi membawa kambing dan unta, tetapi kamu pulang bersama Rasulullah ? demi Allah, pemergian kamu adalah lebih baik dari pemergian mereka…..”

“Demi Allah, sekiranya tidak ada hijrah aku adalah salah seorang dari kalangan Ansar, andai semua berjalan di satu jalan, dan orang-orang Ansar berasingan di satu jalan, sudah pasti aku mengikut jalan orang Ansar. “

“Aku akan temui kemuliaan turun temurun selepas peninggalanku, bersabarlah. Wahai Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, Rahmatilah anak-anak ansar, rahmatilah cucu cicit ansar.”

Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama


TIADA NILAI LAGI PADA MEREKA


Maka gugurlah rasa was-was dan ragu yang bergantung dalam hati mereka. Sudah tidak ada nilai lagi pada mereka kambing-kambing dan barang rampasan perang, kerana mereka sudahpun berada di samping orang yang paling dikasihi.


Berbekas dalam hati mereka bila Rasulullah saw rela meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk bersama mereka dan meneruskan baki hidup bersama mereka..


Ingatan buat mu duhai rasulullah..


Selawat yang tidak terhitung ke atasmu wahai junjungan kami, wahai Rasul dan ke atas para sahabatmu dari kalangan Ansar dan Muhajirin. Himpunkan lah kami dibawah panji-panjimu, jadikanlah kami bersama mereka yang akan menemuimu dalam Syurga kelak. Amen.


ANSAR BERJAYA, KITA ?


Kita harus takjub melihat kehebatan jiwa-jiwa ini dan mengambil pelajaran apabila melihat manusia berpencak, memutuskan silaturrahim, dek kerana terlalu cinta pada materi. Ya, mungkin bukan kambing-kambing dan unta-unta.


Kaca mata hari ini berbeza yang amat. Risaulah kerana Hunain telah bentangkan siratan tersurat dan syaitan tidak pernah berehat.

Tuesday, February 23, 2010

AKU ANAK YATIM



Al-fatihah..

Babah mula sakit selepas walimah kak ngah

Hari Kenduri babah nampak penat, batuk yang semakin panjang..

Sejak akhir bulan Disember lagi babah tidur tidak nyenyak

Kata babah, semput susah bernafas

Babah paling susah nak ke hospital

Babah batuk berat dan panjang

Bila babah sakit kepala, babah makan panadol

Bila babah batuk, babah ambil ubat batuk

Puas dipujuk babah senyum dan sentiasa kata babah ok


Hingga satu malam babah batuk berdarah

Ma bawa juga babah ke klinik untuk terima rawatan

Hingga babah terus ditahan wad dan dengan segera dihantar ke HTAA, Kuantan

Aku menemani babah dalam ambulans

Masuk ke wad tingkat atas, ke bilik yang terasing dari bilik lain

Dua hari menunggu untuk bertemu pakar

Kami sentiasa memujuk babah dan hati-hati kami

Insya ALLAH babah sakit bahagian leher je ni (sebab leher babah bengkak berkelenjar)

Sehingga doktor bertemu babah dan melihat x-ray

Katanya babah mengidap kanser paru-paru dan perlu menjalani CT Scan segera


Pagi subuh di HTAA..selesai solat subuh

Babah menangis dihadapanku, menangis yang teresak-esak

Aku bacakan ayat-ayat shifa’ untuk menenangkan hati babah

babah mengadu sakit tulang belakang, lalu ku ambil minyak angin dan mengurut di belakangnya

Esoknya kami pulang dengan hati kecewa kerana masalah prosedur hospital yang lambat

Membuat keputusan untuk melakukan CT Scan di hospital swasta Kuantan


Kak Ngah menelefon kami adik beradik..

Kata kak Ngah babah tidak tahu lagi keputusan CT Scan,

Doktor hanya memberitahu babah supaya menerima rawatan di HUKM kerana punya pakar paru-paru

Sehingga di HUKM, doktor memberitahu babah mengidap kanser paru-paru tahap 4 dan kanser telah mula merebak ke bahagian hati dan salur pernafasan


Dua kali rawatan radioterapi, doktor benarkan babah pulang untuk berehat

Di rumah kami ikhtiar untuk rawatan alternatif lain

Darus shifa’, berjampi, air akar kayu, dan minuman herba

Solat hajat dan bacaan yassin bersama-sama

Namun Allah lebih mengetahui

Keadaan babah lebih tenat

Mula berhalusinasi, percakapan juga tidak jelas, tidur yang makin tidak nyenyak

Sehingga kami berjaga malam untuk menjaga babah


Babah dulunya suka makan nasi panas-panas

Kini hanya makan sesuap dua

Terlalu mudah jatuh dan lebih banyak diam

Semua yang berada dirumah sentiasa bersedih dengan keadaan babah

Lebih-lebih lagi mama yang setiap malam memangku babah


Sehingga 18 februari 2010 ma, pakteh, makteh dan aku membawa babah ke HUKM

Untuk appointment bersama pakar paru-paru babah

Doktor minta babah duduk dikerusi untuk diperiksa

Babah duduk dengan kepala hampir bersatu lutut

Babah tertidur hingga hampir terjatuh dari kerusi

Doktor memberitahu kami bahawa beliau mengesyakki

Kanser babah telah menular ke bahagian otak

Kerana simptom yang babah alami menunjukkan kesan pembengkakan di bahagian otak

Babah ditahan wad sekali lagi


Pagi ahad itu memang babah tenat

Babah muntah darah dan subuhnya apabila ma tarik babah kepangkuan

Babah diam, mata babah pejam, dan bernafas sedikit-sedikit

Aku terus memanggil jururawat

Dan babah dibaringkan diatas katil hospital


Doktor berbincang dengan ma diluar

Bahawa pihak hospital dapat berikan cadangan supaya babah kekal di HUKM atau dibawa pulang kerumah


Tidak dapat fokus dalam kelas

Akhir solatku paling berbekas.

Terkenang babah menghembuskan nafas terakhir didepan mata

Kalimah tauhid dibibir babah yang dibasahkan

Terasa panas lagi kucupan di pipi babah

Terasa selesa lagi genggaman tangan babah bila berjalan-jalan dengannya

Terasa segar lagi babah mendengar alunan bacaan yassinku

Terasa bau badan babah masih melekat


Aku kini anak yatim

Namun aku bersyukur Allah mendengar doaku

Yang aku mahu akhir hayat babah aku ada bersamanya

Babah lebih baik begitu kerana Allah lebih sayang padanya

Mama juga tiada penyesalan kerana cinta pada babah ditanggung hingga akhir hayatnya


Semoga babah sentiasa dalam redha Allah

Babah, kakde akan hadiahkan rantaian doa dan tasbih untuk babah setiap solat kakde

Kakde akan ingat janji pada babah dan penuhi keinginan babah

Insya Allah


Allah..

Kami hanya punya Engkau

Kami hanya mengharap keampunan padaMu

Kami insaf dengan dosa-dosa kami

Jadikanlah kubur tempat tidur paling aman buat babah

Temukanlah kami disyurgaMu Ya Allah

Dalam pakaian keimanan

Berilah kami zuriat keturunan yang soleh dan solehah

Supaya kelak akan menjadi rantai penyambung doa redhaMu pada babah


Terima kasih kepada semua sahabat yang datang melawat babah, menggembirakan hatinya, juga yang memandu jauh untuk hadir hari pengebumian babah, ziarah hingga ke rumah, memberi kata-kata perangsang dan dorongan. Taat pada ibu dan ayah tidak pernah merugikan kita. Terima kasih atas ingatan.