Sunday, March 7, 2010

MALAM ANUGERAH; MALAM BERBOGEL




Bulan ini, nampaknya mahasiswa seluruh kolej sibuk meraikan malam anugerah masing-masing dengan tema yang menarik. Tujuan malam anugerah ini diadakan mungkin boleh saya simpulkan sendiri.

  1. Majlis penghargaan kepada warga kolej kediaman yang berjaya mengharumkan nama kolej, berbakti.
  2. Majlis akhir sebagai tanda kenang-kenangan.

P/S : sila tambah sendiri jika ada lagi tujuan lain.


MALAM UNTUK BERBOGEL


Sesetengah pihak pasti melenting dengan pendapat saya kali ini. Terserah.


Jika ada satu malam dalam setahun menginap di kolej kediaman, mungkin ini adalah malamnya untuk yang bertudung menyingkatkan tudung mereka, atau menanggalkan terus tudung yang dipakai.

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir. “ (an-Nur: 31)


Jika ada satu malam dalam setahun bersusah payah menjayakan projek, mungkin ini adalah malamnya untuk bersuka-ria dengan memakai pakaian, paling cantik, paling seksi, paling jarang dan paling mahal.

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)


Jika ada satu malam dalam 2 semester mendapat ramai kawan lelaki dan perempuan, ini adalah malamnya untuk bergambar bersama rakan-rakan, bergesel sana sini, berpeluk dan bercium.

Hadits Rasulullah SAW Dari Ma`qil bin Yasar dari Nabi saw., beliau bersabda, "Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (HR Thabrani dan Baihaqi)


Jika ada satu malam dalam 2 semester yang surau sentiasa kosong dengan barisan saf tidak sampai 3 di kolej, alhasil, ini adalah malamnya untuk bersedia awal, mekap seawal 1petang, asar, maghrib, isyak entah kemana.

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).


Jika ada satu malam dalam malam-malam di kolej yang diisi dengan pembelajaran dan tutorial, ini adalah malamnya untuk mencuci mata, melihat keindahan ciptaan Tuhan, perempuan-perempuan yang berpakaian namun sebenarnya berbogel.

“Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.”(Hadis Riwayat Muslim)


Jika ada satu malam dalam hari-hari hidup tidak pernah melihat persembahan life, ini adalah malam untuk menyaksikan penyanyi-penyanyi hebat, dan tarian paling hebat dengan lagu-lagu paling best.

Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).”

(Hadis Riwayat Tarmidzi)


Kata orang “Jika kita tidak merasai majlis gah seperti ini,nanti bila dah bekerja, kita tidak dapat menyesuaikan diri bila company anjurkan dinner atau malam-malam penting”


Kata orang“ Ini adalah majlis yang paling berprestij dan pada malam inilah orang-orang kenamaan akan mengiktiraf malam anugerah kolej kita sebagai malam anugerah terbaik”


SAYA BERDOSA


Tahun dua, ketika Malam Anugerah Kolej Fasa 1 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, saya masih ingat ketika itu masih ada Eye on Malaysia. Kami Jawatankuasa Tindakan Kolej dan Jawatankuasa Induk Kolej merancang untuk menyanyi di atas pentas, saya sehingga hari ini rasa berdosa, kerana gagal menggunakan jawatan yang ada untuk mengajak kearah kebaikan.


Saya hadir kerana saya ditugaskan untuk mengiringi penyelia kolej menyampaikan hadiah kepada pengarah projek terbaik. Pertimbangan untuk hadir saya putuskan, saya hadir lewat. Menyelinap masuk melalui meja-meja dan akhirnya tiba di meja bersama penyelia.


Tiba waktu untuk ke pentas, saya ajak sahabat baik untuk LARI ! Kami ke surau. Selesai solat, saya memeluk hidayah. Menangis. dayah turut menangis sambil menenangkan saya. Cukup kuat ujian Allah ketika itu. Kami tidak masuk ke dalam majlis, terus disitu sehingga tamat .


Esoknya, rakan-rakan bertanya kemana saya menghilang ketika semua JTK JIK sibuk membuat persembahan di atas pentas.


HATI BERKATA BEGITU


Bukankah Nabi SAW sudah mengajar kita, bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan ?


Nabi saw pernah memberi amaran mengenai majlis yang tidak berzikir kepada Allah swt, sabdanya :-

" مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةً فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ " .


"Tidak duduk sesuatu kaum dimajlis yang tidak mengingati Allah atau berselawat keatas Nabi mereka, tetapi mereka akan menyesal, jika dikehendaki Allah akan mengazab mereka, dan jika dikehendaki Allah swt akan mengampunkan mereka" -[Hadith riwayat Tirmudzi, kata beliau bahawa hadith ini hadith hassan. Sheikh Al-Albani juga mengkelaskan hadith ini sebagai sahih didalam Sahih Al-Tirmudzi. 3/140].


Didalam hadith yang lain, Nabi saw bersabda :- Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah ra. berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ قَوْمٍ يَقُومُونَ مِنْ مَجْلِسٍ لا يَذْكُرُونَ اللَّهَ فِيهِ إِلا قَامُوا عَنْ مِثْلِ جِيفَةِ حِمَارٍ وَكَانَ لَهُمْ حَسْرَةً " .


"Nabi bersabda : 'Kaum yang bangun dari majlis yang tidak mengingati Allah didalamnya, hanyalah mereka seolah-olah bangun dari bangkai keldai, akan menyebabkan penyesalan bagi mereka" - [Al-Nawawi didalam Riyaadh Al-Salihin #321 mengatakan ia sahih dan juga oleh Al-Albani].


Saya mengajak anda untuk membuat penilaian. Anda nilai sendiri. Adakah Majlis Anugerah di Kolej anda mengharapkan redha ALLAH ?


Kepada yang telah menghadiri majlis-majlis seperti ini tidak kiralah konsert, atau parti. Saya mengajak anda untuk berubah.

Friday, March 5, 2010

E-VOTING BERGAYA SEBAGAI ‘WAITING PROJECT’



Melihat isu e-voting sebagai peluru yang sedang dibina perantinya, saya ingin cuba memberi satu sudut pandang sisi.


Horizon politik kampus kini rata-rata dikatakan mula melalui fasa kebangkitan. Saya setuju namun tidak menolak tentang tahap mahasiswa sedar yang masih nafsi-nafsi.


Tiada yang mustahil dalam politik.


E-voting pada nama memang nampak gah, mudah, senang, cepat, hebat, menyengat. Pendek kata bergayalah ! Jika mahu dibandingkan dengan pensel dan kertas yang dilorek, kena lipat, perlu masuk dalam kotak lagi, lambat, renyah. Pendek kata tidak bergaya !


Atas nama bergaya inilah MUNGKIN pihak berkuasa melihat ianya mampu membawa masyarakat kepada TAMADUN moden. Kita tidak akan malu kepada negara-negara besar yang telah menggunakan teknologi sebagai teknikal penyelesaian masalah rumit.


KOSMETIK


Ianya tidak terlihat. Teringat pula pada siri pembacaan strategi orientalis yang menggunakan medium halus menghapuskan keaslian ilmu.


Kosmetiknya adalah pada prinsip asas mengapa perlu wujudnya e-voting. Bagaimana kita mahu menerima sesuatu yang pada prinsipnya tidak masuk akal dan menyeleweng ? Malahan pukul rata penangan sang penguasa menolak penghujahan prinsip dan main tarik tali bercakap soal teknikal.


‘WAITING PROJECT’ SELEPAS RESULT EXAM DIKAMPUS CEMERLANG


Persoalan prinsip 1 :

Mengapa pihak universiti sampahkan PRINSIP dan PENDIRIAN MAHASISWA berkenaan E-VOTING yang merupakan penentu kepada penerimaan mahasiswa terhadap medium pilihanraya kampus yang merupakan hak mahasiswa, kerja mahasiswa, pemilihan oleh mahasiswa.


Persoalan prinsip 2:

Mengapa pihak universiti BERIA-IA mahu melaksanakan e-voting ? Habiskan masa berbincang syok sendiri organisasi pelaksanaan e-voting, mesyuarat sana-sini. Sedang lambakan isu kebajikan mahasiswa yang lebih kritikal, sangat memerlukan perhatian BERIA-IA diletak tepi meja, tidak terusik. ( maaflah kepada akak-akak dan abang-abang PTM, persoalan prinsip ini tiada kaitan dengan kesungguhan kerja akak dan abang)


Persoalan prinsip 3:

Mengapa berani bercakap SOAL DEMOKRASI dalam universiti a.k.a gedung ilmu a.k.a puncak menara gading sedangkan PIHAK PEMERINTAH sebenarnya telahpun berniat mencalitkan warna pada tengkuk mahasiswa ?


Persoalan prinsip 4 :

Mengapa bercakap soal ketelusan sistem dan pelaksanaan ? Membodohkan mahasiswa dengan teknikal teknologi yang gagal mahasiswa fahami, mencabar mahasiswa buktikan sistem telus dengan membuka komponen perisian komputer, terma-terma pelik memerlukan kamus khas. Membuat aduan dengan prosedur surat dan borang tentang salah laku pegawai yang berkerja untuk melaksanakan tugas menjayakan agenda sendiri.


JAWAPANNYA


Saya optimis melihat dari sudut politikknya tidak mustahil ini adalah antara agenda menjadikan pelaksanaan e-voting sebagai satu medium pemilihan untuk pilihanraya umum negara.


Sahih atau tidak kata-kata saudara Hishamuddin Rais tentang DS Najib telah dua kali ke Bangalore bertemu dengan expert IT membincangkan tentang proposal projek e-voting sebagai peluru menguasai pentadbiran negara ianya masih masuk akal jika dilihat dari kerakusan siri tindakan kurang bijak diperingkat pelaksana test di kampus-kampus.


JANGAN PELIK


Jika mahasiswa kini sudah punya momentum menggegarkan kampus-kampus tanda bangkit menentang usaha mematikan demokrasi. Ambillah iktibar tindakan berani masyarakat pengundi muda di kampus-kampus utama UM, UPM , UKM.


Jangan lupa catit siri gelombang kebangkitan untuk analisis post mortem sebelum bertindak lebih jauh melaksanakan ‘waiting project’ kepada masyarakat luar yang misteri momentumnya nanti.

Wednesday, March 3, 2010

ORANG-ORANG ITU PERGI MEMBAWA KAMBING DAN UNTA….TETAPI KAMU ?



Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w dan keluarga baginda


Dek kerana Allah menyerahkan Makkah kepada Muhammad dan setelah kaum Quraisy yang memusuhi baginda bertukar menjadi orang yang menyebelahi Baginda, maka marahlah Para Pembesar Huwazin dan Thaqif.


Perang Hunain adalah perang yang mempunyai sorotan angkatan pejuang yang gah. Pertempuran hebat dengan bantuan Allah SWT yang telah mencampakkan rasa takut ke dalam hati musyrikin sehingga berjaya dibunuh dan ditawan golongan kafir ini.

Setiap peperangan pasti punya pengajaran dan ujian.

Hunain adalah hitungan pelajaran Aqidah.

Hunain menyelesaikan Badar.


Malik ibn ‘Auf merupakan ketua qabilah Huwazin. Dialah yang mengetuai pasukan besar Quraisy yang setiap pasukan raksaksa diarah membawa harta benda dan isteri dengan tujuan supaya tidak ada yang cuba lari meninggalkan medan perang.


Dia tidak mati. Akhir peperangan, Malik hilang seluruh harta dan keluarganya. Sehingga Rasulullah bersabda “ Beritahu kepadanya, sekiranya dia datang kepadaku sebagi Muslim, aku akan kembalikan kepadanya keluarga dan hartanya, dan akan aku berikan kepadanya seratus ekor unta,”. Islamlah Malik ibn ‘Auf dan kuat pula Islamnya.


ANSAR YANG KEHILANGAN..


Mengetahui bahawa Rasulullah memberi lebih banyak harta rampasan kepada golongan mu’allaf penduduk Makkah untuk melembutkan hati mereka kepada Islam berkatalah mereka,:


“Semoga Allah mengampunkan RasulNya, dia masih memberi kepada orang Quraisy, meninggalkan kita yang masih lagi menitis darah mereka dari pedang-pedang kita!”

Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama


KESEDIHAN RASULULLAH DITUDUH OLEH ORANG YANG DIKASIHI


Syaitan telah cuba merasuk dan menabur fitnah terhadap siasah Rasulullah saw sehingga berjaya menggambarkan bahawa Nabi telah terpengaruh dan kasih kepada kaum dan anak negerinya, hingga baginda lupa kepada orang-orang Ansar.

Rasulullah menggoncang perasaan orang-orang Ansar

Lantas menangislah mereka hingga basah janggut-janggut mereka

Indahnya akhak dan budi untuk menyatakan perasaan kasihnya yang begitu mendalam.

Tidak ada lagi sebarang kenyataan yang lebih nyata untuk menyatakan setia, mesra dan kasih murni selain itu.


Dengan penuh hikmah, apabila sampai perkataan itu ke pengetahuan Rasulullah saw. Baginda memanggil mereka berkumpul sehingga tiada seorang pun yang tidak hadir. Baginda memuji Allah dan kemudian berkata :


“………..Apakah sudah ada dalam dirimu wahai orang Ansar sifat cinta dunia ? Hingga kamu merasa iri hati sebab aku berlembut dengan orang-orang itu untuk mereka menganut Islam, sedangkan kamu sudah kukuh dengan Islam mu !....”

“Apakah kamu tidak rela wahai orang-orang Ansar? Orang-orang itu pergi membawa kambing dan unta, tetapi kamu pulang bersama Rasulullah ? demi Allah, pemergian kamu adalah lebih baik dari pemergian mereka…..”

“Demi Allah, sekiranya tidak ada hijrah aku adalah salah seorang dari kalangan Ansar, andai semua berjalan di satu jalan, dan orang-orang Ansar berasingan di satu jalan, sudah pasti aku mengikut jalan orang Ansar. “

“Aku akan temui kemuliaan turun temurun selepas peninggalanku, bersabarlah. Wahai Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, Rahmatilah anak-anak ansar, rahmatilah cucu cicit ansar.”

Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama


TIADA NILAI LAGI PADA MEREKA


Maka gugurlah rasa was-was dan ragu yang bergantung dalam hati mereka. Sudah tidak ada nilai lagi pada mereka kambing-kambing dan barang rampasan perang, kerana mereka sudahpun berada di samping orang yang paling dikasihi.


Berbekas dalam hati mereka bila Rasulullah saw rela meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk bersama mereka dan meneruskan baki hidup bersama mereka..


Ingatan buat mu duhai rasulullah..


Selawat yang tidak terhitung ke atasmu wahai junjungan kami, wahai Rasul dan ke atas para sahabatmu dari kalangan Ansar dan Muhajirin. Himpunkan lah kami dibawah panji-panjimu, jadikanlah kami bersama mereka yang akan menemuimu dalam Syurga kelak. Amen.


ANSAR BERJAYA, KITA ?


Kita harus takjub melihat kehebatan jiwa-jiwa ini dan mengambil pelajaran apabila melihat manusia berpencak, memutuskan silaturrahim, dek kerana terlalu cinta pada materi. Ya, mungkin bukan kambing-kambing dan unta-unta.


Kaca mata hari ini berbeza yang amat. Risaulah kerana Hunain telah bentangkan siratan tersurat dan syaitan tidak pernah berehat.