Sunday, November 29, 2009

HAPUSKAN STEREOTYPE



Sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis walimah kekanda, namun hati sentiasa berasa susah hati memikirkan kerja-kerja yang masih belum disiapkan di kampus. Cukup melihat wajah ibu dan ayah yang semakin lama meniti usia-usia tua, sedar tanggungjawab ini perlu bijak dibahagikan. Buat sahabat, tahulah bahawa ana bukan leka dikampung hidup gembira goyang kaki, ada hak yang perlu ditunaikan di sini.

Membuat penilaian semula, kampus uni Malaya kini suram semula, apabila ramai antara mahasiswa pulang ke kampung untuk bercuti selepas menghabiskan satu semester.

" Saya tidak sangka, wanita macam ayuni sertai politik." Kata tutor subjek Kimia Inorganik 3 kepada saya. Hari itu, saya agak kelam kabut kerana tidak membuat persediaan secukupnya untuk mesyuarat bersama TNC Pembangunan, masa rehat zohor yang ada untuk lab (10 pagi hingga 5 petang) saya gunakan sepenuhnya untuk menyediakan bahan mesyuarat petang itu.

Masuk sahaja ke dalam makmal, bahan saya telah mula pekat di atas hot plate, saya terlupa besinya panas dan "Allahuakbar!" tiga jari saya putih melecur, terus saya halakan ke singki dan air saya biarkan mengalir. "Jenny, help me". Segera, tutor berbangsa Cina itu mengambil peti kecemasan dan menyapukan krim ke tempat yang melecur. Jenny bertanya bagaimana hingga boleh terlupa besi hot plate yang panas. " Saya ada 2 mesyuarat petang ni, tapi bahan untuk pembentangan masih belum siap lagi." Dan mulalah dia bertanyakan soalan-soalan berikutnya.

PENERIMAAN MASYARAKAT SEKELILING

Ramai teman-teman , mahupun rakan-rakan tidak kira kampus malaya atau luar mempunyai tanggapan sendiri mengenai politik. Saya juga mempunyai pandangan tersendiri tentang hal ini namun saya ingin mengajak semua untuk membuat penilaian dasar.

PENAFIAN KEPERLUAN POLITIK SEBAGAI BUKAN SEBAHAGIAN DARIPADA TUNTUTAN

Berbicara bersama ayah:

Malam itu saya duduk bersama ayah, berbeza topik perbualan, dengan ayah saya selesa berbual tentang topik yang lebih luas. "Abah kalau boleh tak nak menantu yang ekstrim sangat, ke mana-mana dengan serban, berjubah". Terangkat kening saya mendengar luahan ayah. Namun saya faham kiasan yang tersirat.

Saya mencari-cari jawapan terbaik. "Kakde baca buku tentang perancangan zionis yang kakde cerita kat abah sebelum ni kan? Antara doktrin berjaya Mustafa Kamal Atartuk dalam menghapuskan kekuatan agama, dia tukar pakaian sunnah Rasulullah, serban dengan jubah ni kepada tarbus dan kot-kot macam barat. Katanya lebih moden. Maksudnya kalau orang zaman sekarang nampak pakaian sunnah ni jelek, baju-baju tajaan barat ni cantik dan terbaik, doktrin laknatullah ke atas umat kita dah berjayalah"

Ayah tersenyum, dan menyatakan persetujuan dengan kata-kata saya.

Saya tidak mahu bercakap soal siapa yang perlu disokong, pemimpin mana yang perlu dipilih, kerana ianya akan membuatkan kepala menjadi pening apabila melihat keadaan semasa politik negara juga kampus yang dipenuhi dengan fitnah dan pembohongan.

Pernah anda dengar "sesuatu yang palsu/tidak benar/pembohongan yang disebut berkali-kali akan menjadi benar dan diterima oleh masyarakat sebagai sesuatu yang betul, tambah pula yang bercakap adalah mereka yang berkuasa, mempunyai m├ędium dan licik" hingga kebenaran sebenar terlindung.

MENOLAK POLITIK KERANA KOTOR ?

Inilah rata-rata jawapan yang saya dengar, sehingga setiap kali mendengar jawapan ini, saya tersenyum. Saya setuju dengan pandangan politik kotor, namun salah tindakannya menolak keperluan ini atas maksud yang sama.

Adakah benar menyisihkan diri daripada proses pemilihan seorang pemimpin/amir kerana mempunyai pandangan bahawa politik itu kotor?

Dan adakah kita sebenarnya memahami tuntutan agama dalam berpolitik ?

Inilah kejayaan pembentukan pemikiran tipikal atau stereotype terhadap politik.

Contoh pemikiran stereotype yang saya ingin bawakan supaya mudah difahami, jika dia adalah seorang wanita, dia perlulah lemah lembut, sopan santun dan bercakap yang baik-baik sahaja. Dan jika dia adalah lelaki, perlulah tegas, tegap, bercakap bila perlu. Sehingga masyarakat menerima jika wanita ini kurang lemah lembutnya, dihukumnya bukan wanita sebenar. Hilang pandangan agama sebagai ukuran.

Begitu juga politik, ,medannya mestilah pemimpin, berkuasa, parti yang mempunyai fahaman tersendiri, kotor dan dipenuhi dengan pelbagai helah, dan pelbagai lagilah bentuk pandangan. Ini namanya persepsi stereotype yang diterima sebagai satu fakta.

Mengapa kita lebih cenderung menerima pandangan manusia ? Mengapa benarkan akal menerima pandangan tanpa kita menilai terlebih dahulu ? Sedang terlalu banyak pengertian yang telah Allah dan Rasul sediakan untuk kita.

JANGAN BERPAGI-PAGIAN TANPA MENGAMBIL TAHU HAL ORANG MUSLIMIN

Fathi Yakan menyebut dalam kitabnya bab 2 iaitu SAYA MESTI MEYAKINI BAHAWA BERAMAL UNTUK ISLAM ADALAH WAJIB. Beramal untuk Islam dalam erti kata yang sebenar adalah untuk melahirkan individu yang mencerminkan 'aqidah dan akhlak Islam, melahirkan masyarakat yang berpegang teguh kepada cara hidup dan pemikiran Islam, menegakkan sebuah daulah atau pemerintahan yang melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup, serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Ia wajib kita imani.

Dan seluruh amal dan lain-lain keperluan untuk amalan-amalan ini adalah satu tuntutan syari'at. Kewajipan melaksanakan tidaklah gugur kecuali setelah tegaknya satu kuasa yang dapat mengendalikan tanggungjawab ini dan memelihara urusan kaum Muslimin.

Fathi Yakan juga membahagikan kewajipan beramal untuk Islam kepada 4 iaitu :


  1. Wajib dari sudut prinsip

(al-asr : 1-3, al-ma'idah : 67, al-baqarah:159)

  1. Wajib dari segi hukum

(an-nisa': 65, al-syura:10,al-ma'idah: 44,45&47)

  1. Wajib dari segi Tuntutan

( Al-Anfal : 39)

  1. Wajib secara individu ataupun jemaah

(al-muddaththir:38, maryam:95, al-kahfi: 28)


Apabila menegakkan masyarakat Islam dan hukum-hukum Allah itu wajib, maka kerja-kerja ke arah membawa kepada matlamat ini adalah wajib berdasarkan kaedah syara' yang semua maklum mala yatimmu-wajibu Illa Bihi Fahuwa Wajibu " Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib."

Tidak kiralah sistem sedia ada yang telah kita jadikan air minum selama ini bercampur aduk dengan sistem sekular, sosialisme atau kaptalisme. Malah kita maklum sebahagian besar negara-negara(umat) Islam kalau pun ada seluruhnya diperintah oleh sistem ciptaan manusia. Disinilah kita sebagai umat Islam dituntut untuk menyusun gerak kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliyah dalam bentuk seperti ini dan KEWAJIPAN MENGEMBALIKAN KEHIDUPAN ISLAM ADALAH MENJADI FARDHU 'AIN KEATAS SETIAP MUSLIM SEHINGGA KEPIMPINAN DAN KEKUASAAN KEMBALI KEPADA PANGKUAN ISLAM.

Sehingga ini saya membuat kesimpulan awal bahawa memilih kepimpinan juga adalah salah satu tanggungjawab kita terhadap gerak kerja memartabatkan Islam. Jadi, adakah anda masih menolak pemilihan kepimpinan kerana pandangan politik kotor ?

FUTUWWAH

Semalam hati saya tergerak hati membuka kembali novel Kombat. Sungguh impian mewujudkan golongan pemuda-pemudi hebat itu sukar berlaku pada zaman ini. Saya juga bimbang dengan diri yang seperti lali dan tidak merasa berdosa melihat rancangan-rancangan hiburan tanah air. Inilah cabaran yang perlu ditempuhi dalam dunia percampuran antara benar dan batil.

APA TINDAKAN YANG PERLU DIAMBIL ?

Ramai teman-teman yang menghubungi bertanyakan kepada saya bagaimana untuk mengisi kekosongan rohani dalam dunia semasa yang membuatkan remaja hilang kepercayaan kepada golongan agama kerana berjayanya stereotype yang telah ditopengkan oleh pihak-pihak berhati busuk.


Andai stereotype pemikiran masih ada dalam benak dan fikiran anda. Langkah pertama yang perlu diambil ialah dengan menghapuskan stereotype ini terlebih dahulu.


adakah saya telah berjaya memahamkan anda ?

12 comments:

Al-Fateh said...

Stereotype, pada ana merupakan satu daripada pemikiran satu hala yang mungkin bersumber daripada penerimaan satu sumber. Ia boleh dikurangkan dengan mengakses maklumat-maklumat daripada sumber yang pelbagai.

Politik itu sendiri bukanlah kotor, tetapi dikotorkan oleh manusia yang menguasai media dan menunjukkan kepada rakyat jelata bahawa oposisi itulah yang kotor.

Sebagai contoh, tentang isu BTN ini, tanyalah kepada mereka yang telah pergi, terutamanya kepada mereka yang 'atas pagar', apa sebenarnya yang ingin didoktrinkan ke dalam kepala para peserta. Anda akan tahu betapa kejinya BTN beroperasi.

Akan tetapi, apabila pihak ini menguasai media dan sumber informasi utama, dengan senangnya mereka menidakkan sesuatu yang pasti dan menimbulkan sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini.

Benar, hapuskan streotype dalam pemikiran bangsa Malaysia.

syuhadah dzarawi said...

Penulisan kamu juga masih stereotype (^0^)... tetapi saya juga tidak akan mampu menulis sebaik ini. Keep it up~~!

Sama juga dengan kata2 biasa, perlu think out of the box. Jika orang kata A, kita kena kata B. Pandangan tidak ada yang salah sehingga ia dapat dipatahkan dengan hujah yang meyakinkan.

Berdasarkan situasi semasa, politik sememangnya sudah menjadi kotor. Ia sekadar wadah, boleh saja berubah mengikut peredaran zaman.

ps: pada pandangan peribadi kamu, apa itu politik?

Yang mudah.. said...

Terima kasih dengan perkongsiannya..
teruskan menulis..
Allahuakhbar!!

qudwaH_Humaira' said...

al-fateh :

ana teringin juga nak rungkai isu BTN ni tapi x banyak maklumat.

terima kasih kerana bantu ana bezakan antara stereotype dan fitrah hati.(^_^)

qudwaH_Humaira' said...

yang mudah :

yang mudah apa ya ? syukran .

qudwaH_Humaira' said...

syud :

aye x berapa setuju kalau kita berfikiran think out the box sehingga menjadi B.

sebagai contoh, tidak semesti nya kerana kita tidak bersetuju dengan A kita memilih jalan untuk bersetuju dengan C kan ?

sebelum syud tanya pandangan peribadi aye, let me ask u first ur point of view about politics?

syuhadah dzarawi said...

hehe-nape saya yang ditanya kembali.

bagi saya politik adalah pengaruh. as simple as that.

Syud suka apply 6 thinking hat Edward de Bono. Bila mereka tak suka, kita suka. Bila mereka kata putih kita kata hitam. Bukan untuk merumitkan keadaan cuma untuk keluar dari pemikiran tipikal yang menyebabkan banyak peluang dan ruang lain yang kita tidak akan dapat. Bila tak kata B, lama2 bila pusing2 akan jadi A baLik. lol!

p/s: saya tidak mengatakan apa yang saya utarakan benar. ia sekadar pandangan peribadi, ya masih jauh untuk mengatakan apa yang saya katakan adalah benar.
pp/s: seLamat hari raya!!

yang mudah said...

afwan.
yang mudah itu hanya sekadar nama yang saya guna..
=)

qudwaH_Humaira' said...

syud :

aye faham dengan pemikiran luar kotak tu..cuma, mengikut pengalaman aye, kadang kita rasa kita dah fikir luar kotak dah, tapi sebenarnya kita x berada kat mana2.. kadang perlu juga idea2 gila untuk pecahkan bongkah ais pemikiran yang statik..

pemikiran luar kotak ni memerlukan maklumat secara kolektif dan padat. baru boleh berjaya.

politik, pandangan aye dari satu sisi ialah proses urus tadbir..segala yang melibatkan cara pengurusan tidak kiralah dari segi pendekatan, kepimpinan dan perancangan adalah merangkumi politik.(^_^)

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh said...

Salam.
Dr Yusuf Al-Qaradhawi sebut, 'politik adalah apa sahaja amal perkara yg mendekatkan kepada kebaikan'.(Rujuk: Fiqh Daulah).

matjang said...

seronok membaca artikel ini

Anonymous said...

Iqamatuddin..Wa siasatu Dunyabih...

Sbb tu politik penting dlm sesebuah negara..politik yg sihat menjamin masa dpn negara yg maju..