Kali ini saya ingin berkongsi satu pengalaman yang baru sahaja saya perolehi. Selepas tamat sahaja kelas pagi tadi, saya menerima sms daripada seorang rakan yang mengajak saya untuk menghadiri satu syarahan umum yang diadakan di Pusat Dialog Peradaban. Kebetulan, kelas sesi pagi itu baru sahaja tamat, saya terus melangkah ke tempat seperti yang dimaklumkan.
Hari ini saya berkenalan dengan seorang ilmuan Melayu hebat Y.M. Dr. Tengku Nasyaruddin s. Effendy atau lebih mesra dipanggil Bapak Tenas Effendi, yang merupakan Pakar Bahasa, Budaya, Sastera dan Adat Istiadat Melayu- Indonesia. Tertariknya saya terhadap syarahan beliau adalah pada keindahan kata-kata dan kearifan beliau terhadap budaya Melayu Islam.
Antara perkongsian pengalaman yang dikongsi bersama, Bapak Tenas menceritakan tentang pertemuan beliau dengan penduduk di Riau yang dahulunya menganut kepercayaan animisme. Beliau dilayan ”bermacam-macam” (ayat yang sering Pak Tenas gunakan), dengan sirihnya, rokoknya, dengan hidangan makanannya, apabila diajaknya tuan rumah kepada Islam, tuan rumah tersebut diam.
Diam yang lama..Dan akhirnya memulakan bicara, ” Di kampung ini, rumah tiada berpagar, pintu tiada berkunci, nah pula tingkap tiada bertutup, namun tidak pernah ada kehilangan barang di rumah-rumah, terus jika di masjid, sepatu dibawa pulangnya sudah tiada lagi.” Bagitulah respon yang diberikan oleh tuan rumah. Keindahan Islam itu hilang dari mata mereka kerana penerapan sebenar Islam ke dalam masyarakat melayu seperti tidak berlaku.
Pak Tenas juga memperkatakan tentang masjid hari ini yang sehingga mempunyai papan tanda bertulis ” Sila jaga barang anda, kecurian mungkin berlaku”, yang beliau rasakan tidak perlu wujud di dalam rumah ALLAH. Saya terus mendengar. Pak Tenas merungkai betapa keindahan budaya Melayu yang pada awalnya diterapkan nilai Hindu dan Buddha, apabila Islam datang, Islam membawa masyarakat Melayu ke arah kehidupan sebenar, dan menghapus amalan-amalan syirik dengan membawa amalan-amalan tersebut yang mengikut syariat sebenar.
Satu perkara baru yang saya pelajari ialah berkaitan asal usul Baju Kurung. Jika dahulu pakaian wanita melayu lehernya dibuat Cekak Musang dan Telok Belanga yang asalnya merupakan penerapan nilai agama Budhha dan Hindu, Islam memberi nafas baru terhadap tradisi ini dengan 3 aspek iaitu, tidak nipis, tidak ketat, dan tidak jarang. Nama Baju Kurung itu adalah simbolik bagi pakaian telah dikurung oleh syariat dan dikongkong oleh adat. Sungguh menarik.
Pak Tenas juga ada menyentuh betapa keutuhan falsafah Ungkapan Melayu menggambarkan orang Melayu Islam itu sebenarnya menyediakan minda dan kearifan (wisdom)nya sendiri bagi menangani berbagai pancaroba semasa, seperti cabaran perpaduan, ekonomi dan pembangunan serta intelektual.
Sebagai contoh, jika orang Melayu Islam itu menerima tamu yang bertandang ke rumah, tuan rumah akan berusaha menyediakan makanan yang paling enak ! Walaupun sebenarnya rumah tidak mempunyai susu atau makanan, tuan rumah akan keluar ikut pintu belakang meminta pada jiran tetangga makanan untuk dihidangkan. Dan jika mereka benar-benar kehabisan makanan, pertanyaan ” tuan, sudah makan ?” akan diajukan kepada tetamu dengan penuh rasa rendah diri, dan automatik tamu itu akan menjawab ”sudah” (walaupun perut lapar sangat, tamu itu memahami bahawa tuan rumah tiada makanan). Indahnya budaya kita. Budaya Melayu mengajar kita untuk sentiasa bersopan santun, menjaga hati saudara kita, dan jelas amalan ini amat dituntut oleh Islam itu sendiri.
* (#r߉ç6ôã$#ur ©!$# Ÿwur (#qä.ÎŽô³è@ ¾ÏmÎ/ $\«ø‹x© ( Èûøït$Î!ºuqø9$$Î/ur $YZ»|¡ômÎ) “É‹Î/ur 4’n1ö�à)ø9$# 4’yJ»tGuŠø9$#ur ÈûüÅ3»|¡yJø9$#ur Í‘$pgø:$#ur “ÏŒ 4’n1ö�à)ø9$# Í‘$pgø:$#ur É=ãYàfø9$# É=Ïm$¢Á9$#ur É=/Zyfø9$$Î/ Èûøó$#ur È@‹Î6¡¡9$# $tBur ôMs3n=tB öNä3ãZ»yJ÷ƒr& 3 ¨bÎ) ©!$# Ÿw �=Ïtä† `tB tb%Ÿ2 Zw$tFøƒèC #·‘qã‚sù ÇÌÏÈ
Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. ( An-Nisa’: 36)
Pak Tenas turut berkongsi kebimbangan beliau terhadap penilaian budaya melayu yang semakin terhakis dikalangan generasi muda hari ini. Tiada rasa hormat terhadap orang tua, tidak menjaga adab percakapan dan sombong. Namun hari ini kita masih dapat melihat keindahan budaya yang dipegang erat oleh masyarakat Melayu Riau dan beberapa bangsa lain di Indonesia. Saya juga amat tertarik dengan kesopanan dan kelembutan masyarakat Sunda yang ayu dan amat menyenangkan.
Sebagai kesimpulan, saya ingin ketengahkan amanah yang perlu digalas, iaitu didikan terhadap generasi muda, malahan anak dalam kandungan lagi perlu mula diberi didikan Islam dan keindahan budaya Melayu. Saya bangga menjadi orang Melayu Islam.
Tenang-tenang air dilaut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan kami tak lupa
Sudah tepaku didalam hati
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang