Friday, March 12, 2010

WANITA BERJAYA, PATUH PADA TUHAN



Terpanggil menulis selepas membaca nota Dr. Lo’ Lo’ Ghazali berkenaan Wanita bermaruah mampu melahirkan masyarakat bertaqwa dalam Negara Berkebajikan yang mendapat pengampunan Allah SWT.


Ya. 8 Mac baru-baru ini merupakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa. UNICEF(The United Nations Children's Fun) kali ini meraikan Hari Wanita Antarabangsa dengan menekankan betapa pentingnya pelaburan untuk kesihatan para ibu apabila Badan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menunjukkan bahawa kebarangkalian kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu meninggal dunia sebelum mencecah usia dua tahun adalah lebih berbanding dengan bayi yang mempunyai ibu( Ann M. Veneman, Pengarah Eksekutif UNICEF).


Kira-kira yang boleh kita lakukan. Apabila melihat lambakan aktiviti-aktiviti atau sambutan yang dilakukan diperingkat setempat, nasional, mahupun antarabangsa yang kita maklum kandungan sekularisme, hedonisme, liberalisme dan feminisme yang menebal. Kita pulangkan kembali intipati setiapnya kepada sumber fitrah wanita paling utama iaitu Al-Quran dan Sunnah.


Oleh yang demikian, saya membuat keputusan untuk menyampaikan pidato versi penulisan bertajuk : Wanita BERJAYA , patuh pada Tuhan.


Isu-isu tidak terungkap. Terlalu banyak. Masalahnya, sehingga kini kita tidak rungkai persoalan kerosakan ketamadunan dengan panduan kehidupan. Rumah-rumah kebajikan dan pusat pemulihan semakin banyak, tapi tidak dapat ditandingi banyaknya lagi pusat-pusat hiburan, usaha-usaha mengedar dadah, arak-arak dijual secara berleluasa.


Begitu juga gelombang-gelombang kebangkitan wanita. Ringkasnya perkembangan ini berlaku di Barat dengan slogan-slogan kebebasan. Memang benar kebangkitan memperjuangkan hak perlu jika dilihat kedudukan wanita barat tidak diberi ruang sebaiknya. Namun apabila kebebasan ini disalah tafsir sebagai apa sahaja yang wanita mahukan, di sinilah mulanya tafsiran nafsu.


Masalah tidak percaya Tuhan. Analogi paling mudah. Apabila seorang anak kecil berjalan ke arah api sedang marak. Ayah dan ibu pasti akan menghalang anak kecil itu kerana mereka tahu anaknya pasti akan hangus jika melangkah ke dalam api. Anak kecil pula marah, kata anak kecil hidup tidak bebas, terkongkong, lalu tidak mendengar, tidak menghiraukan kata ayah ibu dan melangkah masuk ke dalam api. Begitu juga kebebasan yang Islam maksudkan. Hanya Tuhan lebih tahu siapa dan apa yang sesuai untuk hambaNya. Tapi kita degil, bongkak, kita kata Tuhan kongkong, tidak bebas, jumud,akhirnya hangus.


Saya tidak pasti anda memahami analogi di atas. Namun, apa yang cuba saya sampaikan ialah Tuhan menciptakan wanita secara fitrahnya dan hukum yang Allah tetapkan untuk seorang muslimah adalah SESUAI dengan tabiinya. Maka Allah lebih mengetahui segala sesuatu, lalu apabila, wanita meminta hak, melaungkan slogan kebebasan yang keluar dari fitrah dan tabienya. sebenarnya dia telah melawan prinsip penciptaanya.


Bila melihat terlalu banyak masalah berlaku. Keganasan, kes rogol, anak luar nikah, bunuh anak, dera, penceraian dan sebagainya. Ia adalah transisi refleksi manusia tidak patuh kepada penciptaNya. Mudahkan.


PRAKTIKAL MEMBANGUNKAN MASYARAKAT


Manusia lebih suka mengambil tindakan tidak berTuhan. Dibina pusat-pusat pemulihan, namun arak dan dadah masih berleluasa. Dibina pusat-pusat kebajikan untuk anak-anak terbiar, namun berapa banyak perkahwinan berakhir dengan penceraian. Ditambah NGO-NGO yang memperjuangkan hak, namun konsert-konsert hiburan masih bersusun diadakan. Natijahnya, kita hanya membazir. Kerana masalah tidak akan selesai.


Jadi, minda bertanya. Bagaimanakah caranya untuk menyelesaikan masalah. Jawapan yang paling sempurna ialah patuh kepada Tuhan. Bukan sahaja individu harus patuh, seluruh komponen pembentukan ummah harus patuh kepada Tuhan,iaitu entiti keluarga, masyarakat, pemerintah dan seisinya.


PSIKOLOGI WANITA SERAH DIRI SEBAGAI TANDA CINTA


Cukup tidak masuh akal jika upacara "pecah dara" sebagai tanda cinta diminta oleh lelaki(binatang) sebagai bukti kasih sayang sedangkan baru berkenalan tidak sampai sehari. Jika difikir secara rasional, ada dua petanda signifikan. Pertama, hilang akal ketika melakukan perbuatan terkutuk atau, pendek akal, tidak memikirkan natijah perbuatan mereka.


Klik di google engine berkaitan kes buang anak, gambar sahaja cukup banyak dan menyayat hati. Tidak ada belas ke si pembuatnya? Saya teringat kata-kata salah seorang adik usroh (Fatihah), katanya isu buang anak ni, akan melibatkan pasangan tidak bernikah, jika bernikah, mereka tidak akan buang anak. Ada benar juga kata Fatihah, yang tidak bernikah buang anak, yang bernikah mungkin jual anak.


Kes penceraian juga tidak kurang hebatnya. Malah artis-artis negara yang diangkat sebagai ikon kononnya, lebih dahulu mendahului dengan kehebatan majlis perkahwinan puluhan ribu ringgit kemudian bercerai tidak sampai setahun berkahwin. Anak pula masih menyusu.


Penderaan kanak-kanak kecil amat membimbangkan. Sesiapa yang berkeluarga pasti merasai penat-lelah melayan kerenah anak yang tidak reti duduk diam, ligat, aktif. Namun, di sinilah kesabaran dituntut dengan nilai sedar yang tinggi. Jadi, tidak hairanlah jika kes-kes penderaan berlaku. Ianya datang berpakej, tekanan perasaan, pergaduhan suami-isteri, kepenatan, pengaruh alkohol, atau dadah. Nah, pakej ini datang dengan barangan percuma iaitu, sepak terajang kepada anak-anak sedang mereka cuba meraih perhatian ibu dan ayah mereka.


MASALAH TIDAK AKAN SELESAI TANPA..


Masih ingat sejarah lampau? sejarah Muhammad saw diangkat menjadi Rasul? Bila Allah swt menghapuskan seluruh bentuk jahiliyah, dan diangkat kembali maruah manusia. Maka, jiwa-jiwa hebat lahir dicelah-celahnya.


Maka persoalannya terjawab sudah bagi wanita yang ingin berjaya, iaitu patuh kepada Tuhan. Ya, bukan wanita sahaja, seluruh umat manusia.


Bagaimana ingin patuh ?


Peliharalah ibadah. Ibadah dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan juga adalah kemuncak betapa ia merasai keAgungan Tuhan yang disembahnya.


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku

.(adz-dzaariyaat: 56)


Namun, ibadah yang bagaimana? Ibadah yang mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Ibadah yang dilakukan dengan penuh khusyuk sehingga merasai kelazatan, dalam keadaan merasai kehadiran Allah, dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah dalam setiap urusan hidup


اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ


Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al-Kitab (Al-Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.( al-ankabut:45)


MASIH BELUM TERLAMBAT


Usaha dakwah mengajak kearah pemahaman Islam perlu subur. Tambahan kita kini berada dalam medan ilmu yang mempunyai atmosfera segar mad’u bakal memasyarakatkan masyarakat. Kita mampu membuat perubahan bermula dengan diri sendiri disamping dakwah kepada insansekeliling kita.


Wanita mampu berjaya jika memahami tuntutan patuh kepada Allah swt. Kebejatan ini bukan sedikit kini. Terlalu banyak yang hanyut,sebab itu, wanita perlu kedepan dengan jiwa patuh pada Allah supaya kita dapat membantu jiwa-jiwa yang lain.


Kita mulakan perubahan ini.

Sunday, March 7, 2010

MALAM ANUGERAH; MALAM BERBOGEL




Bulan ini, nampaknya mahasiswa seluruh kolej sibuk meraikan malam anugerah masing-masing dengan tema yang menarik. Tujuan malam anugerah ini diadakan mungkin boleh saya simpulkan sendiri.

  1. Majlis penghargaan kepada warga kolej kediaman yang berjaya mengharumkan nama kolej, berbakti.
  2. Majlis akhir sebagai tanda kenang-kenangan.

P/S : sila tambah sendiri jika ada lagi tujuan lain.


MALAM UNTUK BERBOGEL


Sesetengah pihak pasti melenting dengan pendapat saya kali ini. Terserah.


Jika ada satu malam dalam setahun menginap di kolej kediaman, mungkin ini adalah malamnya untuk yang bertudung menyingkatkan tudung mereka, atau menanggalkan terus tudung yang dipakai.

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir. “ (an-Nur: 31)


Jika ada satu malam dalam setahun bersusah payah menjayakan projek, mungkin ini adalah malamnya untuk bersuka-ria dengan memakai pakaian, paling cantik, paling seksi, paling jarang dan paling mahal.

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)


Jika ada satu malam dalam 2 semester mendapat ramai kawan lelaki dan perempuan, ini adalah malamnya untuk bergambar bersama rakan-rakan, bergesel sana sini, berpeluk dan bercium.

Hadits Rasulullah SAW Dari Ma`qil bin Yasar dari Nabi saw., beliau bersabda, "Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (HR Thabrani dan Baihaqi)


Jika ada satu malam dalam 2 semester yang surau sentiasa kosong dengan barisan saf tidak sampai 3 di kolej, alhasil, ini adalah malamnya untuk bersedia awal, mekap seawal 1petang, asar, maghrib, isyak entah kemana.

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).


Jika ada satu malam dalam malam-malam di kolej yang diisi dengan pembelajaran dan tutorial, ini adalah malamnya untuk mencuci mata, melihat keindahan ciptaan Tuhan, perempuan-perempuan yang berpakaian namun sebenarnya berbogel.

“Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.”(Hadis Riwayat Muslim)


Jika ada satu malam dalam hari-hari hidup tidak pernah melihat persembahan life, ini adalah malam untuk menyaksikan penyanyi-penyanyi hebat, dan tarian paling hebat dengan lagu-lagu paling best.

Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).”

(Hadis Riwayat Tarmidzi)


Kata orang “Jika kita tidak merasai majlis gah seperti ini,nanti bila dah bekerja, kita tidak dapat menyesuaikan diri bila company anjurkan dinner atau malam-malam penting”


Kata orang“ Ini adalah majlis yang paling berprestij dan pada malam inilah orang-orang kenamaan akan mengiktiraf malam anugerah kolej kita sebagai malam anugerah terbaik”


SAYA BERDOSA


Tahun dua, ketika Malam Anugerah Kolej Fasa 1 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, saya masih ingat ketika itu masih ada Eye on Malaysia. Kami Jawatankuasa Tindakan Kolej dan Jawatankuasa Induk Kolej merancang untuk menyanyi di atas pentas, saya sehingga hari ini rasa berdosa, kerana gagal menggunakan jawatan yang ada untuk mengajak kearah kebaikan.


Saya hadir kerana saya ditugaskan untuk mengiringi penyelia kolej menyampaikan hadiah kepada pengarah projek terbaik. Pertimbangan untuk hadir saya putuskan, saya hadir lewat. Menyelinap masuk melalui meja-meja dan akhirnya tiba di meja bersama penyelia.


Tiba waktu untuk ke pentas, saya ajak sahabat baik untuk LARI ! Kami ke surau. Selesai solat, saya memeluk hidayah. Menangis. dayah turut menangis sambil menenangkan saya. Cukup kuat ujian Allah ketika itu. Kami tidak masuk ke dalam majlis, terus disitu sehingga tamat .


Esoknya, rakan-rakan bertanya kemana saya menghilang ketika semua JTK JIK sibuk membuat persembahan di atas pentas.


HATI BERKATA BEGITU


Bukankah Nabi SAW sudah mengajar kita, bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan ?


Nabi saw pernah memberi amaran mengenai majlis yang tidak berzikir kepada Allah swt, sabdanya :-

" مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةً فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ " .


"Tidak duduk sesuatu kaum dimajlis yang tidak mengingati Allah atau berselawat keatas Nabi mereka, tetapi mereka akan menyesal, jika dikehendaki Allah akan mengazab mereka, dan jika dikehendaki Allah swt akan mengampunkan mereka" -[Hadith riwayat Tirmudzi, kata beliau bahawa hadith ini hadith hassan. Sheikh Al-Albani juga mengkelaskan hadith ini sebagai sahih didalam Sahih Al-Tirmudzi. 3/140].


Didalam hadith yang lain, Nabi saw bersabda :- Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah ra. berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ قَوْمٍ يَقُومُونَ مِنْ مَجْلِسٍ لا يَذْكُرُونَ اللَّهَ فِيهِ إِلا قَامُوا عَنْ مِثْلِ جِيفَةِ حِمَارٍ وَكَانَ لَهُمْ حَسْرَةً " .


"Nabi bersabda : 'Kaum yang bangun dari majlis yang tidak mengingati Allah didalamnya, hanyalah mereka seolah-olah bangun dari bangkai keldai, akan menyebabkan penyesalan bagi mereka" - [Al-Nawawi didalam Riyaadh Al-Salihin #321 mengatakan ia sahih dan juga oleh Al-Albani].


Saya mengajak anda untuk membuat penilaian. Anda nilai sendiri. Adakah Majlis Anugerah di Kolej anda mengharapkan redha ALLAH ?


Kepada yang telah menghadiri majlis-majlis seperti ini tidak kiralah konsert, atau parti. Saya mengajak anda untuk berubah.

Friday, March 5, 2010

E-VOTING BERGAYA SEBAGAI ‘WAITING PROJECT’



Melihat isu e-voting sebagai peluru yang sedang dibina perantinya, saya ingin cuba memberi satu sudut pandang sisi.


Horizon politik kampus kini rata-rata dikatakan mula melalui fasa kebangkitan. Saya setuju namun tidak menolak tentang tahap mahasiswa sedar yang masih nafsi-nafsi.


Tiada yang mustahil dalam politik.


E-voting pada nama memang nampak gah, mudah, senang, cepat, hebat, menyengat. Pendek kata bergayalah ! Jika mahu dibandingkan dengan pensel dan kertas yang dilorek, kena lipat, perlu masuk dalam kotak lagi, lambat, renyah. Pendek kata tidak bergaya !


Atas nama bergaya inilah MUNGKIN pihak berkuasa melihat ianya mampu membawa masyarakat kepada TAMADUN moden. Kita tidak akan malu kepada negara-negara besar yang telah menggunakan teknologi sebagai teknikal penyelesaian masalah rumit.


KOSMETIK


Ianya tidak terlihat. Teringat pula pada siri pembacaan strategi orientalis yang menggunakan medium halus menghapuskan keaslian ilmu.


Kosmetiknya adalah pada prinsip asas mengapa perlu wujudnya e-voting. Bagaimana kita mahu menerima sesuatu yang pada prinsipnya tidak masuk akal dan menyeleweng ? Malahan pukul rata penangan sang penguasa menolak penghujahan prinsip dan main tarik tali bercakap soal teknikal.


‘WAITING PROJECT’ SELEPAS RESULT EXAM DIKAMPUS CEMERLANG


Persoalan prinsip 1 :

Mengapa pihak universiti sampahkan PRINSIP dan PENDIRIAN MAHASISWA berkenaan E-VOTING yang merupakan penentu kepada penerimaan mahasiswa terhadap medium pilihanraya kampus yang merupakan hak mahasiswa, kerja mahasiswa, pemilihan oleh mahasiswa.


Persoalan prinsip 2:

Mengapa pihak universiti BERIA-IA mahu melaksanakan e-voting ? Habiskan masa berbincang syok sendiri organisasi pelaksanaan e-voting, mesyuarat sana-sini. Sedang lambakan isu kebajikan mahasiswa yang lebih kritikal, sangat memerlukan perhatian BERIA-IA diletak tepi meja, tidak terusik. ( maaflah kepada akak-akak dan abang-abang PTM, persoalan prinsip ini tiada kaitan dengan kesungguhan kerja akak dan abang)


Persoalan prinsip 3:

Mengapa berani bercakap SOAL DEMOKRASI dalam universiti a.k.a gedung ilmu a.k.a puncak menara gading sedangkan PIHAK PEMERINTAH sebenarnya telahpun berniat mencalitkan warna pada tengkuk mahasiswa ?


Persoalan prinsip 4 :

Mengapa bercakap soal ketelusan sistem dan pelaksanaan ? Membodohkan mahasiswa dengan teknikal teknologi yang gagal mahasiswa fahami, mencabar mahasiswa buktikan sistem telus dengan membuka komponen perisian komputer, terma-terma pelik memerlukan kamus khas. Membuat aduan dengan prosedur surat dan borang tentang salah laku pegawai yang berkerja untuk melaksanakan tugas menjayakan agenda sendiri.


JAWAPANNYA


Saya optimis melihat dari sudut politikknya tidak mustahil ini adalah antara agenda menjadikan pelaksanaan e-voting sebagai satu medium pemilihan untuk pilihanraya umum negara.


Sahih atau tidak kata-kata saudara Hishamuddin Rais tentang DS Najib telah dua kali ke Bangalore bertemu dengan expert IT membincangkan tentang proposal projek e-voting sebagai peluru menguasai pentadbiran negara ianya masih masuk akal jika dilihat dari kerakusan siri tindakan kurang bijak diperingkat pelaksana test di kampus-kampus.


JANGAN PELIK


Jika mahasiswa kini sudah punya momentum menggegarkan kampus-kampus tanda bangkit menentang usaha mematikan demokrasi. Ambillah iktibar tindakan berani masyarakat pengundi muda di kampus-kampus utama UM, UPM , UKM.


Jangan lupa catit siri gelombang kebangkitan untuk analisis post mortem sebelum bertindak lebih jauh melaksanakan ‘waiting project’ kepada masyarakat luar yang misteri momentumnya nanti.