
Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w dan keluarga baginda
Dek kerana Allah menyerahkan Makkah kepada Muhammad dan setelah kaum Quraisy yang memusuhi baginda bertukar menjadi orang yang menyebelahi Baginda, maka marahlah Para Pembesar Huwazin dan Thaqif.
Perang Hunain adalah perang yang mempunyai sorotan angkatan pejuang yang gah. Pertempuran hebat dengan bantuan Allah SWT yang telah mencampakkan rasa takut ke dalam hati musyrikin sehingga berjaya dibunuh dan ditawan golongan kafir ini.
Setiap peperangan pasti punya pengajaran dan ujian.
Hunain adalah hitungan pelajaran Aqidah.
Hunain menyelesaikan Badar.
Malik ibn ‘Auf merupakan ketua qabilah Huwazin. Dialah yang mengetuai pasukan besar Quraisy yang setiap pasukan raksaksa diarah membawa harta benda dan isteri dengan tujuan supaya tidak ada yang cuba lari meninggalkan medan perang.
Dia tidak mati. Akhir peperangan, Malik hilang seluruh harta dan keluarganya. Sehingga Rasulullah bersabda “ Beritahu kepadanya, sekiranya dia datang kepadaku sebagi Muslim, aku akan kembalikan kepadanya keluarga dan hartanya, dan akan aku berikan kepadanya seratus ekor unta,”. Islamlah Malik ibn ‘Auf dan kuat pula Islamnya.
ANSAR YANG KEHILANGAN..
Mengetahui bahawa Rasulullah memberi lebih banyak harta rampasan kepada golongan mu’allaf penduduk Makkah untuk melembutkan hati mereka kepada Islam berkatalah mereka,:
“Semoga Allah mengampunkan RasulNya, dia masih memberi kepada orang Quraisy, meninggalkan kita yang masih lagi menitis darah mereka dari pedang-pedang kita!”
Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama
KESEDIHAN RASULULLAH DITUDUH OLEH ORANG YANG DIKASIHI
Syaitan telah cuba merasuk dan menabur fitnah terhadap siasah Rasulullah saw sehingga berjaya menggambarkan bahawa Nabi telah terpengaruh dan kasih kepada kaum dan anak negerinya, hingga baginda lupa kepada orang-orang Ansar.
Rasulullah menggoncang perasaan orang-orang Ansar
Lantas menangislah mereka hingga basah janggut-janggut mereka
Indahnya akhak dan budi untuk menyatakan perasaan kasihnya yang begitu mendalam.
Tidak ada lagi sebarang kenyataan yang lebih nyata untuk menyatakan setia, mesra dan kasih murni selain itu.
Dengan penuh hikmah, apabila sampai perkataan itu ke pengetahuan Rasulullah saw. Baginda memanggil mereka berkumpul sehingga tiada seorang pun yang tidak hadir. Baginda memuji Allah dan kemudian berkata :
“………..Apakah sudah ada dalam dirimu wahai orang Ansar sifat cinta dunia ? Hingga kamu merasa iri hati sebab aku berlembut dengan orang-orang itu untuk mereka menganut Islam, sedangkan kamu sudah kukuh dengan Islam mu !....”
“Apakah kamu tidak rela wahai orang-orang Ansar? Orang-orang itu pergi membawa kambing dan unta, tetapi kamu pulang bersama Rasulullah ? demi Allah, pemergian kamu adalah lebih baik dari pemergian mereka…..”
“Demi Allah, sekiranya tidak ada hijrah aku adalah salah seorang dari kalangan Ansar, andai semua berjalan di satu jalan, dan orang-orang Ansar berasingan di satu jalan, sudah pasti aku mengikut jalan orang Ansar. “
“Aku akan temui kemuliaan turun temurun selepas peninggalanku, bersabarlah. Wahai Allah, rahmatilah orang-orang Ansar, Rahmatilah anak-anak ansar, rahmatilah cucu cicit ansar.”
Riwayat Bukhari, Muslim, Ibn Ishaq dan Ibn sa’ad dengan nas-nas yang hampir sama
TIADA NILAI LAGI PADA MEREKA
Maka gugurlah rasa was-was dan ragu yang bergantung dalam hati mereka. Sudah tidak ada nilai lagi pada mereka kambing-kambing dan barang rampasan perang, kerana mereka sudahpun berada di samping orang yang paling dikasihi.
Berbekas dalam hati mereka bila Rasulullah saw rela meninggalkan tanah tumpah darahnya untuk bersama mereka dan meneruskan baki hidup bersama mereka..
Ingatan buat mu duhai rasulullah..
Selawat yang tidak terhitung ke atasmu wahai junjungan kami, wahai Rasul dan ke atas para sahabatmu dari kalangan Ansar dan Muhajirin. Himpunkan lah kami dibawah panji-panjimu, jadikanlah kami bersama mereka yang akan menemuimu dalam Syurga kelak. Amen.
ANSAR BERJAYA, KITA ?
Kita harus takjub melihat kehebatan jiwa-jiwa ini dan mengambil pelajaran apabila melihat manusia berpencak, memutuskan silaturrahim, dek kerana terlalu cinta pada materi. Ya, mungkin bukan kambing-kambing dan unta-unta.
Kaca mata hari ini berbeza yang amat. Risaulah kerana Hunain telah bentangkan siratan tersurat dan syaitan tidak pernah berehat.

