Wednesday, May 28, 2014

LIFE IS A BEAUTIFUL STRUGGLE



Hidup saya kini dipenuhi konflik, konflik yang berperang di kawasan tersembunyi. Orang tak boleh baca dari riak wajah saya. Hati !

Yang dahsyat sekali, bila saya rungkai menggunakan teknik luahan  ianya bertukar menjadi sesuatu yang lain dari asalnya. Rungutan !

Dan pada penghujungannya, saya tersepit antara menyelesaikan masalah atau  buat tidak tahu dengan konflik saya. Burr !


Saya tahu Allah Maha Adil, Lebih Tahu atas apa yang kita tidak ketahui dengan situasi semasa saya sebagai wanita yang juga anak, ibu dan isteri dan guru.


Namun saya selalu stress  untuk memenuhi nilai solehah dalam setiap posisi itu kerana sesungguhnya ianya sangat memerlukan kerja keras.


Ianya soal redha Allah pada seorang wanita. Saya mengambil hujah setiap jiwa bertanggungjawab  atas apa yang dipertanggungjawabkan. Allah pasti akan memberi markah atas peperiksaan selama saya hidup didunia. Oleh itu, salah jika survival ini kita rigidkan pada peranan suami sahaja sebagai contoh, sedangkan suami juga ambil peperiksaan. Waktu exam mana ada ambil kisah hal orang lain kan.


Oleh yang demikian, menyalahkan orang lain untuk menutup kesilapan sendiri adalah cara yang kurang cerdik. Saya perlu letakkan seluruh diri saya di atas slaid spesimen untuk dilihat dengan teliti dibawah mikroskop.

Sentiasa melihat tanggungjawab berbanding mempersoalkan hak.

Persoalan awal ialah tempat seorang wanita adalah dirumah. Di sisi suaminya. Bukan di tempat awam, bukan bekerja.

Tanggungjawab seorang ibu ialah membesarkan, mendidik dan merawat seorang anak. Bukan menyerahkan separuh tanggungjawab  terutamanya bonding time kepada pengasuh.


Tempat seorang anak yang solehah ialah menjaga ibunya. Bukannya jauh sukar untuk pulang menziarahi walaupun sekali dalam sebulan.

Dan saya mendapati semuanya bermula apabila saya bekerja ! 

Apabila saya buat sifir, sebenarnya kami lebih menyimpan sekiranya saya tidak bekerja, duit sewa rumah tidak perlu di bayar sekiranya saya tinggal satu bumbung dengan suami, duit pengasuh dan pengasuh tidak diperlukan sekiranya saya sendiri mengasuh anak saya. Duit kereta tidak perlu dibayar sekiranya saya tidak berkenderaan (tinggal dengan suami) dan kami akan sangat bahagia kerana tidak perlu berjauhan ! Kini saya di JB dan suami di KL. Dan yang paling baik, anak tidak perlu berjauhan dengan walidnya. Kami juga boleh balik kampung setiap hujung minggu menziarahi ibu yang tinggal seorang diri.

Namun, sehingga kini, saya masih tidak dapat membuat keputusan untuk bersara dari dunia pekerjaan. Mengapa ?


Adakah atas faktor ekonomi dan keterdesakan hidup benar-benar membuatkan seorang wanita perlu mencemarkan nilai murni seorang ibu, isteri dan anak untuk mencari  rezeki ? Tidak lain tidak, inilah faktornya !


Saya tidak punya jalan lain dan saya percaya ramai di luar sana juga sedang struggle untuk mencapai matlamat ini. Melalui survival kehidupan dunia yang penghujungnya adalah kematian.


Namun, apabila kita bekerja dan kita berdoa “ wahai Allah, aku serahkan rumahku, anakku dan seiisinya pada Mu, untuk aku bekerja mencari rezeki membantu suami dalam menafkahi keluarga, “ adakah ianya cukup untuk menjadikan kita solehah? Sudah tentu tidak.

Bila teringat semula tagline suami yang memberi motavasi work smart and  not hard.  Saya perlu tahu kunci ke syurga untuk berhadapan  dengan Allah Azzawajalla dalam keadaan paling diredhaiNya.


“Jika seorang isteri melakukan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, niscaya dia  akan memasuki surga Tuhannya.” (HR. Ahmad).

Dari Ibnu Abbas ra ia berkata, wakil wanita ber-kata: “Wahai Rasulullah, saya wakil dari kaum wanita untuk berjumpa denganmu. Sesungguhnya jihad hanya diwajibkan atas kaum laki-laki saja, sekiranya mereka menang mereka memperoleh pahala dan sekiranya mereka terbunuh, maka mereka senantiasa hidup dan diberi rezeki di sisi Rabb mereka. Sedangkan kami golongan wanita menjalankan tugas (berkhidmat) untuk mereka, maka adakah bagian kami dari yang tersebut? Maka Rasulullah menjawab, Sampaikanlah kepada siapa saja dari kaum wanita yang eng-kau temui, bahawa taat kepada suami dan mengakui hak suami adalah menyamai yang demikian itu, dan amat sedikitlah di antara kamu yang mampu melaksana-kannya.” (HR al Bazzar)


Sekiranya dengan membantu suami mencari nafkah buat keluarga adalah hak yang perlu ditunaikan bagi seorang isteri yang taat. Maka lakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Saya berdoa dengan sifat Adil Allah dan Kasih sayangNya, Allah tidak memberi markah berasingan dalam peperiksaan sebagai ibu, isteri, anak dan guru. Kerana dalam memenuhi semua tuntutan itu, pasti  tidak mahu tidak punya kegagalan dan kelemahan. Semoga dengan Maha AdilNya Allah, markah keempat posisi itu ditampung bersama menjadikan ianya total hambaNya yang cemerlang di dunia dan akhirat.


Struggle !



No comments: