Thursday, October 13, 2011

KASIH NENEK


Hati saya penuh..
Sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk digambarkan perasaan ini..

Saya hanya dapat simpulkan dengan menyatakan hati saya penuh..Nikmat yang Allah kurniakan apabila bertahun lamanya tidak merasai sentuhan seorang nenek, kali ini rasanya berlainan.Hebat Allah..

Ini kali kedua saya bertemu dengannya . Susuk tubuhnya nampak masih bertenaga walaupun sudah lanjut usia. Lengkap menutup auratnya, subhanallah.

Kami bertemu di lapangan terbang  Senai, ini kali yang kedua. Menghantar rombongan haji anaknya ke rumah Allah, Mekah. Saya mengambil keputusan untuk cuti supaya dapat turut serta.  Kali pertama bertemu, nenek datang ke rumah saya bersama anak dan cucu-cucunya. 

Tika saya kucup tangannya, saya benar-benar teringat tangan arwah nenek dahulu, begini lah kedutnya..Pipi nenek sejuk, putih bersih..Melihat nenek terbit rasa kasih dalam hati. Tangan nenek yang membesarkan 10 orang anak. Allahuakbar.

Apabila saya menceritakan tentang arwah nenek saya yang meninggal di Mekah, usai menyempurnakan ibadah haji, nenek kata:

“Beruntung sangat nenek Ayuni dapat meninggal di sana. Ada orang hajat ke Mekah dalam keadaan sakit untuk meninggal di sana,tapi kalau Allah dah takdirkan mati kita bukan di tanah suci, pergi 3,4 kali pun tiada 
guna.” Tersenyum saya mendengar bait kata nenek.

Selesai menghantar makcik dan pakcik ke balai perlepasan, saya menemani nenek untuk pulang bersama kerumah saudara berhampiran.

Sambil berjalan melalui lorong laluan Jemaah haji. Kami melalui kelompok keluarga yang sedang berkumpul di tepi laluan. Agaknya nenek ternampak gelagat keluarga itu.

“Nak jaga anak kena banyak sabar. Sampai marah anak depan-depan orang ramai tu tak sabar. Kita kena sabar nak didik anak-anak.”Benar kata nenek. Hakikatnya kesabaran dalam mendidik itulah yang perlu ada dalam jiwa setiap ibu bapa. 

Tidak jemu rasanya mendengar cerita nenek yang sarat dengan pengalaman.

Entahlah ya. Sebenarnya, kata-kata nenek yang terakam dalam fikiran saya, boleh jadi biasa pada pandangan insan lain. Namun, saya simpan jua dalam qudwahhumaira supaya ianya menjadi ingatan kekal dan memori terindah buat saya.

Sungguh, tiada apa milik kita. Semuanya milik Allah jua. Allah berhak memberi dan mengambil setiap pemberianNya. Dan sesungguhnya, ianya amat mudah bagi Allah swt.

Saya bermuhasabah, jika saya merasai kasihnya seorang nenek yang sungguh sekian lama tidak saya nikmati. Saya perlu merasai kasihnya Allah terhadap hambaNya kerana dengan kasih sayang Allahlah, kita berkasih sayang.

Hakikatnya, baru bertemu nenek semalam, dan hari ini saya terasa rindu padanya. Sungguh, mencampakkan rasa kasih dan sayang dikalangan hambaNya itu amat mudah bagiNya.

Segala puja dan puji hanya bagi Allah. Terima kasih ya Allah.

Saya sangat gembira ! Kerana tidak lama lagi akan mendapat seorang nenek^_^.amin.

Sunday, October 9, 2011

ALLAH SURUH KITA BUAT!


Semua antara kita dilahirkan di dunia dengan fitrah menyukai kebaikan, sebab itu anak kecil akan diam apabila mendengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran.


Allah mencipta kita. Kita ini Allah yang cipta.


Apabila Allah mencipta kita, Allah sediakan manual untuk kita. Ini kerana Allah Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Manual ini amat penting buat kita.


Cuba lihat mesin fotostat, kereta, mesin-mesin yang ada pasti dibekalkan sekali dengan manual. Ada peraturan dan cara-cara pengendalian. Jika kita tidak merujuk pada manual yang disediakan, pasti sukar untuk kendalikan mesin ini, boleh jadi pakai tak sampai seminggu dah rosak. Akhirnya tersadai di stor bangunan.


Analogi ini sama jika nak dibandingkan dengan kita. Apabila Allah mencipta manusia, Allah sediakan sekali dengan manual(cara hidup), jika kita tetap pada manual ini insya Allah hidup kita tidak akan sia-sia.


Apakah manual kita sebagai manusia ?


Buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang.


Allah kata wajib solat, kita buat :


Firman Alah s.w.t yang bermaksud :

... maka dirikanlan solat. Sesungguhnya solat itu suatu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang mukmin. (an-Nisa ... 103)


Dan akhirnya bila dah jadi sebati dengan diri kita, kita akan dapati Allah mengkehendaki kebaikan buat diri kita kerana solat ini ibarat peta. Jika kita punya peta, perjalanan ke satu-satu destinasi lebih mudah. Kita nampak jalan mana yang terbaik untuk dilalui. Bayangkan nak berjalan ke suatu tempat tanpa peta, kita akan sesat entah kemana-mana.


“Tapi, cikgu, kenapa susah sangat nak buat apa yang Allah suruh?”


Jawapannya adalah kerana kita tidak percaya yang kita ni dicipta oleh Allah, kita tidak mahu tahu setiap nikmat pancaindera yang kita punya ini adalah ihsan dari Allah, kita tidak rasa kita punya Tuhan!


Sebab, logiknya, andai kita tahu kita dicipta oleh Allah, kita dikurniakan segala nikmat mata untuk melihat, pernafasan dan degupan jantung ini, kita rasai setiap bicara makhluk ciptaan daripada pokok yang tumbuh segar, air yang melalui kelikir batu, awan yang tergantung dilangit. Tak kan langsung tidak terlintas semua ini pasti ada Kuasa yang Hebat mencipta nya?


Bukankan manusia itu lahir dengan fitrah ?


Kita manusia, manusia akhir zaman. Kita hidup dalam keadaan begini. Terimalah. Redhalah akan massa yang perlu kita lalui. Bumi semakin tua. Ummat semakin lupa.


Hanya menyentuh soal solat, belum lagi kewajipan yang sangat mudah diminta oleh Allah.


Allah tak minta kita buat upacara ritual penyucian seperti cucuk pisau di mulut, cucuk gergaji di muka .Tidak bukan ?


“Ala, cikgu , saya tak sahur pagi tadi, saya ada gastrik, saya tak puasalah cikgu. Nanti saya ganti.”


Allahuakbar..Kadang bila bertemu dengan pelajar begini, jika ikut tak sabarnya hati, mahu je ditangan mulut yang sangat biadab. Mereka bercakap seperti tidak BERTUHAN! Tapi hati sangat kasihan melihat mereka. Alangkah indahnya hidup mereka jika mereka Tahu.


“Hai orang2 yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah2an kamu bertakwa” (Al -Baqarah:183)


Mereka mula mempersoalkan kenapa perlu puasa, kalau puasa nanti sakit perut, puasa ni menyusahkan manusia.


Ini kerana mereka tidak dapat melihat dan faham bahawa ianya bukan soal kenapa, apa, dan bagaimana. Ianya hanya ada satu jalan iaitu BUAT ! kerana Allah suruh. Allah cipta kita. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.


Sebab itu, akhirnya saya dapati apa yang utama perlu diterapkan dalam jiwa anak-anak sedari mereka kecil ialah Tauhid kepada Allah.


Dan apabila ianya gagal diterapkan sedari kecil, diharap pula guru-guru untuk membetulkan anak-anak mereka yang rosak akibat tangan mereka sendiri. Na’uzubillah !

Thursday, October 6, 2011

TIDAK GAGAH UNTUK MELANGKAH


“Cikgu, ada sesuatu yang ingin saya ceritakan pada cikgu. Cikgu, bantulah saya”


“Cikgu, bagaimana nak bertaubat kalau dah lakukan dosa?”


“Saya takut mati dalam keadaan hina, Allah marah saya dan hukum saya”


“Cikgu, Allah Maha Pengampun dan Menerima Taubat kan. Kalau saya buat dosa, Allah akan ampuni dosa-dosa saya. Jika begitu, tak mengapalah saya buat dosa, Allah pasti akan ampunkan saya.”


“Mak saya suruh saya berkawan dengan lelaki tu. Mak saya suka, kalau sehari tak pegang handphone nanti mak saya tanya. Dia yang ambil dan hantar saya ke sekolah. Dia dah kerja, saya takut cikgu nak pergi sekolah kena lalu kawasan semak, saya dah bergantung dengan dia.”


“Cikgu, saya dah terlanjur dengan dia. Buat yang ringan-ringan tapi tak sampai berzina lagi cikgu. Mula-mula dia paksa saya, lama-lama setiap kali jumpa pasti kami akan buat benda tu. Saya pun jadi seronok.”


“Tapi saya menyesal cikgu. Jiwa saya tak tenang nak dekat peperiksaan ni, saya takut Allah tak berkat saya belajar.”


“Dulu saya solat, sekarang dah tak solat sebab rasa was-was, Allah pasti tak terima solat saya, jadi saya tak solat.”


“Cikgu, saya tengok kawan-kawan saya pun ada yang dan buat banyak kali dengan pakwe dia, tapi relaks je. Cikgu, ada je yang berzina, tapi lepas tu berumah tangga macam biasa.”


“Cikgu, saya tak boleh tinggalkan dia, nanti dia marah saya, saya dah bergantung dengan dia.”


Allah…..

Tidak dapat tidur lena

Saya berasa sangat lemah !

Saya tidak gagah !

Wednesday, October 5, 2011

JIKA TAK MAMPU BUAT SEMUA, JANGAN TINGGAL SEMUA



Saya di brainwash semalam, saya tahu saya perlu terima hakikat itu dan saya redha. Rasanya nikmat!


Adakah anda pernah rasa buntu ? Dalam anda nak merancang sesuatu tiba-tiba idea tidak mahu keluar, dipaksa-paksa juga tidak mahu, kertas kosong yang pada mulanya hendak anda rangka sesuatu dengan tiba-tiba tidak bersentuhan dengan pena. huh..berat ni..(~_~')


“ Bagaimana bisa, logiknya dimana?” keras masuk ke dalam telinga saya..saya cuba angguk-angguk, saya kira secara psikologinya ianya membantu untuk menampakkan saya faham..(^_^)


“Wanita ni kreatif, dan sangat teliti dalam merencana, tak logik sungguh..” Allahuakbar..ibarat menerima panahan petir di corong telinga..


“Lihat ya, kalau merancang hal-hal perkahwinan, orang perempuan ni boleh fikir sangat detail, nak tema warna apa, siapa yang uruskan bahagian memasak, siapa yang jadi tukang mekap, siapa yang uruskan majlis. Pendek kata TIP TOP. Number one!” adeh…astaghfirullahal’azim..astaghfirullahal’azim..cuba menggagahkan diri lagi..


“Ana tahu, ada dikalangan antunna semua dulu aktif di kampus, buat program itu, buat program ini untuk menyampaikan dakwah Islam.”


“Kalau ada yang cikgu, dia merancang pengajaran dengan bahan untuk disampaikan kepada pelajar, bukan main kreatif. Nyanyi sana, tengok video, buat eksperimen.”( =.=’) saya semakin tidak keruan..


“Macamna boleh kata dalam merencana program masyarakat untuk menyampaikan tentang Esanya Allah tiba-tiba jadi kayu ?” saya rebah sudah! Tak mampu mengangkat muka lagi.


“Ada yang menyatakan masalah suami tidak mengizinkan mereka keluar untuk bergerak kerja. Ana pulangkan kepada kebijaksanaan dan kekreatifan antunna sebagai muslimat. Kalau kita pandai pujuk rayu suami untuk materi yang kita mahu, tak kan yang satu ini tak boleh ?” berdesing telinga saya..pedih.


Benar katanya..sebenarnya saya tidak punya apa-apa alasan lagi. Saya mengaku kalah dan salah.


“Ana tahu semua ada komitmen, jika kita lihat pada masa yang sempit, terlalu banyak perkara asas yang tidak ada dan belum terlaksana, dengan keadaan masyarakat yang sakit, kita akhirnya akan sampai kepada kesimpulan, kita tidak dapat buat apa-apa. “


“Kita bekerja dalam lapangan masing-masing, cuma ada malam dan hujung minggu untuk berkumpul dan membincangkan masalah ummah” sambil melihat kearah kami dan jam yang sudah senja, lampu bilik mesyuarat kala itu, mula berkedip malap(seperti memahami kepenatan isi bilik)


"Tapi sahabat-sahabat, jika kita tidak mampu buat semua, kita jangan tinggal semua" ia seperti tenaga yang meresap masuk ke dalam raga..subhanallah..subhanallah


Biar sempit masa, biar banyak benda kita tidak ada, biar kurang tenaga yang kita ada, yang penting kita laksanakan amanah dan tanggungjawab ini semampunya dengan bersungguh-sungguh. Kita milik Allah, kita buat apa yang Allah suka. Kalau bukan kita buat kerja Islam siapa lagi ?


Malam yang kami tinggalkan dengan hati yang berbekas..


A journey of a thousand miles begins with a single step. (Ada pula bertampal di dinding bilik mesyuarat..hoho..yosh!)

Monday, October 3, 2011

100 KALI GANDA WARNA-WARNA DUNIA


“Kenapa langit biru pada siang hari?” cuba menduga mereka.. Mereka lama diam mencari jawapan atau sahaja sebenarnya takut bersuara kerana tidak yakin dengan jawapan.


“Sebab dia warna biru lah cikgu !” jawab seorang pelajar memecah kesunyian..terburai ketawa rakan-rakan yang lain.


“langit warna biru sebab dia pantulkan warna air laut kan cikgu? “ seorang lagi cuba meneka. Dan saya rasakan tekaan itu adalah apa yang telah dia terima sekian lama.


“Kenapa langit merah oren-oren gitu pada waktu senja?” Tanya saya lagi cuba menambahkan kekusutan mereka..


Adakah anda juga tahu mengapa kita dapat menghayati biru dan merahnya langit ?


Pernah saya memberhentikan kereta di tepi sebuah taman, usai pulang dari satu program..semata-mata untuk merenung langit. Berhenti dan menilai setiap persoalan disebalik soalan anak didik..


“Cikgu, kenapa cikgu cakap langit biru, tapi saya nampak ianya warna putih?”


“Cikgu, kenapa kita tak dapat lihat apa yang ada disebalik langit?”


“Cikgu, kenapa kalau hujan, langit gelap warna hitam ?”


“Cikgu, kenapa langit warna biru dan bukan warna lain ?”


Bagaimana untuk mengajak mereka kepada persoalan utama kehidupan..Kadang inilah yang cukup memberatkan saya. Dengan keterbatasan ilmu, saya juga perlu mencari jalan bagaimana untuk mengarahkan setiap persoalan mereka kepada jawapan yang sepatutnya..


Ia sama seperti persoalan kehidupan.. apabila insan lain melihat kehidupan daripada kaca mata mereka, sejelas mana mereka dengan apa yang mereka mahu dan tahu, sejelas itu jugalah mereka akan melalui detik dan usia mereka.


Adakah cukup dengan jawapan bahawa putih yang dilihat bukan langit tetapi awan, atau keterbatasan mata kita tidak dapat melihat objek jauh adalah asbab kita tidak dapat melihat disebalik langit, atau yang gelap itu adalah awan hitam yang dipenuhi air dan cas berat, atau cukup sekadar menerangkan prinsip penyelerakan cahaya (light scaterring) keatas kesan fenomena matahari terbit dan terbenam ? bagi saya ianya tidak mencukupi..


“Bayangkan jika kita hanya ada 1 warna sahaja. Sofa putih, muka putih, kasut putih, pokok putih, kereta putih.. apa perasaan kamu?” saya menduga..


“Ish, bosanlah cikgu..”


“Jadinya, ada 7 warna cahaya(pelangi) dalam warna cahaya putih ni membahagiakan lah ya ?”


“Mestilah cikgu, cantik!” yakin bebenar mereka menjawab.


“Andai cikgu cakap nanti di syurga ada warna-warna cahaya yang 100 kali ganda lebih cantik dan yang kamu tak pernah bayangkan ada di dunia bagaimana?”


“Errr….macamne tu cikgu?” salah seorang dari mereka yang amat tekun mendengar bertanya kepada saya.


Saya ulang buat kali kedua soalan yang saya lontarkan sebentar tadi, kali ini dengan lebih bersungguh-sungguh..


“Saya nak cikgu, nak tengok warna-warna tu..wah..pasti sangat best kan !”


“Best yang tak boleh nak dibayangkan dengan akal fikiran” tambah saya lagi..


“Tapi……………….” Saya tersenyum. Cuba memberi senyuman bermakna kali ini..


“Nak tengok warna-warna 100 kali ganda lebih cantik yang best tak boleh nak dibayang dengan akal fikiran ni kena masuk syurga dulu” senyuman saya lebih lebar kali ini..


“Saya cikgu, saya nak masuk syurga!”


Segala puji hanya bagi Allah. Yang mengilhamkan kebaikan kepada hambaNya..


::Maafkan saya atas blog yang telah lama tidak dikemaskini. Saya doakan semuanya sentiasa dalam redha Allah ::