Sunday, March 28, 2010

SELAMAT HARI LAHIR SAYANG








Kebanggaanku..

Dikau hadir disaat kami kehilangan

Sekurang-kurangnya mengubat hati kerinduan pada yang pergi

Bibirmu cepat menyebut dan belajar

Selamat hari lahir sayang

Jadi anak yang soleh pada ummi dan abi

Haikal anak bonda

Wednesday, March 24, 2010

BERSYUKUR LAH ALLAH TIDAK JADIKAN KAMU PONDAN !



Tidak dinafikan golongan-golongan pondan, “mak nyah” semakin ramai dan mempunyai kumpulan-kumpulan dengan aktiviti-aktiviti bersama.Maafkan jika saya salah meletakkan definisi, kerana apa yang saya faham pondan ini merupakan golongan lelaki yang mempunyai beberapa trend menyerupai perempuan, manakala maknyah pula adalah lelaki yang ditransformkan menjadi perempuan sepenuhnya.


KISAH MALAM MERDEKA


Dua tahun berturut-turut saya tidak melepaskan peluang menyertai ekspidisi OPS Masih ada Yang Sayang disekitar KLCC. Masih segar dalam ingatan kami berjalan dalam kumpulan untuk membawa anak muda yang masih ”tersadai” ke masjid As-Syakirin.


Pertama kali saya melihat anak muda terhuyung hayang mabuk. Ketika itu di Bukit Bintang, ramai adik-adik belasan tahun yang bersidai ditepi-tepi jalan, ada yang berdua-duaan, malah ada yang berkumpulan.


“ Ayuni !” saya tersentak apabila satu suara lembut memanggil saya. Berseluar pendek. Rambutnya cantik. Kurus. Saya sangat mengenali dirinya.


“Cici?” saya berpaling. “ Macamne boleh kena tahan ni?” saya bertanya pada dirinya. Dia adalah rakan satu OPKIM di Pekan Pahang. Cici adalah salah seorang mahasiswa Pusat Kebudayaan. Baik orangnya.Seorang lelaki.


“ Aku jalan-jalan je. Tak tahu pulak sampai jadi macamni. Aku takutlah. Dorang nak bawa ke mana Ayuni?” Cici kelihatan cemas.


“Bawa Cici ke rumah ALLAH. Sebab dah lewat sangat ni. Ikut je ya. Ramai ada sekali.”


Episod malam merdeka antara episod usaha membenteras gejala tidak sihat berlaku walaupun agak keras. Namun ianya adalah pencegahan khusus dan terlihat. Saya tidak tahu berapa ramai golongan maknyah kampus menjual badan pada malam merdeka.


Tidak pelik, di kampus Malaya, lelaki yang nampak keras dan sasa juga mungkin taksub seks kelakian.(homoseks). Namun, aktiviti ini tidak terlihat. Terselindung dan tersimpan. Ia berlaku dicelah kebosanan anak muda ini tanpa haluan. Haluannya tiada kerana tiada tujuan kehidupan dan mungkin kerana iman goyah dek persekitaran dihidangkan dengan medium seks mudah dapat(internet) antaranya.


KAMPUS JUGA BEGITU


Saya bertuah dapat mengenali Amira(bukan nama sebenar). Perkenalan kami ketika Pilihan Raya Kampus yang lalu. Hampir seluruhnya seperti seorang perempuan. Rambut yang lurus rapi, lemah lembut, sopan, cantik namun tersalah memilih jalan.


Baru-baru ini, saya dimaklumkan dia diaibkan dihadapan kelas, diburuk-burukkan dihadapan pensyarah kerana keadaannya. Dimarahi pensyarah dan pelbagai lagi perkara yang memalukan. Mungkin ada sesetengah daripada kita rasa puas, dan berkata:


“ Inilah akibatnya! Siapa suruh engkau jadi pondan!” Anda kira anda layak berkata begitu? Bersyukurlah Allah SWT tidak menguji kita seperti Amira. Kerana, belum tentu kita tahan menanggungnya.


Sudahlah begitu keadaannya, kita matikan lagi diri mereka dengan merendah rendahkan motivasi akademik yang mereka ada. Sekurang-kurangnya mereka masih boleh dirawat dan kita masih punya masa. Tidakkah kita kasihan?


BENAR ALLAH MURKA


Ya, Menurut Islam, amalan seks sejenis ini dikeji dan di hina oleh Allah swt malah sirah Nabi Lut menceritakan bagaimana Allah menterbalikkan bumi mereka sehingga menjadi laut.


“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu Dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas".(Surah Al-Araf : 80 - 81)

”Maka apabila datang (Masa perlaksanaan) perintah kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus Segala Yang ada di muka buminya) dan Kami menghujaninya Dengan batu-batu dari tanah Yang dibakar, menimpanya bertalu-talu”(Surah Hud : 82)

Daripada Abu Hurairah RA, bersabda Nabi s.a.w.;

“Empat golongan berada dalam kemurkaan Allah di pagi dan petang, iaitu lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan setubuh dengan binatang dan mereka yang melakukan setubuh sesame lelaki (homoseksual)” (Kanz Al-Ummal : 12/31 : hadis no : 43982.)


MENGAPA TIDAK KITA?


Mungkin anda juga punya rakan sekuliah yang mempunyai aliran keinginan berbeza. Mana tahu anda tinggal satu kolej dengan rakan yang suka dan bernafsu pada sejenisnya. Dan anda tahu, mereka tidak tahu mereka melakukan dosa, atau mereka tersalah memilih jalan, atau mereka tidak tahu mencari jalan pulang.


Sepatutnya tindakan paling utama yang kita ambil bukanlah menghukum dengan celaan dan ejek sindir. Memulaukan mereka. Tiada manusia didunia yang menginginkan kebinasaan.


Bagaimana tidak kita? Kita tahu Allah murka, dan kita kasihan pada mereka. Akuilah, bahawa kita ada rasa meluat dan benci melihat mereka.


Bantulah mereka ! Mulakan dengan MENGUBAH SUDUT PANDANG dan berbuat baik terhadap mereka.


Masalahnya, kita menganggap diri lebih mulia dan mereka paling terhina.


Saya mengajak DIRI saya dan anda berfikir mengHUKUM tidak MENYELESAIKAN masalah ummat. Kerana kita hanya akan menang pada TUDINGAN namun KALAH TERUK dalam TANGAN.

Saturday, March 20, 2010

MENGANDUNG TANPA SUAMI

Maaflah jika post kali ini dan sebelumnya berkait dengan rumah tangga. Saya amat terkesan sebenarnya apabila punya dua orang kekanda yang telah berumah tangga. Kini, kedua-duanya sedang mengandung.


Apa yang paling penting bagi seorang ibu yang sedang mengandung adalah sokongan dan dorongan suami di sisi. Awal tempoh pembentukan janin amat penting bagi seorang ibu. Ketika itu, pening, loya, emosi yang tidak stabil, dan penjagaan makanan amat perlu dititik beratkan. Suami sebagai pembantu, tempat bermanja, mendapatkan perhatian amat penting bagi seorang isteri.


JIKA TIDAK MAHU, TIDAK PERLU ADA ANAK


Syukur apabila memperoleh dua orang abang ipar yang cukup baik hati. Malah ringan tulang membantu isteri, tidak meminta perkara yang bukan-bukan ketika isteri sedang cuba menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dalam diri.


Cukup kasihan apabila melihat ibu yang sedang sarat mengandung, diabaikan oleh suami mereka. Sedar atau tidak? Wanita ini bertarung dengan pelbagai kesusahan yang bukan dimintanya. Rasa loya, penat, pening, rasa tidak selesa dan emosi yang tidak stabil akibat perubahan hormon. Mereka amat perlukan sentuhan kasih sayang suami. Namun masalahnya, suami kadang mengabaikan perhatian ini.


Apa yang susahnya membantu isteri paling tidak membasuh baju, menjemur dan mengemas rumah ? Apa salahnya, membelai isteri dengan memicit kepala dan menyapu minyak diperut yang sedang gatal akibat tegangan apabila perut membesar.


CINTA BUKAN AWAL PERKAHWINAN SAHAJA


Inilah masalahnya apabila pasangan tidak memahami tujuan perkahwinan. Saya tidak faham mengapa niat perkahwinan hanya untuk menyalurkan syahwat pada jalan yang halal semata-mata tanpa memikirkan soal tanggungjawab dan kesusahan yang bakal ditempuh.


Tanya diri masing-masing apa tujuan perkahwinan yang sebenar? Dan mengapa zuriat yang diharapkan soleh dan solehah kononnya, tidak dididik melalui kasih sayang kepada ibunya? Dan mengapa anak pertama sahaja yang diberi perhatian penuh kasih sayang,namun bila tiba masanya untuk anak 2,3,4 dan seterusnya perhatian tidak diberikan sama seperti sebelumnya. Bosan? Anak itu anda yang punya.


KASIHAN MELIHAT IBU MENGANDUNG


Melihat kesusahan dua orang kekanda ini, membuatkan saya berfikir panjang untuk mendirikan rumah tangga. Melihat senior-senior yang juga mengandung membawa anak dalam perut ke kuliah. Melihat ibu yang berjalan seorang diri kepanasan menunggu bas, melihat wajah mereka pucat keletihan. Namun saya yakin Allah mengurniakan kesabaran yang tidak mungkin dapat ditanggung oleh seorang suami.


Sedarlah, bahawa tumbesaran anak-anak bermula daripada didikan seawal benih bercambah dalam rahim. Allahuakbar.


Belum lagi menyentuh berapa ribu urat pecah ketika melahirkan anak.


MENGAPA ADA IBU BUANG ANAK


Anda tidak adil, bila menghukum seorang wanita yang kejam membuang anak. Yang disalahkan ialah wanita bukan? Ada yang kata ini kejam sungguh lelaki yang mengandungkan wanita membuang anak tersebut? Saya yakin, mereka buang anak kerana mereka rasa kosong dan takut. Tiada siapa yang mahu bertanggungjawab apatah lagi dirinya.


ISTERI PERLUKAN SUAMI PENYAYANG


Inilah pentingnya pembentukan fardhu muslim sebelum membina baitul muslim. Memahami tuntutan dan bersedia susah senang bersama. Saling percaya dan meletakkan empati mendalam kepada pasangan. Allah akan membantu memudahkan urusan.

P/S: Kakde doakan along dan angah sentiasa tabah dan kuat semangat. Kakde kagum dengan along dan angah. Jadi ibu solehah insya ALLAH. Abang Long dan Abang Ngah, terima kasih kerana menjadi suami yang baik.

Wednesday, March 17, 2010

LUAHAN SUAMI; FAHAMILAH PERASAANKU



Catatan kali ini adalah catatan ringan dan berbentuk pandangan semata-mata.


Tiada wanita di dunia yang menginginkan kemusnahan dalam kehidupan. Oleh kerana itu, berdirinya hak dan tanggungjawab. Hak yang perlu ditunaikan disamping komitmen memenuhi tanggungjawab.


Dalam tajuk di atas apabila perkataan suami digunakan, saya harap anda faham ianya adalah satu ikatan sah disisi Allah swt. Ikatan yang menghalalkan segala yang haram dan ikatan murni yang menukarkan dosa kepada pahala.


ISTERI, IKTIRAFLAH KELAKIANKU


Dr. Hassan Mohd Ali dalam tulisannya meletakkan luahan diatas pada permulaan helaian buku yang ditulisnya.


Mengapa? Ini adalah kerana pengiktirafan ini adalah tuntutan emosi . Seseorang suami mahu dihormati dan didekati oleh isterinya sebagai individu lelaki yang mempunyai identity dan harga diri.


Apa masalahnya kini?


Kaum wanita hari ini kebanyakannya mempunyai taraf pendidikan yang baik, malah berkedudukan tinggi dalam bidang kerjaya. Terdapat segelintir isteri yang suka mempersendakan kebolehan suaminya dengan cara bersaing menonjolkan kebolehan sendiri ataupun mengembar-gemburkan kebolehan suami orang lain.


“ Saya tengok suami Leha selalu bawa anak-anak riadah petang-petang. Nak harapkan abang, masa untuk saya pun takde, inikan pula anak-anak.” Kata isteri kepada suami dengan muka mencebik kepada suami.


Hal ini sebenarnya menunjukkan tiada rasa hormat atau pengiktirafan pada suami sebagai individu yang sepatutnya diiktiraf kelakiannya.


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“ Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.”

Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidii


Mengiktiraf kelakian suami adalah perkara asas dalam memandu rumah tangga. Apa yang isteri perlu lakukan ?

Perkara paling penting yang perlu diketahui oleh seorang isteri. (Selagi tidak tahu, saya cadangkan kepada saya dan yang baru nak mendirikan rumah tangga, cari ilmu tentang perkara ini). Mengetahui dengan jelas dan faham mengenai hak dan kelebihan suami sebagai seorang lelaki dengan menambah pengetahuan agama melalui pembacaan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.

Isteri perlu sentiasa sabar dan redha dengan kelemahan dan kekurangan yang dimiliki suami. Contohnya, jika suami kurang bijak membuat keputusan, jangan mengkritik secara keterlaluan sehingga menjatuhkan maruahnya. Jika mahu menegur, lakukan dengan nasihat yang paling berhikmah, lemah lembut ataupun dalam bentuk gurauan yang mudah diterima dan difahami suami tanpa menggugat kredibilitinya.


ISTERIKU, BERLEMAH LEMBUTLAH DENGANKU


Sifat lemah lembut ini adalah sifat Junjungan kita, Rasulullah saw. Jika kita hayati sejarah baginda, kita akan menggeleng kepala, betapa jauhnya akhlak kita jika dibandingkan dengan baginda. Subhanallah. Namun, itu tidak bermakna kita tidak boleh berusaha.


Lemah lembut adalah manifestasi kesabaran dan keteguhan emosi. (Lemah lembut yang saya maksudkan bukan lemah lembab ya kawan-kawan).Ia adalah pelakuan yang sopan, baik, tenang, teratur dan tertib malah ianya akan memberi kesejahteraan dan menyenangkan hati orang lain.


Realiti hari ini, rata-rata ramai antara isteri yang suka membantah-bantah, dengan suara yang paling kuat, memaki hamun suami.(nauzubillah), menarik muka masam, merajuk hanya kerana suami lupa belikan garam akhirnya memboikot suami pada malamnya.


“ Abang balik lewat hari ni kan? Abang tidur di sofa!” bentak si isteri.


Saya tahu memang sukar seorang wanita untuk mengawal emosi jika telah sampai ke tahap maksimum. Sungguh susah untuk kekalkan tertib, kesopanan dan wajah manis dalam waktu yang sama suami selalu tidak mengendahkan perasaan, tidak memberi perhatian kepada diri, sibuk dihadapan laptop dan televisyen menonton.


Di sinilah isteri perlu bermujahadah. Memahami kembali apa tujuan perkahwinan dalam hidup. Sabar dan taat tidak pernah merugikan kita, malah kesusahan yang sedikit itu insya ALLAH akan membuahkan hasil pada pohon amalan kita.


TIPS UNTUK BAKAL ISTERI


Ini adalah tips yang saya peroleh daripada seorang wanita solehah. Insya ALLAH.

  1. Kreatif dalam perhubungan dan komunikasi. Tidak perlu tunggu suami untuk rancang hari-hari bahagia. Suburkan cinta tanpa diminta.
  2. Bijak mencuri perhatian. Jika anda seorang isteri pasti anda tahu masa-masanya suami anda dalam keadaan tenang dan bersedia untuk mendengar luahan anda. Sudah pasti bukan ketika dia sibuk memikirkan hal bisnes dan kerjanya, juga bukan ketika dia sedang sibuk berbual dengan rakannya.
  3. Melayan ibu suami dengan penuh kasih sayang. Tips ini amat penting. Kerana, ibu adalah segala-galanya bagi suami.
  4. Pastikan mahligai(rumah) berada dalam keadaan kemas dan cantik.


Insya ALLAH. Perkongsian ringan ini insyaALLAH memberi manfaat sedikit sebanyak. Namun apabila ianya disandarkan sebagai pendapat, kita boleh memilih untuk bersetuju atau tidak.


Kita perlu tahu asas mengapa perlu berumah tangga dan apa tujuannya. Tidak salah untuk belajar dan bersedia. Sebelum separuh umur kita berdosa.

Tuesday, March 16, 2010

LAHIR SEBAGAI MELAYU TIDAK SEMESTINYA KITA MUSLIM



Tersentak dengan pengisian pencerahan jiwa. Persoalan akidah adalah persoalan asas.

Kita merasa bersyukur dan berbangga kerana lahir dari rahim seorang ibu muslim justeru kita jua muslim.

“ Bagaimana kamu boleh memeluk Islam?” Tanya seorang Melayu Islam kepada seorang Muallaf bebangsa Cina.

“Bagaimana kamu pula boleh memeluk Islam?” Muallaf cina tadi bertanya semula kepada dirinya.

Apa jawapan kita ? adakah jawapannya. Saya Islam kerana ibu dan ayah saya Islam?


MENGAJAK NON MUSLIM KEPADA ISLAM


Salah seorang peserta bangun” Brother, apa yang saya faham, dakwah bermaksud mengajak manusia kearah kebaikan. Apa yang brother maksudkan dakwah sebagai mengajak non muslim kepada Islam?”

Satu perkara yang amat berharga untuk pencerahan.

Islam bermaksud kita meyakini aqidah kita mentauhidkan Allah swt, percaya kepada Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad saw sebagai Rasul yang terakhir. Bukan Tuhan yang boleh menjelma dengan benda hidup, atau Tuhan 3 dalam 1.

Non muslim dalam erti dakwah ini termasuklah mereka yang lahir dengan Islam tapi tidak tahu apa sebenarnya Islam. Lahir sebagai Islam dengan ibu bapa islam, tidak semestinya kita percaya dengan yakinnya Tuhan itu satu. Kerana jika kita percaya kepada Allah swt kita akan buktikan melalui amal dan akhlak.


LAHIR SEBAGAI MELAYU TIDAK SEMESTINYA KITA MUSLIM


Bangsa Melayu sebenarnya sama seperi bangsa Arab. Kita terlalu banyak mengikut budaya daripada agama. Contoh mudah, antara mas kahwin dan hantaran. Mana adat mana agama? Mas kahwin adalah agama, hantaran adalah adat. Jika dalam perbincangan sebelum perkahwinan, apa yang kita bincangkan? Ya, sudah tentu masyarakat Melayu Islam ini akan membincangkan soal hantaran, berapa puluh ribu. Sehingga hilang keindahan Islam yang sangat mudah dalam urusan perkahwinan.


Inilah masalahnya apabila kita melihat Islam sebagai agama orang Melayu. Apabila ada seorang yang berbangsa Cina, India dan lain-lain bangsa ingin mengetahu tentang Islam, kita sensitif dan pilih bulu. Sedangkan ramai bangsa Melayu yang lahir Islam, hidup seperti tidak berTuhan.


Inilah transisi yang kita tonjolkan kepada mereka yang baru mahu kenal Islam.


ISLAM ORANG MELAYU


Apa isu yang kita lihat dalam masyarakat Melayu? Jika kita adalah Melayu Islam, kita adalah yang paling pantang ditegur, selalu datang lewat, suka buang sampah merata-rata, buat air jampi dan memakai tangkal untuk berjaya dalam peperiksaan, kahwin dengan upacara menepung tawar, dan pelbagai lagi.


Malahan ramai antara masyarakat yang sebelum ini berbangsa dan beragama lain, yang sudah beriman dengan Allah dan kekuasaannya masih takut-takut untuk masuk Islam. Kerana jika mereka masuk Islam, mereka terpaksa jadi Melayu !

Sedangkan agama Islam tidak memilih bangsa, kedudukan dan warna kulit.


SAYA JUGA BARU ISLAM


Jawapan terbaik jika ditanya bagaimana kita memeluk Islam?


“ Saya bersyukur lahir sebagai seorang muslim. Sedari kecil, ibu dan ayah mendidik saya untuk mengenal Allah swt. Saya diajar mengetahui bahawa setiap dalam dunia ini adalah milik Allah swt. Diajar untuk solat, berpuasa dan mengamalkan ajaran Islam. Alhamdulillah, saya kini seorang Islam dan akan berusaha mengamalkan ajaran Islam dengan bersungguh-sungguh.”


Oleh yang demikian, usaha mengajak setiap daripada manusia kearah Islam tidak boleh sirna. Usaha-usaha DAKWAH perlu seiring dengan usaha-usaha PENGISLAHAN. Kerana kadang kala kita terlalu banyak membuat aktiviti mengaji, fekah, dan hafazan, sehingga lupa program-program mengajak seluruh manusia mengenal ALLAH. Tidak kasihankah kita melihat sahabat-sahabat kita yang percaya Tuhan yang salah?

Mari kita muhasabah kembali.

Friday, March 12, 2010

WANITA BERJAYA, PATUH PADA TUHAN



Terpanggil menulis selepas membaca nota Dr. Lo’ Lo’ Ghazali berkenaan Wanita bermaruah mampu melahirkan masyarakat bertaqwa dalam Negara Berkebajikan yang mendapat pengampunan Allah SWT.


Ya. 8 Mac baru-baru ini merupakan sambutan Hari Wanita Antarabangsa. UNICEF(The United Nations Children's Fun) kali ini meraikan Hari Wanita Antarabangsa dengan menekankan betapa pentingnya pelaburan untuk kesihatan para ibu apabila Badan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menunjukkan bahawa kebarangkalian kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu meninggal dunia sebelum mencecah usia dua tahun adalah lebih berbanding dengan bayi yang mempunyai ibu( Ann M. Veneman, Pengarah Eksekutif UNICEF).


Kira-kira yang boleh kita lakukan. Apabila melihat lambakan aktiviti-aktiviti atau sambutan yang dilakukan diperingkat setempat, nasional, mahupun antarabangsa yang kita maklum kandungan sekularisme, hedonisme, liberalisme dan feminisme yang menebal. Kita pulangkan kembali intipati setiapnya kepada sumber fitrah wanita paling utama iaitu Al-Quran dan Sunnah.


Oleh yang demikian, saya membuat keputusan untuk menyampaikan pidato versi penulisan bertajuk : Wanita BERJAYA , patuh pada Tuhan.


Isu-isu tidak terungkap. Terlalu banyak. Masalahnya, sehingga kini kita tidak rungkai persoalan kerosakan ketamadunan dengan panduan kehidupan. Rumah-rumah kebajikan dan pusat pemulihan semakin banyak, tapi tidak dapat ditandingi banyaknya lagi pusat-pusat hiburan, usaha-usaha mengedar dadah, arak-arak dijual secara berleluasa.


Begitu juga gelombang-gelombang kebangkitan wanita. Ringkasnya perkembangan ini berlaku di Barat dengan slogan-slogan kebebasan. Memang benar kebangkitan memperjuangkan hak perlu jika dilihat kedudukan wanita barat tidak diberi ruang sebaiknya. Namun apabila kebebasan ini disalah tafsir sebagai apa sahaja yang wanita mahukan, di sinilah mulanya tafsiran nafsu.


Masalah tidak percaya Tuhan. Analogi paling mudah. Apabila seorang anak kecil berjalan ke arah api sedang marak. Ayah dan ibu pasti akan menghalang anak kecil itu kerana mereka tahu anaknya pasti akan hangus jika melangkah ke dalam api. Anak kecil pula marah, kata anak kecil hidup tidak bebas, terkongkong, lalu tidak mendengar, tidak menghiraukan kata ayah ibu dan melangkah masuk ke dalam api. Begitu juga kebebasan yang Islam maksudkan. Hanya Tuhan lebih tahu siapa dan apa yang sesuai untuk hambaNya. Tapi kita degil, bongkak, kita kata Tuhan kongkong, tidak bebas, jumud,akhirnya hangus.


Saya tidak pasti anda memahami analogi di atas. Namun, apa yang cuba saya sampaikan ialah Tuhan menciptakan wanita secara fitrahnya dan hukum yang Allah tetapkan untuk seorang muslimah adalah SESUAI dengan tabiinya. Maka Allah lebih mengetahui segala sesuatu, lalu apabila, wanita meminta hak, melaungkan slogan kebebasan yang keluar dari fitrah dan tabienya. sebenarnya dia telah melawan prinsip penciptaanya.


Bila melihat terlalu banyak masalah berlaku. Keganasan, kes rogol, anak luar nikah, bunuh anak, dera, penceraian dan sebagainya. Ia adalah transisi refleksi manusia tidak patuh kepada penciptaNya. Mudahkan.


PRAKTIKAL MEMBANGUNKAN MASYARAKAT


Manusia lebih suka mengambil tindakan tidak berTuhan. Dibina pusat-pusat pemulihan, namun arak dan dadah masih berleluasa. Dibina pusat-pusat kebajikan untuk anak-anak terbiar, namun berapa banyak perkahwinan berakhir dengan penceraian. Ditambah NGO-NGO yang memperjuangkan hak, namun konsert-konsert hiburan masih bersusun diadakan. Natijahnya, kita hanya membazir. Kerana masalah tidak akan selesai.


Jadi, minda bertanya. Bagaimanakah caranya untuk menyelesaikan masalah. Jawapan yang paling sempurna ialah patuh kepada Tuhan. Bukan sahaja individu harus patuh, seluruh komponen pembentukan ummah harus patuh kepada Tuhan,iaitu entiti keluarga, masyarakat, pemerintah dan seisinya.


PSIKOLOGI WANITA SERAH DIRI SEBAGAI TANDA CINTA


Cukup tidak masuh akal jika upacara "pecah dara" sebagai tanda cinta diminta oleh lelaki(binatang) sebagai bukti kasih sayang sedangkan baru berkenalan tidak sampai sehari. Jika difikir secara rasional, ada dua petanda signifikan. Pertama, hilang akal ketika melakukan perbuatan terkutuk atau, pendek akal, tidak memikirkan natijah perbuatan mereka.


Klik di google engine berkaitan kes buang anak, gambar sahaja cukup banyak dan menyayat hati. Tidak ada belas ke si pembuatnya? Saya teringat kata-kata salah seorang adik usroh (Fatihah), katanya isu buang anak ni, akan melibatkan pasangan tidak bernikah, jika bernikah, mereka tidak akan buang anak. Ada benar juga kata Fatihah, yang tidak bernikah buang anak, yang bernikah mungkin jual anak.


Kes penceraian juga tidak kurang hebatnya. Malah artis-artis negara yang diangkat sebagai ikon kononnya, lebih dahulu mendahului dengan kehebatan majlis perkahwinan puluhan ribu ringgit kemudian bercerai tidak sampai setahun berkahwin. Anak pula masih menyusu.


Penderaan kanak-kanak kecil amat membimbangkan. Sesiapa yang berkeluarga pasti merasai penat-lelah melayan kerenah anak yang tidak reti duduk diam, ligat, aktif. Namun, di sinilah kesabaran dituntut dengan nilai sedar yang tinggi. Jadi, tidak hairanlah jika kes-kes penderaan berlaku. Ianya datang berpakej, tekanan perasaan, pergaduhan suami-isteri, kepenatan, pengaruh alkohol, atau dadah. Nah, pakej ini datang dengan barangan percuma iaitu, sepak terajang kepada anak-anak sedang mereka cuba meraih perhatian ibu dan ayah mereka.


MASALAH TIDAK AKAN SELESAI TANPA..


Masih ingat sejarah lampau? sejarah Muhammad saw diangkat menjadi Rasul? Bila Allah swt menghapuskan seluruh bentuk jahiliyah, dan diangkat kembali maruah manusia. Maka, jiwa-jiwa hebat lahir dicelah-celahnya.


Maka persoalannya terjawab sudah bagi wanita yang ingin berjaya, iaitu patuh kepada Tuhan. Ya, bukan wanita sahaja, seluruh umat manusia.


Bagaimana ingin patuh ?


Peliharalah ibadah. Ibadah dalam Islam merupakan kemuncak bagi sifat kepatuhan dan kerendahan kepada Allah dan juga adalah kemuncak betapa ia merasai keAgungan Tuhan yang disembahnya.


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku

.(adz-dzaariyaat: 56)


Namun, ibadah yang bagaimana? Ibadah yang mempunyai hubungan dengan Tuhan yang disembah. Ibadah yang dilakukan dengan penuh khusyuk sehingga merasai kelazatan, dalam keadaan merasai kehadiran Allah, dalam keadaan sentiasa ingin menambahnya, menjadikan doa sebagai perantaraan dengan Allah dalam setiap urusan hidup


اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ


Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al-Kitab (Al-Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.( al-ankabut:45)


MASIH BELUM TERLAMBAT


Usaha dakwah mengajak kearah pemahaman Islam perlu subur. Tambahan kita kini berada dalam medan ilmu yang mempunyai atmosfera segar mad’u bakal memasyarakatkan masyarakat. Kita mampu membuat perubahan bermula dengan diri sendiri disamping dakwah kepada insansekeliling kita.


Wanita mampu berjaya jika memahami tuntutan patuh kepada Allah swt. Kebejatan ini bukan sedikit kini. Terlalu banyak yang hanyut,sebab itu, wanita perlu kedepan dengan jiwa patuh pada Allah supaya kita dapat membantu jiwa-jiwa yang lain.


Kita mulakan perubahan ini.

Sunday, March 7, 2010

MALAM ANUGERAH; MALAM BERBOGEL




Bulan ini, nampaknya mahasiswa seluruh kolej sibuk meraikan malam anugerah masing-masing dengan tema yang menarik. Tujuan malam anugerah ini diadakan mungkin boleh saya simpulkan sendiri.

  1. Majlis penghargaan kepada warga kolej kediaman yang berjaya mengharumkan nama kolej, berbakti.
  2. Majlis akhir sebagai tanda kenang-kenangan.

P/S : sila tambah sendiri jika ada lagi tujuan lain.


MALAM UNTUK BERBOGEL


Sesetengah pihak pasti melenting dengan pendapat saya kali ini. Terserah.


Jika ada satu malam dalam setahun menginap di kolej kediaman, mungkin ini adalah malamnya untuk yang bertudung menyingkatkan tudung mereka, atau menanggalkan terus tudung yang dipakai.

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir. “ (an-Nur: 31)


Jika ada satu malam dalam setahun bersusah payah menjayakan projek, mungkin ini adalah malamnya untuk bersuka-ria dengan memakai pakaian, paling cantik, paling seksi, paling jarang dan paling mahal.

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)


Jika ada satu malam dalam 2 semester mendapat ramai kawan lelaki dan perempuan, ini adalah malamnya untuk bergambar bersama rakan-rakan, bergesel sana sini, berpeluk dan bercium.

Hadits Rasulullah SAW Dari Ma`qil bin Yasar dari Nabi saw., beliau bersabda, "Sesungguhnya ditusuknya kepala salah seorang di antara kamu dengan jarum besi itu lebih baik daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (HR Thabrani dan Baihaqi)


Jika ada satu malam dalam 2 semester yang surau sentiasa kosong dengan barisan saf tidak sampai 3 di kolej, alhasil, ini adalah malamnya untuk bersedia awal, mekap seawal 1petang, asar, maghrib, isyak entah kemana.

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).


Jika ada satu malam dalam malam-malam di kolej yang diisi dengan pembelajaran dan tutorial, ini adalah malamnya untuk mencuci mata, melihat keindahan ciptaan Tuhan, perempuan-perempuan yang berpakaian namun sebenarnya berbogel.

“Sebahagian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.”(Hadis Riwayat Muslim)


Jika ada satu malam dalam hari-hari hidup tidak pernah melihat persembahan life, ini adalah malam untuk menyaksikan penyanyi-penyanyi hebat, dan tarian paling hebat dengan lagu-lagu paling best.

Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik).”

(Hadis Riwayat Tarmidzi)


Kata orang “Jika kita tidak merasai majlis gah seperti ini,nanti bila dah bekerja, kita tidak dapat menyesuaikan diri bila company anjurkan dinner atau malam-malam penting”


Kata orang“ Ini adalah majlis yang paling berprestij dan pada malam inilah orang-orang kenamaan akan mengiktiraf malam anugerah kolej kita sebagai malam anugerah terbaik”


SAYA BERDOSA


Tahun dua, ketika Malam Anugerah Kolej Fasa 1 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, saya masih ingat ketika itu masih ada Eye on Malaysia. Kami Jawatankuasa Tindakan Kolej dan Jawatankuasa Induk Kolej merancang untuk menyanyi di atas pentas, saya sehingga hari ini rasa berdosa, kerana gagal menggunakan jawatan yang ada untuk mengajak kearah kebaikan.


Saya hadir kerana saya ditugaskan untuk mengiringi penyelia kolej menyampaikan hadiah kepada pengarah projek terbaik. Pertimbangan untuk hadir saya putuskan, saya hadir lewat. Menyelinap masuk melalui meja-meja dan akhirnya tiba di meja bersama penyelia.


Tiba waktu untuk ke pentas, saya ajak sahabat baik untuk LARI ! Kami ke surau. Selesai solat, saya memeluk hidayah. Menangis. dayah turut menangis sambil menenangkan saya. Cukup kuat ujian Allah ketika itu. Kami tidak masuk ke dalam majlis, terus disitu sehingga tamat .


Esoknya, rakan-rakan bertanya kemana saya menghilang ketika semua JTK JIK sibuk membuat persembahan di atas pentas.


HATI BERKATA BEGITU


Bukankah Nabi SAW sudah mengajar kita, bahawa hati ini tenang dengan kebaikan, dan gelisah terhadap dosa dan kejahatan ?


Nabi saw pernah memberi amaran mengenai majlis yang tidak berzikir kepada Allah swt, sabdanya :-

" مَا جَلَسَ قَوْمٌ مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ وَلَمْ يُصَلُّوا عَلَى نَبِيِّهِمْ إِلَّا كَانَ عَلَيْهِمْ تِرَةً فَإِنْ شَاءَ عَذَّبَهُمْ وَإِنْ شَاءَ غَفَرَ لَهُمْ " .


"Tidak duduk sesuatu kaum dimajlis yang tidak mengingati Allah atau berselawat keatas Nabi mereka, tetapi mereka akan menyesal, jika dikehendaki Allah akan mengazab mereka, dan jika dikehendaki Allah swt akan mengampunkan mereka" -[Hadith riwayat Tirmudzi, kata beliau bahawa hadith ini hadith hassan. Sheikh Al-Albani juga mengkelaskan hadith ini sebagai sahih didalam Sahih Al-Tirmudzi. 3/140].


Didalam hadith yang lain, Nabi saw bersabda :- Diriwayatkan bahawa Abu Hurairah ra. berkata :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَا مِنْ قَوْمٍ يَقُومُونَ مِنْ مَجْلِسٍ لا يَذْكُرُونَ اللَّهَ فِيهِ إِلا قَامُوا عَنْ مِثْلِ جِيفَةِ حِمَارٍ وَكَانَ لَهُمْ حَسْرَةً " .


"Nabi bersabda : 'Kaum yang bangun dari majlis yang tidak mengingati Allah didalamnya, hanyalah mereka seolah-olah bangun dari bangkai keldai, akan menyebabkan penyesalan bagi mereka" - [Al-Nawawi didalam Riyaadh Al-Salihin #321 mengatakan ia sahih dan juga oleh Al-Albani].


Saya mengajak anda untuk membuat penilaian. Anda nilai sendiri. Adakah Majlis Anugerah di Kolej anda mengharapkan redha ALLAH ?


Kepada yang telah menghadiri majlis-majlis seperti ini tidak kiralah konsert, atau parti. Saya mengajak anda untuk berubah.