“Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Al-Furqaan: 74)
Antara impian yang kusemai dalam sanubariku… Aku impikan zuriat yang terbaik..
Namun, baru-baru ini, apabila berpeluang untuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, bersama-sama dengan AJK pelaksana Care For All, aku lebih menghayati erti TERBAIK. Erti terbaik yang sebenarnya..
Perasmian dilakukan di kaunter wad pediatrik iaitu pix 6 yang mana ketika itu mengendalikan kanak-kanak menghidapi penyakit kanser, juga lukemia. Ku bertemu dengan ibu kepada Josephine, baby kecil ini berumur 2 tahun, dan dari kecil sudah menerima rawatan kimoterapi. Josephine menghidap lukemia.
Istimewanya Josephine pada pandanganku, dia sentiasa ceria. Bilaku mengajaknya menyanyi, dia turut membuat aksinya. Subhanallah.. Ibunya berkongsi pengalaman, bagaimana pada awal pengambilan air sum-sum tulang, rawatan kimoterapi, sehingga dia mula belajar untuk menjaga makan minum anaknya, berulang alik dari kediaman ke PPUM setiap minggu, satu perkataan yang berbekas dalam hatiku, ialah MENERIMA..
Dia belajar untuk menerima takdir anaknya tidak seperti kanak-kanak lain...
Dia menerima lemahnya anak dan belajar menjadi penguat...
Betapa kuatnya hati seorang ibu..
Zuriat yang terbaik bukanlah sekadar zuriat yang mendapat didikan yang terbaik. Zuriat yang terbaik ialah zuriat yang mendidik hati seorang ibu untuk menjadi yang terbaik.
Aku juga tidak tahu...
Malah takut membayangkan
Seandainya aku diuji dengan zuriat yang menerima nasib yang sama seperti Josephine, Shifa, Humaira’, Ainul Fadh dan kanak-kanak lain.
Melihat anak dalam keadaan sakit namun tidak mampu berbuat apa-apa.
Melihat anak membesar lesu namun tidak merasai derita mereka..
“Dan ketahuilah, bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.”
(Al-Anfaal: 28)
Ya Tuhan..
Jika dahulu, aku hanya berdoa untuk memperoleh zuriat yang soleh-solehah..
Hari ini Kau kurniakan aku kesedaran bahawa yang soleh dan solehah itu tidak semestinya yang sempurna, sihat dan kuat.
Maha Besar Tuhanku...
Jika dahulu aku hanya berdoa untuk memberi didikan terbaik untuk zuriatku
Hari ini Kau berikan aku petunjuk bahawa zuriat juga boleh mendidik hati seorang ibu..
Duhai anakku..
Terima kasih atas pengajaran yang tidak terhingga
Terima kasih kerana mengajar ibumu untuk menghayati ujian Ilahi..
Kuatkan semangatmu...
Kerana ketahuilah bahawa kasih sayang ALLAH melebihi segalanya
Ya ALLAH
Jauh disudut hatiku, aku merintih dikurniakan
Zuriat penghuni syurga...
Yang didunia berbakti untuk agama
Yang didunia menjadi penyambung dakwah Islam
Yang tika aku bertemuMu,
aku punyai bekalan anak yang soleh sebagai penyambung doa
..................................................................................................