Detik-detik penubuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1971 hinggalah hari ini mendapat perhatian pelbagai pihak. Suka untuk saya berkongsi pendapat berkaitan isu ini. Berpandukan bacaan buku Mahasiswa Menggugat yang telah ditulis oleh Muhammad Abu Bakar yang merupakan bekas graduan Universiti Malaya yang ketika menulis buku ini giat membuat penyelidikan politik internasional. Beliau telah menceritakan tentang pergerakan mahasiswa pada awal penubuhan universiti sehingga AUKU dikuatkuasa.
Terus terang saya katakan bahawa saya sangat kagum dengan semangat mahasiswa dahulu. Berdasarkan kepada ketetapan-ketetapan dalam akta ini yang telah beberapa kali dipinda, ternyata pihak kerajaan begitu serius dalam mengawal dan mengawasi aktiviti politik mahasiswa. Hal ini sudah tentu berpunca daripada pengalaman yang lalu di mana pihak pemerintah seringkali berkonfrontasi dengan para pelajar, manakala demonstrasi yang diadakan oleh mahasiswa seringkali menimbulkan kegelisahan dikalangan ahli politik pemerintah ketika itu.
Konflik antara para mahasiswa dengan kerajaan atas persoalan akta merupakan konflik antara dua jenis falsafah yang dipegang oleh kedua-duanya. Saya amat kagum apabila menghayati pendirian pemimpin mahasiswa dahulu :
- Bagi mahasiswa, lantaran mereka adalah warga negara dalam sebuah negara demokrasi mereka adalah berhak untuk menyuarakan pendapat dan hendaklah dibenarkan mengambil bahagian dalam proses politik nasional.
- Bagi mahasiswa, lantaran mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan mendapat pembiayaan daripada pembiayaan rakyat, maka mereka adalah bertanggungjawab untuk memperjuangkan kedudukan rakyat dan membetulkan kepincangan yang terdapat dalam masyarakat.
- Mahasiswa harus diberi peluang untuk membuat keputusan mereka sendiri dengan cara bebas dan demokratik dan bukan dengan cara ditentukan dan diarahkan oleh mana-mana pihak seperti HEP, Majlis Universiti dan Naib Canselor, kerana ini bererti mereka akan lahir sebagai mahasiswa yang pasif, apatik dan bersikap seperti murid-murid sekolah menengah ( seperti hari ini ).
- Bagi garis-garis yang diletakkan akta bahawa mahasiswa tidak dibenarkan untuk bergabung dengan parti-parti politik, maka bagi mahasiswa ketika itu undang-undang seperti itu tidak perlu, kerana persatuan mereka berbantuk non-partisan.
Namun, arus perdana diperlihatkan dengan fenomena mahasiswa yang luar biasa. Hari ini, kita lebih suka bergerak sendiri, memikul amanah dengan meletakkan limitasi terhadap hak sendiri. Jika dahulu mahasiswa meletakkan diri mereka berperanan sebagai check-and-balance bagi masyarakat, namun hari ini mahasiswa hanya menjadi pihak yang melaksana segala misi yang telah ditetapkan.
Jika dahulu pemimpin mahasiswa akan menjadi pihak yang paling sensitif dengan isu kebajikan mahasiswa, hari ini pemimpin mahasiswa hanya akan menjadi pak turut yang memenuhi kerusi-kerusi kosong dalam majlis-majlis yang dianjurkan.
Kemana hilangnya idealisme mahasiswa ? Adakah kerana mahasiswa ditekan dan dinafikan suara mereka dalam memperjuangkan nasib anak bangsa ? Kemana hilangnya sukarelawan negara yang akan sentiasa membantu dan memastikan kebajikan mahasiswa terjaga ?
Sikap konservatif mahasiswa yang menganggap kehidupan mereka dikampus hanyalah untuk akademik sahaja nampaknya telah direalisasikan. Objektif penubuhan AUKU tercapai, dan saya tidak hairan jika pada masa akan datang kita tiada pemimpin negara yang memegang idealisme nasional. Yang akan ada, hanya pemimpin negara yang bakal memenuhi kocek sendiri dengan rasuah, pecah amanah silap-silap menjualkan negara pada penjajah baru. Mengapa ? Kerana mahasiswa telah hilang kebebasan, tidak merdeka. Takut untuk bersuara, bersikap defensif, dan tidak sedar akan peranan sebenar mahasiswa. Realiti. Perit untuk ditelan namun kesannya lebih menggerunkan.
1 comment:
patut dengar lecture dato muhammad abu bakar... lagi best.
sgt berbunga2...
Post a Comment