Monday, May 17, 2010

NASIHAT UNTUK DIRI



Panjang renungan ku ke tikar mengkuang. Mata beralih dari satu kotak ke kotak yang lain, urat tikar yang saling bersilang.Entah untuk kali yang keberapa aku mengeluh hari ini. Mata mula berkaca. Allah..


Mengapa aku rasa sayu. Dan aku paling memarahi diri kerana selalu gagal memahami mengapa emosiku selalu begini.


Ketika begini, aku lebih suka banyak berdiam. Kerana bimbang emosi yang tidak tentu arah ini diekspresikan melalui tindakan yang terburu-buru. Pujuk hati untuk bersabar.


Aku mula memintal-mintal rambut sejadah sambil beristighfar. Dada terasa sakit dihujungnya, dan ianya hanya reda dengan tangisan, ku urut untuk memujuk hati. Perasaan apakah ini Ya Allah. Aku mula mencari punca, fikiran ku mula mengimbau kembali apa yang membuatkan aku terganggu. Yang membuatkan aku banyak diam. Yang diluarnya seperti merajuk.


Penat Ya Allah untuk punya perasaan begini..

Bait-bait ayat indah cuba ku hayati. Ya, memang ini sahajalah penemanku. Pantas ingatan dalam LRT kembali menerpa. Aku melihat 3 kerusi yang penuh dihadapanku. Seorang anak bersama ayah dan ibunya. Cemburu. Alangkah indahnya jika ayah masih ada.


Allah, itukah puncanya aku sedih begini. Hanya disebabkan aku cemburu melihat satu keluarga yang bahagia. Dan hanya kerana aku tidak punya ayah ? Astaghfirullahal’azim. Ampunkan dosa-dosaku ya Allah. Tanpaku sedar aku seperti tidak redha. Astaghfirullahal’azim.


Kadang aku marah, bila emosiku terganggu hanya kerana perkara kecil. Aku tidak mahu kehilangan perasaan ini. Ianya istimewa. Biarlah sakit mengurut dada atau menangis untuk rasa reda.


Wanita, melihat satu titik dihadapannya besar pada pandangannya. Ia melihat dengan seluruh jiwanya. Namun kadang gagal mencari punca mengapa ia begitu. Berikan masa itu pada dirinya. Supaya dia belajar memahami diri dan menyelesaikan kusut dalam ribut.


Jangan benci padanya. Tolonglah tiada bosan. Fahami dirinya. Walaupun kadang ianya memenatkan. Kerana dia juga tidak mahu begitu. Dia mahu bahagia.

Thursday, May 6, 2010

TEACHER, PLEASE DON'T SAY THIS TO YOUR STUDENTS



“ kalau awak semua tidak siapkan latihan saya, awak tak akan cemerlang dalam peperiksaan.” Kata seorang guru dalam kelasnya.


“ Hazim ? Oh, budak kelas tu? Dia pelajar paling pemalas dan paling bodoh pernah saya jumpa.” Umpat seorang guru di bilik guru.


“ Jangan tidur dalam kelas. Saya tidak akan halalkan ilmu yang saya berikan selama ni.” Menggeletar semua pelajar mendengarnya.


Ia berlaku. Anda percaya atau tidak. Jika anda bakal guru yang baru sahaja ingin berlatih untuk mendidik pelajar yang pastinya akan mengajar satu hari nanti disekolah, yang mungkin akan menjadi guru lama dan berjasa.


Ia perlu dididik dengan taujihad sirah. Setiap ilmu amat perlu dikaitkan dengan keberkatan ilahi. Bukan disandarkan kepada kehebatan guru sebagai manusia yang punya dosa dan kesilapan sehingga dengan bangga menghukum seorang kecil yang sedang mencari diri dan jatinya, walaupun dia bersalah.


Menggunakan kuasa sebagai pemegang ilmu perlu menyebabkan setiap diri pendidik lebih dekat dengan rasa takut pada Allah. Rasa takut bahawa kecemerlangan anak murid itu adalah bukan kepada sejauh mana latihan yang dilakukan semata-mata dan bercakap seperti Tuhan bahawa kejayaan adalah dalam tangan.


Nauzubillah. Betapa kita tidak menjaga diri kita. Kadang tidak berfikir setiap bait kata melibatkan akidah. Ya, kadangkala kita tidak berniat, dalam kata-kata, dimaksudkan supaya pelajar harus rajin membuat latihan, dengan membuat latihan mereka akan lebih faham dengan isi pengajaran yang diajar. Namun sebagai seorang muslim, meletakkan setiap perbuatan adalah kerana Allah adalah wajib jika mahu ianya dinilai dengan pahala.


Sangka, kita telah mencurahkan ilmu. Namun sebenarnya kita berdosa. Nauzubillah.

Belajarlah dari kehidupan, kelak kau akan dekat dengan Tuhan.

Tuesday, May 4, 2010

ANAK MUDA ITU


Tekanannya berbeza


Alhamdulillah. Pertama kali menjejakkan kaki di sekolah baru melihat wajah-wajah anak muda di hadapan saya, sesuatu bermain difikiran.


Hari ini, hari pertama perhimpunan pagi, saya melihat ada dikalangan pelajar aktif mendapat pingat dan salaman daripada pengetua atas kejayaan mendapat tempat ketiga dalam pertandingan kriket.


Wajah pertama yang bagaimana harus saya berikan kepada wajah anak muda ini.


Anak muda. Mereka masih tidak melakukan sesuatu mengikut hati. Di sini saya melihat proses mereka menerima sesuatu dengan taat. Saya melihat wajah mereka keletihan.


Entah apa yang mereka fikirkan ketika mereka solat zohor di surau beramai-ramai.


Saya yakin setiap jiwa muda inginkan kepuasan dalam kehidupan, berbeza dengan jiwa-jiwa muda yang saya temui, mereka berada dalam lingkungan terpelihara, hanya tidak punya penekanan agama.


Namun, agama yang bagaimana? Ada antara kita yang punya penampilan soleh solehah, menutup aurat dengan sempurna namun mereka juga tidak punya ruh keimanan. Nah, inilah yang membezakan kita setiap manusia. Mereka tidak bijak jika membenarkan akal mengarah kehidupan dan membiarkan ruh kering kontang, mereka tidak bestari jika merelakan jasad gagah dan perkasa dan melenakan ruh tercungap-cungap hendak mati.


Pernahkah diri rasa sunyi ? Rasa keseorangan ? walaupun kita punya ibu bapa dan sahabat sekeliling. Namun kita tetap rasa sunyi dan keseorangan. Kita rasa didunia ini kita tidak punya sesiapa jua. Tidak punya tempat bergantung.


Hati pasti mencari, dimanakah akal, jasad dan ruh hendak bergantung? Kerana walaupun ada insan disekeliling, kita masih tidak merasa nikmat pada kehidupan ? rasa sunyi?


Tekanannya berbeza, kerana kita mencari pencipta diri, yang menimbulkan urat nadi, yang memanjangkan helaian rambut, mengeluarkan bendalir dari hidung, yang mengerdipkan mata. Jiwa muda akan mencari jawapan persoalan hingga tersentak, Allah. Tiada yang lain, Allah.


Tekad utama saya ketika bertemu anak-anak jiwa muda. Bahawa akal dan jasad tidakkan pernah sihat dan sejahtera apabila kita lenakan ruh yang dicipta Tuhan.