Friday, February 7, 2014

ALLAH TELAH BANYAK KALI MENEGURKU




Apabila anak adam diintai keimanan
Hidayah menyapa lantas tersedar alpanya kita
Sedari Allah telah banyak kali menegurku
Allah sengaja menghantar orang yang salah
Sehingga aku penat membetulkan diri
Hidayah itu luarnya kelihatan sudah lama hadir
Namun, jiwa seperti tidak kenal


Allah telah banyak kali menegurku
Berita kematian rakan handai, sahabat terdekat, saudara mara
Memang benar kematian ini satu teguran yang dahsyat
Ia hadir tidak menimpa ku,
Dan nanti jua ia bakal bertemu


Allah telah banyak kali menegurku
Dengan memperlihatkan kebaikan hati nurani anak didikku
Sehingga merasa mereka jauh lebih muda tanpa dosa
Diri ini pula semakin hari tidak lekang tanpa dosa


Aku mahu mengambil teguran itu
Aku mahu hadir mempersembahkan  qalbun salim dihadapanNya
Aku mahu hari-hari didunia dengan bekalan
Bagaimana tidak jika aku masih kekal kaku


Teguran perlu diambil dengan gerak seluruh jasad dan ruh
Ruh yang tidak terikat dengan dunia
Aku perlu meninggalkan kesenangan dan selesa
Teguran perlu diambil tanpa lelah
Tanpa rungut dan sendu penat
Bergerak dengan iman dan matlamat tsabat


Allah telah banyak kali menegurku
Bagaimana ya Allah aku mengikat hati ini
Ia futur selepas kembali
Dan futur semula selepas kembali




Wednesday, February 5, 2014

UMAR AL-MUKHTAR

Umar Mukhtar bin Mohd Anwar bin Md Yassin bin Mokhtar bin Abdullah bin Yaakub.

Semoga Allah mentakdirkan kebaikan buatmu sayang. Lahir pada 20 Mac 2013 jam 12.17 tengah hari. Biiznillah, sunnah Aqiqah , bercukur, tahnik, serta memberi nama kepadamu telah disempurnakan pada hari ini (hari ketujuh).

Nama Umar Mukhtar( Umar yang terpilih) adalah benar-benar hajat kami buat putera sulung ini. Antara dua Umar iaitu saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Umar Abdul Aziz, kami memilih nama ini kerana melihat ketegasan dalam pendirian, kezuhudan dalam beribadah dan keadilan dalam kepimpinan.

Kegerunan tentera musuh islam apabila nama Umar disebut dan dalam doa-doa kami, kami bermohon agar anugerah yg tidak terhingga ini membesar dengan mengambil pengajaran daripada dua susuk agung sejarah islam ini.

Sebagaimana cintanya Rasulullah saw kepada Umar. Semoga cinta jua Rasulullah saw kepada ahli syurga ini dan semoga mendalam juga cinta Umar kecil ini kepada Rasulullah saw. Allahumma solli 'ala saiyidina Muhammad.

Umar Mukhtar juga nama tokoh pejuang pembebasan Islam di Libya yang dikenali sebagai "LION OF THE DESERT" merupakan cucu sulung keluarga Yassin Mokhtar dan Salmah Khamis, serta merupakan cucu ke-6 allahyarham Zulkiply Idzman dan Siti Aishah Md Zuldin

Mohon doa dari sahabat handai dan sanak saudara agar zuriat ini menjadi hafiz yang diredhai Allah.

Sunday, March 10, 2013

ANAK UMMI



Hari ini usia kandungan ummi cukup 39 minggu bersamaan 9 bulan 3 minggu. Hanya menanti zuriat ini untuk dilahirkan ke dunia. Ummi sudah terlalu lama tidak mencoretkan apa-apa di laman ini. Bermula hidup ummi berubah apabila  bernikah dengan abi sehingga ummi kini benar-benar sarat ingin melahirkan anak ummi.


Segala puji hanya bagi Allah yang menciptakan makhluk daripada tiada kepada ada.

Ramadhan ummi yang lepas ummi sambut dengan penuh kelelahan. Ketika itu usia anak ummi baru beberapa bulan. Ummi  tidak dapat berpuasa dengan kuat, ibadah ummi rasakan kosong kerana kalah dengan perubahan diri ummi. Dalam hati ummi bersangka bahawa ummi begini kerana adanya sesuatu dalam  rahim ummi. Sedang membesar.


Kali ini abi benar-benar menatang ummi semampunya dia. Abi banyak menitip doa sambil mengusap perut ummi dan memberi didikan sepanjang ummi mengandungkan anak ummi ini.


Ummi sungguh rindu untuk menatap wajah anak ummi.

 Yang ummi kandungkan 9 bulan lebih.

Ummi rasa berdebar-debar sayang.

Semoga Allah melindungimu duhai anak

Semoga Allah mentakdirkan kebaikan dunia dan akhirat buatmu

Semoga urusan kelahiran anak ummi dipermudahkan

Semoga Allah sempurnakan solat fardhu ummi sebelum melahirkan

Semoga Allah temukan kita dengan doktor muslimah yang solehah yang memelihara aurat ummi sepanjang tempoh dihospital kelak

Semoga Allah mengizinkan nama-nama AgungNya diperdengarkan ke telinga anak ummi sebaik sahaja anak ummi dilahirkan

Semoga zuriat pertama ini menjadi penyejuk mata ummi dan abi, amanah dan aset ke syurga

Semoga ada keberkatan surah Maryam, Yusuf, Luqman, At-taubah, Yassin, Taha dan Al-hujurat

Semoga ada kebaikan pada zikir-zikir