Monday, June 25, 2012

KITA TIDAK PUNYA BANYAK MASA LAGI..


Bismillahirrahmanirrahim...
Buat adindaku yang amat ku cintai kerana Allah..kadang..apabila kita merenung kembali detik-detik masa yang telah lalu..kita mengeluh dan menyesali betapa kita gagal memaknakan setiap peluang dan ruang yang dikurniakan kepada kita dengan sebaiknya..

Apabila Allah memilih kita untuk menentukan kehidupan kita dengan sebaiknya sehingga Allah melihat kita tidak lagi dengan pandangan rahmatNYA..tika itu kelak kita sebenarnya tiada apa-apa bagiNya..

Sayang, kita sebenarnya tidak punya apa-apa...

Kita sering meletakkan harapan kepada manusia, sehingga berasa kecewa apabila manusia tidak seperti yang kita harapkan..sungguh, manusia adalah manusia, penuh dengan kelemahan dan sifat pelupa..

Hujung kecewa kita kepada manusia, titipkan rasa sedar bahawa perlunya kita meletakkan sepenuh harapan kepada Allah SWT..Tuhan yang penuh dengan kasih sayang..yang mana semakin kita meminta dan mengharap kepadaNya, semakin Dia memberi kasih dan cintaNYA..

Dan sesungguhnya Dia memberi cintaNya dengan pelbagai cara..Sungguh kita tidak punya ruang untuk bersedih atau mengeluh kerana terlalu banyaknya nikmat yang Allah berikan..

Aku tidak punya apa-apa buat kalian..Namun, keyakinan ku pada doa seorang guru dengan harapan keberkatan ilmu dan redha Allah akan hubungan ini menjadi asbab kalian berjaya dalam kehidupan..

Sayang, hidup ini adalah pilihan..
Mahu solat atau pun tidak adalah pilihan..
Bangun seawal pagi untuk menelaah ilmu adalah pilihan..
Memanfaatkan masa untuk ulangkaji pelajaran juga adalah pilihan..
Menyukai dan membenci sesuatu ilmu juga adalah pilihan..
Mencari sahabat yang baik ataupun tidak adalah pilihan..
Tidur banyak atau tidak juga adalah pilihan..
Merosakkan atau memperbaiki akhlak juga adalah pilihan..

Sungguh, kitalah yang memilih baik atau buruknya hidup kita seperti dalam surah yang pernah ku titipkan..

"..dan jiwa serta penyempurnaanya(7) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaannya(8) sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa(9) dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya(10)" (surah as-syams:7-10)

Kita tidak punya banyak masa lagi..Entah esok masih ada untuk mengejar cintaNya..Jangan nanti kita menyesal kerana kurangnya masa yang kita manfaatkan kerana Allah..

Belajar bersungguh-sungguh..Bukan kerana ibu bapamu, atau gurumu..tapi kerana Allah..

Aku cinta akan kalian kerana Allah..

Wassalam.
Cikgu Ayuni
SMKTM

Wednesday, April 18, 2012

UJIAN ITU ADALAH HIKMAH




Apabila dugaan yang hadir dalam kehidupan bertali arus. Bergenang air mata menahan badai yang bergelora. Meredah bersendirian.

Terkadang apabila merenung langit lalu terlihat kibasan kepak burung nan berterbangan, hati terdetik berkata “alangkah indahnya jika aku seperti engkau, bisa berterbangan bebas di langit nan luas”


Ujian itu adalah hikmah. Burung yang dilihat indah berterbangan mungkin masih mencari-cari makanan untuk dibawa pulang ke sarang. Tidak siapa tahu keruh hati si burung kerana kita tidak punya pancaindera membaca perasaan burung daripada kibasan kepaknya. Luarannya, burung itu seperti aman.


Kocak angin terasa berlalu, sekali sekala menyentak badan terasa sejuk dan nyaman. Hari hujan kadang dirasakan nikmat, kadang dicemuh kerana  hujan mengganggu rancangan keluar ke lapangan.


Pernah dirasakan hidup ini seperti kosong. Kosong yang tiada satu atau dua. Kosong. Melalui kehidupan yang sama saban hari. Tidak dimaknakan.


Burung juga menghadap hari-hari tanpa makanan, mungkin sarang yang dibina saban hari kini musnah akibat pohon yang dulu rendang kini habis ditebang. Burung juga mengeluh

Hikmah dalam ujian itu nikmatnya bukan sekadar menelan kesakitan di saat hati mahukan tenang. Ia terlihat selepas lelah dilepaskan.


Meniti hari-hari kini, terlalu banyak isi hidup yang kita pelajari. Sungguh indah setiap perancangan Allah. Merenung hakikat kehidupan dari sisi mulianya diangkat Allah sebagai khalifah.


Kita lihat insan yang Allah uji dengan kemelaratan hidup.


Air mata kita tidak mungkin sama dengan mereka. Boleh jadi kita menangis hanya kerana merasakan sunyi dalam keriuhan manusia. Namun, mereka menangis kerana sunyi dalam kesunyian yang mutlak.


Cubalah merenung anak mata mereka, mata yang tersenyum dalam kelelahan membanting tulang demi menyara anak-anak yang galak membesar. Tidak mampu mendidik mereka dek kerana tulang yang dibanting hanya cukup mengenyangkan satu keluarga untuk hari itu sahaja. Jika tidak dibanting lagi keesokannya, pasti  perut kosong tidak diisi.


Apa mungkin kita rasa wang yang banyak kepunyaan kita tidak mencukupi ? Bukan kerana tidak cukup. Tetapi kerana tidak dicukupkan.


“ Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan ?” (Ar-Rahman: 13)


Marilah kita  bermuhasabah kembali akhlak kita yang suka berprasangka terhadap Allah.


Sehingga kita gagal melihat terlalu banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita malah menyangka  Allah tidak pernah memberi kebaikan kepada diri kita !


Syukur ya Allah !