Thursday, December 30, 2010

KONGSI DIARI



Sekadar perkongsian, apabila saya melihat kebanyakan kanvas muslimat berkisarkan pengalaman dan corat coret diri sendiri. Kadang saya terfikir saya terlalu serius dalam berpena..ada isu yang saya ingin lakarkan pendapat sendiri namun akhirnya batal begitu sahaja kerana khuatir nampak kedangkalan berfikir kerana ceteknya maklumat dan hadaman isi lalu yang dihamburkan hanya kata kosong.


Hari ini saya berniat untuk kongsikan kenangan 2010. Ia sekadar ingatan bahawa kita hanya merancang, dan Allah lah sebaik-baik perancang. Ia buat kita mengerti masa meninggalkan kita begitu sahaja jika tidak dimanfaatkan. Ia buat kita faham dalam kehidupan kita sentiasa harus membuat pilihan. Dan mengajar kita erti belajar daripada pengalaman.


Kita bisa faham mengapa Allah mentakdirkan kita lahir bukan pada era zaman kebangkitan Islam tapi ya, kita berada pada binasanya ummat akhir zaman.

Kita bisa ngerti mengapa Allah tidak mentakdirkan kita menjadi ahli sufi taqarrub tinggi padaNya tapi menjadi manusia biasa yang kita tahu akan merasa neraka.

Kita bisa tahu bahawa bentangan umur yang ada kita gagal usaha untuk menghargai nikmat Islam yang subur menyinar dalam tubuh sedari kecil.

Kita bisa jelas dengan mata betapa melata maksiat dan kezaliman berlaku diluar upaya kita untuk menahannya.


2010 hanyalah setahun yang pendek, saya berada di tahap terakhir pengajian Universiti, melepaskan amanah sebagai setiausaha perwakilan mahasiswa. Jujur masa yang diberikan untuk menyempurnakan amanah itu tidak pernah cukup. Saya tidak pernah merasa begitu sesak selain masa ini. Pengalaman bermakna saya rakamkan untuk bekalan mendatang. Lalu saya simpulkan, tidur tidak akan pernah lena tika bahu memikul amanah dan tanggungjawab. Ia diluar kawalan dan upaya, hanya Allah tahu samada amanah itu disinsing tepi atau ditatang penuh.


Awal tahun 2010 diari saya catatkan penuh dengan kesedihan. Lalu saya sedar bahawa saya tidak cukup ikhlas beribadah pada Allah kerana saya sukar redha dengan pemergian ayah. Allah hanya tarik satu nikmat dalam jutaan nikmat yang saya rasai, sedangkan setiap nikmat itu hanyalah pinjaman. Saya adalah anak yang mula-mula mengesyakki penyakit ayah, namun saya diamkan kerana saya juga sebenarnya tidak mahu menerima hakikat itu jika ia adalah benar. Kini hampir 8 bulan ayah dijemput Allah. Sedarlah saya bahawa tiada satu pun didunia ini adalah milik mutlak manusia. Tapi manusia sering berlagak seperti mereka memiliki segalanya. Astaghfirullahal’azim. InsyaAllah mungkin esok lusa kakde akan menyusul pula bertemu Allah.


Hebat Allah dalam mentadbir hidup manusia, saya menghabiskan hujung masa saya di Kuala Lumpur dengan ditarbiyah Allah bersama anak muda Sekolah Sains Alam Shah. Saya belajar bagaimana melihat potensi dan mempengaruhi minda dengan ilmu sains dan dakwah. Dan kemudian menghadiri majlis konvokesyen di UM. Oh, sudah 4 tahun rupanya saya di sini. Tahun 2010 saya telah bergelar graduan dan hujung tahun saya menjadi penanti kerja.


Selesai Ogos sehingga hujung tahun 2010, Allah mentarbiyah saya dengan anak-anak, saya menjaga anak-anak daripada 2 orang kakak yang bersalin hanya selang 2 bulan. Subhanallah, inilah yang paling menenangkan hati dalam takjub melihat bayi sedari lahir sehingga mencapai umur bulanan membesar saban hari didepan mata. Hebat Allah mencipta manusia, bulu mata dan rambut yang panjang dari hari ke hari, badan yang semakin berisi hari ke hari, esakkan mahu susu atau pelukan, bagaimana beribadah dalam keadaan uzur berpantang, amalan-amalan soleh perlu diterap buat anak sedari kecil. Menakjubkan sungguh! Hebat Allah!


Kasih sayang Allah dirasakan tidak pernah sirna, dalam usaha setiap minggu menziarahi pusara ayah, 2 bulan saya mengambil peluang menyumbang untuk masyarakat sekitar, menyertai Rukun Tetangga dan mengadakan tuisyen dirumah buat anak-anak jiran. Allah sentiasa membantu dan menjaga hambaNya, lalu saya merasa cukup gembira mengisi masa tidak bekerja dengan mendidik mereka.


Mengapa agaknya saya berkongsi hal peribadi di kertas blog? Hanya satu, kerana apabila kita belajar melihat kembali perjalanan hidup, laluan yang kita ambil sebagai nilaian kehidupan sekurang-kurangnya kita sedar betapa mewahnya hidup ini dengan Kasih Sayang Allah..Segala puji bagi Tuhanku yang menjadikan aku muslim.


Bisa ini adalah tahun terakhir berada di dunia, jadi mungkin menjadi diari terbuka berkongsi kasih sesama manusia. Moga hari ini lebih baik dari semalam.

Sunday, December 5, 2010

KETUANAN MELAYU, DI MANA TUANNYA?


Bila berbicara soal Melayu, saya percaya ia melangkaui aras kepartian, kerana calitnya pada keturunan. Ia datang dari nenek moyang. Saya juga percaya beberapa kemungkinan dalam mencapai dakwah penyebaran agama Islam ialah melalui bangsa. Ya, jika kita lihat medium paling mudah untuk sampaikan Islam adalah melalui bangsa kita. Kerana orang Melayu di Malaysia kita kenal sebagai “Islam”. Tapi dihujungnya saya tidak bersetuju. Mungkin saya boleh kongsikan kemudian.


Bangsa Melayu adalah bangsa yang menetap dalam Tanah Melayu sejak sekian lama (beserta golongan pribumi yang lain) bahkan suatu bangsa yang mempertahankan Islam sejak sekian lama di Tanah Melayu ini. Jika sejarah berkembangnya Islam dahulunya adalah kerana bangsa ini. "Tanah Melayu" sendiri sudah menunjukkan kedudukan bangsa Melayu sebagai penduduk asal yang membangunkan tamadun di Malaysia.


Atas dasar kepercayaan Orang Melayu adalah penduduk asal tanah Melayu ia dikaitkan dengan “ketuanan”. Namun begitu, isu Ketuanan Melayu saya lihat selalu dicanangkan dengan kasar oleh sesetengah pemimpin Melayu. Mereka bercakap besar dan melampau. Jika ada Melayu yang beriktikad bahawa mereka adalah lebih mulia daripada bangsa lain maka ia adalah sangat ditolak oleh agama. Tidak perlu dipersoalkan lagi kerana ia berdiri di atas nas jelas bersumberkan Al-Quran, contoh (al-hujurat:13).


Perlembagaan negara artikel 153 bercakap soal hak keistimewaan orang melayu yang menekankan soal melindungi kepentingan dengan sebagai contoh mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia berkaitan dengan kontrak sosial yang telah lama dimenterai dahulu dan ia tidak sedikit pun mengurangkan hak orang bukan melayu dalam mendapatkan manfaat sebagai warganegara.


Namun, satu persoalan yang kini tampak jelas. Adakah hak keistimewaan ini benar-benar dilindungi oleh kerajaan yang memimpin ? Apabila saya membaca akhbar tentang satu bait kata Dr. Wan Azizah bahawa Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri ada benarnya jika dilihat natijah kekayaan segolongan Melayu ini. Kerana setelah sekian lama kerajaan sedia ada memimpin masyarakat negara saya melihat semakin kaya sesetengah dari mereka, namun ada Melayu yang lain langsung dinafikan hak mereka.


Lambakan isu rakyat yang semakin parah, masalah sosial yang semakin membimbangkan, wang rakyat ditaruhkan dengan perancangan-perancangan yang tidak mendatangkan pulangan kebaikan kepada rakyat. Bahkan ia melibatkan sebahagian Melayu yang dikatakan istimewa tadi. Justeru adakah masih relevan jika kita lantang bersuara soal ketuanan atau hak keistimewaan ini ? adakah rakyat masih mahu menerima dengan senang “ya aku memang istimewa” ?


Bagi saya, saya malu untuk menjadi melayu kerana Melayu kini tidak sama seperti dahulu. Nikmat Islam Melayu ini kita gunakan untuk merasa bangga dan menolak hak manusia lain dengan nilai ketuanan melampau. Saya rasa jijik mendengar apabila ada pemimpin Melayu bangkit dan berkata yang boleh menjadi perdana menteri hanyalah orang Melayu sedangkan Islam mengangkat siapa sahaja untuk dipilih menjadi pemimpin selagi dia adalah Muslim. Ya, saya gagal melihat bagaimana sejarah membentuk negara, mungkin saya adalah anak muda yang tidak tahu menghargai jasa pejuang-pejuang Melayu dahulu. Namun malunya saya, kerana kita pemimpin-pemimpin ini berbangga dengan Melayu tetapi tidak ISLAM.


Mengapa sesetengah pemimpin Melayu tidak bercakap soal indahnya Islam ? Mengapa tidak menjadikan medan sebagai pemimpin untuk mengajak bangsa lain kepada Islam ? mengapa tidak gunakan media yang dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan parti melayu itu untuk benar-benar mengajak rakyat kepada Islam sebenar dan bukan sekular, liberal atau apa sahaja fahaman yang bukan cerminan Islam sebenar.


Saya mungkin hanya anak Melayu yang pandai mengkritik segala yang dirasakan tidak kena, belum pernah merasai amanah mengurus tadbir rakyat. Sesiapapun yang dipilih oleh Allah untuk bersama amanah itu, sungguh berat bagi mereka untuk benar-benar adil. Namun pilihan itu disuburkan melalui demokrasi. Kita bisa mengubah paradigma terlalu bahagia dengan slogan tanpa makna kerana natijahnya hanya indah khabar dari rupa.


Tiada tuan dibumi Tuhan.


Saya tidak menulis untuk anda bersetuju dengan saya.