Wednesday, April 21, 2010

JIKA HALAMANKU TIADA LAIN HANYA..




obses teruk yang memerlukan usaha untuk direalisasikan..Indahnya jika halamanku tiada lain hanya ia..

update blog : exam mode **

Tuesday, April 13, 2010

AIR DAN PEPERIKSAAN ABU LAHAB


Meja saya penuh dengan nota dan buku, terkial-kial memenuhkan ruang kosong tindak balas kimia yang cukup memeningkan kepala. Oleh kerana baru membeli white board dan marker pen, saya mula beraksi menulis-nulis sesuatu.


Seringkali kita melihat suasana sekitar ilmiah, persaingan dalam mencari ilmu, jika kita muslim, kita ada ikhtiar air jampi yang dibaca khas untuk peperiksaan. Malah,(nauzubillah) ada yang masih menggunakan khidmat toyol buatan sebagai peluru akhir jika mata dan fikiran buntu dalam menjawab soalan.


KAWAN BERTANYA


“Kenapa orang Islam tak dapat markah cemerlang kalau peperiksaan. Kan orang Islam buat air jampi, buat solat hajat. Tuhan orang Islam tak tolong ya? “


Adik-adik, betulkan. Dimana-mana pun, perasan atau tidak, rakan-rakan berbangsa Cina selalu kedepan, bersungguh-sungguh, sehingga adik-adik perubatan kampus sendiri pernah mengeluh dihadapan saya.


Tapi, benarkan, kalau ada mereka yang duduk dibarisan belakang, kitalah yang paling dahulu, sedangkan kerusi depan masih tidak terisi


Jika ada yang lambat menghantar assignment, kita jugalah yang menang, johan sahaja setiap masa.


Padahal kita muslim. Akhir sekali, kita letakkan nasib kita pada sebotol air yassin dan solat hajat setiap malam, sah-sah kita tidak bersungguh dalam mencari ilmu. Kita salahkan Allah tidak beri kita cemerlang.


JADI BAGAIMANA?


Pertama, kita harus bersihkan Islam dari kekotoran, bahawa semua akhlak buruk yang kita tunjukkan bukan akhlak Islam, tapi akhlak buruk kita yang tidak mengamalkan Islam.


Masalah air jampi dikaitkan sebagai air yang boleh memberi cahaya, lapang dada untuk menuntut ilmu boleh dibuat pertimbangan mudah. Alangkah baiknya jika air telaga zam-zam tika Rasulullah saw dahulu boleh diberikan kepada Abu Lahab atau seluruh kaum Quraisy, nescaya mudahlah mereka masuk Islam kerana dengan hanya doa ditiupkan kepada air hidayah Allah akan sampai kepada mereka.


Tidak salah jika kita berikhtiar selepas berusaha. Yang menjadi masalah, apabila kayu ukur berjaya diletakkan pada sebotol air.


PENCERAHAN


Tuhan Islam adalah Tuhan seluruh umat manusia. Tuhan untuk orang Melayu, Cina dan India. Allah ada sifat ar-rahman dan ar-rahim. Dengan Ar-Rahman sahaja, semua manusia akan peroleh kesihatan, akal, hirup udara segar, kepandaian, hasil tanaman, juga tidak terlepas kejayaan selepas berusaha. Pendek cerita, siapa yang belajar sungguh-sungguh, dialah yang akan berjaya.


Oleh yang demikian, jangan ingat kita muslim, kita boleh goyang kaki tunggu Tuhan bagi durian runtuh. Kita juga perlu berusaha malah, berusaha lebih demi kepentingan ummat.


Ambil dalil yang paling popular, adik tingkatan satu pun mungkin sering dengar.


“….Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka….”(Ar-Ra’du:11)

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN


Selamat menduduki peperiksaan buat semua rakan dan teman kampus. Marilah kita berusaha ! Kita berusaha yang terbaik ! Yosh!


Jika rasa serabut, ambil wudhu’ dan baca al-quran.


” Dengan mengingati ALLAH itu, maka hati-hati akan menjadi tenang”(Surah Ar-Ra’d ayat 28)


Jangan lupa berdoa, sebab Allah berfirman:


” Berdoalah kepadaku, nescaya AKU akan perkenankan”(Surah Al-Mu’min ayat 60)


Kepala yang berat terasa ringan. Alhamdulillah.

Saturday, April 10, 2010

SUNYI YANG BERBEKAS

Tersedar masa pergi berlalu terlalu cepat

Namun ingatanku padamu sentiasa mekar

Hati terasa sakit ayah memendam rindu

Jiwa terasa sunyi

kehilangan


Ujian apakah ini ya Allah

Ia mengubah seluruh hidupku

Menjadi cacat tidak sempurna

Tangan kadang cepat menaip bait kata khabar kepada ayah

Hingga tersedar ayah tidak lagi membaca


Ayah sangat menyayangiku Allah

Sehingga ia membuatkan aku merasa amat sukar

Bagai ada sahaja yang tidak kena

Terasa ingin berjauhan dari segalanya

Aku tidak pernah menduga


Aku hilang ayah

Yang mengajarku kenal dunia

Yang mencintaiku sepenuh hatinya

Yang mencium dahiku setiap kali aku memeluknya

Beratnya Allah ujian ini

Berat dari segala ujian yang pernahku lalui


Tabahkah hatiku ya Allah

Bilamana aku ditenangkan dengan kesedihan Rasulullah

Kehilangan satu persatu insan yang tersayang

Agar aku mengambil pengajaran

Dunia ini hanya persinggahan

Satu perjalanan singkat dari perjalanan yang masih jauh

Agar aku gigih mencari bekal untuk bertemu ayah

Bekalan terbaik untukMu


Aku yakin ya Allah

Ujian ini adalah cinta

Cinta seorang pencipta

Monday, April 5, 2010

BUNUH SEMUT, GAJAH BERLELUASA



Sekali imbas melihat sejarah hidup Kartika mungkin tiada siapa yang peduli akan setiap getir yang dilaluinya. Kita hanya suka melihat Kartika sebagai wanita yang bersalah kerana meminum arak dan harus dihukum !


NAK ELAK AIR MELIMPAH, TAPI PAIPNYA TIDAK DITUTUP


Hukuman sebatan kartika digantikan dengan kerja khidmat masyarakat yang telah pun bermula 2 April 2010 selama tiga minggu di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan fatimah, Kuantan. Setelah saya baca penyataan media oleh pihak kesatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan menghubungi Kak Kartika sendiri, saya melihat ketidakupayaan seorang wanita.


Allah pasti membantu setiap yang membantu agama Allah. Maruahnya sudah hilang kerana MALU ditangkap melakukan perkara Haram berdasarkan agama sehingga hukuman mengikut perundangan syariah telah dijatuhkan. Kartika mempertahankan untuk melalui hukuman ini tanpa membuat sebarang rayuan.


KEPUTUSAN TERKINI


Persoalannya, adakah kerja khidmat masyarakat ini lebih ringan berbanding sebatan syariah yang ditetapkan oleh Islam? Jika faham syariah, sebatan ini adalah jauh lebih ringan dan berperikemanusiaan ! Ianya menjawab kepada tujuan Islam menggariskan hukuman sebagai mendidik manusia menjadi insan Kamil yang memberi manfaat kepada diri dan alam sejagat, tercegah daripada melakukan kejahatan-kejahatan yang merosakkan iman dan sahsiahnya, menghalang daripada mengulanginya serta memberi pengajaran kepada ummat. Bagaimana manusia melihat nafsu lebih BAIK berbanding ketentuan Tuhan pencipta seluruh alam?


Saya yakin, selepas ini masyarakat Islam akan semakin seronok ketagihan arak!


BUNUH SEMUT, GAJAH BERLELUASA


Mengapa masalah tidak pernah kan selesai? Kerana kita tidak percaya pada Tuhan. Jauh melaksanakan hukum Tuhan. Tuhan itu siapa? Pencipta manusia. Malah merasakan undang-undang yang dicipta sendiri lebih relevan dan lebih baik.


Penyakit ini tidak akan pernah selesai kerana kita hanya berusaha mengelak air daripada melimpah tetapi paip air dibiar terbuka. Hukuman hanya kepada semut tidak kepada gajah-gajah pengeluar arak negara. Akhirnya, semut terbunuh dan gajah-gajah hidup berleluasa.


Tidak perlulah nak tangkap orang Islam minum arak, sedangkan pemimpin kita berbangga dengan sumber pendapatan negara yang diperoleh melalui perniagaan ini, malah, kita mempunyai pemimpin Islam dalam syarikat besar arak. Buat apa mahu diambil tindakan minum arak sekiranya lesen-lesen penjualan arak masih diberikan dan arak boleh didapati dengan harga yang paling murah (rm2-3). Jika benar pemerintah sayangkan rakyat, kurangkanlah iklan 1Malaysia,konsert-konsert hiburan melampau, cerita politik kotor dan perbanyakkan kempen kesedaran arak, zina, buang anak dan gejala sosial yang semakin membarah.


KARTIKA


Saya tidak tahu berapa ramai lagi “Kartika” yang akan bertambah berdosa selepas ini sekiranya setiap kali hukuman dikenakan, mereka hanya perlu bersihkan rumah kebajikan. Kartika sekurang-kurangnya berjaya membuka mata kami tentang hikmah hukuman Tuhan namun tidak kurang juga yang semakin keliru dengan sistem perundangan Islam negara kita !


Saya bersangka baik, keputusan terkini ini "mungkin" selepas timbang tara kemaslahatan ummat dilakukan.


TAPI TOLONG LAH, JIKA ANDA ISLAM


Jangan menolak hukum Allah walaupun tahu ianya mustahil untuk dilaksanakan sekarang. Kerana sebenarnya anda telah menganggap diri lebih pandai dari Tuhan !