Saturday, July 18, 2009

TINGGAL LUAR KAMPUS

Hari ini saya telah mendapat kunci bilik sewa, bayarannya RM 200 setiap bulan. Alhamdulillah, saya pasti masih ramai rakan yang mencari-cari rumah sebagai tempat berteduh, dan masih ramai yang menunggu peluang penginapan di kolej kediaman.


Dalam pertemuan iaitu mesyuarat bersama Naib Canselor akhir Mei dahulu, saya pernah membawa isu penginapan kepada beliau malah saya maklumkan bahawa 8 orang pimpinan MPM yang tidak mendapat penginapan.


Saya antaranya tidak mendapat penginapan atas sebab lewat menghantar borang permohonan(saya boleh panjangkan dan buktikan keadaan sebenar, namun saya batalkan kerana ianya hanya melibatkan diri saya dan bukan rakan pelajar lain), dan beberapa pimpinan(dengan alasan mempunyai kesalahan tatatertib dan terlibat dan kesalahan lain walaupun tiada bukti) membawa isu ini. Jika dalam laporannya begini, namun disebaliknya berbeza saya kira. Kami telah membuat rayuan sama seperti pelajar lain.


ANALOGI MEMBAYAR YURAN PENGINAPAN



Masih segar ketika kempen dahulu, saya keluarkan analogi kepada rakan-rakan mahasiswa, bahawa pemotongan wang elaun MPMUM 30% akan saya berikan kepada pelajar dengan analogi jika MPM sesi lepas tinggal di Kolej Kediaman tanpa bayaran yuran penginapan, sesi kali ini saya rela membayar yuran kolej saya, sama seperti pelajar lain. Saya mengandaikan saya mendapat kemudahan penginapan percuma, iaitu honorarium penginapan sebanyak RM 270 sebulan seperti sesi lepas dan akan keluarkan 30% honorarium tersebut daripada jumlah elaun bulanan (RM 270penginapan + RM150 bil telefon) untuk diberikan kepada rakan pelajar.


Mungkin apabila mendengar manifesto yang saya berikan kepada pelajar terus menyebabkan pihak pentadbiran memutuskan terus untuk tidak memberi subsidi kepada MPM kali ini dari segi penginapan seperti sesi lepas, walaupun pihak saya atau mana-mana MPM tidak pernah membincangkan atau mengusulkan perkara ini kepada pihak pentadbiran. Justifikasinya ialah kerana defisit. Alhamdulillah.Terima kasih.


Pihak MPM mengusulkan kepada pihak Naib Canselor berkenaan kebajikan pimpinan MPM. Cukup membuat penilaian kepada pimpinan tertinggi pelajar, Pengerusi Biro Penginapan Kolej Kediaman dan Luar Kampus, Pengerusi Penerbitan dan Penerangan malah Pengerusi Kebajikan dan Aduan, yang tidak mendapat peluang menginap. Pelajar lain agaknya bagaimana ?


“PERAMPAS” DAN BUKAN “LAYAK”


Dalam mesyuarat bersama pihak pengetua antara yang disuarakan adalah berkenaan masalah penempatan pelajar dalam kolej under renovation. Tamat mesyuarat pihak TNC bertanyakan tentang penginapan saya yang masihbelum selesai. Pihak TNC telah menghantar memo kepada pengetua-pengetua untuk penempatan, namun ditolak oleh pengetua kerana penuh, saya pendekkan cerita akhirnya saya menerima surat yang perlu dihantar kepada pengetua kolej pada 9 Julai untuk ke Kolej 9.


Dan pada keesokan harinya saya menerima satu lagi surat bertarikh yang sama 9 Julai bertandatangan penghulu pengetua mengatakan pihak MPM merampas tempat menginap rakan-rakan yang kami pimpin. Allahuakbar. Malah surat tersebut memohon kami untuk check in ke kolej kediaman yang ditetapkan (saya ke Kolej 4) pada tarikh tersebut juga iaitu 9 julai (surat diterima 10hb) dan mengatakan kami tidak akan ditawarkan lagi penginapan jika gagal berbuat demikian.


Saya terus menghubungi pengetua Kolej 4 sendiri samada ada perbincangan lanjut diadakan sehingga meminta saya ke Kolej 4 walaupun saya telah maklum bahawa kolej 4 ketika itu sudah penuh malah bermasalah. Dan jawapan beliau tiada sebarang perbincangan lanjut diadakan dengan pihak penghulu pengetua dan memang kolej 4 penuh. Jika begitu bagaimana pula saya boleh diminta ke kolej tersebut ? Pelik.


Nampaknya, kami adalah ”perampas” dan bukan ”layak” untuk mendapat tempat di kolej kediaman walaupun sebagai pimpinan tertinggi mahasiswa universiti. Jika sehingga begitu sekali.


ZIARAH LUAR KAMPUS


Minggu lepas, 3 malam berturut-turut pihak Biro Kebajikan Kolej Kediaman dan Luar Kampus (Fadzil), Kepimpinan dan Pembangunan Insan(Aizat) dan HELWA(Maryam) sendiri bersama-sama Majlis Pertinggi meluangkan masa bertemu rakan-rakan yang menginap di luar kampus. Vista, Pantai Permai, Bukit Angkasa, Kondo rakyat, dan seksyen 17.


Saya menerima RM 150 setiap bulan sebagai elaun setiausaha MPMUM untuk tujuan bil telefon dan alhamdulillah, peluang melunaskan janji ketika kempen dulu kami gunakan dalam ziarah kali ini. Pada mulanya kami merancang untuk memberi tepung dan minyak sebagai hadiah kepada rakan-rakan, namun akhirnya bersetuju untuk membeli gula dan biskut ringan( mungkin ada antara mereka yang tidak berasap dapurnya..ngee~)


Pengalaman yang amat menarik. Kami berpecah ke beberapa rumah berbeza, mengikut maklumat yang ada dalam tangan(saya percaya masih banyak rumah baru yang telah disewa oleh rakan-rakan luar kampus). Sehingga sebuah rumah yang kami ziarahi, kami dijamu buah-buahan dan minuman. Salam ukhwah dan terima kasih daun keladi.


Pengajaran yang saya peroleh sepanjang ziarah, saya merasai susah payah setiap daripada pelajar ini. Apabila bertanya samada suasana sekeliling mampu menaikkan semangat belajar, ada sesetengahnya menceritakan masalah seperti pecah rumah, tikus (saya terserempak dengan tikus yang saiznya sebesar kucing!), kecurian, dan perkhidmatan bas yang tidak efisien.


Dikesempatan yang ada saya sempat berkongsi tentang perlantikan pengetua luar kampus baru yang bertanggungjawab ke atas kebajikan pelajar luar kampus dan memberikan nombor telefon beliau, juga hak mendapatkan insuran jika berlakunya kecurian atau mana-mana kes melibatkan kemalangan dan lain-lain.


Pihak kami juga melakukan survey yang mana akan dijadikan sebagai bahan bukti berkenaan penempatan mahasiswa yang tinggal diluar kampus, suasana yang membentuk hasil ekspresi sikap dan representasi akademik mereka, pelajar yang bekerja untuk menampung kewangan seharian dan lain-lain lagi. Saya yakin, ayahanda Naib Canselor pasti berikhtiar untuk turun padang melihat sendiri keadaan anakanda luar kampus.


HAKIKAT KEHIDUPAN


Saya percaya, pilihan untuk menginap diluar kali ini ada hikmahnya. Hakikat kehidupan sebagai pimpinan MPMUM bukan mudah.

Janganlah engkau tertipu

Seorang kekasih punya tanda

Punya hadiah untuk kekasihnya

Pahit balaNya dirasa nikmat

Diterima gembira apa pun yang Dia perbuat

Kefakiran dianggap penghormatan saja

Kau lihat keinginannya

Hanyalah mentaati kekasihnya

Kau lihat mukanya berseri

Hanya si Dia yang ada dihati

Dia taat segala ucapanNya

Tuesday, July 7, 2009

sambungan..CINTA PERTAMA

Aisyah tunduk..Lama benar kali ini. Dia tidak mahu ummi mengetahui rahsia hatinya. Malah siapalah dia untuk membantah keputusan ibu bapanya yang telah mengorbankan apa sahaja demi kejayaannya.


”Manisnya adik kakak” Usik kakaknya. Aisyah berkurung merah jambu bertona kelabu lembut, disarungnya tudung seperti biasa. Namun tadi, apabila ditegur umminya pucat, segera kakak minta Aisyah meneguk air suam yang dicampur madu.


pertemuan yang dirancang dengan takdirNya berlangsung elok. ”Mujahid cadangnya selepas akad mahu terus ke Jepun, syarikat beri kenaikan pangkat dan hantar mujahid ke sana, ” Encik Imran seronok bercerita.” Terus berbulan madulah jawabnya Aisyah nanti” abi berseloroh. Panas dan malu Aisyah dibuatnya, semakin tunduk membisu.


”Makcik, izinkan saya bertanya khabar dengan Aisyah” Mujahid dengan sopan meminta kebenaran. Berdegup kencang jantung Aisyah, namun hatinya cepat-cepat beristighfar. Kakak pun segera menarik tangan Aisyah lembut tanda faham dengan senyuman ummi.


Aisyah duduk di buaian hadapan rumah, jauh merenung. Mujahid pula berdiri agak jauh bertentangan dengan dirinya. ” Assalamualaikum, Aisyah”. Mujahid pagi itu hanya berbaju kemeja kemas persis seorang ahli perniagaan. Aisyah menjawab salam dengan tenang.


”Maafkan ana jika lamaran yang ana bawakan kepada ummi dan abi nti membuatkan nti berkecil hati. Ana nak gunakan kesempatan ini untuk perkenalkan diri ana sehingga kelak nti boleh menerima ana seadanya.” Mujahid gusar. Setiap bicara yang dilontarkan langsung tidak mendapat respon daripada Aisyah. Aisyah terus tunduk memandang ke lantai.


”Aisyah ? mengapa nti diam ? Ada apa-apa yang nti ingin luahkan?” Mujahid cuba mendalami perasaan Aisyah. Aisyah menarik nafas dalam. Mula mengangkat mukanya.


” Sekiranya tiada halangan daripada ummi dan abi, ana terima lamaran nta, Insya ALLAH” Aisyah mahu sahaja menangis. Tidak dapat diluahkan apa yang terbuku dihatinya. Aku tidak layak untuk itu. Sedang Aisyah ummul mukminin hidup bersama Rasulullah selepas Khadijah. Inikan pula aku Aisyah yang penuh dengan dosa.


Aisyah mula mencari kekuatan...

Monday, July 6, 2009

KU TAGIH PERHATIANMU..

Ya ALLAH…

Kuatkan hatiku..

Supaya aku tidak mudah merasa putus asa

Ujian datang bertimpa-timpa

Dan aku tidak mahu orang disekelilingku turut merasai sakit ini..



ALLAH..

Aku hanya ada Engkau untuk ku tagih

Aku hanya hambaMU yang lemah

Hina dan kerdil di sisiMU

Bantulah aku supaya aku tidak mudah mengalah..

Sunday, July 5, 2009

UJIAN PERSATUAN ISLAM : PENAHANAN 2 MAHASISWA


Alhamdulillah..Maha Suci Allah atas segala sesuatu yang dipunyainya. Saya percaya segenap hati inilah yang dipegang bagi seorang muslim dalam kehidupannya.

Saya turut bersimpati dengan apa telah berlaku dengan dua orang mahasiswa Akademi Pengajian Islam apabila ditangkap atas tuduhan Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25 dan Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda. Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara.

Kesedihan saya apabila kedua-dua orang mahasiswa ini telah AWALnya dihukum oleh pihak-pihak tertentu daripada menanti pembuktian sebenar samada mereka benar-benar bersalah atau tidak. Sedangkan Islam meletakkan hukum ALLAH yang paling utama terhadap saksi dan seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.

Saya ingin berkongsi dalil bersama anda:

Dan barangsiapa yang mengerjakan kesalahan atau dosa, kemudian dituduhkannya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah berbuat suatu kebohongan dan dosa yang nyata.

An- Nisaa’: 112

Dan barangsiapa mengerjakan amal-amal yang saleh dan ia dalam keadaan beriman, maka ia tidak khawatir akan perlakuan yang tidak adil (terhadapnya) dan tidak (pula) akan pengurangan haknya.

surah thahaa: 112

Jika kamu memperoleh kebaikan, niscaya mereka bersedih hati, tetapi Jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira karenanya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya tipu daya mereka sedikitpun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.

Ali Imran :120

Pastinya ibu bapa keluarga Izzuddin dan Shahrul Deen ini dalam kesusahan dan rasa bimbang. Saya telah bertemu dengan Puan Thana dan memohon beberapa salinan statut universiti untuk dijadikan rujukan. Allah.. Bagaimana jika aku dituduh sebegitu ? Mengapa lebih suka menghukum daripada membantu ? Adakah segalanya kerana mereka merupa pelajar Akademi Pengajian Islam atau Ahli Persatuan Mahasiswa Islam yang digelar oleh sesetengah pihak sebagai ekstrem.

Saya juga adalah ahli PMIUM malah amat bersyukur kerana berpeluang merasai ukhwah persaudaraan islam malah saya gembira kerana selama di UM saya semakin mengenal keindahan Islam di bawah pimpinan PMIUM. Bukan seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak yang buta dan tuli.

Perkiraan saya mudah. Jika anda mahu mengatakan sesetengah pihak memburukkan Islam dengan menggunakan nama persatuan Islam namun anda masih boleh gembira menunggang motorsikal lelaki dan perempuan berdua-duaan, anda tidak layak mengeluarkan kata-kata begitu.

Jika anda berkata anda adalah pemimpin terbaik yang menjaga kebajikan mahasiswa dan hak mahasiswa namun tidak pernah mengimarahkan surau malah langsung gembira hidup bersosial melampau, ber”couple” tanpa batasan, pegang sana sini, lupakan segala niat anda untuk bersuara.

Dua contoh cukup mudah.. Bukan mahu menghukum mana-mana pihak, namun cukup saya kira untuk membuatkan anda sedar apa tujuan hidup kita sebagai manusia. Jika anda cukup melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mukmin dengan baik, saya juga akan menilai kebaikan pada setiap kata-kata yang anda lemparkan.

Allahuakbar. Saya melihat ujian ini bersama dengan hikmah. Saya mula celik undang-undang dan mula menghayati erti hidup sebelum kematian. Shahrul deen dan Izzuddin telah ALLAH uji demi hikmahNYA. Allah..Jika aku diuji sebegitu rupa, jadikanlah kekuatan imanku bertambah sehingga akhirnya aku kembali sempurna disisi MU.

Di Universiti.. Bukan tempatnya semata-mata untuk menimba ilmu, namun merupakan medan yang membuatkan dikau memahami apakah tujuan sebenar kehidupan. Hidup bersama Tuhan atau membelakangkan Tuhan.