Saya pernah bergurau dengan sahabat saya :
“ Ana kalau dapat jadi madu ngan nti pun ana tak kisah, bahagia insya ALLAH.” mulalah sahabat saya menjegilkan mata dan mendoakan agar dijauhkan. Yalah, sahabat baik. Hati pun dah saling mencintai, jika berkongsi suami dalam kiraan, insya ALLAH bahagia.
“ Ana ambil bahagian memasak, nti ambil bahagian mengemas rumah. Haa, nti pula ambil menjaga anak-anak.” Tambah korum seorang lagi menjadi mangsa gurauan.
Ameen...
Mudah bukan untuk jadikan ia gurauan ? Namun tidak jika benar-benar berlaku.
Saidatina Aisyah, Ummul Mukminin merupakan wanita sungguh peri istimewanya bagi seluruh umat Islam, sehingga saat Aisyah meninggal dunia, riwayat mengatakan rumah Aisyah ketika itu dipenuhi penduduk seperti hari raya.
Saya cermati kisah Aisyah yang dibait cukup indah Oleh Sulaiman An-Nadawi, seorang Ulama’ yang mempunyai salasilah keluarga yang pertaliannya sehingga kepada Ali bin Abi Talib disebelah ibu dan bapanya.
Dua ciri paling menonjol dalam diri Aisyah adalah sifat manja dan cemburunya yang tebal. Dan sumbangan yang paling hebat bagi seorang pendidik dan pengasuh umat Islam adalah periwayatan hadis. Aisyah sungguh pintar. Subhanallah.
Aisyah hidup bermadu dengan 9 orang wanita selepas Siti Khadijah meninggal dunia. Namun kehidupan dalam rumahtangga Aisyah dan isteri-isteri Nabi yang lain didasari ketaqwaan yang hebat pada ALLAH.
Aisyah paling mencemburui Siti Khadijah,
” Saya tidak pernah rasa cemburu pada seorang wanita sebesar rasa cemburuku pada khadijah. Beliau meninggal sebelum pesuruh ALLAH mengahwiniku. Tetapi, beliau selalu menyebut namanya dan mengenang kebaikannya. ALLAH pun menjanjikannya sebuah rumah di syurga yang dibuat daripada batu permata. Setiap kali menyembelih kambing, pesuruh ALLAH selalu membahagikan sebahagian dagingnya kepada keluarga Khadijah.” Hadis dicatat oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah.
Namun, ada sesuatu menarik berkaitan sikap Siti Aisyah kepadanya. Anda tahu, semua kisah berkenaan jasa-jasa Khadijah dalam dakwah Islam paling awal termasuk bagaimana beliau membela, menghibur dan membantu Nabi Muhammad diketahui melalui kisah yang diceritakan Aisyah. Hebat !
Bagaimana pula dengan cemburunya wanita hari ini ya ? Ada sehingga sanggup mencurahkan asid ke wajah suami, atau menyihir madu kerana cemburu. Nauzubillah..Terlalu jauh dengan sunnah rumahtangga pesuruh Allah.
Sirah ini hikmahnya menjadi teladan bagi seluruh wanita Islam yang percaya pada Zat dan sifat-sifat Allah. Kita sendiri boleh telitikan ayat-ayat Allah yang menegur sikap wanita yang disandarkan kepada wahyu yang diturunkan oleh ALLAH dalam sirah junjungan sebagai teladan.
Rindunya pada Rasulullah..
Apabila saya telusuri sikap qanaah dalam diri Aisyah, saya terpaku melihat diri yang sentiasa hidup serba kemewahan. Sifat qanaah (berasa cukup dengan apa yang ada) sebenarnya bertentangan dengan fitrah seorang wanita.
Aisyah pula hidupnya memakai hanya satu pakaian, dan mempunyai satu pakaian cantik yang sering dipinjamkan ketika itu kepada wanita muslimah yang ingin bernikah.Subhanallah.
Saya termenung... Sedang belum berumah tangga, minta macam-macam dengan ayah dan ibu. Jika tidak dapat apa yang dihajatinya, mulalah muncung panjang. Andai perut tiba-tiba mengidam nak makan sesuatu, hajat tak dipenuhi, alamatnya merajuk sepanjang hari. Bagaimana mahu dididik sifat qanaah? Kecut perut dibuatnya.
Apabila memegang kalimah Lailahaillah. Pada pengertian sebenarnya seorang wanita akan menafikan segala kekuasaan makhluk dan membuangnya keluar dari hati. Meletakkan kekuasaan ALLAH secara sempurna.
Ini baru satu sikap keperibadian Aisyah...Saya tidak sebutkan lain-lain peribadi mulia ummul mukminin ini..Allahuakbar..
Jikalau aku sebiji batu, jikalau aku sehelai daun kering, jikalau aku sebatang pokok...
" selawat ke atas nabi"