Apabila dugaan yang hadir dalam kehidupan bertali
arus. Bergenang air mata menahan badai yang bergelora. Meredah bersendirian.
Terkadang apabila merenung langit lalu terlihat
kibasan kepak burung nan berterbangan, hati terdetik berkata “alangkah indahnya
jika aku seperti engkau, bisa berterbangan bebas di langit nan luas”
Ujian itu adalah hikmah. Burung yang dilihat indah
berterbangan mungkin masih mencari-cari makanan untuk dibawa pulang ke sarang.
Tidak siapa tahu keruh hati si burung kerana kita tidak punya pancaindera
membaca perasaan burung daripada kibasan kepaknya. Luarannya, burung itu
seperti aman.
Kocak angin terasa berlalu, sekali sekala menyentak
badan terasa sejuk dan nyaman. Hari hujan kadang dirasakan nikmat, kadang
dicemuh kerana hujan mengganggu rancangan keluar ke lapangan.
Pernah dirasakan hidup ini seperti kosong. Kosong yang
tiada satu atau dua. Kosong. Melalui kehidupan yang sama saban hari. Tidak
dimaknakan.
Burung juga menghadap hari-hari tanpa makanan, mungkin
sarang yang dibina saban hari kini musnah akibat pohon yang dulu rendang kini
habis ditebang. Burung juga mengeluh
Meniti hari-hari kini, terlalu banyak isi hidup yang
kita pelajari. Sungguh indah setiap perancangan Allah. Merenung hakikat
kehidupan dari sisi mulianya diangkat Allah sebagai khalifah.
Kita lihat insan yang Allah uji dengan kemelaratan
hidup.
Air mata kita tidak mungkin sama dengan mereka. Boleh
jadi kita menangis hanya kerana merasakan sunyi dalam keriuhan manusia. Namun,
mereka menangis kerana sunyi dalam kesunyian yang mutlak.
Cubalah merenung anak mata mereka, mata yang tersenyum
dalam kelelahan membanting tulang demi menyara anak-anak yang galak membesar.
Tidak mampu mendidik mereka dek kerana tulang yang dibanting hanya cukup
mengenyangkan satu keluarga untuk hari itu sahaja. Jika tidak dibanting lagi
keesokannya, pasti perut kosong tidak diisi.
Apa mungkin kita rasa wang yang banyak kepunyaan kita
tidak mencukupi ? Bukan kerana tidak cukup. Tetapi kerana tidak dicukupkan.
“ Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan ?”
(Ar-Rahman: 13)
Marilah kita bermuhasabah kembali akhlak kita
yang suka berprasangka terhadap Allah.
Sehingga kita gagal melihat terlalu banyaknya nikmat
yang Allah kurniakan kepada kita malah menyangka Allah tidak pernah
memberi kebaikan kepada diri kita !
Syukur ya Allah !