Al-fatihah..
Babah mula sakit selepas walimah kak ngah
Hari Kenduri babah nampak penat, batuk yang semakin panjang..
Sejak akhir bulan Disember lagi babah tidur tidak nyenyak
Kata babah, semput susah bernafas
Babah paling susah nak ke hospital
Babah batuk berat dan panjang
Bila babah sakit kepala, babah makan panadol
Bila babah batuk, babah ambil ubat batuk
Puas dipujuk babah senyum dan sentiasa kata babah ok
Hingga satu malam babah batuk berdarah
Ma bawa juga babah ke klinik untuk terima rawatan
Hingga babah terus ditahan wad dan dengan segera dihantar ke HTAA, Kuantan
Aku menemani babah dalam ambulans
Masuk ke wad tingkat atas, ke bilik yang terasing dari bilik lain
Dua hari menunggu untuk bertemu pakar
Kami sentiasa memujuk babah dan hati-hati kami
Insya ALLAH babah sakit bahagian leher je ni (sebab leher babah bengkak berkelenjar)
Sehingga doktor bertemu babah dan melihat x-ray
Katanya babah mengidap kanser paru-paru dan perlu menjalani CT Scan segera
Pagi subuh di HTAA..selesai solat subuh
Babah menangis dihadapanku, menangis yang teresak-esak
Aku bacakan ayat-ayat shifa’ untuk menenangkan hati babah
babah mengadu sakit tulang belakang, lalu ku ambil minyak angin dan mengurut di belakangnya
Esoknya kami pulang dengan hati kecewa kerana masalah prosedur hospital yang lambat
Membuat keputusan untuk melakukan CT Scan di hospital swasta Kuantan
Kak Ngah menelefon kami adik beradik..
Kata kak Ngah babah tidak tahu lagi keputusan CT Scan,
Doktor hanya memberitahu babah supaya menerima rawatan di HUKM kerana punya pakar paru-paru
Sehingga di HUKM, doktor memberitahu babah mengidap kanser paru-paru tahap 4 dan kanser telah mula merebak ke bahagian hati dan salur pernafasan
Dua kali rawatan radioterapi, doktor benarkan babah pulang untuk berehat
Di rumah kami ikhtiar untuk rawatan alternatif lain
Darus shifa’, berjampi, air akar kayu, dan minuman herba
Solat hajat dan bacaan yassin bersama-sama
Namun Allah lebih mengetahui
Keadaan babah lebih tenat
Mula berhalusinasi, percakapan juga tidak jelas, tidur yang makin tidak nyenyak
Sehingga kami berjaga malam untuk menjaga babah
Babah dulunya suka makan nasi panas-panas
Kini hanya makan sesuap dua
Terlalu mudah jatuh dan lebih banyak diam
Semua yang berada dirumah sentiasa bersedih dengan keadaan babah
Lebih-lebih lagi mama yang setiap malam memangku babah
Sehingga 18 februari 2010 ma, pakteh, makteh dan aku membawa babah ke HUKM
Untuk appointment bersama pakar paru-paru babah
Doktor minta babah duduk dikerusi untuk diperiksa
Babah duduk dengan kepala hampir bersatu lutut
Babah tertidur hingga hampir terjatuh dari kerusi
Doktor memberitahu kami bahawa beliau mengesyakki
Kanser babah telah menular ke bahagian otak
Kerana simptom yang babah alami menunjukkan kesan pembengkakan di bahagian otak
Babah ditahan wad sekali lagi
Pagi ahad itu memang babah tenat
Babah muntah darah dan subuhnya apabila ma tarik babah kepangkuan
Babah diam, mata babah pejam, dan bernafas sedikit-sedikit
Aku terus memanggil jururawat
Dan babah dibaringkan diatas katil hospital
Doktor berbincang dengan ma diluar
Bahawa pihak hospital dapat berikan cadangan supaya babah kekal di HUKM atau dibawa pulang kerumah
Tidak dapat fokus dalam kelas
Akhir solatku paling berbekas.
Terkenang babah menghembuskan nafas terakhir didepan mata
Kalimah tauhid dibibir babah yang dibasahkan
Terasa panas lagi kucupan di pipi babah
Terasa selesa lagi genggaman tangan babah bila berjalan-jalan dengannya
Terasa segar lagi babah mendengar alunan bacaan yassinku
Terasa bau badan babah masih melekat
Aku kini anak yatim
Namun aku bersyukur Allah mendengar doaku
Yang aku mahu akhir hayat babah aku ada bersamanya
Babah lebih baik begitu kerana Allah lebih sayang padanya
Mama juga tiada penyesalan kerana cinta pada babah ditanggung hingga akhir hayatnya
Semoga babah sentiasa dalam redha Allah
Babah, kakde akan hadiahkan rantaian doa dan tasbih untuk babah setiap solat kakde
Kakde akan ingat janji pada babah dan penuhi keinginan babah
Insya Allah
Allah..
Kami hanya punya Engkau
Kami hanya mengharap keampunan padaMu
Kami insaf dengan dosa-dosa kami
Jadikanlah kubur tempat tidur paling aman buat babah
Temukanlah kami disyurgaMu Ya Allah
Dalam pakaian keimanan
Berilah kami zuriat keturunan yang soleh dan solehah
Supaya kelak akan menjadi rantai penyambung doa redhaMu pada babah
Terima kasih kepada semua sahabat yang datang melawat babah, menggembirakan hatinya, juga yang memandu jauh untuk hadir hari pengebumian babah, ziarah hingga ke rumah, memberi kata-kata perangsang dan dorongan. Taat pada ibu dan ayah tidak pernah merugikan kita. Terima kasih atas ingatan.