Tuesday, September 2, 2008

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN (^_^)


Alhamdulillah.. dengan izinNYA.. kita diberi kesempatan untuk menghirup udara ramadhan.. Melihat hujan ramdhan.. Menikmati solat ramadhan.. Melihat keindahan bunga Ramadhan.. Yang mana ALLAH janjikan tersimpan satu malam yang lebih baik daripada beribu bulan....Subhanallah.. Saya pula tetamu Ramadhan.(^_^)syukur.

Jika dahulu sahabat baginda Rasulullah membahagikan tahun kepada 2. Iaitu 6 bulan awalnya untuk persediaan sebelum menjelangnya Ramadhan, dan 6 bulan selepas Ramadhan sebagai platform mengimplementasikan amalan yang telah dipraktikkan dalam Ramadhan ( kiranya macam gerak gempur juga la ya)

Saya percaya kebanyakan daripada kita akan menggunakan kesempatan yang ada ini untuk membina azam baru dalam usaha memperbaiki diri. Pendek kata , inilah masanya kita nak test kemampuan diri yang sebenar. Almaklumlah, syaitan semuanya sudah dirantai (^_^). Seronoknya Ramadhan ini ialah pada usaha kita apabila berjaya mendera nafsu ketika lapar, menghukum nafsu dengan ayat-ayat Al-Quran, mengawal nafsu dengan menjaga lidah, mendidik nafsu dengan zikir pada Tuhan. Hebatnya Ramadhan. Maha Hebat ALLAH !

Saya juga sungguh bersemangat untuk berkongsi azam saya sempena bulan mulia ini :

  1. Banyakkan bersabar dan tidak bersikap terburu-buru
  2. Kurang semaksimum yang mungkin mengumpat ( ni paling susah ni )
  3. Sentiasa bersangka baik pada ALLAH dan manusia
  4. Perbanyakkan bersedekah ( senyum la yang paling banyak ni )
  5. Perbanyakkan menghadiri majlis-majlis ilmu
  6. Bersungguh-sungguh untuk gerak kerja Islam (walaupun sangat berat, pasti boleh)
  7. Istiqamah dhuha ( ketenangan, rezeki ) dan al-mulk ( pendinding diri )
  8. Qiamullail + jemaah isyak dan subuh ( jaga perut )
  9. Sentiasa bersyukur dalam susah mahupun senang ( didik diri untuk bersikap qana’ah)
  10. Membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian ( fenomena da’ie)

Alhamdulillah, semoga mana-mana amalan yang sudah disistematikkan akan bertambah bagus + bagus + bagus lagi. Pelan strategi inisiatif spesifik akan dirangka dalam diari. Moga-moga dengan 10 azam yang dinyatakan di atas, dengan izinNYA diri ini akan jadi lebih baik daripada sebelumnya. Insya ALLAH.

Jika dulu-dulu ketika kecil saya tidak memahami firman ALLAH, yang menyatakan hanya kita yang mampu ubah nasib kita, namun hari ini saya sudah menghayati betapa ayat-ayat ALLAH itu memberi kesan yang sangat mendalam dalam hati ini.

Ya. Hanya kitalah yang mampu ubah hidup kita. Tiada yang lain. Oleh itu marilah kita bersemangat dan sentiasa bersyukur. Yakinlah dengan ALLAH dan janganlah takut untuk membantu agama ALLAH, kerana ALLAH pasti akan membantu kita kelak.

Selamat Menyambut Ramadhan ya !

MAHASISWA MENGGUGAT !

Detik-detik penubuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1971 hinggalah hari ini mendapat perhatian pelbagai pihak. Suka untuk saya berkongsi pendapat berkaitan isu ini. Berpandukan bacaan buku Mahasiswa Menggugat yang telah ditulis oleh Muhammad Abu Bakar yang merupakan bekas graduan Universiti Malaya yang ketika menulis buku ini giat membuat penyelidikan politik internasional. Beliau telah menceritakan tentang pergerakan mahasiswa pada awal penubuhan universiti sehingga AUKU dikuatkuasa.

Terus terang saya katakan bahawa saya sangat kagum dengan semangat mahasiswa dahulu. Berdasarkan kepada ketetapan-ketetapan dalam akta ini yang telah beberapa kali dipinda, ternyata pihak kerajaan begitu serius dalam mengawal dan mengawasi aktiviti politik mahasiswa. Hal ini sudah tentu berpunca daripada pengalaman yang lalu di mana pihak pemerintah seringkali berkonfrontasi dengan para pelajar, manakala demonstrasi yang diadakan oleh mahasiswa seringkali menimbulkan kegelisahan dikalangan ahli politik pemerintah ketika itu.

Konflik antara para mahasiswa dengan kerajaan atas persoalan akta merupakan konflik antara dua jenis falsafah yang dipegang oleh kedua-duanya. Saya amat kagum apabila menghayati pendirian pemimpin mahasiswa dahulu :

  1. Bagi mahasiswa, lantaran mereka adalah warga negara dalam sebuah negara demokrasi mereka adalah berhak untuk menyuarakan pendapat dan hendaklah dibenarkan mengambil bahagian dalam proses politik nasional.

  1. Bagi mahasiswa, lantaran mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan mendapat pembiayaan daripada pembiayaan rakyat, maka mereka adalah bertanggungjawab untuk memperjuangkan kedudukan rakyat dan membetulkan kepincangan yang terdapat dalam masyarakat.

  1. Mahasiswa harus diberi peluang untuk membuat keputusan mereka sendiri dengan cara bebas dan demokratik dan bukan dengan cara ditentukan dan diarahkan oleh mana-mana pihak seperti HEP, Majlis Universiti dan Naib Canselor, kerana ini bererti mereka akan lahir sebagai mahasiswa yang pasif, apatik dan bersikap seperti murid-murid sekolah menengah ( seperti hari ini ).

  1. Bagi garis-garis yang diletakkan akta bahawa mahasiswa tidak dibenarkan untuk bergabung dengan parti-parti politik, maka bagi mahasiswa ketika itu undang-undang seperti itu tidak perlu, kerana persatuan mereka berbantuk non-partisan.

Namun, arus perdana diperlihatkan dengan fenomena mahasiswa yang luar biasa. Hari ini, kita lebih suka bergerak sendiri, memikul amanah dengan meletakkan limitasi terhadap hak sendiri. Jika dahulu mahasiswa meletakkan diri mereka berperanan sebagai check-and-balance bagi masyarakat, namun hari ini mahasiswa hanya menjadi pihak yang melaksana segala misi yang telah ditetapkan.

Jika dahulu pemimpin mahasiswa akan menjadi pihak yang paling sensitif dengan isu kebajikan mahasiswa, hari ini pemimpin mahasiswa hanya akan menjadi pak turut yang memenuhi kerusi-kerusi kosong dalam majlis-majlis yang dianjurkan.

Kemana hilangnya idealisme mahasiswa ? Adakah kerana mahasiswa ditekan dan dinafikan suara mereka dalam memperjuangkan nasib anak bangsa ? Kemana hilangnya sukarelawan negara yang akan sentiasa membantu dan memastikan kebajikan mahasiswa terjaga ?

Sikap konservatif mahasiswa yang menganggap kehidupan mereka dikampus hanyalah untuk akademik sahaja nampaknya telah direalisasikan. Objektif penubuhan AUKU tercapai, dan saya tidak hairan jika pada masa akan datang kita tiada pemimpin negara yang memegang idealisme nasional. Yang akan ada, hanya pemimpin negara yang bakal memenuhi kocek sendiri dengan rasuah, pecah amanah silap-silap menjualkan negara pada penjajah baru. Mengapa ? Kerana mahasiswa telah hilang kebebasan, tidak merdeka. Takut untuk bersuara, bersikap defensif, dan tidak sedar akan peranan sebenar mahasiswa. Realiti. Perit untuk ditelan namun kesannya lebih menggerunkan.